Bab 23

Short Story Series 55082

Tan Sri Mansur memanjat anak tangga untuk melihat menantunya. Ketika dia masuk ke dalam bilik itu Rina sedang menunaikan solat sunat dhuha empat rakaat sedangkan Qalifh bermain sendiri di atas katil yang disekelilingnya diletakkan bantal-bantal sebagai penghalang agar Qalifh tidak jatuh ke bawah. Tan Sri Mansur mendukung Qalifh dan bermain dengan cucunya itu sehingga membuatkan Qalifh ketawa. Wajah Qalifh saling tidak tumpah sama seperti Haikal ketika anaknya itu masih kecil. Teringat akan Haikal, hati tuanya menjadi rindu. Tipu jika dia mengatakan bahawa dia tidak merindukan anak kandung satu-satunya itu. Sekurang-kurangnya dengan kehadiran Qalifh dia dapat melepaskan kerinduannya.

"Pakcik, tidak pergi kerja hari ini?" Tiba-tiba kedengaran suara Rina menyapa halwa telinganya. Tan Sri Mansur tersenyum sebelum mendukung Qalifh ke arah Rina dan duduk di hadapan kerusi roda Rina.

"Kenapa duduk di bawah? Duduklah di atas sofa itu." Rina meminta Tan Sri Mansur duduk di atas sofa disisinya kerana dia berasa tidak selesa dengan keadaan itu.

"Papa rasa inilah tempat selayaknya untuk papa jika berada dengan kamu. Papa tidak mungkin dapat menebus dosa-dosa Haikal pada kamu tapi sekurang-kurangnya papa tidak kisah jika merendahkan diri papa di hadapan kamu seperti ini." Tan Sri Mansur berkata dengan nada yang kedengaran sayu.

"Jangan cakap macam itu. Pakcik tidak mempunyai kesalahan apa-apa pada Rina. Rina sepatutnya yang duduk di bawah kerana pakcik lebih tua daripada Rina. Apa yang terjadi sudahpun terjadi tidak perlu dikenang lagi." Rina menarik tangan Tan Sri Mansur agar duduk di atas sofa di sebelah mereka. Perlahan-lahan lelaki itu bangun dan duduk di sofa bersebelahan dengan kerusi roda Rina.

"Hari ini kamu tidak perlu pergi terapi, berehat saja di rumah.” Tan Sri Mansur menyuruh Rina supaya tidak pergi membuat terapi kerana ada perkara mustahak yang mahu dibincangkan oleh dirinya kepada Rina.

“Baiklah. Terima kasih sebab selalu teman Rina buat terapi walaupun pakcik sibuk dengan urusan syarikat. Saya boleh pergi bersama Ain, pakcik tidak perlu susahkan diri untuk teman Rina setiap kali Rina ada terapi.” Rina cuba berbual lebih mesra dengan Tan Sri Mansur. Dia sudah mula rasa selesa tinggal di bawah satu bumbung dengan bapa metuanya yang sangat prihatin itu.

"Papa harap walaupun nanti kalau kamu sudah boleh berjalan semula, kamu akan tetap tinggal di sini bersama papa. Papa tidak boleh walau seharipun berpisah dengan cucu kesayangan papa ini." Tan Sri Mansur memberitahu keinginannya agar menantunya itu tetap tinggal bersama dirinya di rumah agam itu walaupun nanti menantunya itu sudah boleh berjalan semula.

Rina diam seketika. Sebenarnya sejak daripada Haikal menelefon seminggu yang lalu dia sudah mempunyai rancangan lain untuk dirinya dan Qalifh. Dia akan pulang ke kampungnya dan memulakan hidup baru di sana. Dia tidak peduli apa kata orang kampung nanti kepadanya kerana dia sudah membuktikan bahawa dia tidak melakukan apa-apa kesalahan seperti yang dituduhkan oleh orang kampung itu akibat hasutan Makcik Jenab.

"Pakcik, terima kasih kerana sudi menerima kami untuk tinggal disini tetapi saya tidak boleh berlama-lama duduk disini. Saya ada rumah sendiri, saya akan pulang ke kampung halaman untuk memulakan hidup baru di sana bersama Qalifh. Pakcik jangan bimbang, pakcik boleh berjumpa dengan Qalifh bila-bila masa yang pakcik suka.” Rina menyampaikan keinginannya pula kepada Tan Sri Mansur.

“Jangan pergi Rina! Sekarang ini rumah Rina yang baru. Rina kena tinggal disini bersama Qalifh dan kami semua. Segala yang ada dirumah ini adalah milik Rina.” Tan Sri Mansur terkejut dengan keputusan yang dibuat oleh Rina tanpa berbincang dahulu dengan dirinya. Dia tidak mengizinkan menantunya itu keluar daripada rumah itu.

"Tak pakcik, apa yang menjadi milik pakcik adalah kepunyaan pakcik. Saya tidak mahu apa-apa pun daripada pakcik kerana apa yang pakcik sudah berikan pada saya sehingga hari ini sudah cukup buat saya dan Qalifh. Saya tidak mahu terhutang budi pakcik kerana saya tahu saya tidak akan mampu membalasnya. Saya tidak mahu menyusahkan sesiapa lagi dan saya akan membuat tuntutan fasakh sebaik saja saya sembuh." Rina memberanikan diri mengatakan satu lagi keinginannya kepada Tan Sri Mansur.

"Kamu mahu bercerai?" Tan Sri Mansur jelas terkejut dengan kata-kata Rina sebentar tadi. Dia tidak mungkin membiarkan hal itu terjadi.
"Rina, janganlah seperti ini, nak. Papa tahu Haikal salah meninggalkan kamu tetapi berilah dia peluang kedua. Dia tidak matang ketika itu. Papa yakin jika dia tahu kamu sudah melahirkan anaknya pasti dia akan gembira dan memulakan hidup baru bersama kamu." Tan Sri Mansur memujuk Rina agar memberikan peluang kedua untuk anaknya itu.

"Peluang itu sudah lama tertutup pakcik. Saya tidak mungkin menerimanya semula. Saya sudah cukup terseksa dengan apa yang terjadi sepanjang perkahwinan kami. Kami tidak ditakdirkan untuk bersama." Rina cuba tersenyum dengan kata-katanya sendiri. Dia harus menjadi wanita yang kuat demi anaknya, Qalifh.

"Tiada siapa yang tahu takdir Allah, Rina. Bukankah kamu sendiri yang mengatakan hidayah itu milik Allah dan kita tidak boleh berhenti berdoa meminta kepada-Nya? Itulah yang papa lakukan sehingga sekarang, nak. Haikal hanya boleh menemui jalan menuju Allah itu melalui kamu. Kamu adalah cahaya pelita yang akan membuatkan jalan hidupnya terang. Bantulah papa untuk membawa Haikal kembali kepada Allah, papa mohon." Tan Sri Mansur menggenggam tangan menantunya itu agar menunaikan permintaannya.

"Maaf, Rina tidak mampu. Pelita cahaya yang pakcik katakan itu sudah terpadam sejak dia tinggalkan saya. Saya akan sentiasa doakan yang terbaik untuknya kerana walau apapun dia tetap bapa kepada anak saya tetapi untuk menerimanya semula saya tidak mampu pakcik. Saya benar-benar tidak mampu menunaikan itu. Tolong, jangan paksa saya." Rina menarik kedua tangannya daripada genggaman Tan Sri Mansur perlahan-lahan. Dia tidak mahu bapa mertuanya itu berharap perkara yang tidak mampu dia tunaikan.

"Papa mohon nak, papa akan melutut jika perlu asalkan kamu menerima Haikal semula." Tan Sri Mansur meletakkan kedua lututnya ke bawah lantai menghadap Rina. Dia benar-benar mengharapkan Allah melembutkan hati menantunya itu ketika itu.

"Papa sudah pun merendahkan dirinya dengan melutut dihadapan awak, Rina. Janganlah kecewakan papa dan bantulah kami membawa Abang Haikal ke jalan yang benar semula." Tiba-tiba terdengar suara seseorang dihadapan pintu bilik Rina. Mereka menoleh serentak dan terkejut apabila melihat Aqil sedang memerhatikan mereka.

Aqil mendekati Tan Sri Mansur dan membangunkan bapanya itu daripada terus melutut di hadapan Rina. Dia tidak sanggup melihat keadaan itu kerana selama ini dia sangat menghormati Tan Sri Mansur. Aqil memandang wajah wanita yang sangat dirinduinya itu sehingga terlupa tentang Shofwah buat seketika. Dia tidak menyangka waktu ini akan tiba. Rina sudah sedar daripada komanya dan kini wanita itu sudah kembali ‘hidup’ dengan wajah yang kembali berseri.

Ketika dia menelefon telefon rumah daripada Makkah tempoh hari seorang wanita yang cukup dikenali suaranya oleh Aqil menjawab panggilan telefon itu. Aqil yakin suara itu adalah milik Rina bukan Ain. Dia menyangka dirinya bermimpi ketika mendengar suara Rina tetapi ternyata tidak. Hampir gugur air matanya saat melihat wanita itu. Jika dia tidak mengetahui batasnya dan jika tiada Tan Sri Mansur disitu dia pasti sudah memeluk wanita itu erat tetapi dia tahu itu semuanya hanya sebuah bayangan indah yang bermain di dalam fikirannya kerana kenyataannya Rina adalah isteri kepada abang angkatnya, Haikal.

Sama seperti Aqil, Rina juga terkejut dengan perjumpaan mereka yang tidak disangka-sangkakan itu. Aqil memanggil Tan Sri Mansur dengan panggilan 'papa' jadi itu beerti Aqil adalah anak angkat yang dikatakan oleh Tan Sri Mansur ketika pertama kali bapa mertuanya itu menceritakan kisahnya. Aqil juga adik iparnya yang baru saja kematian tunangnya yang bernama Shofwah. Rina tidak percaya dengan apa yang berlaku. Dunia ini memang sangat kecil!

Jadi lelaki yang menggelarkan dirinya Qil ketika di dalam panggilan telefon seminggu yang lalu adalah Aqil. Jadi tekaannya tidak salah bahawa suara itu mirip dengan suara lelaki yang cuba dilupakan oleh dirinya. Suara itu benar-benar milik Aqil. Ya Allah, kuatkan aku dengan ujian-Mu ini.

"Apa Rina mahu saya melutut sama kalau itu buatkan Rina puas hati?" Kali ini Aqil pula yang melutut dihadapan Rina sambil wajahnya memandang Rina tidak berkelip. Sungguh cantik walaupun tanpa sebarang solekan. Inilah wajah saat pertama kali mereka berjumpa di universiti satu ketika dahulu. Penat tubuh badannya akibat lapan jam berada di kapal terbang terasa terbang melayang hilang entah ke mana. Semuanya hanya dengan memandang wajah Rina, hatinya menjadi tenang dan damai.

"Bangunlah, jangan buat seperti ini." Rina meminta Aqil bangun daripada terus melutut. "Saya tidak mampu menerima dia lagi. Tolong jangan paksa saya." Rina menjauhkan dirinya sedikit daripada Aqil yang melutut dihadapannya dengan menggerakkan alat kawalan jauh kerusi rodanya. Dia masih di dalam keadaan terkejut kerana tidak menyangka adik iparnya itu adalah Aqil.

"Rina, janganlah bersikap kejam seperti ini kepada papa. Papa orang yang paling setia menjaga kamu ketika kamu di dalam keadaan koma dan papa orang yang tidak henti-henti berdoa untuk kesembuhan kamu. Janganlah seksa lagi jiwa tuanya. Bukankah selayaknya dia dihormati oleh kamu sama seperti kamu menghormati bapa kandung kamu sendiri?" Aqil berkata tegas kepada Rina apabila melihat wanita itu tidak mahu berkompromi. Dia tidak sanggup melihat Tan Sri Mansur bersedih disebabkan perkara yang melibatkan Haikal.

"Kamu semua tidak mengetahui apa yang terjadi kepada saya dan saya juga tidak mahu mengingati kejadian itu lagi. Saya tidak mahu meneruskan perbualan ini lagi. Keluarlah dari bilik ini, saya mahu berehat." Rina menyerahkan Qalifh kepada Ain yang kebetulan datang masuk ke dalam biliknya bersama Mak Sofi.

"Kami memang tidak mengetahui apa yang terjadi diantara kamu dengan Abang Haikal tetapi kamu berdua membelakangkan kami dengan berkahwin secara senyap-senyap. Bagaimana jika saudara mara kami yang lain mengetahuinya? Malu kami dengan perbuatan kamu berdua!" Aqil berbicara dengan kuat mula hilang sabar apabila melihat Rina yang berdegil itu tanpa dia sedari kata-katanya itu mengguris hati Rina yang sedang menahan rasa.

"Mak Sofi dan Ain bawalah Qalifh turun dahulu." Tan Sri Mansur mengarahkan kedua pembantunya itu membawa Qalifh turun ke bawah apabila melihat riak wajah terkejut mereka mendengar Aqil membentak Rina.

"Aqil, sudahlah biarkan Rina tenang dahulu." Tan Sri Mansur menarik tangan Aqil agar berhenti meneruskan perbualan kerana dia tidak mahu suasana menjadi tegang semula seperti dahulu. Susah payah dia mahu membina semula hubungan mereka agar menjadi lebih mesra. Dia tidak mahu hanya disebabkan perkara ini hubungan mereka retak semula.

"Teruk sangat ke apa yang dilakukan Abang Haikal kepada awak Rina Altafunisa?!" Aqil tidak mahu berhenti. Dia harus mengetahui apa yang terjadi sebenarnya diantara abangnya dan Rina.

"Jawab kami!" Aqil membentak lagi apabila Rina masih mendiamkan dirinya.

"Teruk? Teruk tidak mampu menggambarkan keadaan itu. Apa yang dilakukan dia pada saya sangat kejam sehingga kamu semua tidak mampu membayangkannya! Kesucian yang saya jaga selama ini diragut tanpa saya merelakannya. Saya diperkosa oleh abang kamu! Ya, memang dia berhak mengambil haknya sebagai seorang suami tetapi bukankah saya juga mempunyai hak sebagai seorang isteri? Kamu mahu tahu apa yang dia lakukan kepada saya? Jadi dengarlah..." Rina membentak sama kuat dengan suara Aqil. Hatinya yang dipujuk agar tenang kembali mendidih mendengar kata-kata Aqil. Lelaki itu hanya memikirkan tentang malu keluarganya sahaja habis bagaimana dengan maruah keluarganya pula yang diinjak-injak oleh abang lelaki itu?

"Malam pertama yang dinantikan setiap pasangan pengantin baru tidak ada pada kami. Saya diperlakuan seperti binatang pada hari itu! Saya dilayan seperti seorang pelacur yang dibayar oleh pelanggannya dan saya ditinggalkan seperti sampah setelah diambil kesuciannya! Disebabkan perkara itu juga saya jadi yatim piatu! Ibu dan nenek yang sangat saya cintai meninggal dunia akibat serangan jantung diatas apa yang menimpa diri saya!!!

"Saya diperangkap dan ditangkap khalwat bersama abang kamu di saat saya membersihkan rumahnya sebagai pembantu rumah daripada sebuah agensi. Abang kamu mabuk ketika itu dan dia cuba memperkosa saya sebelum pegawai agama datang. Saya fikir saya diselamatkan tetapi sebaliknya saya ditimpa dengan masalah yang lebih dahsyat dengan harus berkahwin dengan abang kamu, lelaki asing yang saya tidak kenali. Daripada meminta maaf kepada saya anak pakcik menuduh saya perempuan mata duitan yang inginkan hartanya. Demi Allah, saya tidak pernah terfikirkan mahu memerangkap mana-mana lelaki di dunia ini untuk menjadi kaya. Saya memang miskin tapi saya tidak diajar untuk melakukan perkara keji untuk mendapatkan daki dunia ini." Rina menangis teresak-esak di tempatnya. Semua yang dipendam akhirnya dimuntahkan semuanya tanpa satupun yang tertinggal.

"Orang yang seharusnya berasa malu adalah saya dan keluarga saya. Maruah kami diinjak-injak hanya disebabkan kami orang yang tidak beharta. Kalau saya mahu sudah lama saya heret abang awak masuk ke dalam penjara kerana melakukan kekerasan di dalam rumah tangga kami yang tidak sampai sehari pun didirikan tapi saya tahan diri saya melakukan itu kerana maruah keluarga yang dipertaruhkan. Kamu semua orang kaya, masyarakat hanya akan mengata sehari dua dan akhirnya menutup mata dan telinga tetapi saya dan keluarga saya akan dicaci dan dihina sampai ke liang lahad." Rina menyeka air matanya dan ditenangnkan dirinya sebelum memandang semula ke arah Aqil dengan pandangan yang tajam.

Tan Sri Mansur jatuh terduduk di sofa sementara Aqil diam terkesima. Mereka tidak menyangka Haikal melakukan perkara terkutuk seperti itu kepada Rina. Mereka tahu Haikal melakukan dosa dengan mempersia-siakan isterinya itu tetapi mereka tidak tahu dosa yang lebih besar yang dilakukan oleh Haikal terhadap wanita itu. Tan Sri Mansur turut menangis teresak-esak mendengar pengakuan Rina tentang perlakuan buruk anaknya. Kini tahulah dia mengapa menantunya itu tidak mahu menerima Haikal semula. Apa yang terjadi meninggalkan kesan yang sangat dalam kepada Rina.

"Tidur saya tidak pernah lena selepas kejadian itu. Setiap kali saya memejamkan mata, bayangannya akan sentiasa muncul mengganggu sehingga sakit pada malam itu saya rasakannya berkali-kali terutamanya apabila hari hujan. Zaman remaja saya hancur pakcik. Saya dituduh melakukan zina oleh orang sekeliling ketika mereka mengetahui saya mengandung. Pakcik lihat sendirikan bagaimana saya diperlakukan di kampung ketika itu? Begitulah hari-hari saya yang tidak pernah tenang. Setiap hari bagaikan medan peperangan untuk saya bertempur sendirian dengan hanya mengharapkan perlindungan daripada Allah. Apa kamu sudah puas mendengarnya atau kamu mahu saya meneruskannya lagi?" Rina bertanya dingin dan memandang Aqil tajam.

"Cukup nak, jangan diteruskan. Papa dan Aqil minta maaf. Kami benar-benar minta maaf bagi pihak Haikal kepada kamu. Kami tidak tahu." Tan Sri Mansur meminta Rina berhenti berbicara kerana tidak sanggup lagi mendengar cerita hidup Rina yang hancur disebabkan oleh anaknya.

Aqil mendapatkan Tan Sri Mansur dan memeluk bapa angkatnya itu. Air matanya turut mengalir kerana tidak menyangka begitu kejam Haikal memperlakukan Rina. Jika abang angkatnya itu berada di hadapannya ketika itu pasti sudah dibelasahnya cukup-cukup. Di dalam hatinya timbul penyesalan kerana memaksa Rina memberitahu rahsia yang selama ini disimpan rapi oleh wanita itu. Pasti Rina benar-benar tidak mahu mengingati sejarah hitam itu tetapi disebabkan dirinya Rina terpaksa bercerita demi memuaskan hatinya dan Tan Sri Mansur.


Ain terjenguk-jenguk memandang ke tingkat atas berkali-kali. Dia ingin tahu apa yang terjadi sebenarnya kepada keluarga majikannya itu. Dia tidak menyangka ternyata Haikal dan Rina berkahwin secara sembunyi-sembunyi daripada pengetahuan keluarganya. Adakah mereka khawin lari disebabkan Tan Sri Mansur tidak merestui hubungan mereka tetapi melihat layanan baik Tan Sri Mansur terhadap Rina itu tidak mungkin terjadi atau mungkin disebabkan keluarga Rina yang tidak menyukai Haikal? Ain bertanya-tanya sendiri.

"Apa yang kamu buat tu Ain? Terhendap-hendap daripada tadi lagi. Sudahlah, jangan nak menyibuk ambil tahu tentang masalah orang. Ingat, kita ni dibayar gaji bukan untuk mencampuri urusan keluarga mereka." Mak Sofi menggelengkan kepala sambil bermain dengan Qalifh langsung tidak terkesan dengan keadaan tegang keluarganya memandangkan dia seorang
anak kecil.

"Saya tahulah Mak Sofi tapi saya bukannya ada maksud tak baik pun. Saya cuma teringin nak tahu mengapa mereka kahwin sembunyi-sembunyi tanpa pengetahuan Tan Sri Mansur sekeluarga. Mak Sofi sudah lama kerja disinikan jadi pasti Mak Sofi tahu apa yang terjadi." Ain duduk di sebelah Mak Sofi apabila terasas disindir oleh Mak Sofi sebentar tadi.

"Adalah tu sebabnya manalah Mak Sofi tahu lagi pula itu bukan urusan Mak Sofi." Mak Sofi tidak mahu memberitahu apa-apa. Tan Sri Mansur sangat memepercayai dirinya. Dia sudah bekerja dengan Tan Sri Mansur sejak Haikal dilahirkan lagi jadi dia sudah menganggap majikannya itu seperti ahli keluarganya sendiri.

"Tidak mendapat restu orang tua ke atau mereka kena tangkap basah?" Ain serkap jarang dan tidak menyedari Mak Sofi berdehem membetulkan kerongkongannya yang tiba-tiba kering.

"Hish, kamu ni. Sudahlah jangan nak cakap yang bukan-bukan lagi. Kalau kamu nak kerja lama disini, butakan mata dan pekakkan telinga." Mak Sofi menggelengkan kepalanya memandang Ain yang masih cuba mengorek rahsia daripadanya. Tidak disangka pula jururawat itu suka mengambil tahu tentang masalah orang lain. Dia harus lebih berhati-hati terhadap Ain agar tidak terlepas cakap apa-apa yang berkaitan majikannya itu.

Ain mencebik melihat Mak Sofi yang tidak mengendahkannya walaupun dia sudah mencuba pelbagai helah untuk Mak Sofi menceritakan tentang keluarga majikan mereka. Nampaknya Mak Sofi seorang yang setia terhadap majikannya sehingga sanggup menutupi aib keluarga Tan Sri Mansur. Jarang sekali mendapat pembantu rumah yang setia dan baik hati seperti Mak Sofi itu pada zaman sekarang ini.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience