Afiq Raihan melepaskan keluhan berat. Fikirannya masih menerawang kepada perbualan 'mesra' bersama Haiqal Iskandar sebentar tadi.
Sungguh dia tak sangka Haiqal Iskandar telah pulang ke Kuala Lumpur. Lebih- lebih lagi, apabila mereka telah mengikat perjanjian baharu.
Sejujurnya, dia masih sayangkan pertalian persahabatan mereka berdua. Tak pernah terlintas dalam fikirannya untuk mengkhianati Haiqal Iskandar. Dia cuma cintakan Anis Raihanna.
“Apa aku nak buat ni?” soal Afiq Raihan kepada dirinya sendiri.
Pin!
Afiq Raihan terus tersedar dari lamunannya. Nyaris sahaja dia terlibat dalam kemalangan kereta kerana telah memasuki laluan yang berlawanan arah. Dia mengucap panjang.
Kini, dia cuba untuk menumpukan perhatian dalam pemanduannya. Namun pada akhirnya, dia memutuskan untuk memberhentikan kereta di bahu jalan. Fikirannya terlalu serabut
pada ketika itu menyukarkan dia untuk menumpukan perhatian sepenuhnya.
Sebaik sahaja dia memberhentikan kereta, tubuhnya disandarkan kepada seat kereta. Ketinggian seat kereta itu direndahkan sedikit. Kedua-dua belah tangannya disilangkan ke belakang kepala. Satu keluhan kecil terbit dibibir buat sekian kalinya.
Kejadian dua bulan lepas mula berlayar di fikiran. Kejadian di mana Haiqal Iskandar mencadangkan dia untuk mengahwini Anis Raihanna demi menjaga maruah mereka sekeluarga sedangkan Haiqal Iskandar mencintai Anis Raihanna sepenuh hatinya.
Afiq Raihan kagum dengan sikap Haiqal Iskandar yang sanggup mengorbankan cintanya dengan memutuskan pertunangannya bersama Anis Raihanna. Dia terhutang budi kepada lelaki itu.
Haiqal Iskandar yang membantu dia mencari dalang peristiwa sebelum ini. Haiqal Iskandar juga yang membantunya menjaga maruah keluarganya. Semuanya Haiqal Iskandar.
Jadi mungkinkah ini masanya untuk dia membalas segala jasa baik Haiqal Iskandar selama ini? Dengan mengorbankan cintanya terhadap Anis Raihanna supaya Haiqal Iskandar dapat bahagia?
Ya, mungkin ini masa yang sesuai. Mungkin kini giliran Afiq Raihan pula untuk melakukan perkara yang sama. Nampaknya dia perlu mengorbankan cintanya pula demi persahabatan mereka berdua.
Ini semua untuk membalas budi kepada Haiqal Iskandar. Dia tak sanggup bermusuh dengan lelaki itu. Pada masa yang sama, dia juga tak sanggup nak menghapuskan rasa cintanya terhadap Anis Raihanna.
Nak tak nak, dia perlu memilih salah satu daripada mereka. Sama ada persahabatan antara dia dengan Haiqal Iskandar atau perasaan cinta yang makin mekar terhadap Anis Raihanna dari hari ke hari.
Pandangannya jatuh ke arah sepasang suami isteri yang sedang berjalan berpegangan tangan. Riak wajah mereka jelas menunjukkan mereka sedang bahagia. Serta- merta, bibir Afiq Raihan tersenyum nipis.
Keadaan sepasang suami isteri tersebut tak ubah seperti keadaan Afiq Raihan bersama Anis Raihanna sekarang. Bahagia. Itu sahaja yang mengambarkan perasaannya ketika bersama Anis Raihanna.
Kelihatan seorang lelaki menghampiri sepasang suami isteri tersebut. Mereka bersalaman sambil berbual-bual mesra. Mungkin itu sahabat lelaki tersebut. Hubungan mereka berdua agak akrab.
“Kalaulah pasangan suami isteri tu aku dengan Hana, lelaki tu Haiqal Iskandar, alangkah bahagianya hidup ni. Tapi sayangnya, bukan.” monolog Afiq Raihan sendirian.
Mungkin yang sepatutnya pasangan suami isteri tersebut ialah Haiqal Iskandar dan Anis Raihanna. Manakala, Afiq Raihan hanya sahabat kepada Haiqal Iskandar yang tumpang bahagia atas kebahagiaan mereka berdua.
Tit! Tit! Tit!
Telefon pintar milik Afiq Raihan berbunyi. Sekali gus, menamatkan lamunannya sebentar tadi. Dia segera mengangkat panggilan tersebut selepas melihat nama pemanggil.
“Hello, Fiq. Kenapa kau terus blah hah lepas jumpa klien tu tadi? Tak sempat aku nak ajak kau lepak. Sekarang kau dekat mana? Dah sampai rumah ke? Aku nak ajak kau lepak kejap ni.” kata Adam Syahmi melalui corong telefon.
Afiq Raihan mengeleng kepala. Telefon pintarnya dijauhkan sedikit daripada telinga. Mana taknya, bukan main kuat lagi suara Adam Syahmi bercakap. Macam Afiq Raihan tu pekak pulak sampai nak kena cakap kuat-kuat.
“Kita jumpa tempat biasa. Aku ada benda nak cakap dengan kau ni Adam.” balas Afiq Raihan dengan tenang.
“Hah? Oh okay. Jumpa kau nanti. Bye.” kata Adam Syahmi sebelum menamatkan panggilan.
Afiq Raihan menarik nafas panjang. Rambutnya diraup ke belakang. Gambar Anis Raihanna yang terpapar pada skrin telefonnya ditatap lama. Tidak lama kemudian, dia kembali memandu keretanya semula.
Mungkin tiada jodoh antara kita, Hana.
??????
“Ha, apa yang kau nak cakap tu? Cakaplah cepat.” gesa Adam Syahmi tak menyabar.
Afiq Raihan mempamerkan riak muka tak puas hati. Kawan dia ni memang tak reti sabar ke apa? Haih. Nak minum air pun tak senanglah.
“Kau sabar sikit boleh tak, Adam? Tak nampak ke aku tengah minum air ni?” tegur Afiq Raihan tak puas hati.
Adam Syahmi tersengih menunjukkan sebaris giginya yang tak berapa nak ada tu. Eh, gurau. Hahaha. Tangannya pula naik menyentuh belakang kepala tanda malu dengan diri sendiri.
“Yelah. Minumlah air tu cepat. Aku nak cepat ni. Lunch hour bukannya lama sangat. Aku ni kerja, Afiq. Bukan macam kau, tengah cuti. Sampai dua minggu pulak tu.” perli Adam Syahmi.
“Yelah, aku faham. Tak payah perli-perli. Aku blah terus kang.” ugut Afiq Raihan.
“Okay-okay, aku gurau.” balas Adam Syahmi mahu mengalah. Risau jugak kalau Afiq Raihan betul-betul buat macam tu.
“Ha taupun.” balas Afiq Raihan.
Adam Syahmi menjulingkan mata ke atas. Dia menghirup sedikit air minuman yang telah dia pesan sebentar tadi.
“Kau nak tahu tak siapa klien tu tadi?” soal Afiq Raihan mahu memulakan ceritanya.
Adam Syahmi hanya mengangguk tanda mahu. Dia masih menikmati ice blended chocolate kegemarannya. Mahu tinggal separuh air tersebut oleh Adam Syahmi.
“Itulah Haiqal Iskandar. Bekas tunang isteri aku.” sambung Afiq Raihan tenang.
Pft!
Secara tak sengaja, Adam Syahmi tersembur air minumannya ke arah Afiq Raihan. Dia segera mengurut tekaknya yang perit.
“Woi, apahal main sembur orang ni! Habis baju aku lah gila!” marah Afiq Raihan.
Dia mengambil beberapa tisu untuk mengelap kot bajunya yang basah. Lantas, kot tersebut ditanggalkan daripada tubuhnya. Kakinya melangkah ke arah singki berdekatan untuk membersihkan kulitnya sudah melekit.
Sebaik selesai, dia mengambil tempat semula dihadapan Adam Syahmi. Satu jelingan tajam dihadiahkan kepada lelaki itu.
“Janganlah marah Afiq. Aku terkejut tadi.” terang Adam Syahmi.
“Hmm...” itu sahaja balasan yang diberikan oleh Afiq Raihan. Benda kecil je pun tak perlu kot dia ambik serius sangat.
“Dia buat apa jumpa kau, Afiq? Dia dah tahu ke hubungan kau dengan Anis macam mana sekarang?” soal Adam Syahmi mahu mengorek cerita daripada sahabatnya.
Afiq Raihan diam tak membalas. Sukar untuk dia terangkan kepada Adam Syahmi tentang perjanjian barunya bersama Haiqal Iskandar.
“Dia nak isteri aku. Kau tahukan perjanjian aku dengan dia sebelum ni? Yang aku kena serahkan Anis lepas tiga bulan kita orang kahwin? Tentang hubungan aku dengan Anis sekarang,aku sendiri yang bagitahu dia.” balas Afiq Raihan tak lama kemudian.
“Tapi korang kahwin belum masuk tiga bulan lagi kan? Tak silap aku baru dua bulan lebih. Jadi kenapa dia nak awal sangat? Lagi satu, apa dia kata bila tahu kau dengan Anis dah berbaik?” soal Adam Syahmi lagi.
“Dia mintak awal sebab dia kena transfer balik ke sini. Bila dia dapat tahu yang aku cintakan Anis, dia rasa macam aku khianat dia. Lepas tu, dia kata dia boleh maafkan aku tapi dengan satu syarat.” jawab Afiq Raihan tenang.
“Syarat? Jangan kata dia nak buat perjanjian dengan kau lagi.” tebak Adam Syahmi.
“Haah, memang dia ada buat perjanjian dengan aku lagi.” balas Afiq Raihan selamba.
“Apa? Kau biar betul! Perjanjian pasal apa pulak ni?” soal Adam Syahmi tak puas hati.
“Perjanjian untuk sebulan yang berbaki ni, dia akan dapatkan Anis daripada aku. Dia nak Anis pilih antara aku dengan dia. Kalau Anis pilih aku, dia akan terima kenyataan yang Anis bukan milik dia. Tapi kalau Anis pilih dia, aku kena lepaskan Anis.” terang Afiq Raihan panjang lebar.
Adam Syahmi terpempan. Tak sangka dengan syarat perjanjian tersebut. Dah gila ke apa?
“Jadi kau setuju ke tak?” soal Adam Syahmi ingin tahu dengan lebih lanjut.
Afiq Raihan hanya membalas dengan anggukan. Adam Syahmi mengeluh apabila mendengar jawapan yang keluar daripada mulut sahabatnya.
“Kenapa kau terima Afiq? Kau tahu tak risiko untuk kau hilang Anis tu tinggi?” kata Adam Syahmi mahu menyedarkan sahabatnya.
“Aku tahu Adam. Tapi apa yang aku boleh buat? Aku terhutang budi dengan dia dan aku sayangkan persahabatan kami. Jadi dah tiba masanya untuk aku balas budi dia, Adam.” balas Afiq Raihan.
“Maksud kau, kau nak lepaskan Anis Raihanna dekat dia ke Afiq? Macam tu?” gesa Adam Syahmi.
Afiq Raihan mengambil masa untuk menerangkan segala-galanya kepada Adam Syahmi. Dia sudah mempunyai rancangannya tersendiri. Nafasnya ditarik panjang sebelum berterus terang kepada Adam Syahmi.
“Bila pulak aku kata nak lepaskan dia?” soal Afiq Raihan kembali kepada Adam Syahmi.
“Hah?” balas Adam Syahmi tak faham dengan maksud kata-kata sahabatnya. Dahinya dikerutkan.
“Aku takkan lepaskan Hana.”
??????
“Abang, lambatnya balik.” sapa Anis Raihanna mesra.
Dia menarik tangan kanan suaminya untuk bersalaman. Bibirnya tak lekang dengan senyuman. Afiq Raihan pula hanya tersenyum tawar.
“Abang, kenapa hurm? soal Anis Raihanna hairan dengan sikap suaminya.
“Tak ada apalah. Jom makan. Aku lapar.” balas Afiq Raihan acuh tak acuh. Dia meninggalkan
Anis Raihanna bersendirian.
Anis Raihanna terdiam. Tak percaya dengan suaminya yang menggunakan panggilan aku-kau semula. Lambat-lambat, dia menurut langkah suaminya.
“Kenapa dia macam tu? Aku ada buat salah ke eh? Ke dia nak prank aku lagi?” gumam Anis Raihanna perlahan.
“Anis, jom makan. Semua dah ada tu.” ajak Puan Zulaikha.
Anis Raihanna segera menurut ajakan ibu mertuanya. Mereka berjalan beriringan menuju ke meja makan. Kelihatan suaminya telah berada disitu.
Lantas, dia mengambil tempat disebelah Afiq Raihan. Namun, suaminya menginjak sedikit daripada isterinya. Itu membuatkan Anis Raihanna semakin tertanya-tanya.
Ketika semua orang sedang sibuk menjamah makanan, Anis Raihanna curi-curi meletakkan tangannya pada dahi Afiq Raihan.
“Woi, kau kenapa?” soal Afiq Raihan separuh berbisik. Terkejut dia dengan tindakan Anis Raihanna secara tiba-tiba itu.
“Kau? Kenapa abang guna panggilan tu? Bukan kita dah setuju nak tukar ke? Sayang cuma nak check abang demam ke apa. Yelah, tiba-tiba berubah.” balas Anis Raihanna separuh berbisik juga. Risau sekiranya orang lain mendengar perbualan mereka berdua.
“Kita bincang dalam bilik nanti.” balas Afiq Raihan.
Anis Raihanna hanya akur. Pelbagai persoalan mula bermain benak fikiran. Apa yang membuatkan suaminya berubah begitu sekali?
??????
“Aku nak keadaan kita kembali macam dulu, faham?” arah Afiq Raihan sesuka hati.
Arahan yang diberikan oleh Afiq Raihan menyentakkan Anis Raihanna. Kena rasuk jin mana pulak suami aku ni? Sampai macam ni jadinya.
“Abang, kenapa? Kenapa abang nak keadaan kita macam dulu? Apa salah sayang?” soal Anis Raihanna bertubi-tubi.
“Tak ada apa yang salah pun Hana. Aku yang tukar fikiran. Mungkin lebih baik keadaan kita kembali macam dulu. Lagi satu, mulai sekarang kita akan guna panggilan aku-kau balik. Bukan abang-sayang dah.” balas Afiq Raihan tanpa perasaan.
Anis Raihanna mula merasakan ada sesuatu yang tak kena. Ini bukan Afiq Raihan yang dia kenal. Dia tahu pastu ada sesuatu yang jadi tanpa pengetahuannya. Nak tak nak, dia sendiri yang kena siasat apa yang terjadi sebenarnya.
“Okay, kalau itu yang kau nak. Dah, aku nak tidur. Ngantuk.” balas Anis Raihanna selamba.
Afiq Raihan terkejut dengan reaksi isterinya. Namun dia segera mengawal riak mukanya sebaik mungkin. Bukan reaksi itu yang dia jangka daripada isterinya.
“Kau tak nak tanya aku kenapa ke? Kau tak bencikan aku? Sebab aku mungkiri janji yang aku takkan biarkan keadaan kita kembali macam dulu?” soal Afiq Raihan hairan.
“Tak nak. Sebab aku cintakan kau, Afiq Raihan. That's it. There's no need untuk aku tanya semua tu.” balas Anis Raihanna sebelum melelapkan mata.
Afiq Raihan terkedu. Tak sangka dengan jawapan yang terkeluar dari mulut isterinya. Dia merebahkan diri bersebelahan isterinya.
“Hana, kau kena bencikan aku bukan cintakan aku.”
Monolognya sebelum turut melelapkan mata.
??????
“Woi, ambikkan mee yang mama masak tadi.” arah Afiq Raihan kepada Anis Raihanna.
Anis Raihanna mempamerkan riak muka menyampah. Sabar Anis! Kau kena siasat apa punca suami kau jadi macam ni.
Dia bersetuju untuk keadaan mereka dulu pun untuk siasat perkara ni. Takkan Afiq Raihan saja-saja nak buat macam tu. Pasti ada udang disebalik batu.
“Mee mana pulak kau nak, Afiq? Kan dah habis time breakfast tadi.” balas Anis Raihanna acuh tak acuh.
Afiq Raihan menepuk dahi. Macam mana dia boleh lupa yang dia sendiri yang habiskan mee tu tadi. Alahai.
“Kau masaklah untuk aku, Hana. Lapar ni.” pinta Afiq Raihan.
Anis Raihanna tersenyum nakal. Dia segera menghampiri suaminya. Idea nakal mula terlintas difikiran.
“Pergilah cepat masak. Yang kau datang dekat aku ni dah kenapa?” soal Afiq Raihan pelik.
“Sabarlah. Aku nak bagilah ni mee tu.” balas Anis Raihanna selamba.
Afiq Raihan mengerutkan dahi. Isteri dia buat lawak hambar ke apa ni? Mana datang pulak mee nya.
“Nah.” kata Anis Raihanna kepada Afiq Raihan.
“Hana, kau buat lawak apa? Aku tengah lapar ni. Janganlah main-main.” marah Afiq Raihan tak puas hati.
“Ish bila pulak aku main-main. Betullah ni. Nah. Mee love you.” balas Anis Raihanna selamba.
Afiq Raihan terdiam seribu bahasa. Sejak bila isteri dia macam ni? Sekali lagi, dia mengawal riak muka sebaik yang mungkin.
“Oh okay. Dah sekarang pergi buat mee GORENG untuk aku.” arah Afiq Raihan tanpa serba salah.
Anis Raihanna mencebik. Dia tak nak suaminya yang sekarang ni. Dia nak Afiq Raihan dulu. Tapi tak apa sebab dia sendiri yang akan kembalikan Afiq Raihan yang dulu.
“Afiq!” panggil Anis Raihanna.
Afiq Raihan mengangkat muka. Dia melirik ke arah isterinya. Riak muka tanpa perasaan dikekalkan.
“Apa?” soal Afiq Raihan malas-malas.
“I love you!” balas Anis Raihanna teruja.
Afiq Raihan meraup muka. Kenapa susah sangat kau nak bencikan aku, Hana?
“Tapi aku tak cintakan kau.” balas Afiq Raihan tanpa perasaan.
“Ada aku tanya kau cintakan aku ke tak? Tak kan. So, shut up. And just let me love you, okay?” balas Anis Raihanna selamba.
Belum sempat Afiq Raihan membalas, telefon pintar milik Anis Raihanna berbunyi. Anis Raihanna segera menjawab panggilan tersebut.
Dia mengerutkan dahi apabila melihat nombor yang tak dikenali menghubungi dirinya. Dengan berat hati, dia menjawab juga panggilan tersebut.
“Hello, siapa ni?” kata Anis Raihanna sebaik saja panggilan disambungkan. Dia mengambil tempat yang jauh dari tempat Afiq Raihan.
“Hello, ni Anis kan? Ni Joe. Takkan awak tak ingat saya? ” balas lelaki yang tak dikenali itu.
Anis Raihanna berfikir sebentar. Joe? Sejak bila dia ada kenal sesiapa yang nama Joe. Dia mengerling sekilas suaminya.
“Sorry ya. Tapi saya tak kenal mana-mana orang nama Joe. Mungkin awak salah nombor kot. Saya letak dulu ya?” balas Anis Raihanna.
“Eh, janganlah macam tu awak. Ni sayalah. Joedoh awak.” seloroh lelaki itu.
Anis Raihanna hanya berpura-pura ketawa. Kalau Afiq Raihan yang berkata sebegitu tak mengapa lah. Tapi bila ada orang asing yang tiba-tiba buat macam tu. Nak mati awal ke?
“Saya letak dulu ya, maklumlah saya dah kahwin.” sempat Anis Raihanna memerli lelaki itu. Gatal sangat kan!
“Hahaha. Awak ni saya, Is. Saya tahulah awak dah kahwin.” balas Haiqal Iskandar. Sengaja dia menukar nombor untuk menghubungi Anis Raihanna.
“Oh, ingat siapa lah tadi. Awak, nanti kita sembang lagi tau. Saya ada kerja nak buat.” balas Anis Raihanna sebelum menamatkan panggilan. Bukan apa, tapi takut suami dia bising pulak bergayut dekat telefon.
Langkahnya diatur ke dapur untuk memasak mee yang dipinta oleh Afiq Raihan sebentar tadi. Tetapi langkahnya dihalang oleh Afiq Raihan.
“Siapa call tadi?” soal Afiq Raihan tiba-tiba.
Anis Raihanna tersengih. Dia tahu Afiq Raihan masih cintakan dia cuma ada sesuatu yang membuatkan suaminya berubah.
“Haiqal Iskandar."
Share this novel