Broken?

Drama Series 421991

Pandanganku berkaca. Aku tak dapat melihat wajahku sendiri secara jelas walhal cermin besar di depan mata. Dari takungan ke titisan kini menjadi rembesan dan aku pasti sebentar lagi akan menjadi lebih lebat mungkin seperti air terjun Niagara.

Helaian rambut yang terkorban kubiarkan di dalam sinki. Aku terduduk mencangkung di dalam kamar mandi. Kedua tanganku rapat menegak ke atas, dahi kulekatkan di pergelangan tangan. Esakanku semakin kuat, bergema dalam ruangan kecil.

Biar. Biarlah. Aku sendirian waktu ini. Tiada siapa. Semuanya ke kelas masing masing. Aku? Faham faham sajalah.

Hampir saja aku menikam dada dengan hujung gunting tajam tatkala telefon bimbitku berdering nyaring. Lantas gunting itu kucampak ke sisi. Muncungnya terhala ke pintu.

Mengapa sedrastik itu?

Aku mahu hentikan sakit di hati ini. Ingin terus saja kuhentikan degupan jantung dan nadi ini. Terasa seakan tak berdaya untuk kuteruskan semua ini.

Deringan yang tadi sudah berhenti, berbunti lagi. Itu nada deringan telefon yang aku khususkan untuk mak.

Ya, mak.
Orang yang memberi aku kehidupan di dunia. Insan yang menyayangi aku selama ni. Deringan itu seolah menarik keluar aku dari satu dunia yang tercipta tanpa aku sedari. Dunia perih, dunia pedih.

"Kenapa mata kau bengkak Nura?", soal Hanim ketika kami bertembung tatkala aku keluar dari kamar mandi dan dia baru menutup pintu rumah.

Hanim salah seorang teman serumahku. Dia baru pulang dari kelas sejak pagi. Aku tersenyum nipis berlalu masuk ke dalam bilik, terus merebahkan diri. Baju berhoodie tersarung di tubuhku. Itu baju yang aku sering sarungkan jika berasa tidak sihat. Umpamanya baju istimewa, dipakai jika ada acara.

"Kau ponteng ke? Tak sihat?", soal Hanim lagi dari ruang tamu. Rumah sewa kami tak sebesar mana. Jadi suara Hanim boleh kudengari dari dalam bilik. Apatah lagi, pintu bilik tak kututup. Tutup pun tiada makna. Tombolnya tak berfungsi.

Ruang tamu rumah bujang. Tiada set sofa atau kerusi selesa. Hanya ada kusyen kecil dan bantal comel. Meja lipat plastik tanpa kerusi, kami jadi tempat meletak barang makanan kering seperti biskut, teh, gula dan sama kategorinya.

"Haah", jawabku lemah dari dalam bilik. Aku menutup mata dan lalu hanyut dek penangan panadol 4 biji kutelan baru tadi.

Dunia mimpi kuharapkan sangat indah untuk hidupku buat saat ini. Aku berdiri kaku di tengah tengah kelompok manusia berpusu pusu ke sana sini dan aku seolah olah tak wujud di kalangan mereka. Sama saja seperti sekarang rupanya. Tiada beza buatmu Nura! Walau di mana kau berada.

•••••

"Kejutkan dia. Dah lama sangat tidur dari aku balik tadi. Ni dah nak habis maghrib".

"Tak panas pun badan dia. Kau kata dia demam". Kurasa ada telapak tangan menyentuhi dahiku.

"Aku cakap tak sihat la bukan demam".

"Ni ada bekas panadol. Empat biji dia telan sekali?"

"Eh, overdose tu. Tak mati ke telan empat biji sekaligus?"

"Aku rasa something wrong la. Dia mana pernah macam ni".

"Lately ni dia tak banyak cakap. Korang perasan tak?"

"Mmm... perasan perasan"

"Dalam toilet tadi, aku jumpa bungkusan plastik penuh rambut. Aku rasa dia potong..."

"Gila r. Takkan dia potong. Kau tau kan macam mana dia sayang rambut tu. Rambut tu yang Seth  .."

"Yes, ni ada kaitan"

"Eh, betul la. Rambut dia dah pendek. Sayangnya. Simpan dari zaman sekolah kot".

Aku dengar. Aku dengar semua itu. Aku rasa hoodie yang menutup kepalaku diselak seseorang. Hanya kelopak mata yang aku tak mampu buka. Berat. Namun  deria yang lain sudah aktif. Aku cuba mengeliat, terasa lemah. Bukan lemah tapi seolah terikat dengan tali belati.

Aku sedar sejak semalam aku tak makan apa apa. Hampir seminggu aku tak lalu makan. Mujur lemak lemak dalam badan menjadi pemangkin kelaparan. Aku jadi diam, aku tidak lagi senyum seperti selalu. Ya, aku kemurungan. Aku tau ini bukan aku. Aku seorang yang ceria. Aku suka ketawa. Aku suka bercerita. Ni bukan aku!!! Semua kerana dia.

Siapa dia?

Dia Seth.

Kami berteman dari zaman sekolah hingga kini. Ehh, kini?? Ok, kami bukan sekadar bersahabat baik, lebih dari itu. Errr... mungkin itu hanya aku yang rasa. Ya, itu jawapan yang pasti saat ini.

Apa yang tidak kami kongsi bersama, aiskrim kon? Beli satu, kongsi berdua. Air Slurpee 7 Eleven, sama juga. Sedutan pertama macam nak pecah kepala dek kesejukannya, mengekek Seth ketawakan aku. Siap ditarik tarik rambutku yang terikat seperti ekor kuda kononnya supaya otakku tak beku. Padahal.... mengambil kesempatan. Kalau tak menyakat aku, memang tak sah. Namun aku bahagia. Hatiku gembira. Bibir terukir senyuman ikhlas dari hati bukan pura pura.

Berdiri di pintu pagar berhampiran pondok pengawal sekolah, Seth kelihatan sangat menarik. Berkulit cerah, tinggi sedikit dari mereka yang seusia dengannya. Rambut lurus tapi dipotong kemas. Sentiasa dirapikan dengan gel nipis sebelum ke sekolah. Beg digalas sebelah bahu, dia tersenyum memandang aku yang melangkah menuju padanya.

"Baik baik jalan tu. Dah renyai ni", pesan makcik guard dari dalam pondok pada kami, sebaik aku membuka dan mengembangkan payung. Kami mengangguk, mengucapkan salam selamat tinggal dan berlalu dari situ. Sporting kan makcik guard tu, alaaa... dia tinggal satu perumahan dengan kami. Dah kenal kami dari kecil.

Seth mengambil payung dari aku. Yelah, kalau aku pegang pasti rosak rambut dia. Aku pendek. Dah tentu payung tu kena rambut kemas dia.

"Library?", soalnya.

"Aku lapar. Kita makan dulu boleh?", ujarku menggosok perut. Memang dah bergendang cacing cacing dalam perutku.

"Bukan kata nak ganti puasa hari ni?", soalnya mengerutkan dahi, mengingati apa yang aku berhajat semalam.

Aku tersengih, "Cuti".

Ringkas jawabku sambil merapatkan diri padanya. Titisan air hujan sudah mengenai lengan. Seth merangkul bahuku rapat terus padanya. Dah macam dalam drama pula. Panas mukaku. Tubuhku. Malu!

Setelah memesan dua set nasi ayam bersama sirap limau dan air soya sejuk di kedai kayu tak jauh dari perpustakaan, Seth melabuhkan punggung di kerusi bersebelahanku.

"Kenapa? Teruk sangat ke rambut aku kena air?", tanya Seth sambil menyela jarinya ke rambut bila dia sedar aku merenungnya. Kemudian diambil sapu tangan dari kocek seluar dan mengelap pada lengan dan hujung rambutku yang terkena hujan tadi.

Aku menggeleng. Memikirkan bagaimana mau memulakan bicara.

"Seth, kau ada dengar cerita apa apa tak pasal kita?"

Seth merenung aku bila mendengar soalan itu. Matanya makin lama makin menyepet. Suka sangat buat macam tu.

"Kau ni! Aku tanya, jawab je la", kataku. Meluat bila Seth tak menjawab soalan. Dia ingat ada tertulis jawapan kat muka bila dia buat begitu?

"Ha.. sikit sikit nak merajuk. Malas aku nak pujuk kau dalam hujan macam ni. Baik aku lap rambut kau ni".

"Kau la. Aku tanya tak nak jawab". Ha.. kali ni betul bunyi merajuk. Dia memang obses dengan rambut aku - lurus, keperangan sedikit, panjang separas dada.

"Ada", bisiknya merenung ke dalam mataku.

"Jadi?"

"Biarlah. Kita kawan je kan sekarang. Masa depan belum pasti, apalagi soal jodoh. Apapun, aku sayangkan kau. Aku suka rambut panjang ni, wangi", jawab Seth memandangku tersenyum sambil meletakkan hujung rambutku ke hidungnya . Matanya turut tersenyum. Aku cair dalam diam.

"Aku rasa yang buat gossip tu, suka kat kau Nura. Macam aku tau je siapa", bisiknya di telingaku.

"Suka aku? Tak la. Orang tu suka kau. Asal cerita ni dari sekolah aku", balasku berbisik juga. Tiba tiba Seth menegakkan badannya dan berkata,

"Yakinnya kamu!"

Aku menahan diri dari ketawa besar dengan kata kata Seth, kakak pelayan sedang meletakkan hidangan yang kami pesan.

"Mestilah yakin. Ramai peminat kau dari sekolah aku", ujarku sambil mencebik.

"Minat je, tak berani pun tegur. Dari jauh senyum senyum, bila dah dekat terus tunduk. Pelik", ulas Seth sebelum menyuap nasi.

Betul apa Seth cakap. Di Hari Valentine, banyak bunga yang dia dapat; tertulis Your Secret Admirer. Sudahnya, semua dia bagi kat aku. Buat apa bagi bunga kat lelaki kata dia. Tapi coklat dengan kek, aku kena makan sama dengan dia. Big no no untuk aku bawa balik. Katanya, nanti adik beradik aku makan boleh sakit perut. Membongak je lebih dia ni.

"Nak tegur macam mana, kau asyik berkepit dengan aku", komenku.

"Elok la tu. Aku pergi sekolah nak belajar, nak berkawan. Bukan nak bercinta sampai lupa pelajaran", balas Seth selamba.

Aku sedar budak meja sebelah dengar apa yang Seth cakap. Budak sekolah aku juga. Ada juga budak sekolah dia.

'Aduhai Seth. Takde kuat lagi kau nak cakap?', getus hatiku bilamana aku terperasan air muka budak meja sebelah berubah. Mungkin mereka berdua bercinta.

Tu cerita zaman sekolah. Tak banyak beza dengan sekarang.. eh, bukan sekarang tapi sewaktu awal kami masuk mendaftar untuk foundation. Kami berkepit ke sana ke mari. Setiap kali balik bercuti panjang pun bersama. Outing pun jika tidak bersama roomate, pasti kami berdua saja.

Cuma kebelakangan ni, sudah berkali kali Seth memberi alasan menolak pelawaanku untuk bertemu mahupun keluar bersama. Banyak kerja, banyak tugasan katanya. Bidang kursus kami memang berbeza. Aku akur.

Bukan sekadar tak dapat pulang ke rumah bersama kini kerana keluarga aku sudah berpindah ke rumah pusaka di kampung. Malah aku nak belanja dia makan mee goreng basah di cafe atas bukit pun dia tolak. Padahal itu makanan kegemarannya.

"Nura, aku nampak Seth kat cafe. Kami berselisih masa aku nak keluar", ujar Nuryati sebaik menolak pintu bilik dan menyerahkan sebungkus kuey teow goreng basah yang aku pesan padanya sebelum dia keluar untuk menjamu selera dan berdating dengan buah hati.

'Seth pergi cafe? Tadi petang aku ajak dia dinner kat situ, dia cakap ada hal', bisik hatiku.

Aku sekadar mengangguk sambil menuang keuy teow tersebut ke dalam mangkuk. kuey teow goreng basah ni bukan macam goreng basah yang biasa. Ni memang berkuah. Kalau masukkan dalam pinggan, melimpah la.

"Kau tak nak tanya ke Seth dengan siapa?", tanya Nuryati menduga.

"Dengan dormmate dia la kan? Dah lewat macam ni", balasku mengerling pada jam loceng warna kuning keemasan yang ada dua telinga. Jarum panjang di antara sebelas dan dua belas. Jarum pendek di angka sepuluh. Bunyi memang tak kalah. Bukan setakat kami berdua boleh terbangun, bilik sebelah pun terjaga sekali.

Yati mencebik. Tudung disangkut sebelum menghenyakkan punggung ke atas katil aku.

'Amboi kau! Katil sendiri ada, sedap guling kat katil aku yer'. Rungutku dalam hati.

Yati sekadar memandang aku kemudian pada softboard di sebelah katil. Ada beberapa keping gambar aku bersama keluarga dan juga gambar dengan keluarga Seth.

"Kau kenapa ni Yati?", tanyaku setelah hampir separuh mangkuk habis dan dia masih merenung aku. Anak patung Pink Panther pemberian Seth sempena hari jadiku yang lalu dipeluk erat.

"Naza belakang Seth tadi", balas Yati. Naza seorang gadis berkulit cerah tinggi lampai orangnya. Sering bertudung bawal, manis mukanya kerana ulas bibirnya seolah tersenyum. Seorang pelajar yang agak popular semasa minggu orientasi dulu.

"Baru lepas discussion kot. Ada groupwork la tu". Yati sekadar mengangguk lemah dengan jawapan aku. Seketika kemudian terdengar dengkuran halus.

'Bertuah! Aku baru ganti cadar. Sesedap kau tidur kan'. Nak kejutkan tak sampai hati. Malam itu, aku pun tidur di katil Yati yang bogel, belum dipasang cadar.

****

-Nura, bila free?

- after 4. Tapi ada break between 10 - 11.

-great. Meet me at the uphill cafe.


-okie dokie

Kukerling pada jam GShock pasar malam di tangan, dah 15 minit berlalu. Seth tak pernah lewat sebegini. Air soya sejuk pun dah setengah botol masuk ke dalam perut. Perut pun dah berkeroncong tapi aku nak tunggu Seth, nak makan sama sama. Rindu nak pandang wajahnya yang berpeluh ketika menikmati mee goreng basah yang baru dimasak.

Lagipun kalau aku order dulu kang, merajuk pulak Seth nanti. Novel Not Without My Daughter karangan Betty Mahmoody aku buka dan baca. Ada lagi separuh belum habis.

"Nura!"
Rambut aku yang terikat satu, ditarik sehingga aku terdongak sedikit. Itu memang perlakuan Seth seperti biasa. Memang itu cara Seth dari dulu jika berjumpa aku. Ditarik terdongak sehingga mata kami bertemu. Tersengih saja Seth memandang aku yang menahan sakit. Kadangkala dikucup dahiku jika dirasakan keadaan 'selamat'. Tapi tidak hari ini.

"Meet Naza".
Aku cuba untuk senyum, tanganku hulurkan. Naza yang berada di belakang Seth acuh tak acuh menyambutnya. Senyumanku juga tak dibalas. Aku faham maksud kerlingan matanya. Aku juga perempuan.

Share this novel

ainul farhanah
2021-10-16 12:20:01 

kenapa cerita ni sikit sangat

Jeneral Wan
2021-05-16 10:39:10 

Cerita best. Cuma N+ kena buat last read pages kembali. Ni tiap kali nak masuk balik kena remind sampai mana dah baca. Bookmarks pun takde fungsi.

Nienaaa
2020-11-11 13:51:07 

Hai tumpang promote.Jemput singgah membaca novel pertama saya.Saya baru sahaja mula.Minta jasa baik semua selepas membaca memberi komen sama ada jalan ceritanya bagus atau tidak.terima kasih .Tajuknya,BOSKU SI PEMBULI


NovelPlus Premium

The best ads free experience