Bab 75 : Isteri Solehah

Romance Series 403934

"Teacher, siapa abang yang selalu teman teacher tu?" Haidar, murid tahun satu di sekolah tempat Anis mengajar itu menyoal sambil matanya menatap Idris yang berada di luar kelas.

"Apalah soalan awak ni Haidar. Mestilah tu suami teacher. Kan teacher?" Jawab Khairani bagi pihak Anis.

"Pandai lah Khairani. Mana Khairani tahu?" Anis melayan anak-anak itu berbual sambil dia menanda buku latihan yang dihantar oleh murid-muridnya itu.

"Mama saya cakap, lelaki dengan perempuan tak boleh sentuh-sentuh. Kecuali adik-beradik, ayah dengan anak, atau suami isteri. Abang tu kan tak tua lagi. Mestilah dia bukan ayah teacher." Balas Khairani.

"Tapi kenapa teka suami? Kot lah tu adik teacher ke, abang teacher ke?" Soal Anis lagi.

"Mana ada adik atau abang baik macam tu. Abang saya tu dekat tahun lima, selalu buli je saya. Kalau baik-baik ni mestilah suami. Macam ayah dengan mama saya. Selalu baik-baik je. Ayah tak pernah buli mama. Ayah selalu jaga mama. Saya kalau dah besar nanti pun nak cari suami macam ayah." Khairani bercerita sambil tersenyum.

Tanpa sedar, Anis juga turut menguntum senyum. Ya, Idris juga sentiasa baik-baik pada dia. Menjaga dia sebaik ayah. Lebih baik dari Abang Anuar, Anas dan Anif yang suka betul mengusik sehingga dia marah.

"Khairani, nanti awak dah besar, awak nak jadi apa?" Lebih baik sekiranya topik mengenai suami isteri itu dialih sebelum dia lebih insaf mendengarkan ceramah percuma dari Khairani.

"Nak jadi isteri solehah! Macam mama saya." Dengan pantas dan yakinnya Khairani menjawab.

Seluruh kelas terdiam. Krik krik krik. Nampaknya, Khairani kembali ke topik asal.

"Errr, tak nak kerja ke?" Tanya Anis.

"Kalau suami saya sokong, nanti saya kerja lah. Tapi ayah saya cakap, suami yang sayangkan isteri dia akan tanya apa isteri dia nak dan sokong isteri dia. Suami teacher sokong teacher kerja kan? Dia baik lah kalau macam tu kan teacher. Dah lah handsome." Sempat Khairani mengerling ke arah Idris yang sedang duduk di kerusi yang disediakan di kaki lima deretan kelas.

"Apalah awak ni Khairani, mestilah suami teacher baik. Teacher pun kan baik. Selalu bagi kita pinjam pensel, pemadam, sharpener dengan gam. Kadang-kadang pensel warna pun teacher bagi guna kalau kita tak bawak." Tempelak Haidar.

Khairani terangguk-angguk, diikuti oleh Dayana dan Jelita.

"Betul, betul, betul. Teacher memang baik, kan teacher." Puji Laiqah pula.

"Alhamdulillah, terima kasih sebab puji teacher baik. Nanti doakan lah teacher banyak-banyak supaya murah rezeki teacher. Nanti teacher boleh belanja banyak-banyak alat tulis lagi."

Kringgggggggg!

"Masa kita dah habis. Kejap lagi Matematik pulak kan? Nanti kita jumpa esok. Shakir, tolong simpankan bakul buku latihan ni dekat rak belakang ya."

Anis berdiri dibantu oleh tongkatnya. Buku teks, fail penilaian Pentaksiran Berasaskan Bilik Darjah (PBD) dan beg penselnya dibawa oleh anak-anak murid yang cergas dan lincah itu seorang satu barang. Sebaik sahaja tiba di pintu kelas, Idris sudah menerpa mendapatkan dia.

Kesemua barangan tadi bertukar tangan. Begitu pun, masih Idris mampu membantu memapah dia ke bilik rehat yang disediakan khas untuk Anis oleh pihak pentadbir supaya dia tidak perlu menaiki tangga ke bilik guru untuk berehat dalam keadaan kakinya masih belum sembuh sepenuhnya.

"Maaf lah Ris, hari ni mak masak nasi ayam. Anis ada beritahu yang dia teringin sangat nak makan dua tiga hari lepas. Mungkin esok Ris boleh masak Ayam Kari Kering tu." Jelas kelihatan riak bersalah pada wajah Fauziah apabila dia melihat ayam yang sudah direndam untuk menyahbeku sekaligus memudahkan proses memasak.

Anis berpaling memandang Idris. Alamak, Ayam Kari Kering masakan Idris. Sedapnya! Air liur ditelan pantas, menyembunyikan perasaan terliurnya pada hidangan tersebut sejak semalam.

"Tak apa mak. Tak apa. Ris boleh masakkan esok. Jangan risau lah mak. Hal kecik je. Terima kasih banyak-banyak sebab masakkan nasi ayam ni. Ris tak apa je makan apa-apa. Anis dengan mak dan ayah lagi penting." Balas Idris dengan nada ceria yang tentunya tidak dibuat-buat.

Kedengaran begitu tulus dan ikhlas pengakuannya tadi. Cuma, kenapa ketika memohon maaf dia tidak kedengaran seikhlas itu, ya? Atau, hanya Anis yang tidak dapat menemukan keikhlasan itu dek perasaan marahnya yang lebih hebat mengatasi waras akalnya?

Nasi disendukkan ke dalam pinggan, seterusnya diletakkan di hadapan Anis. Baunya yang harum semerbak itu tidak dapat membuka selera Anis yang fikirannya sudah melekat pada Ayam Kari Kering itu. Kedua tangannya tanpa sedar sedang digosok bersama, mencuba untuk menghilangkan perasaan teringin yang sedang membuak-buak.

"Anis?"

"Hmmmm, kenapa mak?"

"Makan. Tu, Idris dah letak semua dah."

"Ohhh, okey." Jari jemarinya mula mencubit sedikit ayam, sebelum disuap ke mulut bersama nasi.

Nasi ayam yang disuap ke mulut, tapi terasa seperti Ayam Kari Kering yang sedang dikunyahnya. Lambatnya esok tiba!

Usai Isyak, Anis terus sahaja tertidur. Seperti biasa, Idris melakukan rutin urutannya pada kaki Anis yang keadaannya semakin membaik. Sambil tangannya meratakan minyak pada betis Anis, sesekali matanya mengerling ke arah Anis yang sedang lena tidur. Jujurnya, dia rindukan masa-masa mereka berdua mampu bergelar ketawa bersama.

Untuk situasi ini, walaupun entah sampai bila dia harus bertahan, dia akan mencuba bertahan. Apatah lagi kejadian yang menimpa Anis ini juga berpunca darinya. Memang patut Anis masih menyimpan dendam padanya.

"Jangan lama-lama sangat marah dan merajuk dengan abang ya. Abang rindu nak cakap dengan sayang macam waktu kita berbaik dulu-dulu. Rindu nak gelak sama-sama." Lengan Anis diusap perlahan.

"Hey Weena, mana duit aku?" Azlan terus sahaja duduk tanpa menunggu Paweena mempelawa.

Susah betul untuk dia hubungi Paweena sekarang. Apatah lagi dengan keadaan hubungannya dia dan Dalina berantakan, bila-bila masa sahaja keluarga Dalina boleh menyingkirkan dia sebagai salah seorang pengurus syarikat pengiklanan yang dimiliki oleh keluarga Dalina.

"Kan aku dah cakap, hal aku dengan Idris tak selesai lagi. Mana nak dapat duitnya?" Jawab Paweena dengan riak wajah masam mencuka.

"Terima jelah hakikat Anis dengan Idris tu takkan pernah berpisah. Kita dua dah buang banyak masa, dan duit. Aku perlukan duit aku semula Weena. Aku dengan isteri aku ni bila-bila masa je boleh berpisah.

Kalau aku dengan dia berpisah, segala kesenangan yang aku ada ni akan ditarik semula. Aku kena siapkan back up plan untuk diri aku." Panjang lebar Azlan bercerita.

"Kau je yang rasa macam tu. Sebab kau tak sanggup nak tunggu. Kalau aku, aku yakin mereka dah bergaduh teruk. Tunggu masa je." Balas Paweena sambil matanya melilau memerhatikan pintu masuk pusat membeli belah itu dari restoran yang didudukinya sekarang.

"Kau tunggu siapa?" Azlan yang sedar akan perbuatan itu turut melilaukan pandangan matanya kearah yang dipandang oleh Paweena.

"Adalah. Kau jangan lah sibuk, kau pergi je dulu. Nanti aku ada duit aku pulang lah balik duit kau tu, separuh. Tapi kalau Anis dengan Idris berpisah, duit tu kira hangus. Boleh? Untung rugi kena tanggung sama-sama. Mana boleh aku yang buat semua tapi kau dapat hasilnya jugak."

Azlan menggeleng kepalanya, nampaknya harapan untuk mendapatkan semula duitnya itu hanya tinggal harapan. Belum tentu dapat kalau begini gayanya.

Enjoy reading! :) Love, N

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience