Yahya terbunuh dalam kemalangan ketika dalam perjalanan ke tempat kerja. Pandangan Jamilah kelam, dia rebah tanpa meletakkan gagang telefon di tempatnya. Mujurlah jeritannya di dengar Pak Andak yang sedang mengayuh basikal melintasi halaman rumah Jamilah.
Pak Andak segera memanggil jiran-jiran wanita untuk membantu Jamilah. Jamilah hanya tersedar apabila jenazah Yahya sampai selepas Asar di rumahnya.
“Lah, kalau nak tengok muka Yahya buat kali terakhir, tengoklah. Tok dah buka kapan di mukanya,” ujar Tok Imam.
Jamilah merenung mayat Yahya yang sudah dimandi dan dikapankan oleh pihak hospital. Bagai tidak terdaya Jamilah hendak menatap wajah suami tercinta. Terkilan hatinya kerana Yahya tidak sempat menjamah nasi lemak kegemarannya pagi tadi.
Walaupun sudah 2 minggu berlalu, Jamilah masih menangisi kematian Yahya. Adik-beradik dan sanak saudara sudah pulang ke rumah masing seorang demi seorang.
Seperti malam-malam yang lalu, Jamilah gagal melelapkan matanya. Kenangan dan ingatannya hanya kepada Yahya. Setiap kali rindunya memuncak dia akan membaca surah al-Fatihah dan al-Ikhlas, lalu dihadiahkan kepada allahyarham. Hanya itulah ubat yang mampu menenangkan jiwanya.
Kalau dia tidur pun, hanya tidur-tidur ayam. Sering dia terjaga di tengah malam dan pasti tidak mampu terlena lagi hingga ke pagi. Malam itu Jamilah gagal melelapkan matanya lagi. Walaupun kokok ayam yang pertama sudah kedengaran, matanya tidak mengantuk sedikit pun.
Tiba-tiba telinganya menangkap bunyi tapak kaki menapak di lantai rumahnya. Jamilah terkejut. Tak mungkin anak sulungnya Hassan bangun tengah-tengah malam. Hassan tak pernah bangun tengah malam sebelum ini.
Jamilah dapat mendengar bunyi tapak kaki yang mundar mandir ke hulu ke hilir. Tetapi kedengarannya seperti bukan berjalan, tetapi melompat setapak-setapak.
“Kucing agaknya,” bisik hati Jamilah. Dia membiarkan bunyi tapak kaki itu menghilang.
Share this novel