18

Romance Completed 95763

"Meena Nelson?" Nama itu meniti perlahan dibibirnya. Anggun Dahlia merenung ke arah Ikram Benjamin. Dia mencebik. Entah mengapa dia meluat dengan sebaris nama itu. Meena? Aminah? Ameenah? Dia berdecit. Kemudian tersenyum sinis. Makanan didepan matanya dipandang tajam. Ada murtabak biskut, daging masala, ayam goreng cili, puding karamel. Apakah perempuan itu mahu dia gemuk? Ah, sepatutnya sebagai perempuan dia seharusnya lebih arif tentang menjaga pemakanan dan juga kesihatan badan. Huh, ini mesti perempuan itu mahu merebut Ikram Benjamin.

Dia mencapai garfu dari dalam laci. Garfu itu digenggam kuat. Dengan sekuat tenaganya dia menikam seketul daging masala. Daging itu dibawa mendekat dengan pandangannya. Seolah-olah seperti seekor singa yang mahu membaham mangsanya. Dia menyuap masuk daging ke dalam mulutnya. Kunyahan demi kunyahan. Mata dipejam rapat. Setiap aroma dan rempah ratus yang terserap dalam seketul daging itu menambahkan lagi seleranya. Matanya dibuka luas.

'Sedap. Kenapa boleh sesedap macam ni? Siapa dia? Chef? Ah, tak boleh jadi!'

Dia beralih arah pada lauk yang seterusnya. Ayam goreng cili. Bekas makanan diangkat merapati deria baunya. Hidungnya mengambil bau setiap rempah ratus yang diperap bersama ayam tersebut. Sama seperti tadi. Dia menikam seketul daging ayam yang dipotong kecil.

"Sedap?" Ikram Benjamin mencelah. Dia menyimpan senyum yang hampir terlakar.

"Tak." Sepatah ayat itu meluncur keluar dari mulut Anggun Dahlia. Jawapan itu membuatkan Ikram Benjamin tersenyum sendiri. Tetapi cepat saja dimatikan senyumannya.

"Betul tak sedap? Kalau tak sedap, abang ambilkan sayang buah epal." Dia bergerak menuju ke peti sejuk. Pintu peti sejuk dibuka.

"Jangan. Dahlia nak makan makanan ni. Membazir kalau tak habis nanti." Riak mukanya dikawal sehabis mungkin. Seperti tiada apa yang dirasakan ketika itu. Dia menyambung semula suapan yang tergendala tadi. Kini murtabak biskut menjadi sasarannya. Dia menarik bekas aluminium empat segi merapat dengannya. Badannya ditunduk sedikit bagi membolehkan pancainderanya melihat tekstur murtabak biskut. Matanya meniliti setiap lapisan yang terkandung dengan hirisan sayur lobak, hirisan daun sup, juga sos yang pekat pada setiap lapisan. Hirisan daging yang banyak. Yang pasti itu bukan sos jenama Jalen, Giant, Kimball mahupun Life. Itu adalah sos buatan sendiri. Lidahnya dipaksa untuk merasa ramuan sos itu.

"Macam mana? Sedap ke makanan yang kawan abang masak tu?" Kening dijungkitkan.

"Hmm...bolehlah. Setakat makanan macam ini, Dahlia pun boleh masak." Matanya dijuling ke atas. Meluat. Terlalu memuji kawannya itu. Kawan ke?

"Sejak bila abang ada kawan perempuan?" Dia menyuap malas makanan ke dalam mulutnya. Dengar nama saja sudah meluat, inikan pula dengan hasil air tangannya. Ingat dia seorang saja perempuan yang berkebolehan memasak seperti seorang chef? Tidak. Dia bukan mahu bergaduh. Cuma ton suaranya saja yang mendatar seperti tiada minat.

"Dari dulu lagi. Kenapa sayang? Pelik ke?" Keningnya bertaut. Pelik sangat ke perempuan dan lelaki berkawan?

"Oh." Itu saja jawapan yang diberi oleh Anggun Dahlia. Bekas makanan ditutup. Dia mencuci garfu. Kenapalah dengan hatinya malam ini? Hanya kerana makanan itu, tiba-tiba mood malamnya merundum. Kacau saja. Betul ke hanya kerana makanan itu? Bukan kerana orang yang memasak makanan itu? Akal jahatnya mula berbisik. Syaitan betul.

"Okey. Abang naik dulu. Nak mandi. Penat sangat hari ini. Lagipun esok abang kena masuk pejabat awal." Tangan Anggun Dahlia diramas lembut. Kemudian tangan itu dicium lembut. Lama. Membuatkan perempuan itu khayal seketika.

"Em." Dia menghantar pandang ke lif. Ikram Benjamin sudah naik terlebih dahulu. Matanya jatuh pada makanan tadi. Benci!

-------
(Manaory Company - 9 pagi)

Suasana di Manaory Company pagi itu sangat meriah. Mereka menerima kunjungan daripada orang ramai dalam pameran kereta tersebut. Tujuan pemeran itu diadakan bertujuan memperkenalkan jenama kereta dibawah kerjasama Mercedec-Benz Malaysia dan Mercedec -Benz Malta. Sekaligus dapat meningkatkan purata jualan mereka pada tahun itu. Sudah tentu sasaran mereka daripada orang ternama.

Kelihatan dari jauh Ikram Benjamin diiringi oleh pembantunya, Louis melangkah keluar dari perut lif. Dia membetulkan kot birunya agar tampak lebih kemas. Sesekali tangan dihulur dengan para tetamu. Senyum juga tidak lekang dari bibirnya.

"Kapten, pagi ini kita ada wakil dari Itali turut serta dalam pameran kita. Dengar kata mereka berminat untuk bekerjasama dengan Manaory. Orangnya yang berdiri dihujung sana. Yang berkot putih." Louis mengarahkan tangannya pada wakil yang dimaksudkan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience