Sementelah Islam itu syumul, sempurna. Maka, pelbagai cara boleh dipraktikkan dalam medan ini. Dan bagi Shanon, ini adalah cara untuknya lebih mudah mendekati mad’unya.
Ternyata. Sikap itu jelas disenangi oleh kesemua anak usrahnya. Walaupun kehadiran usrah tidak pernah penuh, namun Amani tahu, ahli-ahli usrahnya yang lain sebenarnya sangat menyenangi sikap naqibah mereka.
Cuma mungkin jiwa mereka masih belum tetap dalam dunia dakwah dan tarbiah ini. Bukan salah Kak Shanon, bukan juga salah mereka.
Allah sebut dalam Surah Al-Qasas, ayat ke-56, hidayah itu milik Allah dan Allah jua-lah yang berkuasa untuk menggerakkan hati-hati mereka ke jalan ini.
Amani sendiri pernah mengalami situasi seperti mereka. Dibelenggu kefuturan dalam diri. Tidak menghadiri usrah, menyalahkan keendahan naqibah dan bermacam lagi alasan yang digunakannya.
Namun, setelah Allah menyentuh jiwa itu dengan suatu peristiwa, Amani mulai sedar.
Hidupnya seakan tidak lengkap, tidak tenang, tidak gembira dalam tawa – tanpa usrah, tanpa tarbiah, tanpa dakwah.
Kesedihan Amani untuk melepaskan Shanon dalam meneruskan program praktikalnya di Johor Bahru pada semester depan tidak dapat disembunyikan lagi.
Amani menangis dalam hati. Risau jika air matanya bakal menyinggah di pipi Shanon pula. Shanon tidak putus-putus memujuk anak-anak usrahnya agar berlapang dada untuk menerima naqibah yang baru.
Amani senyum. Dalam tangis. Dalam hati. Harapannya agar senyuman itu bakal menenangkan hati wanita yang dikaguminya itu. Sungguh tidak adil jika ketenangan yang sering diterima oleh dirinya daripada Shanon, dibalas dengan kemurungan dan kegelisahan jiwa.
Amani tekad, walaupun ini mungkin yang terakhir, Amani mencuba juga, untuk terus tersenyum, seperti senyuman idolanya: Shanon Adelia.
Share this novel