Penampar Jepun!

Romance Completed 117449

BAB 47          

            Kami berjalan beriringan di taman sekolah itu. Masih aku teringat di taman inilah aku bertemu dan berbual dengan Sallyna buat pertama kalinya. Kenangan dahulu begitu berwarna warni dalam hidupku. Paling aku tidak menyangka adalah jejaka di sebelah aku ini. Lelaki yang paling keji pernah aku kenali telah mencuri hatiku. Pelik tapi benar.

            “Lepas ni aku nak panggil kau apa, eh? Honey, sayang?” Soal Harry.

            “Eii...” Menegak bulu roma aku serta merta. “Awak jangan buat saya muntah pelangi kat sini.”

            “Muntah pelangi pun ada? Ingatkan muntah hijau aje.” Harry ketawa besar.

            “Muntah warna-warni!” Aku mencebik sambil menahan ketawa.

            “Itu sebab sayang suka makan cenonot!” Harry terus ketawa.

            “Uwek!” Aku betul-betul rasa melugai. Sumpah! Kembang rasanya tengkok aku ini.

            Harry melihat aku dengan dahi berkerut. “Kenapa?” Dia pura-pura tidak mengerti.

            “Awak panggil saya... eii!” Aku menjarakkan tubuh aku darinya. Rasa pelik sungguh aku bila dia berubah jadi romantik seperti ini. Loya tahu loya?

            “Hey! Aku nak praktis jadi suami mithali. Tak boleh ke? Jangan nanti kau yang terhegeh-hegeh nak aku panggil kau sayang.”

            “Saya tak hingin pun lah!”

            “Okay, we will see!” Harry mencabar.

            “Haish!” Aku terus melangkah ke hadapan. Kami tidak boleh berbaik lebih dari 5 minit pun!

            “Hey! Aku akan kau panggil si lembap sampai kau beruban tahu!”

            “Whatever!”

            “Hey!!” Harry menjerit memanggil aku yang sudah jauh ke depan.

            “Betul ke aku dah jatuh cinta dengan minah ni? Huh!” Harry mengeluh.

            “Aya.”

            Kaki aku terus berhenti melangkah apabila mendengar seseorang memanggil namaku. Aku memandang tepat ke arah hadapan dan melihat seorang lelaki berjalan mendekati aku. Aku menelan liur apabila melihat wajah yang serius itu.

            “Abang...” Terketar-ketar suara aku memanggil Abang Is. Harry pula sudah berada di sebelah aku.

            “Tuan muda,” Abang Is menegur Harry dengan hormat.

            “Cikgu Iskandar, apa khabar?” Harry menghulurkan tangan. Abang Is menyambut dengan sopan.

            “Alhamdulillah, baik. Saya harap tuan muda juga sentiasa sihat.”

            Aku kaku sendirian. Rasa gemuruh menguasai diri. Aku dapat rasakan lirikan mata Abang Is yang penuh makna. Makna yang tidak menyenangi.

            “Saya akan sentiasa baik, selagi adik Cikgu Iskandar ada bersama saya.” Selamba Harry menjawab.

            Terbeliak mata aku mendengar Harry berterus terang seperti itu. Ingin sahaja aku memijak kakinya untuk memberi isyarat agar menjaga mulutnya.

            Abang Is ternyata agak terkejut. Tetapi dia masih tersenyum.

            “Saya harap adik saya tidak menyusahkan tuan muda.”

            Peluh sejuk sudah membasahi dahiku. Aku pasti akan dimarahi dengan teruk selepas ini.

            “Dia memang banyak menyusahkan saya. Saya susah nak tidur malam sebab asyik terfikirkan dia.” Balas Harry lagi.

            “Awak!” Aku tidak sedar yang aku memanggilnya dengan keras kerana terlalu terkejut.

            “Kenapa sayang?” Soal Harry sambil memandang aku berserta senyuman yang manis.

            Aku rasa seperti mahu pitam waktu ini. Oh, tidak!

            “Aya, boleh datang office abang sekejap?” Kata Abang Is. Dia kemudiannya memandang Harry.

            “Maaf tuan muda. Saya ingin bercakap dengan Aya sendirian.”

*********

            Aku hanya menunduk apabila berhadapan dengan Abang Is di dalam bilik pejabatnya. Aku tahu dari air muka Abang Is yang tegang itu menunjukkan dia amat marah kepada aku.

            “Aya fikir selama ni abang cakap main-main ke? Aya rasa Aya seorang diri aje dalam dunia ni tanpa perlu dengar nasihat dari sesiapa? Aya fikir abang ni tunggul kayu yang tak berguna?!”

            Aku terus menggeleng dengan pantas. “Abang, Aya minta maaf. Aya...”

            “Aya, kau fikir kau dah berada di atas awan la sekarang bila orang macam tuan muda tu dah sayangkan kau? Dah tak boleh tidur malam sebab teringat kat kau?!”

            “Abang...” Air mata aku terus tumpah.

            “Bila dia tinggalkan keluarga dia sebab gilakan kau nanti, kau rasa bangga sangatlah?!”

            Aku terus menggeleng. “Tak, bukan macam tu.”

            “Kau fikir Madam Laura akan hampar red carpet untuk kau nanti bila kau jejak kaki ke rumah dia orang?! Tak cukup ke lapan tahun dia bawa Harry ke Jepun supaya jauh dari kau? Sekarang kau fikir Madam Laura tak tahu pasal kau orang? Dia tunggu masa aje, Aya! Dia tak boleh pisahkan kau dan tuan muda sekarang. Dia tak akan ambil risiko untuk kehilangan Harry. Tapi dia pasti akan bertindak tak lama lagi. Jadi, tolong bangun dari mimpi buruk kau tu, Aya!” Wajah Abang Is bertukar merah. Dia meletakkan ke dua belah tangannya di atas meja. Matanya bulat memandang aku dengan penuh marah.

            “Harry tak akan tinggalkan keluarga dia, dia bukan orang yang macam tu.” Suara aku semakin lemah.

            “Kau yang tak kenal Harry lagi, Aya. Tak ada siapa boleh kawal dia, termasuklah Madam Laura!”

            “Kenapa mesti Madam Laura benci saya?” Aku memandang Abang Is dengan linangan air mata.

            Abang Is terdiam tidak menjawab soalan aku. Dia seperti berfikir panjang untuk menjawab soalan aku itu.

            “Kita tidak layak untuk keluarga mereka, Aya! Kau jangan bodoh sangat!” Abang Is teragak-agak untuk menjawab soalan aku itu seperti menyembunyian sesuatu.

            “Jadi, abang fikir saya akan mencemarkan maruah keluarga Adam taylor?”

            Abang Is terkesima. Dia berdengus halus.

            “Bukan kau seorang. Kita sekeluarga.”

            Aku menelan liur untuk kesekian kalinya. Aku sudah tidak mampu berkata apa-apa lagi.

            “Sekarang pun dah terlambat. Dia dah jatuh hati kat kau. Jadi, sekarang giliran kau pula, Aya. Sebelum keluarganya ambil tindakan, kau putuskan hubungan dengan Harry secepat mungkin!”

            “Just leave it to me!” Harry membuka pintu bilik Abang Is dengan tiba-tiba. Kami berdua terkejut dengan kemunculannya. Abang Is terus berdiri menegak.

            “Tuan muda.” Suara Abang Is tenggelam timbul.

            “Harry, saya cakap tunggu kat luar kan.” Aku menoleh melihatnya yang berada di depan pintu bilik abangku. Dia melangkah menghampiri kami berdua.

            “Cikgu Iskandar. Saya faham perasaan keluarga Aya, yang mungkin rasa rendah diri dengan keluarga saya. Tetapi saya ingin tegaskan bahawa saya akan mempertahankan Aya. Saya tidak akan membelakangkan keluarga saya. Saya ada keyakinan untuk membuatkan keluarga saya menerima Aya. Saya tak boleh kehilangan Aya...” Ujar Harry sepenuh perasaan kepada Abang is.

            Aku terkedu mendengar penjelasannya itu sehingga terasa sebak di dada. Abang Is juga tergamam dengan ketegasan Harry.

            “Tuan Muda Harry. Saya tak yakin kepada tuan muda dapat membahagiakan adik saya tanpa melukai sesiapa. Madam Laura pasti akan kecewa...”

            Aku terkejut mendengar jawapan Abang Is. Dia berani berterus terang dengan Harry.

            “Maafkan saya. Mungkin saya akan kehilangan kerja ini disebabkan kata-kata saya. Tapi, saya lebih risaukan masa depan adik saya daripada diri saya sendiri.”

            Ada sungguh terharu mendengar pengakuan Abang Is. Aku tidak menyangka sehingga begitu sekali sayangnya Abang Is kepada aku. Selama ini dia hanya memikirkan tentang diri aku. Aku menahan sebak.

            “Saya berjanji akan melindungi Aya dan juga keluarga Encik Malik. Tak ada sesiapa yang akan menyakiti kalian. Percayalah kepada saya. Beri saya satu peluang untuk membuktikannya.” Tegas Harry.

            “Awak... sudahlah.” Aku bersuara dengan lemah. “Saya tak yakin dengan diri sendiri dapat harungi semua ni.”

            “Kalau kau tinggalkan aku. Aku berjanji akan buat kau lebih menderita.” Kata Harry sambil matanya merenung aku dengan tajam di sebelahnya.

            Abang Is seperti tidak percaya mendengar kata-kata Harry. Dia sungguh terkejut. Manakala bagi aku ayat itu sudah basi. Ayat yang selalu digunakan untuk mengugut aku selama ini.

            “Tuan muda, tolonglah... kami sekeluarga banyak berhutang budi dengan keluarga tuan muda. Tapi, kami juga banyak berbakti untuk keluarga tuan muda. Janganlah buat sesuatu kepada Aya.” Abang Is menarik nafas dengan panjang. “Saya... saya percaya kepada tuan muda. Tolonglah... lakukan sesuatu supaya tidak ada sesiapa yang akan terluka.”

            “Abang...” air mata aku bergenang di tubir mata.

            “Ya, Aya. Abang tak mampu nak buat apa-apa. Abang serahkan semuanya kepada tuan muda.”

            “Cikgu Iskandar. Saya akan pegang kepada janji saya.”

*********

            AKU masih tidak percaya Abang Is akhirnya merestui hubungan kami. Harry pula semakin ceria apabila satu masalah sudah dapat diselesaikannya. Kami berjalan menuju ke kereta yang diparkir di depan pintu pagar sekolah. Sengaja Harry tidak membenarkan Tam membawa masuk kereta ke dalam kawasan sekolah. Wajah aku masih lagi suram, entah kenapa pelbagai perkara menerjah ke fikiran aku. Semangat aku seperti tenggelam timbul. Sekejap di atas sekejap di bawah.

            Akhirnya kami tiba di Villa Taylor yang tersergam megah. Semua pekerja di rumah itu sudah pun bersedia menyambut kedatangan tuan muda mereka dengan wajah yang berseri. Aku dapat melihat dari jauh Hanna berdiri di hadapan sekali bersama Puan Sara. Hanna tersenyum manis kepadaku. Aku membalasnya seikhlas hati.

            “Selamat datang tuan muda.” Sapa seorang lelaki yang aku sudah lupa namanya. Seingat aku dia adalah Ketua Butler di rumah agam ini.

            Harry terus melangkah masuk setelah bersapa dengan beberapa orang pekerja. Kami di bawa ke ruang makan utama. Makanan semuanya sudah siap dihidangkan. Setelah menjamu selera Hanna membawa aku ke kamar yang memang sudah dikhaskan untuk aku. Aku merasakan aku tidak layak dilayan seperti seorang puteri sedangkan aku hanya anak seorang butler.

            “Cik Aya, kalau perlukan apa-apa boleh panggil saya. Saya turun dulu ke bawah. Ada banyak persiapan untuk majlis malam esok.” Ujar Hanna.

            Aku sedikit hairan mendengar kata-kata Hanna. “Majlis?”

            Hanna tersenyum manis. “Ya, majlis hari lahir tuan muda.”

            “Apa?!” Aku sangat terkejut. Kenapa aku tidak tahu dia ingin buat birthday party? Oh ya, aku yang terlupa. Harry pernah beritahu kami semua di atas kapal mewah tempoh hari bahawa dia ingin membuat party. Aku seperti tidak percaya pula, bukankah sejak dulu Harry tidak suka sebarang majlis keramaian.           

            “Cik Aya terkejut? Tak mengapa, tuan muda tak pernah menyambut hari lahir atau buat apa-apa majlis. Tuan muda paling tak suka dengan majlis keramaian. Kalau ada apa-apa majlis di rumah ini semasa arwah tuan besar masih ada, tuan muda jarang keluar untuk menyertai majlis itu. Tapi sekarang tuan muda sudah berubah, dia semakin selesa dengan majlis keramaian. Dia juga setuju mengadakan majlis hari lahirnya di sini. Tapi hanya orang yang terdekat aje yang dijemput.” Terang Hanna.

            Aku mengangguk perlahan. Aku tahu tentang itu. Sekarang Harry memang semakin berubah.

            “Kalau macam tu saya akan turun selepas mandi nanti. Saya pun nak tolong apa yang patut.” Ujarku dengan bersemangat.

            “Cik Aya, lebih baik berehat aje. Nanti tuan muda marah pula.” Hanna serba salah.

            Aku tersengih. “Rasanya tugas saya lebih berat dari Hanna. Tuan muda mungkin akan suruh saya angkat periuk belanga. Jadi janganlah risau!” Aku menepuk bahu Hanna.

            “Er, tak mungkin macam tu.” Wajah Hanna terus berubah hairan.

            “Jangan risau, nanti saya turun.” Aku mengangguk dengan bersemangat. Aku ingin buat yang terbaik kali ini. Mungkin juga ini kali terakhir aku menyambut hari lahirnya, mungkin...

            Aku mendekati jendela sebentar untuk menikmati keindahan malam melaui tingkap yang terbuka. Angin meniup lembut menyapa wajahku. Mata aku berkelip-kelip memandang keindahan taman bunga ros dengan sepenuh penghayatan.

*********

            “Awak nak buat majlis hari lahir kenapa tak beritahu saya? Saya tak sempat nak beli hadiah kat awak.” Ujarku sedikit merajuk. Ketika itu kami berselisih di laluan bilik di tingkat dua rumah ini. Harry juga baru keluar dari biliknya yang tidak jauh dari bilik aku.

            “Haish! Kau ingat aku budak sekolah nak bagi-bagi hadiah?” Harry terus berjalan di hadapan aku. Aku mengejarnya dengan meluaskan langkah.

            “Betul ni? Kalau tak nak hadiah tak apa. Saya pun malas nak semakkan otak saya untuk fikir hadiah apa nak bagi kat awak!”

            Harry tiba-tiba berhenti melangkah. Aku yang berjalan di belakangnya tidak sempat berhenti menyebabkan tubuhku melekat di belakangnnya.

            “Ahh!!” Aku terpeluk belakang Harry. 

            Harry memusingkan badannya dan melihat wajah aku yang masam mencuka.

            “Kau sengaja kan?” Katanya.

            Mata aku sudah terjegil luas. “Ma... mana ada!”

            “Ohh... nampaknya kau ni tak sabar-sabar.” Harry mendekati aku dengan tersenyum nakal.

            “Apa awak ni!” Aku menolak badan Harry yang mendekati aku. Aku melihat ke kiri dan kanan kalau-kalau terlihat sesiapa yang berada di situ. Kami baru keluar dari bilik masing-masing dan sedang menuju ke tangga untuk turun ke bawah. Nampaknya hanya kami berdua sahaja di tingkat ini.

            Harry tersengih. “Kalau aku minta hadiah yang lebih special kau nak bagi tak?”

            Peluh sejuk sudah mula terbit di dahi aku mendengar kata-kata Harry. Tubuhku sudah rapat ke dinding.

            “Awak, kalau nak buat joke, masuk raja lawak. Bukan kat sini tempatnya!”

            “Muka aku macam pelawak ke? Aku tanya betul ni.” Tangan Harry singgah di dagu aku yang runcing.

            “Hadiah apa?!” Tanyaku dengan nada yang keras.

            “Cakap yang kau cintakan aku.” Luahnya perlahan.

            Aku terdiam. Mata kami bersatu, nafas kami juga senada. Aku benar-benar gementar sehingga bibirku tidak mampu bersuara.

            “Apa... apa awak ni.” Akhirnya aku berjaya mengeluarkan suara walaupun bergetar.

            “Kenapa? Kau tak cintakan aku?”

            “Saya akan cakap kalau awak lepaskan saya.” Aku tawar-menawar. Harry mengangkat kening. Dia terus menjarakkan badannya dari aku. Aku mengambil peluang ini untuk menolaknya sekuat hati dan terus berlari menuju ke tangga.

            “Tahun depan malam raya saya cakap! Wek!” Aku sempat menjelir lidah sambil ketawa.

            “Hey!! Kau ni memang!” Harry mengejar aku yang sudah berlari lintang pukang menuruni anak tangga.

            “Tangkap dia!” Harry menjerit kepada semua pekerja yang berada di ruang tamu. Semua pekerja Villa Taylor yang berada di situ hanya terpinga-pinga. Aku tidak tahu ke mana lagi hendak melarikan diri dan terus menuju ke pintu belakang.

            “Mana kau nak lari!”

            “Aaaaa!!” Aku menjerit sekuat hati apabila melihat kolam renang di hadapan aku. Tanpa sempat aku ‘break’ kerana lantai yang licin aku terlompat ke dalam kolam.

            Harry turut melompat ke dalam kolam untuk mendapatkan aku. Mujurlah kolam itu tidak terlalu dalam, aku mampu berjalan di dalam kolam itu dan cuba untuk melarikan diri darinya. Tetapi Harry lebih pantas, dia sudah dapat menarik aku yang cuba untuk naik ke tebing kolam.

            “Lepaskan saya!” Aku menjerit.

            “Kau nak pergi mana?!” Harry  memegang kedua belah bahu aku dengan kejap.

            “Haah!” Aku menolak tangannya sekuat hati apabila melihat badanku yang jelas kelihatan kerana baju aku berwarna putih itu basah.

            Harry yang baru perasan terus memalingkan wajahnya ke arah lain. Malunya aku!

            “Awak jangan menoleh ke sini. Kalau tidak saya bagi awak penampar Jepun!” Kataku sambil menyilang tangan ke dada.

            “Kau dah hilang akal?! Kau nak naik dalam keadaan macam tu? Kau ingat semua pekerja perempuan ke dalam rumah ni?”

            Aku baru teringat akan hal itu. Macam mana ni? Kenapa kat sini ada kolam? Kenapa bukan reban ayam je? Aku lebih rela tahu!

            “Ahcum!” Aku tiba-tiba bersin. Kesejukan sudah menyerang sehingga ke tulang sum-sum.

            Spontan Harry memalingkan wajahnya untuk melihat keadaan aku.

            “Pangggg!!!”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience