88

Romance Series 93218

Seusai solat maghrib, Ezmal menarik tangan Sofya supaya duduk di sisinya. Wajah manis isteri kesayangannya itu ditatap dengan penuh rasa cinta. Lama mereka bertatapan sebelum Ezmal mengenggam jari jemari Sofya erat. Senyuman manis terukir di bibirnya.

“Sayang..." Panggil Ezmal lembut.

“Ya Biy." Balas Sofya seraya menatap wajah suaminya dengan senyuman yang mekar di bibir.

Melihatkan senyuman itu membuatkan Ezmal semakin dipanah perasaan cinta. Cinta terhadap wanita yang sudah halal buat dirinya. Rambut panjang Sofya dielus perlahan.

“Sayang ada apa - apa soalan untuk Biy?" Soal Ezmal secara tiba - tiba. Entah mengapa dia merasakan seperti ada sesuatu yang menganggu fikiran isterinya selama ini. Namun Sofya dilihat seperti tidak berani untuk menyuarakan persoalan itu kerana khuatir jika ada di antara mereka yang akan terasa hati kelak.

Soalan Ezmal dibiarkan berlalu sepi tanpa jawapan. Ezmal semakin tidak keruan. Wajah lembut isterinya ditatap sedalam - dalamnya. Namun reaksi Sofya masih tetap sama seperti di tadi. Bibirnya masih jua melakar sebuah senyuman yang cukup menawan.

“Kalau sayang tanya Biy, Biy akan jawab dengan jujur tak?" Soal Sofya menduga. Kali ini senyumannya kelihatan sedikit sinis. Sengaja dia ingin memancing reaksi suaminya.

Ezmal gugup. Namun dia pura - pura berlagak tenang. Tiba - tiba jantungnya berdegup kencang. Namun sedaya upaya dia cuba mengawal situasi itu agar tidak kelihatan janggal di mata Sofya. Akhirnya Ezmal mengangguk perlahan. Bibirnya menguntum senyum.

Melihatkan situasi itu, Sofya tertawa kecil. Akhirnya dia berjaya memerangkap suaminya sendiri. Namun begitu, itu bukanlah niat asalnya. Sofya tidak pernah meletakkan rasa sangsinya terhadap Ezmal. Malah Sofya sudah berjanji kepada dirinya sendiri bahawa dia tidak pernah akan mengungkit sejarah silam Ezmal jika lelaki itu belum bersedia untuk menceritakan segala - galanya kepadanya.

“Kenapa sayang ketawa? Biy serius ni." Soal Ezmal pelik.

Sofya dilihat semakin galak mentertawakan suaminya. Sesekali dia menekan - nekan perutnya yang terasa kejang akibat terlalu
banyak ketawa. Air mata keriangan yang mengalir membasahi pipi segera dikesat laju.

“Chill la Biy. Yang Biy gugup sangat tu kenapa? Dah macam ayam berak kapur je sayang tengok. Sayang gurau ajelah." Balas Sofya bersama sisa tawanya.

“Ishh.. Dia ni kan! Biy serius, dia boleh main - main pulak kan? Tarik telinga tu karang." Omel Ezmal tidak puas hati.

Sofya tertawa lagi. Namun kali ini tawanya hanya bersifat sementara. Setelah keadaan kembali tenang, Sofya lantas mencapai tangan suaminya lalu digenggam penuh erat. Kepalanya dilentokkan di atas bahu Ezmal.

“Biy, sayang tak akan paksa Biy untuk ceritakan segala - galanya kepada sayang. Tapi kalau Biy rasa Biy dah sedia untuk bercerita, sayang sedia mendengar. Sayang letakkan sepenuh kepercayaan sayang kepada Biy dan sayang harap Biy tak akan sia - siakan kepercayaan sayang tu macam tu aje." Ujar Sofya tenang.

Ezmal menghela nafas perlahan. Entah mengapa dia terasa seakan berdosa jika dia terus merahsiakan tentang kisah silamnya kepada Sofya. Apatah lagi wanita di sisinya itu kelihatan begitu tulus menyintai dirinya. Perlahan - lahan Ezmal mengusap kepala Sofya lalu satu ciuman hangat dihadiahkan buat isterinya.

“Biy rasa dah tiba masanya Biy ceritakan segala - galanya kepada sayang. Biy tak nak ada rahsia di antara kita. Lagipun sayang berhak untuk tahu semuanya. Biy minta maaf kalau apa yang bakal Biy ceritakan ini buat sayang terluka. Tapi percayalah semua ini hanyalah kisah silam Biy. Ianya tak membawa apa - apa makna lagi buat Biy." Luah Ezmal perlahan.

Sofya dilihat mengangguk faham. Dia seakan sudah bersedia untuk mendengar segala - galanya. Malah dia juga telah berjanji untuk tidak menjatuhkan sebarang hukuman di atas kesalahan lampau suaminya.

Ezmal menarik nafas panjang sebelum dia memulakan ceritanya. Mukadimah disusun dengan sebaik - baik mungkin. Dari satu bab ke satu bab Ezmal menceritakan tentang kisah hidupnya kepada Sofya. Ada ketika dia dilihat terhenti seketika bagi mencari nafas. Raut wajah Sofya dilihat berubah - ubah. Adakalanya dia kelihatan terkejut dan melopong saat mendengar pengakuan suaminya dan adakalanya dia kelihatan seperti cuba berlagak tenang walhal hatinya tidaklah setenang seperti yang disangkakan. Banyak kejutan yang diterima melalui cerita suaminya itu. Namun Sofya cuba menerimanya dengan hati yang terbuka. Siapa sangka lelaki yang bergelar suaminya kini pernah menyimpan perasaan terhadap teman baiknya sendiri suatu ketika dahulu. Lebih memeritkan apabila Ezmal sendiri akui betapa dia terseksa setelah Aayra dan Harraz mendirikan rumahtangga.

“Jadi Biy menyesal tak sebab tak luahkan perasaan Biy terhadap Aayra lebih awal? Kalau Biy bertindak lebih awal, pasti sekarang ni Aayra dah jadi milik Biy yang sah." Soal Sofya berbaur cemburu.

Raut wajah Sofya yang pada awalnya kelihatan tenang kini sudah mula bertukar keruh. Malah senyuman juga turut hilang dari bibirnya. Ezmal yang menyedari akan hal itu dilihat tersenyum nakal. Lantas tubuh Sofya ditarik ke dalam pelukannya erat.

“Biy tak menyesal pun sayang. Sebab kalau Biy berterus terang dengan Aayra lebih awal, takdelah peluang Biy untuk kenal dengan sayang kan? Rugilah Biy." Pujuk Ezmal sambil tersenyum nakal.

Sofya mencemikkan wajahnya. Jelingan tajam dihadiahkan buat Ezmal. Dia cuba menjarakkan tubuhnya dari pelukan Ezmal. Namun semakin dia mencuba, semakin erat Ezmal mengunci tubuhnya ke dalam dakapan lelaki itu.

“Sayang, trust me. Biy percaya setiap pertemuan, jodoh, ajal dan maut itu semuanya adalah ketentuan dari Allah. Setiap dari kita telah diciptakan untuk berpasang - pasangan. Malah jodoh kita pun sudah ditentukan olehNya sejak dari awal lagi. Jadi sudah tertulis yang Aayra telah diciptakan untuk Harraz dan Biy diciptakan untuk sayang. Then kenapa kita perlu mempersoalkannya lagi?" Pujuk Ezmal lagi.

Rajuk Sofya kelihatan sedikit terpujuk sebaik mendengar kata - kata suaminya itu. Tidak semena - mena bibirnya menguntum senyum.

“Pandai juga suami sayang ni memujuk rupanya. Ingatkan takde perasaan." Usik Sofya nakal.

Buntang mata Ezmal mendengarkan usikan isterinya. Lalu tanpa membuang masa, tubuh Sofya digeletek sehingga wanita itu menjerit kuat. Tawa mereka bersatu sebelum tubuh Sofya ditarik semula ke dalam pelukannya. Ezmal memeluk pinggang Sofya dari arah belakang lalu kepalanya ditongkatkan di bahu Sofya. Suasana menjadi sepi seketika.

“Sayang, Biy tahu Biy bukanlah lelaki yang romantis seperti lelaki - lelaki di luar sana. Tapi Biy berjanji selagi hayat Biy dikandung badan, Biy tak kan pernah mensia - siakan sayang. Biy janji yang Biy akan jaga dan bahagiakan sayang sehingga akhir hayat Biy. Biy harap sayang akan terus setia bersama Biy sehingga ke akhirnya." Ujar Ezmal separuh berbisik.

Sofya agak terbuai saat mendengar luahan hati suaminya. Perlahan - lahan dia mengalihkan tubuhnya menghadap Ezmal. Tangannya diangkat lalu diletakkan di wajah Ezmal. Kini pandangan mereka bertemu antara satu sama lain.

“Biy, jangan berjanji dengan sayang. Tapi berjanjilah dengan Allah. Berdoalah kepada Allah agar janji - janji itu dapat dilaksanakan dengan baik. Malah sayang juga akan terus mendoakan agar rumahtangga kita ini akan terus dilimpahi kebahagiaan yang berpanjangan. Sayang sayang Biy dengan sepenuh hati sayang. Dan sayang berdoa semoga Allah juga akan menjaga hati Biy hanya untuk sayang." Luah Sofya dengan penuh rasa cinta.

Ezmal tersenyum bahagia lalu tubuh Sofya ditarik lembut ke dalam dakapannya. Lama mereka berkeadaan begitu sebelum Ezmal menjarakkan kembali tubuh mereka. Wajah isterinya dipegang erat lalu bibir Sofya menjadi sasaran bibirnya.

“Terima kasih, sayang. Terima kasih kerana sudi menerima diri Biy dengan seadanya. I love you so much." Bisik Ezmal lalu sekali lagi bibir Sofya menjadi sasarannya. Masing - masing dilihat begitu

santai melayan detik - detik romantis itu sebelum ianya berkahir di atas tilam yang empuk.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience