Rate

Episod 2 - Kematian

Romance Series 6032

10 JAM SEBELUMNYA…
- - - - - - - - - - - - - - - - -

Adakah ini memang salah aku?

Adakah aku punca dia melarikan diri?

Adakah aku punca atas segala musibah ini?

Haji Ghazali duduk antara dua sujud, sambil terketar-ketar mengangkat tangan untuk berdoa. Kali ini dia berdoa dengan sepenuh hati.

Menyerahkan sepenuh jiwa dan raganya kepada Tuhan, agar dia memakbulkan doanya dengan segera. Dia mahukan doa itu terus diangkat ke langit. Haji Ghazali menangis teresak-esak.

Di pagi subuh itu Haji Ghazali betul-betul mahu bertaubat atas segala percakapannya kepada cucu sulungnya, Ayra. Dia tak sedar segala apa yang dia sebut itu, telah menyakitkan hati Ayra dan menghalau Ayra pergi dari sini.

Rosita atau dikenali sebagai Ita, anak perempuan sulungnya telah pergi ke balai polis awal-awal tadi lagi. Bersama Mastura di sisinya, mereka sama-sama ingin melaporkan kehilangan cucu sulungnya. Dah lebih lima jam Ayra tak balik juga ke rumah. Ayra lari ke mana?

Mungkin lari balik rumah kut… Haji Ghazali cuba menyedapkan hatinya sendiri. Mungkin Ayra tak pergi jauh mana.

Tiba-tiba telefonnya berbunyi. Haji Ghazali melekapkan telefon tersebut pada telinga.

“Assalamualaikum, hah macam mana? Dah jumpa Ayra?” soalnya bertalu-talu.

“Takde bah… dekat rumah pun takde. Ita tak tahu nak cari kat mana lagi.” Suara Rosita memecah menjadi tangisan lagi.

“Ya Allah… mana pergi cucu aku ni? Hah, takpe lah macam tu. Abah nak bersiap jugak ni. Nak pergi cari Ayra…” kata Haji Ghazali lalu menutup panggilan tersebut dan bersiap.

Semasa Ghazali sedang bersiap-siap itu, isterinya bertanya ke mana dia nak pergi. Selepas memberi jawapan, isterinya mengangguk.

“Abah nak pergi cari Ayra ke?” soal anak keduanya, angah.

“Iya… katanya tak jumpa lagi. Puas cari merata tempat, masih tak dapat cari katanya.”

“Angah ikut sekali lah…”

“Dah siap ke tu?”

“Hehe, kejap nak mandi.” Angah tersengih.

“Cepat. Abah tunggu… tapi nanti anak awak terjaga, siapa nak memujuk nanti?”

“Alah, abang kakak dia ada… okey je tu.” kata angah dengan bersahaja. Faham sangat dengan perangai anak bongsunya yang asyik nak berkepit ke mana-mana ayahnya pergi.

X X X

BALAI POLIS DAERAH XXXXX
- - - - - - - - - - - - - - - - - - - -

“Kami cuba apa yang termampu dulu ya puan. Insya Allah kalau hari pertama hilang, biasanya boleh kesan lagi dekat area area sini.” kata polis perempuan itu sambil menaip laporan kehilangan Ayra.

Rosita menghembus hingusnya yang mengalir keluar. Dah berbakul-bakul tisu dihabiskannya kerana terlalu rindu akan anaknya. Mastura pula berkali-kali memujuknya untuk bersabar. Kalau terus bersedih pun tiada guna, pencarian masih mampu diteruskan.

Dia menepuk lembut paha kanan Rosita, sayang betul dengan kakak iparnya itu. Dulu Mastura juga pernah kehilangan anak kecilnya di sebuah Zoo, kemudian bersyukur yang teramat kerana Rosita yang berjaya jumpa anaknya di kawasan rehat. Oleh sebab itulah Mastura rasa kasihan kalau tak membantunya.

“Kak, sabar ya…” ujar Mastura.

Tiba-tiba pintu balai polis itu dikuak luas, seorang lelaki tua masuk ke dalam dalam keadaan yang tercungap-cungap. Bila nampak sahaja Rosita sedang menangis, dia terus menerpanya.

“Abah mintak maaf semalam tu Ita… memang salah abah. Memang dia lari sebab abah…” kata Ghazali sambil menggosok belakang Rosita.

“Se…sekarang bukan salah siapa-siapa abah. Tak perlu rasa bersalah sebab tu lah. Sekarang ni kita cari Ayra… sampai jumpa.” kata Rosita.

“Ada tak mana-mana tempat yang Ayra suka pergi? Tempat yang dia rasa tenang?” Angah tiba-tiba mencelah dari belakang.

Rosita menggeleng, dia tak tahu nak beri jawapan apa dalam keadaan sekarang. Fikirannya terlalu sibuk dan bercelaru. Kecamuk yang dia rasa, hanya Tuhan yang faham keadaannya.

Tempat yang… Ayra suka pergi?

“Kalau tak cuba, tak tahu…” Angah cuba memberikan harapan untuk Rosita.

“Selalu dia duduk rumah je… mana ada pergi mana-mana. Kalau keluar pun…” Tiba-tiba Rosita terhenti.

Dia sedang mengimbas semula mana tempat yang biasa Ayra lawati. Ayra jarang keluar dari rumah, sampaikan dia sendiri tak tahu ke mana Ayra suka pergi. Kalau ajak berjalan, barulah dia mahu keluar. Kalau nak keluar seorang diri, memang tidaklah…

“Cuba ingat balik long… kalau dapat ingat sikit pun okey lah.” ujar angah.

Jarum jam dah menunjukkan 4.30 petang. Dari pagi sampai sekarang, dia tak jamah apa-apa makanan. Nak minum pun tak lalu. Anaknya tak pulang, macam mana lah dekat luar sana agaknya? Ayra pun tak makan lagi tu…

“Kak, tengok ni kak…”

Mastura tiba-tiba menghulurkan telefon Xiaomi-nya kepada Rosita. Sejurus menerima telefon tersebut, mata Rosita terbeliak luas.

“Allahuakbar… anak aku!!”

X X X

KL, 5.30 PETANG
- - - - - - - - - - -

Adakah ini takdir yang tertulis untuk aku?

Adakah ini penamat bagi cinta aku?

Adakah ini pengakhiran aku?

Mungkin hari ini ialah hari yang paling malang buatku. Hari yang penuh dengan pendustaan. Apa sebenarnya dia mahukan daripada aku?

Wang? Harta? Tubuh badan aku?
Semua aku dah bagi. Tak puas lagi ke?

Si gadis itu memegang pagar besi yang berkilat itu. Lalu dia menjenguk ke bawah. Ada ramai orang dekat bawah sedang bermesra dengan pasangan masing-masing. Begitu cemburunya melihat mereka begitu.

Dahulu… aku pun begitu.
Tapi sekarang tidak lagi.

Satu persatu pasangan berjalan dengan memegang tangan di bawah. Ada yang bergurau senda, ada yang sedang ber-selfie, ada yang sedang meluahkan kata-kata cinta.

Tapi dia? Hanya memperoleh DUSTA.

Kalau lah boleh memusingkan waktu…
Dah lama dia lakukan.

Baik aku mati je…

Maka si gadis itu pun merapatkan dadanya lagi pada pagar tersebut, dan cuba membongkokkan badannya ke depan. Kalau jatuh kepala dulu, mungkin lebih cepat mati. Taklah sakit sangat…

Tingkat empat. Dah tinggi sangat dah ni.

Kalau boleh naik tinggi lagi, aku sanggup…

Biar cepat mati, biar cepat meninggalkan dunia yang penuh dengan penipuan ini.

“Awak…!!! Awak nak buat apa ni???”

Jerit seorang gadis dari belakangnya.

“Aku dah tak berharga…” kata orang yang ingin menamatkan riwayatnya itu.

“Awak fikir baik-baik awak… kalau awak buat macam ni, bukan satu orang je yang akan sedih. Satu keluarga awak akan sedih, termasuk parents awak, adik-beradik awak…” kata gadis itu panjang lebar, memujuknya untuk tidak terjun daripada tingkat empat bangunan tersebut.

Telinganya bagaikan tuli, seperti tidak mendengar apa-apa pun nasihat daripada mulut gadis tersebut. Bagaikan angin yang berlalu saja.

Dia dah penat dengar nasihat yang sama…
Dah bosan dengan teguran yang sama…

Perlukah aku mendengarnya lagi?

Dengan sepantas kilat, dia mengangkat dirinya dengan sokongan pada pagar besi tersebut, lalu menjatuhkan kepalanya dulu.

Berdesup laju dia hilang dari pandangan si gadis yang ingin menolongnya tadi.

BEDEBUKKKKKK!!

X X X

“AAAAAAAAHHHHHHHHHHHH!!!!!!!!”

“AAAAAHHHHHHHHHH!!!!!!”

“AAAAAAHHHHHHHHHHHHHHHH!!!!”

Satu persatu jeritan bergema ke serata arah bangunan pusat membeli belah tersebut.

Manakan tidak, ada satu bunyi seperti buah durian jatuh ke tanah. Atau mungkin seperti manusia yang jatuh tiba-tiba dari langit.

Yang dari jauh, kian mendekat. Untuk melihat apa yang mereka jeritkan itu? Yang dari tingkat satu, dua, tiga, dan juga empat juga menjenguk ke bawah, curiga dengan apa yang sedang mereka heboh-hebohkan.

Pernahkan mereka lihat manusia mati di hadapan mereka? Mungkin tak pernah. Dan mungkin ini… bakal menjadi ingatan kepada mereka sampai bila-bila.

Bahawa MATI ITU SANGAT DEKAT…

“AYRA!!!!!!”

Rosita menjerit sekuat hati untuk mencari anak perempuannya. Dia dah tak kisah fasal orang-orang di sekeliling yang membeli belah.

Dia harap jeritannya akan sampai pada telinga Ayra. Mana Ayra ni sayang… ibu risau. Kenapa dia rasa langkahnya terlalu berat untuk melangkah ke depan? Kenapa dia rasa sangat memenatkan untuk matanya mencari Ayra?

“CALL AMBULANS SEKARANG!!!!”

Jerit seorang lelaki di hujung sana. Apa yang terjadi dekat sana? Rosita menelan air liurnya yang pekat, dan menuju ke arah kerumunan manusia yang banyak itu.

Dia menyelit ke dalam, cuba memisahkan orang-orang yang sedang melihat ke arah sesuatu di tengah itu.

Mata Rosita membesar apabila ternampak sekujur badan yang dilitupi dengan kain hitam. Cecair merah mengalir keluar dari hujungnya, terus merebak ke serata arah.

“YA ALLAHHHH!!!! AY… AYRA KE TU??”

Ketika Rosita cuba untuk menghampiri mayat tersebut, dia dihalang oleh beberapa orang pengawal.

“TEPI LAHHH!!! ITU ANAK SAYA!!!”

Rosita menjerit sekuat hati. Memukul badan pengawal keselamatan itu banyak kali, namun kudratnya tak kuat untuk merempuh mereka.

Lalu Rosita pun terduduk dan menangis teresak-esak. Dia nampak di bawah kain hitam itu ada baju berwarna kelabu. Mungkin itu baju kurung milik Ayra. Rosita dah mati akal sekarang ini, nafasnya juga jadi pendek, pandangan jadi hitam dan kabur.

Bila-bila masa sahaja dia akan…

Tiba-tiba bahu Rosita disentuh oleh seseorang. Namun Rosita tidak mahu berpaling. Dah tak ada apa yang boleh dia buat melainkan terus meratap kematian Ayra di hadapannya.

“Kenapa buat ibu macam ni Ayra? Ayra tak sayang ibu ke?”

Kali ini badan Rosita pula dipeluk dengan pantas dari belakang. Dengan erat dan hangatnya pelukan tersebut, Rosita tiba-tiba jadi tenang…

“Ibu, Ayra dekat sini… Ayra belum mati lagi.”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience