BAB 6

Fantasy Completed 10501

Kepala Ariana terteleng ke kiri dan kanan. Keningnya berkerut seribu seolah sedang mengalami mimpi yang maha dasyat. Selepas beberapa ketika, mata gadis itu terbuka luas. Nafasnya menderu laju. Bibir nipisnya yang mula kelihatan pucat melafaskan kalimah suci Allah berulang kali. Dia bangkit dari pembaringannya setelah detak kencang jantungnya beransur reda. Peluh di dahinya di seka. Keningnya bertaut. Apa maksud mimpinya sebentar tadi? Mainan tidur atau Hakim benar-benar mengalaminya. Siapa tujuh puteri berpakaian jawa itu? Minda Ariana ligat mencari jawapan namun hanya sebentar cuma. Dia terganggu mendengar bunyi bising di luar khemahnya. Segera dia mencapai tudung hitamnya yang di bentang menutupi beg galasnya lalu disarung ke kepala sebelum menjenguk keadaan di luar khemah.

Tapak perkhemahan itu gempar dengan kehilangan Hakim. Eryl sudah menangis risau akan nasib kawannya. Sangkanya, Hakim sengaja meninggalkan dia dan pulang ke khemah dahulu untuk mempermainkannya namun sangkaannya meleset dengan ketiadaan Hakim.

“Kita kena cari dia.” Cadang Doktor Asnizam. Wajahnya turut telakar kecemasan.

“Tak boleh.” Satu suara garau mencelah. Semua yang berada di situ menjatuhkan pandangan ke atas lelaki bertubuh sasa itu. “Sekarang ini tengah malam. Kita kena tunggu esok baru kita mulakan pencarian. Esok juga kita boleh minta bantuan.” Tenang sahaja nada suara itu.

“Tapi, Abang Man…” Doktor Asnizam masih mahu membantah namun bahunya diramas lembut oleh prof Johan.

“Abang Man lebih tahu apa yang perlu dilakukan. Kita ikut sahaja. Sekarang ni kita berdoa agar Hakim selamat.” Ujar prof Johan. Ada keluhan berat dari bibirnya. Dia juga dirempuh kerisauan, namun dia harus percayakan pemandu arah mereka, Abang Man. Dia lebih berpengalaman.

Baru sahaja situasi mahu reda, kedengaran suara jeritan nyaring seorang gadis. Alissa rebah setelah itu. Keadaan menjadi hingar-bingar semula. Ariana pula sudah mencerlung matanya melihat apa yang orang lain tidak mampu melihat.

Baru abang Man mahu mendapatkan Alissa, Sherlis yang berdiri berhampiran Arman pula ketawa mengilai. Arman dan rakan-rakan berhampiran terus menjarakkan diri melihat perubahan Sherlis. Rambutnya yang panjang menambah ketakutan mereka.

Suara hilaian Sherlis yang awalnya perlahan menjadi semakin lantang. Mereka yang berada di tapak perkhemahan itu sudah berkumpul. Abang Man terkumat-kamit membaca ayat kursi, namun saat Sherlis mengajuk bacaan abang Man dengan suara mengejek, mereka semakin dihimpit ketakutan. Masing-masing pucat wajahnya. Berdiri bulu roma mereka saat Sherlis sudah merangkak di tanah cuba mendekati mereka. Tapak perkhemahan itu bingit dengan jeritan.

Sherlis yang merangkak semakin hampir dengan Fariha membuat gadis itu menjerit ketakutan. Pipinya sudah basah dengan air mata. Kelam-kabut mereka dibuatnya. Namun Ariana yang tiba-tiba berdiri dihadapan Fariha menghadap Sherlis yang masih merangkak seperti kanak-kanak yang tidak reti berjalan itu membuat keadaan kembali senyap. Mereka menumpukan pandangan pada dua gadis itu.

Yang anehnya, Ariana tidak menunduk memandang Sherlis di tanah, terapi matanya lurus menentang sesuatu yang tidak mereka nampak turut berdiri menentang gadis itu.

“Kau nak apa?” Soal Ariana dengan suara tenang. Terdengar hilaian suara Sherlis. Tidak! Itu bukan suara Sherlis sebaliknya suara itu kedengaran seperti suara nenek tua. Agak lama Ariana terdiam. “Kau fikir aku bodoh?” Ujar Ariana dengan nada yang sedikit dikeraskan. Abang Man yang mulanya memerhati mendekati Ariana. Dia berdiri di belakang gadis itu bagi menyokongnya. Dia kini mengerti dan dapat melihat kelebihan Ariana.

“Jangan sangka aku takut.” Sindir Ariana tiba-tiba. Cara Ariana bercakap seolah ada perbualan yang tidak kedengaran dari pihak yang satu lagi. Ariana tiba-tiba berpaling ke arah abang Man dan semua yang sudah berlindung di belakangnya. “Iblis ni nak tunjukkan diri dia. Aku nak kau orang bersedia. Jangan sesekali tumbang. Aku tak nak dia rasa yang ada antara kita yang takut.” Ujar Ariana. Sebentar kemudian, gadis itu membisikkan sesuatu di telinga abang Man yang kemudiannya berlalu mendapatkan semua yang berada di belakang.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience