Chapter 19

Horror & Thriller Completed 32037

Bab 19

Malam tadi sekali lagi dia bermimpi tapi kali ini suasananya agak berbeza. Dia dapat melihat dengan jelas seorang perempuan berjubah hijau sedang berjalan di tepi tasik. Rambutnya dilepaskan dan seolah-olah sedang gembira meraikan sesuatu. Datang pula seorang lelaki bertubuh tegap terus menolaknya jatuh ke tanah. Menjerit dia menahan kesakitan. Dijambak pula rambut perempuan itu dan diseret jauh pergi dari situ. Sarah tidak dapat melihat apa yang dilakukan lelaki itu terhadapnya. Tahu-tahu sahaja dia sudah berada di dalam satu tempat gelap dan berbau busuk. Baunya seperti di dalam pasar basah yang hanyir dan meloyakan. Hendak termuntah Sarah namun dia terus berjalan mencari punca bunyi mengerang yang datangnya entah dari mana.

Terkejut Sarah apabila menemui seorang perempuan botak yang berlumuran darah. Luka-luka besar jelas kelihatan di tubuh badannya. Lebam-lebam seperti dipukul bertalu-talu. Perempuan itu menekup muka sambil menangis. Sarah cuba untuk mendekati perempuan tersebut dan tiba-tiba perempuan itu menyerang dan menjerit…PULANGKAN RAMBUT AKUUUU!

Sarah mengucap panjang apabila terjaga dari mimpi buruk itu. Sebab itu lah dia mahu berjumpa segera dengan Ayu bagi mendapatkan cerita yang sebenar. Jam menunjukkan hampir pukul tiga petang. Mereka sudah sampai di Johor Bahru. Sekarang Sarah hanya perlu mengikut alamat tadi dan mencari tempat tinggal Ayu.

Simpang demi simpang dan dari lorong ke lorong ditempuhi. Apa yang menimbulkan pertanyaan Sarah adalah semua pokok yang berada di sekeliling berwarna hitam dan seperti ada rerambut halus yang berjurai serta berterbangan ditiup angin. Sarah hanya mendiamkan diri dan langsung tidak berkata apa-apa kepada Suzana.

“Tak boleh jadi peneman langsung. Kerja kau tidur memanjang start dari awal naik kereta sampailah ke sini,” gerutu Sarah dalam hati. Dia faham benar dengan perangai Suzana yang memang kaki tidur. Dulu masa dalam kuliah pun sampai kena surat amaran dari pensyarah akibat tabiat buruknya itu.

Sampai di satu persimpangan jalan, Sarah sudah keliru hendak membelok ke kanan atau ke kiri. Lama juga dia memberhentikan kereta di situ. Tiada seorang pun lalu lalang, yang ada hanya ayam-ayam dan beberapa ekor kucing yang kelihatan. Di sebelah kanannya kelihatan satu bangunan usang dan dipenuhi semak samun. Sekali pandang memang menyeramkan dah seperti rumah hantu yang biasa dilihat dalam filem-filem melayu. Suasana yang sunyi dan hari yang mendung tambah menimbulkan keresahan dalam hati Sarah.
Suzana tersedar dari lena dan tiba-tiba sahaja dia menjerit.

“Aku nampak benda hitam Sarah!”

Suzana menghalakan tangannya ke arah rumah usang tadi.
“Sumpah aku nampak ada benda besar jalan-jalan dalam tu.”

...bersambung
Bab akan datang:
Apakah yang dilihat oleh Suzana?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience