BAB 28

Romance Series 39528

Usai pengebumian dan tahlil arwah, Elman Furqan menghampiri ibu saudaranya, yang sedang termenung di jendela. Langsung tidak menyedari kelibat dia sedang menghampiri. Tubuh wanita itu dipeluk erat dari bekakang untuk menenangkan sedikit kesedihan yang ditanggung oleh wanita itu.

“Sabarlah mak usu. Kita reda dengan pemergian arwah,”

“Semua dah balik?” soal Mak Usu Anis sambil mengesat air mata yang masih bercucuran. Badan dikalih mengadap anak buahnya. Sebuah senyum cuba diukir tetapi gagal. Air mata masih lagi mengalir turun.

Elman Furqan mengangguk. Dagu ditongkatkan ke bahu mak saudaranya dan sebuah pelukan erat diberikan.

“Elman janji...Elman akan jaga mak usu. Elman tak akan biarkan mak usu menangis lagi. Elman akan jaga mak usu sampai bila-bila. Elman hanya ada mak usu dengan pak long saja dekat dunia ini. Pak long pun sudah lama tak balik jadi Elman lah yang bertanggungjawab akan jaga mak usu di sini, Elman taknak tengok mak usu sedih,” pujuk Elman Furqan. Belakang Mak Usu Anis digosok lembut. Dua kali mak Usu dia menjanda. Besar sungguh dugaan buat wanita ini.

“Mak Usu reda cuma masih tak dapat nak terima. Ia berlaku terlalu cepat sampaikan mak usu rasa hilang tempat bergantung. Dulu arwah Pak Usu Latif kamu yang pergi tinggalkan mak usu, sekarang arwah Pak Usu Husin pula. Walaupun arwah hidup dengan mak usu tak sampai lima tahun. Dia tak pernah abaikan mak usu, Elman... Dia sangat menjaga mak usu....” Mak Usu Anis masih teresak dalam dakapan anak saudaranya.

“Elman faham mak usu. Dari Dia kita datang kepada Dia jualah kita kembali. Telah tiba waktu pak usu untuk bertemu dengan Pencipta esok atau lusa kita pula yang bakal bertemu,”

Mak usu memperbetulkan kedudukan tubuhnya. Dia melepaskan rangkulan Elman Furqan seraya mendongak mencari anak mata Elman Furqan. Wajah Elman Furqan dipandang lembut.

“Elman dah semakin matang. Mak usu bangga ada Elman sebagai anak sedara mak usu. Bertuah angah dengan kak ngah,” wajah lelaki itu pegang untuk seketika.

“Yusuf dengan Myra bila sampai,” soal Mak Usu Anis bila teringatkan anak tunggal yang menetap di Perak. Perkongsian hidup dengan suami pertama dia dikurniakan seorang anak perempuan tunggal. Kini Myra, anak gadisnya sudah beristeri dengan orang Perak jaranglah ada selalu dengan dia. Hanya Elman Furqan yang tinggal dengan dia.

“Katanya pagi nanti,”jawab Elman Furqan, pendek.

Mak usu Anis mengangguk. Dia pandang kiri kanan sebelum jatuh menatap wajah Elman Furqan. Dia seakan mencari kelibat sesorang.

“Dari pagi tadi lagi mak usu tidak nampak kelibat Ana. Ke mana dia?”

Elman Furqan mengeluh kecil sebelum menggelengkan kepalanya. “Elman pun tak tahu dia di mana sekarang. Tadi masa Elman jumpa pak usu terlantar bayangan dia langsung tiada di situ,”

“Atau dia yang menyebabkan pak usu kamu mati?” Mak usu Anis menuduh tidak teragak-agak.

“Ish, tak baik cakap macam tu mak usu. Kenapa libatkan dia pulak? Pak usu kena langgar lari bukannya Ana yang langgar. Mungkin dia sudah jumpa dengan ahli keluarga dia tak?” dalih Elman Furqan untuk menyanggah pemikiran buruk mak usunya.

“Mak usu bukan apa, cuma geram dengan dia. Pergi macam tu sahaja. Sekurang-kurangnya jenguklah sekejap arwah pak usu kamu tu. Kenang jasa kita yang pernah bantu dia. Ini tak langsung! Hilang begitu saja. Mak Usu sungguh tak berkenan dengan sikap dia,” Mak usu Anis meluahkan rasa geram. Sungguh dia tak suka dengan sikap gadis muda itu.

Elman Furqan sekadar senyum tawar. Malas nak masuk campur. Dia sendiri hairan. Ke mana gadis itu menghilang. Hilang begitu saja tanpa sebarang isyarat. Kata-kata terakhir Pak usu Husin sebelum lelaki itu menghembus nafas terakhir turut membuat Elman Furqan berfikir semula sejarah lama.

Afina. Dhia Afia perempuan yang selalu dia rindu rupanya-rupanya anak kepada Pak usu Husin. Sungguh dia tidak menyangka akan hal itu.

‘Kalaulah betul Pak usu Husin itu ayah kepada Afina, kenapa sikap lelaki itu lain benar apa yang Afina pernah cerita pada dia? Atau masa yang telah mengubah segalanya? Oh Allah hebat betul rencana takdir yang telah Engkau aturkan. Aku harap aku dapat berjumpa dengan Afina semula. Aku ingin memberitahu yang ayahnya bukan seorang pendosa lagi. Pak usu Husin sudah berubah. Sepanjang hidup lelaki tua itu langsung tak pernah lupakan anak tunggalnya.’ Elman Furqan berbicara dalam hatinya.

“Mak usu, Suria balik dulu ya,” suara Suria memecahkan kesepian mereka. Masing-masing kalih pada gadis itu yang baru keluar dari dapur.

“Eh, dah lewat ni Suria! Apa kata tidur di sini saja malam ini,” suara Mak Usu Anis, dia sudah menapak dekat pada Suria.

“Takpela mak usu, esok Suria kerja,” Suria menolak lembut sambil tersenyum manis. Pandangan sekilas pada Elman Furqan. Mahu melihat wajah lelaki yang berjaya membuat dia angau. Dalam hatinya berharap agar Mak Usu Anis menyuruh lelaki itu menghantar dia pulang ke rumah. Tadi memang dia sengaja meminta ayahnya pulang awal.

Mak Usu Anis menepuk lembut bahu Suria, “Oh, lupa pulak esok kamu kerja. Kamu shift pagi kan esok. Elman Furqan, hantar Suria balik ke rumah dia,” arah Mak usu Anis.

Elman Furqan hanya mengangguk lemah. Suria menyimpan senyum.

“Terima kasih Encik Hadry...terima kasih sangat. Kalau tak encik selamatkan adik saya ni tak tahula saya,” Kak Ruby berkali-kali mengucap terima kasih kepada Hadry. Tubuh Afina dipeluk kemas seakan tidak mahu melepaskannya. Sejak sampai ke Temerloh kira-kira satu jam yang lepas, tubuh Afina masih belum dilepasnya.

“Takde apa-apalah Kak Ruby. Itupun kebetulan saya terjumpa di bandar Temerloh kalau tak langsung saya tak tahu yang Anne turun ke sini,” ujar Hadry. Pandangannya terus kepada wajah Afina yang langsung tidak beriak.

“Anne macam mana boleh jadi macam ni? Dah puas akak call Anne tapi langsung tak dapat. Cuba cerita dekat akak apa yang sebenarnya terjadi,” Kak Ruby melepaskan rangkulan lalu menatap tajam wajah si adik.

Jelas terpancar wajah kerisauan. Mana taknya sejak Afina mengambil keputusan untuk turun ke Temerloh hatinya sudah tidak senang. Tambah-tambah bila dia menelefon gadis itu untuk tahu keadaan di sana langsung tidak terjawab fikiran negatif sudah menapak di benak otak. Ingatkan Afina tidak mahu diganggu jadi dia cuba positifkan fikirannya, tapi sebaliknya yang terjadi bila dia mendapat panggilan daripada Hadry. Rupanya Afina ada masalah di sini. Mahu tidak tercabut jantungnya bila dapat tahu Afina diragut. Tidak menunggu apa-apa terus dia memaksa Izzue memandu dari Subang Jaya ke Temerloh.

Afina menarik nafas sedalam-dalam sebelum menghembus perlahan, “ masa Anne berhenti di sungai Temerloh...Anne diragut dan hampir... Hampir diperkosa,”

“Allah! Sampai macam tu sekali?” Kak Ruby menjerit sedikit. Sungguh dia terkejut.

“Betul ke ni sayang? Kenapa sayang tak bagitahu abang tadi?” Hadry juga terkejut sama. Wajahnya sudah berkerut kerisauan.

Afina menyeka air mata yang menitis turun seraya mengangguk lemah.

“Tapi peragut itu tak sempat nak buat apa-apa pada Anne, ada seorang pemuda telah menyelamatkan Anne dari diperkosa....”

“Siapa lelaki itu?” laju Hadry menyampuk.

“Anne tak kenal tapi dia telah menyelamatkan Anne. Dia bawa Anne ke rumah keluarga dia sebelum Anne berjumpa dengan Adry,”

“Kenapa sayang tak cari abang? Kenapa harus sayang tinggal lelaki yang sayang tak kenal!” Hadry mula marah dan bengang. Tajam matanya menikam wajah Afina.

Afina mengeluh kecil. Terlajak perahu boleh berundur terlajak kata makan diri sendiri.

“Adry, awak tak perlu nak marahkan adik saya. Kan kita sendiri dengar tadi dia diragut macam mana dia nak hubungi kita. Lagipun ini kali pertama dia jejakkan kaki ke Temerloh mana dia nak kenal di mana rumah awak, pejabat awak kan?” Kak Ruby cuba memujuk.

“Allah! Maafkan abang. Abang terlupa semua itu disebabkan abang terlalu risaukan Anne,” Hadry menepuk dahi sendiri sebelum mencapai tangan Afina untuk digenggam kemas.

“Tapi untuk apa sayang datang ke sini seorang diri?” Hadry menyambung bicara. Dia masih tidak puas hati kenapa Afina turun ke Temerloh tanpa memberitahu dia langsung.

Kak Ruby dan Afina sudah terkedu. Masing-masing saling bertatapan seketika.

“Adry...saya ke sini sengaja nak buat suprise untuk awak. Tak sangka benda ini akan terjadi...lagipun saya...saya rindukan awak,” Afina mencipta helah.

Kak Ruby menarik nafas lega. Kalau Hadry dapat menghidu rancangan mereka, habis hancurlah impian mereka untuk melihat keluarga itu menderita.

“Tolongla...nak buat suprise pun jangan sampai nyawa jadi taruhan. Abang tak dapat nak bayangkan kalau apa-apa yang terjadi pada sayang nanti! Kalau rindukan abang, nak jumpa abang telefon saja. Abang akan ke sana untuk berjumpa dengan sayang. Lain kali jangan buat lagi,” kini bahu Afina pula yang dicengkam. Jelas terpancar pada wajah Hadry wajah kerisauan.

Afina hanya mampu tersenyum. Sebuah anggukan diberikan untuk mengurangkan sedikit keresahan Hadry.

“Sayang, kita kahwin minggu depan!” Hadry tiba-tiba buat keputusan secara mengejut.

Afina terkedu. Wajah Kak Ruby dicari untuk menghantar isyarat dia benar-benar terkejut

“Kak Ruby tolong izinkan kami kahwin,” suara Hadry sedikit merayu. Hadry juga mencari wajah Kak Ruby. Wanita itu juga turut terkejut. Diam seribu bahasa.

“Adry nak kahwin?” tiba-tiba ada satu suara mencelah. Mereka bertiga serentak mengalih pandangan pada suara itu.

“Mamy!” Hadry agak terkejut sedikit. Terus dia bangkit.

“Ini kali pertama mamy lihat kamu bawa balik perempuan ke rumah. Mesti dia betul-betul istimewa untuk kamu kan?” soal Puan Halisa lagi sebaik kakinya mencecah lantai. Pakaiannya cukup menjolok mata. Gaun seksi tidak berlengan. Riak wajahnya cukup sinis pada Afina dan Kak Ruby. Dari kaki sampailah ke atas diteleknya.

Tiba-tiba badan Afina bergetar sendiri. Buku limanya kuat tergenggam. Wajahnya menunduk langsung tidak diangkat. Sekian lama kini mereka bersua lagi. Walaupun Puan Halisa langsung tidak mengenali dirinya aura kekejaman yang muncul dari tubuh perempuan itu mampu membuat Afina ketakutan. Kak Ruby memahami terus menyentuh lembut bahu adiknya.

Hadry pandang Afina sekilas kemudian dia kalih mencari wajah ibunya. Dia risau kalau-kalau Puan Halisa dapat kenal gadis dihadapan mereka kini, adalah gadis yang pernah tinggal dalam rumah ini, “mamy inilah Anne yang Adry pernah cerita dekat mamy dulu,”

“Siapa dia sampaikan anak mamy tergila-gilakan dia? Artis? Anak menteri? Anak raja? Atau seorang jutawan muda?” soalan yang penuh dengan sindiran keluar dari mulut Puan Halisa. Tangan sudah memeluk tubuh sendiri.

Afina mengigit bibir bawah, kuat. Kedua tangannya digenggam kuat, cuba mengambil aura kekuatan.

“Saya Ana Diana pereka fesyen dari Rusia dan pemilik rekaan pakaian jenama A&D, ” dia bangkit lalu memperkenalkan dirinya. Penuh dengan bangga.

Kak Ruby terkejut. Hadry terkesima. Kaget dengan tindakan berani Afina secara tiba-tiba.

“A&D? Ya! Saya kenal. Wah, tak sangka akhirnya saya dapat berjumpa dengan anak jati Malaysia yang terkenal dekat Rusia! Kawan-kawan saya sekarang tengah kecoh fasal awak tu. Sibuk diorang mahu memiliki pakaian dan beg tangan jenama milik awak. Mamy setuju kalau dia jadi menantu mamy Adry,” tanpa amaran Puan Halisa langsung berlari dan meluru ke arah Afina. Tubuh gadis itu ditarik ke dalam dakapannya. Wajah Afina dikucup berkali-kali. Pereka fesyen terkenal anak jati Malaysia di Rusia bakal menjadi menantu dia, siapa tak bangga?

Bibir Hadry terukir senyuman. Dia menarik nafas lega. Puan Halisa tidak perasaan siapakah gadis dalam pelukannya itu. Hadry juga berharap ibunya tidak tahu langsung identiti Afina.

Kak Ruby senyum mengejek.

“Bila nak ada rekaan terbaru? Boleh tak nanti mamy orang pertama yang memperagakan rekaan terbaru itu nanti,” ramah Puan Halisa, siap bermamy lagi. Lengan Afina langsung tidak mahu dilepaskan.

Tak sempat Afina mahu membuka mulut, kedengaran bunyi hon kereta dari luar rumah.

“Oh, maaflah! Tak sempat nak berborak lama, terlupa mamy ada date malam ni. Lain kali kita bersembang lagi ya tak sabar mamy mahu berborak lama dengan kamu, mamy pergi dulu. Adry mamy keluar,” sebelum melangkah keluar Puan Halisa sempat menghadiahkan kucupan selamat tinggal kepada Afina dan dia juga sempat melambaikan tangan kepada Hadry dan juga Kak Ruby.

Mata Afina tajam memerhatikan setiap derapan langkah wanita itu. Tanpa dia sedari kedua belah tangan kembali tergenggam kuat. Entah kenapa tiba-tiba muncul di hatinya rasa membenci yang membara terhadap wanita itu. Rasa takut untuk berhadapan dengan Puan Halisa terus hilang bila kejadian-kejadian buruk yang telah dilakukan oleh wanita itu kepadanya.

Kak Ruby dari tadi memerhatikan adik angkatnya perasaan akan perubahan emosi gadis itu terus mendekat.

“Anne,” lembut dia menyapa.

Afina berpaling. Wajahnya merah padam.

Kak Ruby menggeleng lembut seraya meleraikan genggam kuat tangan Afina.

“Sabar. Sikit lagi bahagia akan menyusuri hidup Anne,” perlahan Kak Ruby bertutur. Kerana mereka di rumah Hadry.

“Kak Ruby, Anne malam ini bermalam dekat sini ya? Nanti saya suruh mak kemaskan bilik,” Hadry mencelah.

Dia masih tidak perasaan akan situasi sebenar rancangan Kak Ruby dengan Afina. Apa yang dia perasaan perubahan emosi Afina adalah disebabkan ibunya. Afina dengan ibunya pernah ada sejarah hitam. Hanya itu yang dia tahu. Kak Ruby dan Afina mengangguk lemah.

“Mak! Tolong sediakan bilik untuk mereka Adry ada hal hendak diuruskan sedikit,” laung Hadry untuk memanggil ibu angkatnya di dapur.

“Sayang, abang keluar sekejap ya,” bahu Afina disentuh sedikit sebelum dia melangkah keluar.

Afina mengangguk tanpa perasaan. Sungguh dia tiada hati tika ini.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience