SUASANA sunyi menjengah ruang tamu itu. Hanya bunyi libasan bilah kipas siling yang sedang berpusing sahaja kedengaran. Masing-masing bungkam, tiada sesiapa yang bersuara sejak ketibaan Tuan Haji Yaaqub di situ. Eijaz pula sudah awal-awal lagi mengundur diri, untuk melihat lembu yang bakal dikorban esok. Eliza dan Harlina pula sudah berlalu ke dapur, menyambung semula tugasan memasak yang tergendala tadi. Tinggallah Afaf, Emir dan Tuan Haji Yaaqub di ruang tamu itu.
"Abah kamu mana? Takkan kamu balik seorang?" Suara garau itu memulakan bicara.
Suara itu, masih sama seperti dahulu. Masih tegas nadanya. Afaf menyumbingkan bibir mendengar lontaran suara itu.
"Abah, tengah buat haji dengan mama," balas Afaf pendek. Matanya langsung tidak memandang wajah tua itu. Hanya jari-jemarinya yang sedang dimainkannya dipandang . Tuan Haji Yaaqub mendengus melihat kelakuan Afaf yang dirasakan kurang ajar.
Puan Shima dan Encik Yunus datang menyertai mereka bertiga. Lebar senyuman terukir pada wajah Encik Yunus.
"Afaf, Afaf apa khabar?" sapa Encik Yunus cukup mesra. Afaf terus bangkit dari duduknya lalu menyalami Pak Longnya.
"Alhamdulillah, Pak Long. Saya sihat," jawab Afaf dengan sopan.
"Kamu balik seorang je ke? Abah kamu mana?"
“Oh, abah dengan mama pergi buat haji. Jadi, Afaf wakil abah balik ke sini. Lagipun esok hari lahir atok, kan?”
“Alhamdulillah. Sampai juga abah kamu ke tanah suci ya. Pak Long doakan semoga abah dan mama kamu, hajinya mabrur.”
“Insya-Allah, amin Pak Long.”
Puan Shima dan Encik Yunus sudah mengambil tempat masing-masing. Begitu juga Afaf yang duduk semula ditempatnya tadi.
“Memang esok hari lahir atok kamu, tapi kita sambut malam ni dengan buat doa selamat sikit. Sebab esok, atok dan Pak Long nak tumbang lembu,” beritahu Encik Yunus mengenai agenda yang akan dijalankan oleh mereka.
“Afaf sekarang dah cantik kan, bang. Tinggi, putih dan rupa kamu saling tak tumpah macam arwah ibu kamu,” puji Puan Shima.
“Humph, cantik apa dengan berpakaian macam tu. Eh, abah kamu tak ajar ke berpakaian sopan dan menutup aurat?” sindir Tuan Haji Yaaqub.
Afaf memandang pakaiannya.
‘Apa yang tak okey? Okey je aku tengok. Yang penting aku berpakaian bukan telanjang,’ gumam Afaf di dalam hati.
“Alah, Long. Budak terbiar memang macam tu. Mana ada malu dengan pakai terdedah sana sini. Sia-sia bapak kau pergi buat haji tapi perangai anak nauzubillah.” Yasmin yang tiba-tiba datang terus mencemuh Afaf.
Dilabuhkan punggungnya di hadapan Afaf. Dia memandang Afaf dari atas ke bawah. Jelas terpancar wajah tidak sukanya akan kehadiran Afaf di situ. Afaf hanya mendiamkan diri. Ikutkan hatinya ingin sahaja dia membalas namun, dia masih ingat pesan abahnya walaupun seteruk mana pun layanan dan kata-kata yang dilemparkan oleh orang yang berumur, jangan sesekali melawan. Hanya senyuman sahaja yang Afaf berikan pada sindiran yang diterimanya.
“Tak macam cucu long yang lain. Tengok Eliz, sopan je berpakaian. Sejuk mata memandang. Entah-entah kamu dekat KL sana mesti kerja tak senonoh kan? Tak macam Eliz, bakal doktor.” Yasmin menyambung lagi kata-katanya dengan berbakul-bakul pujian terhadap cucu kesayangannya itu.
“Kerja saya taklah sebagus kerja cucu kesayangan Nek Cu tu. Tapi Alhamdulillah saya mampu tampung hidup saya sendiri. Alah, syarikat abah tu tak adalah besar mana, hanya jual kereta terpakai je. Mampu je saya uruskan. Tak macam atok, ada kebun beratus hektar dan ladang ternakan yang banyak.”
Selepas Encik Ihsan dan Afaf berhijrah ke bandar besar Kuala Lumpur, hidup mereka anak beranak memang kais pagi makan pagi. Pada awalnya, mereka dua beranak menjadi gelandangan. Encik Ihsan hanya bekerja sebagai pencuci pinggan mangkuk di kedai-kedai makan. Tapi, dengan kuasa tuhan, suatu hari, Encik Ihsan bertemu dengan Robert, seorang ahli perniagan kenderaan terpakai. Pada waktu itu, Encik Ihsan telah membantu Robert dari dirompak dan pertemuan tidak disangka itu menjadi titik permulaan kehidupan yang baru Encik Ihsan dan Afaf. Robert memberikan mereka anak beranak tempat tinggal dan juga pekerjaan kepada Encik Ihsan.
Daripada Encik Ihsan tidak tahu membaiki kenderaan jadi mahir atas jasa Robert. Daripada Encik Ihsan menjadi mekanik terus dinaikkan pangkatnya menjadi jurujual kereta terpakai. Sikit demi sedikit Robert mengajar Encik Ihsan dalam bidang perniagaan kenderaan terpakai pula, sehinggalah Encik Ihsan berjaya membuka perniagaannya sendiri. Semua itu atas jasa Robert dan sehingga kini hubungan akrab ini terjalin. Robert sudah menjadi sebahagian daripada mereka berdua.
Yasmin mencebik. Menyampah dirinya mendengar kata-kata itu bersama wajah manis yang dipamerkan oleh Afaf.
"Kau ni memang dah tak sudi balik kampung, kan? Bagus sangat ke dekat bandar tu sampai kau tak nak balik sini lagi?" soal Yasmin bernada sinis.
"Mak su, tak baik cakap macam tu. Mesti ada sebab kenapa Afaf tak balik sini," tegur Encik Yunus atas kelancangan Yasmin itu.
Yasmin mendengus lalu dia menyilangkan kedua tangannya ke dada.
"Maaf sebab saya dah lama tak balik sini. Bukan tak sudi, tapi saya sibuk."
"Sibuk apa? Seingat aku, kau dah tak balik sini sejak umur kau 15 tahun lagi. Umur 15 tahun tu kamu sibukkan apa je sampai tak boleh balik sini?"
"Saya dulu dekat sekolah aktif, Nek Cu. Kebetulan bila abah nak balik sini banyak pula program sekolah yang perlu saya join. Lagi dengan kerja saya lagi pada waktu tu, sebab tu saya tak boleh balik sini."
"Alah, alasan je tu. Eliz tu lagilah, belajar doktor lagi, boleh je selalu balik sini. Kamu memang sengaja cari alasan, kan?"
Afaf mengempal kedua tangannya dengan kuat. Panas hatinya mendengar kata-kata Yasmin itu. Sikit-sikit puji cucu saudara kesayangannya. Naik menyampah Afaf mendengarnya. Namun, Afaf perlu bersabar, walaupun hatinya memaki-hamun Yasmin tapi wajahnya sentiasa menyimpulkan senyuman.
"Kejap... kamu kata apa tadi? Kau kerja? Kerja apa yang kau buat masa umur 15 tahun tu?" soal Yasmin hairan.
"Model," jawab Afaf pendek.
"Apa?! Model?!" Terbeliak mata Yasmin mendengar jawapan Afaf itu.
Tuan Haji Yaaqub terus mendengus mendengar pekerjaan yang Afaf lakukan sejak berumur 15 tahun lagi. Menyeringai wajahnya memandang Afaf.
Ya, pada umur 15 tahun, Afaf telah menjadi model untuk sebuah jenama pakaian kanak-kanak dan remaja. Tidak pernah terlintas difikirannya pada waktu itu untuk menjadi seorang model, tapi dia telah ditawarkan pekerjaan itu sewaktu dia sedang menemani Encik Ihsan bekerja. Pada waktu itu, Encik Ihsan baru berjinak-jinak dalam dunia perniagaan kenderaan terpakai. Salah seorang pelangan mereka yang merupakan ajen untuk agensi permodelan tertarik dengan kecantikan dan bentuk badan yang dimiliki oleh Afaf. Jadi, dia telah menawarkan pekerjaan itu kepada Afaf melalui Encik Ihsan. Pada awalnya berat untuk Encik Ihsan membenarkan Afaf menyertai dunia peragaan, tapi Afaf berkeras untuk menerima tawaran itu. Katanya, dia ingin membantu Encik Ihsan meringankan bebannya. Akhirnya Encik Ihsan mengizinkan dengan syarat Afaf tidak boleh mengabaikan pelajarannya, dan Alhamdulillah, Afaf berjaya dalam bidang diceburi serta pelajarannya cemerlang.
"Kecik-kecik dah kerja model? Dasar budak tak ada maruah...ops.." Terus ditekup mulutnya. Sempat Yasmin mengerling di sebelahnya untuk melihat reaksi Tuan Haji Yaaqub.
"Huh! Model! Pantang keturunan aku bekerja tak senonoh macam tu, lagi-lagi pada umur yang tidak sepatutnya," herdik Tuan Haji Yaaqub. Afaf tidak melawan, dia hanya menekur di lantai sahaja.
"Kan long? Nek Cu tak tahulah apa yang abah kau fikirkan, izinkan kau kerja pada umur macam tu. Dah tu model pula tu. Pekerjaan yang tak senonoh." Yasmin membakar lagi bahang kepanasan.
Mengigil-gigil Afaf menahan kemarahan.
"Abah tak bersalah pun dalam hal ni. Jangan nak babitkan dia. Abah tak bagi pun saya kerja masa tu, tapi saya yang berkeras. Niat saya waktu tu hanya nak bantu abah je. Lagipun kerja saya tu langsung tak menjejaskan pelajaran saya. Saya tahu bahagikan masa saya. Lagi kerja sebagai model bukan pekerjaan tak senonoh. Setiap job yang saya akan ambil saya akan periksa dulu, dan abah adalah orang yang memastikan setiap job yang saya terima dalam piawaiannya. Jika abah tak izinkan saya untuk bekerjasama dengan mereka yang menawarkan kerja, saya pun takkan buat. Saya tahu batas saya, dan saya masih jaga tu semua," jelas Afaf agar mereka semua tidak memandang buruk terus terhadap pekerjaannya yang satu itu.
Yasmin mencebik. "Hmmm... dah kata kalau model apa yang tak senonohnya? Tayang badan sana sini. Tu ha, tengok je cara pakaian kamu tu. Sakit mata aku tengok terjojol sana sini. Abah kamu tak ada tegur ke cara pemakaian kamu? Tengok macam Eliz tu, sopan je pakai. Bukan setakat sopan, berbudi bahasa, belajar pandai, malah bakal jadi doktor tu."
Melambung-lambung lagi pujian diberikan kepada Eliza. Afaf hanya mengetapkan bibirnya.
"Kamu berdua tu macam langit dengan bumi, eh... bukan, bukan. Macam marikh dengan pluto." Sambung Yasmin lagi dengan peribahasa yang baru diciptanya.
Afaf hanya merenung sahaja Yasmin dihadapannya. Ikutkan hatinya ingin diganyang sahaja nenek saudaranya itu, namun bila memikirkan didepannya sekarang adalah orang lebih tua darinya, dia tahankan sahaja perasaannya itu.
'Dasar anak dara tua! Patutlah tak ada orang nakkan kau, mulut celupar! puih!' getus hati kecil Afaf geram.
"Sudahlah tu Mak Su. Afaf baru je balik, tak mau lah cakap macam tu. Lagipun hari ni kan hari baik, tak payahlah kita cakap macam ni." Puan Shima cuba meredakan keadaan.
"Lagipun, Shima tengok pakaian Afaf okey je. Biasalah tu fashion budak muda sekarang. Zaman kita dulu pun ada fashionnya juga."
"Huh! Aku cukup tak berkenan cara pemakaian macam tu. Macam pelacur!"
"Ayah!"
Terbeliak Puan Shima dan Encik Yunus mendengar cemuhan yang diberikan Tuan Haji Yaaqub.
"Kamu berdua nak ke tunjukkan pada orang kampung nanti dengan pakaian budak ni macam ni? Dengan kariah masjid? Kamu nak ke? Malu aku bila tengok cucu aku pakai macam ni."
Yasmin hanya menyumbingkan bibirnya mendengar kata-kata Tuan Haji Yaaqub.
"Tak apa yah. Nanti afaf salin baju. Afaf boleh je pakai baju saya, tak pun baju Eliz," tutur Puan Shima sambil memandang Afaf.
"Tak apa, Mak Long. Saya ada bawa baju kurung, nanti saya ganti pakaian saya. Maaf kalau pakaian saya menyebabkan atok dapat malu nanti."
Puan Shima merasa lega mendengar kata-kata Afaf itu.
"Nanti kamu tidurlah sini. Dah lama kamu tak tidur sini, kan?" pelawa Encik Yunus.
Terbeliak mata Yasmin mendengar ajakan itu.
"Eh, tak boleh." Terus Yasmin memotong kata-kata itu.
Encik Yunus dan Puan Shima hanya saling berpandangan. Kenapa tidak boleh? fikir mereka berdua.
"Mana ada bilik kosong lagi. Semua bilik dah penuh," ujar Yasmin lagi memberikan alasan.
"Afaf boleh satu bilik dengan Harlina. Lina mesti tak ada masalah, entah-entah suka lagi," sampuk Emir yang dari tadi hanya menjadi pemerhati.
"Ha, betul kata Emir tu," sokong Puan Shima pula.
"Eh, bilik Lina tu bilik tetamu. Dah tu bilik tu kecil je, mesti Lina tak selesa nanti."
Masing-masing terus bungkam mendengar alasan yang diberikan Yasmin.
"Tak apalah, saya dah ada tempat tidur saya sendiri," ujar Afaf. Bukan Afaf tidak tahu memang Yasmin tidak sudi menumpangkan dirinya di dalam rumah banglo itu. Bagi Yasmin, Afaf tidak layak tinggal di situ.
"Kamu nak tinggal dekat mana? Takkan rumah lama kamu tu? Rumah tu dah lama tak di dudukkan. Mesti kotor. Lagi rumah tu kan jauh dekat pendalaman tu, berani ke kamu nak tidur sana seorang diri?" soal Puan Shima risau.
"Alah, Shima. Biarlah dia nak tidur sana. Tu kan rumah busuk dia juga. Apa tak berani nak tinggal sana, dulu berani je," celah Yasmin.
"Yelah, afaf kan perempuan. Rumah tu pula jauh dari jiran. Kiri kanan semua kebun."
Rumah yang pernah diduduki oleh Afaf sekeluarga waktu arwah ibunya masih hidup. Rumah kampung dan rumah itu dibina di dalam kebun Tuan Haji Yaaqub yang jauh dari rumah-rumah orang kampung yang lain. Waktu siang atau malam keadaan sekeliling rumahnya itu sama sahaja, sunyi. Hanya bunyi unggas sahaja yang menemani mereka.
"Saya dah booking hotel pun. Nek Cu tak payah risaulah. Saya sedar diri saya siapa untuk tinggal bersama dekat rumah banglo ni," kata Afaf dengan sindiran sekali.
Yasmin tersenyum sinis dan wajahnya kelihatan puas dapat mengenakan Afaf. Afaf pula hanya merenung Yasmin dengan renungan yang tajam. Benci! Ya, dia bencikan wanita dihadapannya saat ini.
AFAF duduk di kerusi batu yang berada di luar rumah itu. Hatinya panas mengenangkan apa yang dilakukan oleh Yasmin tadi. Untuk menyejukkan hatinya, dia mendail nombor telefon seseorang lalu telefon itu dilekapkan ke telinga. Hanya beberapa detik, panggilannya dijawab.
"Hello, Assalamualaikum my friend. How are you? Kau dah sampai kampung?" tanya suara di dalam corong telefon.
"Waalaikumusalam. I'm so hot today," balas Afaf dengan suara bengangnya.
"Why?"
"Panaslah apa lagi. Panas dengan mulut puaka tu."
"Kau ni apasal? Cuba cerita pada aku," pujuk Azlin, sahabat baiknya.
"Nek Cu aku tulah, aku ingatkan makin tua berubah. Rupanya tak? Makin puaka mulut dia."
"Kau sabar jelah. Kau sendiri kata Nek Cu kau tu anak dara tua."
"So, apa kene mengena anak dara tua dengan mulut puaka?"
"Yalah, dia tak ada tempat bermanja dan mendengar semua cerita dia. Jadi, dia pendam je. Tu yang bila dia jumpa orang, dia luahkan tak ada tapis-tapis."
"Eh, merepeklah apa kau cakap ni. Aku tengok anak dara tua yang lain tak macam tu pun. Macam mak su kau, tak ada pun cakap macam tu. Dia tu memang dari dulu lagi macam tu. Mulut macam sial." Afaf melepaskan apa yang terbuku di hatinya.
"Eh, mak usu aku lain. Dia taklah adartu sampai ke tua. Sekurang-kurangnya dia kahwin juga sekarang ni walaupun lambat. Dapat pula anak tiri macam kau. Untung mak usu aku."
Afaf mendengus. Mak usu Azlin merupakan ibu tiri Afaf. Afaf mengenali Azlin pada umur mereka berdua 17 tahun. Pada waktu itu, mereka berdua bersama-sama memperagakan pakaian untuk satu jenama terkenal dan hubungan mereka terus menjadi rapat. Melalui dari situ juga, Afaf bertemu dengan Puan Sofina yang merupakan Mak usu dan pengurus Azlin. Afaf tertarik dengan kelembutan yang dipamerkan oleh Puan Sofina dan dia telah memperkenalkan Puan Sofina kepada abahnya. Selepas perkenalan itu, Encik Ihsan yang sudah lama menduda, akhirnya menamatkan zaman dudanya atas permintaan Afaf sendiri.
"Nasib baik mama tak macam tu. Kalau tak, tak ingin aku bermama tirikan mak usu kau tu."
Azlin mengekek dihujung talian. Geli hatinya mendengar kata-kata Afaf itu.
"Jadi, cuma Nek Cu kau jelah macam tu? Yang lain okey, kan? Dia orang layan kau baik, kan?"
"Tak ada sama je. Aku ni ibarat tetamu tak diundang tau. Dengan atok aku sama je perangainya."
"Maksud kau?"
"Dia marah-marah aku, wei. Punyalah lama aku tak balik, ingatkan buatlah pulut kuning ke apa, tapi lagi aku kena marah adalah."
"Dia marah dengan kau pasal apa?" soal Azlin ingin tahu.
"Pasal pakaian aku," jawab Afaf geram.
"Kau pakai apa balik sana?"
"Biasalah, baju t-shirt aku dengan seluar jeans aku."
"Wait, kau pakai apa balik sana? T-shirt dan Jeans?" soal Azlin agak terkejut.
"Ha, yalah. Takkan aku bogel pula."
Azlin menepuk dahi.
"Aku tahu semua t-shirt kau tu jenis baby tee. Jeans kau pula memang ketat nak matilah." Azlin menarik nafas dalam-dalam sebelum menyambung lagi kata-katanya, "Yang kau pergi pakai macam tu dah kenapa?! Memang terkejut beruklah orang tua tu. Kau tak boleh ke pakai elok sikit?"
"Kau nak suruh aku pakai apa? Jubah macam tu?"
"Ya, kalau boleh."
"Eh, memang taklah. Aku tak nak jadi hipokritlah. Ni diri aku dan aku akan tunjukkan diri aku yang sebenar."
"Yes, I know. Tapi tengok tempatlah juga. Yang kau pergi tu kampung bukan bandar."
"Peduli apa aku," ujar Afaf selamba.
"Lantak kaulah. Malas aku nak nasihat kau." Azlin mengalah dengan perangai degil sahabatnya itu.
"Patut kau ambil hati dia orang supaya suka dekat kau, bukan makin benci pada kau."
Afaf tidak mengendahkan nasihat Azlin.
"Ni berapa lama kau dekat sana?" soal Azlin apabila tidak mendengar apa-apa balasan daripada Afaf.
"Entahlah. Separuh hari pun tak tahan dekat sini, lagi nak berlama-lama. No way."
"Kau duduklah sana lama sikit. Dah lama kau tak balik sana kan?"
"Tengoklah macam mana. Kalau nenek puaka tu tak kacau hal hidup aku bolehlah berlama dekat sini."
"Sedap kata orang puaka. Mulut sendiri yang puaka tak perasan ke?" tegur seseorang dari belakang.
Dengan pantas Afaf menoleh untuk melihat siapakah gerangan yang menyampuk itu. Dilihat Eijaz sedang berdiri sambil berpeluk tubuh.
"Azlin, nanti aku call balik. Aku ada hal. Okey, bye." Terus panggilan tadi ditamatkan lalu terus dirinya berdiri menghadap Eijaz.
Mereka berdua saling berpandangan. Pandangan yang penuh kebencian.
Share this novel