"APA yang ditenung kan tu, Lia?" soal Pak Uda hadir dengan rokok daun di tangan. Langsung dia duduk atas pangkin manakala Adlia pula dari berdiri menongkat dagu atas tebing, seraya tegakkan semula tubuh dan tersenyum bila Mak Uda pula mempelawa dia minum kopi.
Dari berdiri tepi tebing beranda, terus dia turunkan tubuh untuk duduk bertimpuh atas lantai papan beranda yang jarang-jarang itu. Nampak akan kolong bawah rumah.
"Takde menung apa Pak Uda. Saja hidu bau malam dekat sini pula... selalu dekat rumah je," sahut Adlia. Memang ada kelainan pun, di rumahnya seringkali dia terpaksa membiasakan sistem pernafasannya itu dengan bauan kurang menyenangkan memandangkan dekat dengan kawasan limbah serta ada membela ayam itik.
"Kalau Lia dah ngantuk. Mak Uda dah siapkan bilik, nanti pergi masuk," sahut Mak Uda pula yang kini sudah bertimpuh di beranda depan pintu dengan sebakul kain untuk dilipat.
Sebelum dia duduk, bakul yang diperbuat daripada rotan itu dia letakkan dahulu atas lantai papan. Dengan wajah yang berkerutan dia menurunkan tubuhnya untuk duduk di muka pintu.
Sehelai demi sehelai dia keluarkan untuk dilipat.
"Esok Lia tahu tak pukul berapa ibu kamu boleh keluar? Kalau petang boleh pergi dengan Pak Uda saja. Kalau pagi, mungkin Pak Uda panggil teksi... tambang... kamu tak usah risau sebab kamu tahulah, sebelah pagi Pak Uda kan niaga," terang Pak Uda setelah mulutnya menghembuskan asap berbentuk O.
Berangin sahaja mereka bertiga yang duduk di beranda itu. Malam itu, angin bertiup sedikit kencang namun tiada tanda-tanda atau bau hujan.
"Petang tak silap Pak Uda. Takpe, esok pagi... Lia telefon sana," jawab Adlia pula. Berselera pula memakan jemput-jemput air tangan Mak Uda.
Nasib Adlia baik kerana dapat tidur dalam bilik anak keluarga itu kerana anak tunggal pasangan baik hati itu, sudah bekerja di Kuala Lumpur. Mereka sebaya namun dia saja yang masih mahu menetap di kampung.
Sedangkan ramai rakannya sudah bekerja di bandar, ada juga yang menyambung pengajian. Tiba-tiba, Adlia teringat akan surat tawaran pengajian dalam bidang yang dia gemari itu. Surat tawaran ITM ( kini UITM )
Tipulah jika tiada keinginan ke situ namun bila mengenangkan akan kemampuan diri dan ibu, Adlia perlu padamkan rasa tersebut. Biar pun, rakan-rakan ada yang seakan sengaja mengejeknya namun dia tetap tabahkan hati.
"Lia, Pak Uda tahu keputusan kamu tu elok. Takde ke, rasa nak sambung belajar?" Soalan Pak Uda membuarkan semula ingatan gadis sunti itu ke memori sekejapan tadi.
Adlia hanya mengukirkan senyuman tawarnya. Mak Uda dari ralit melipat baju-baju mengangkat kepala buat seketika. Saat itu, dia nampak betapa tawarnya senyuman gadis pinggitan itu.
"Buat masa ni tak kut... Pak Uda," jawabnya dengan jujur. Pak Uda yang masih lagi ralit menghisap rokok daun dengan sebelah kaki dia terus angkat atas pangkin, sebelah lagi pula terbuai-buai.
Namun cara duduknya itu, tidak bertahan lama. Dia melunjurkan kaki yang terangkat atas pangkin ke atas tanah semula dan duduk pula atas tangga.
Puntung rokok seraya dia balingkan ke tanah dan memijaknya. Pak Uda naik atas beranda lalu mencapai cangkir berisi kopi dan Adlia membantu menolaknya agar senang untuk orang tua itu capai.
Mak Uda hanya menjadi pendengar, malas mahu masuk campur kerana tugas dia melipat kain sedang berjalan lagi. Malam semakin merangkak larut.
Sebelum subuh, dia kena sediakan sarapan serta sajian jualan pagi nanti. Pak Uda yang sudah meneguk kopi lantas meletakkan semula cangkir atas talam lalu mencapai sebiji jemput-jemput bawang.
Tadi mungkin panas. Sewaktu dia mengambilnya sudah sejuk kerana tiada lagi nampak asap.
"Kalau kamu nak sambung belajar... bagi tahu Pak Uda," ujar Pak Uda seraya memalingkan wajahnya ke arah Adlia. Adlia yang sedang menghabiskan air kopinya, terus menurunkan cangkir buat seketika.
Adlia lemparkan senyumannya.
"Kalau soal bayaran, tak usahlah kamu risau... kami boleh bantu," sahut Mak Uda pula yang tadinya senyap kini mencelah, tatkala dia melihat ada perubahan pada air muka gadis pinggitan itu.
Adlia mahu tapi dalam masa sama, dia segan kerana keluarga itu tiada pertalian darah dengannya. Serta bukan juga saudara dia...
"Kami ni dah anggap kamu tu macam anak kami sendiri kan, bapaknya?" soal Mak Uda sambil pandang ke arah Pak Uda. Pak Uda mengangguk dan Adlia nampak itu.
"Terima kasih Pak Uda, Mak Uda takpe... nanti, bila terbuka hati ini nak sambung belajar semula, Lia bagi tahu," ujar Adlia menolak secara halus tanpa memperkecilkan perasaan kedua-dua orang tua itu.
Adlia tahu serta memuji akan niat baik pasangan dua sejoli itu.
Mereka berdua terlalu baik dengan dirinya serta keluarganya.
"Herm, yelah... apa-apa nanti, cakap sahaja. Jangan segan-segan," sahut Pak Uda lagi. Cangkir dia ambil semula, setelah kopi di tuangkan separuh. Cangkir berisi air kopi di angkat dan meneguknya sambil Adlia memerhati.
Bergenangan kolam mata pabila wajah arwah bapanya tersingkap dari balik jendela memori. Lama dia memerhati wajah lelaki tua itu. Sungguh, saat itu dia rindukan arwah.
"Kamu dah banyak kali menguap tu nak... Pergilah tidur, jangan ikut kami. Kami berdua sudah biasa," arah Pak Uda perasan anak gadis lewat belasan tahun itu, sedang menguap sambil menutup mulutnya.
Adlia yang tersipu malu seraya mengangguk sambil mengangkat cangkir tapi Mak Uda menegah, biarkan saja atas talam. Adlia mahu atau tak, meletakkan semula cangkir tersebut atas talam sebelum bangun dan minta izin untuk dia melalui belakang Mak Uda menuju ke pintu.
"Kasihan aku tengok Adlia tu bang," ujar Mak Uda sambil melipat kain. Makin tinggal sedikit baki yang belum terlipat. Pak Uda hanya mengangguk sambil kaki di angkat atas beranda, sebelah lagi di letakkan atas takah tangga.
"Loyah tu pula tak habis-habis dengan bawa mulut dia tu. Sekarang canang pula dekat orang... Yang si Mamat OKB tu nak pinang si Adlia tu pula," tokok Mak Uda lagi tatkala teringat peristiwa beberapa hari sudah, sewaktu dia pergi membeli kelapa parut.
"Aku pun ada dengar juga, De. Yang Mamat tu pun Mamat lah... Tak padan dah ada tiga bini masih nak menggatal lagi selagi dia tak penuh kuota!" Pak Uda menyahut dengan hati yang membengkak.
"Kawan tu budak lagi. Baru habis SPM pun," tokok dia lagi seraya menggeleng bila teringatkan sikap gelojoh lelaki yang lebih tua dari diri dia itu.
"Tu lah perangai jantan!" sela Mak Uda geram. Menghempuk kain yang baru dilipatnya itu tanda protes dengan sikap segolongan suami yang suka mengambil kesempatan berkenaan kuota itu.
Bab nikah kahwin, bab nak meramaikan isteri tahu pula nak ikut sunnah. Nak ikut agama. Bab yang lain-lain pula bagaimana?
"Hai, De bukan semua lelaki macam tu. Janganlah kamu hempuk kain tu sayang... ia tak bersalah apa pun," sindir Pak Uda terkejut dek hempukkan tersebut dan dia terpaksa ambil jemput-jemput lain memandangkan yang dia pegang tadi dah jatuh atas tanah.
Mak Uda yang tersedar akan kekhilafan dia tadi akibat terlampau menurut perasaan, meminta maaf atas perlakuan dia.
Adlia yang berada di balik dinding. Tersandar sambil memegang dadanya. Pak cik tua itu nak masuk pinang dia?
Loyah ada datang rumah dan berbincang akan perihal tersebut. Tapi bila?
"Apakah itu puncanya ibu sakit dada? Ya Allah!" ujarnya terus berlari ke arah bilik. Membukanya, berlari masuk tanpa menutup pintu, dia terus terduduk atas lantai.
Kedua belah kaki diangkat lalu merapat pada dada, dia sembamkan muka atas kepala lutut. Adlia menangis dalam bilik.
"Ya Allah! Jika benarlah apa yang mereka katakan tadi. Aku harus jumpa makcik Loyah dan bercakap dengannya. Tapi... takde gunanya jugak..." omelnya yang angkat kepala buat seketika.
"Aku tak mahu kahwin lagi!" Adlia membentak seorang diri.
"Makcik Loyah tak boleh paksa aku, tak boleh paksa mak aku..." Adlia menyambung omelannya. Air mata yang sudah terbit dia menyekanya. Dia nekad!
"Atau aku harus bersemuka terus dengan pakcik Mamat?" soalnya makin berkedutan keningnya. Laju kepala dia gelengkan bila teringat wajah miang itu.
"Ya Allah! Kasihan ibu jika inilah puncanya," lirih Adlia lagi. Sekali lagi dia menyapu lelehan air mata di permukaan pipi.
Sepintas lalu, wajah jejaka segak yang mempunyai seorang anak perempuan bernama Elly tiba-tiba terlayang di ruangan mata. Tidak dia tahu kenapa dan bagaimana wajah pemuda itu boleh muncul?
Share this novel
apa yg ok huhuhu
ok