Bab 2

Romance Series 72307

SEAWAL jam lima pagi Rhea sudah bangun daripada tidurnya. Dia mula membuat pelbagai jenis kek dan dessert seperti cheese tart dan fruit tart. Kebiasaannya pukul sebelas pagi dia akan mula berniaga di hadapan rumahnya.

Inilah rutin harian Rhea semenjak tiga tahun yang lalu. Semenjak keluarga kecil mereka diuji. Jika dia tidak bekerja, siapa yang mahu menanggung makan minumnya dan Armel?

Sebelum ini Rhea pernah bekerja di sebuah pasaraya. Tapi tidak lama kerana dia risau mahu menghantar Armel kepada pengasuh. Kalau boleh dia mahu anaknya itu berada di depan matanya. Jadi Rhea memutuskan untuk berniaga sendiri.

Mujurlah dia berbakat membuat kek dan dessert. Setiap hari jualannya laris. Kadang-kadang ada pelanggan yang sudah menempah awal kek daripadanya. Tiada siapa yang akan membantunya kalau bukan dia sendiri yang berusaha.

Kejadian kelmarin kembali bermain di dalam kepala Rhea. Buatkan hatinya semakin gusar setiap kali memikirkan hal itu.

Apa tujuan Trisha mahu berjumpa dengan Hayyan? Kenapa baru sekarang gadis itu mahu berjumpa dengan Hayyan? Kenapa bukan waktu Hayyan terlantar koma tiga tahun lalu?

Mengenangkan hal itu buatkan hati Rhea jadi sayu. Sebenarnya dia taklah kuat mana. Hanya berpura-pura kuat selama ini kerana keadaan yang memaksa untuk dia menjadi seorang yang kuat.

“Jauhnya termenung.”

Suara garau yang menampar gegendang telinganya itu membawa Rhea kembali ke alam realiti. Rhea tersentak. Wajah terus diangkat.

“Hairi.” Rhea tersenyum nipis kepada lelaki berkaca mata itu.

“Awak okey? Ada masalah ke?” soal Hairi prihatin.

Hairi. Pelanggan tetap Rhea. Lelaki berusia awal 30-an itu kerap datang membeli kek Rhea. Hampir setiap hari dia akan singgah membeli kek wanita itu.

Rhea menggeleng perlahan. “Awak nak beli kek apa hari ni? Cheese tart?” Rhea sudah hafal menu pilihan Hairi. Lagipun lelaki itu pelanggan tetapnya. Sudah tentu dia ingat.

“Ya. Macam biasa,” balas Hairi sambil mengangguk kecil.

“Tambahkan dengan kek pandan cheese dua bekas. Saya nak bawa balik rumah mak saya,” beritahu Hairi.

“Sekejap ya.” Rhea terus mengisi menu yang dipesan oleh Hairi ke dalam beg plastik.

“Armel mana?” soal Hairi sambil matanya meliar mencari anak kecil berusia tiga tahun itu.

“Armel tengah tidur. Dia bangun awal pagi tadi,” balas Rhea.

“Suami awak sihat?” soal Hairi lagi.

Rhea mengangguk kecil. “Alhamdulillah... Dia makin sihat.”

“Ni, dah siap...” Plastik dihulurkan pada Hairi.

“Terima kasih.” Hairi sambut huluran Rhea. Sekeping not RM50 dihulurkan.

“Baki tu simpan je. Buat beli jajan Armel.”

“Terima kasih Hairi. Buat susah-susah je,” ucap Rhea.

Hairi senyum segaris. “Mana ada susah. Kalau awak perlukan apa-apa pertolongan, beritahu saya. Insya-ALLAH kalau saya boleh tolong, saya akan tolong.”

Rhea mengangguk kecil. Lelaki di hadapannya ini sangat baik. Pernah sekali Armel diserang semput, Hairi lah yang membantunya membawa Armel ke hospital waktu itu. Hairi juga selalu menghulurkan duit belanja pada Armel walaupun berkali-kali Rhea menolaknya.  Katanya dia sudah menganggap Armel itu seperti anaknya sendiri. Armel juga rapat dengan Hairi.

“Saya pergi dulu.” Hairi minta diri.

“Hati-hati,” pesan Rhea.

Hairi tersenyum kecil mendengar pesanan wanita itu. Dia mengangguk perlahan seraya berlalu pergi ke keretanya.

Helaan berat terlepas daripada bibir Rhea. Dia kembali memikirkan tentang Trisha. Bagaimana dia mahu menghalang wanita itu bertemu dengan Hayyan?

“Berbual dengan siapa tu?”

Rhea tersentak. Dia terus menoleh ke belakang.

Hayyan.

Rhea cepat-cepat mendapatkan Hayyan. Membantu lelaki itu berdiri. Sekarang ini Hayyan sudah boleh bangun sendiri cuma dia masih perlukan tongkat sebagai sokongan untuk dia berjalan. Kakinya masih belum cukup kuat untuk berjalan seperti biasa.

“Siapa lelaki tadi tu?” soal Hayyan lagi apabila soalannya tidak dijawab oleh Rhea.

“Customer,” balas Rhea ringkas. Dia membantu Hayyan duduk di kerusi.

Hayyan terdiam kecil. Betul ke pelanggan? Mesra semacam je.

“Nama dia Hairi. Dia pelanggan tetap Rhea. Setiap hari lepas balik kerja dia akan singgah beli kek. Hairi suka makan cheese tart,” cerita Rhea.

Amboi! Setiap hari kek? Entah-entah sengaja nak datang jumpa Rhea agaknya.

“Kalau abang nak keluar daripada bilik, abang panggil je Rhea. Rhea takut abang jatuh.”

“Kalau saya jatuh, saya tahulah bangun sendiri. Takkan awak nak saya terperap je dalam bilik tu macam mayat hidup.” Dingin kedengaran suara Hayyan membalas.

Rhea ketap bibir. Hayyan salah faham lagi. “Rhea bukan tak bagi abang keluar daripada bilik. Cuma kalau abang nak keluar, beritahulah Rhea. Rhea boleh tolong.”

Hayyan terus senyap. Kebetulan juga waktu itu ada pelanggan datang mahu membeli kek. Dia hanya duduk di situ sambil memerhati Rhea melayan pelanggannya. Ini kali pertama dia melihat Rhea berniaga. Sebelum ini dia hanya terperap di dalam rumah saja.

Jam sudah menunjukkan pukul empat petang. Kek dan dessert Rhea habis dijual. Jualannya laris seperti selalu.

Rhea mula mengemas bekas-bekas yang digunakannya. Dia bercadang mahu keluar membeli barang dapur selepas ini.

“Dah lama ke awak meniaga?”

Rhea tersenyum kecil mendengar soalan yang diajukan suaminya itu. Jarang-jarang nak dengar Hayyan berbual dengannya. Sebelum ini lelaki itu tak ambil kisah pun. Rhea yang syok sendiri bercerita.

Sejujurnya Rhea rindukan suaminya yang dahulu. Hayyan seorang suami yang baik untuknya. Tapi sekarang lelaki itu berubah dingin sehingga dia tidak mengenali sifat sebenar Hayyan.

“Lepas Armel lahir, Rhea pernah kerja dekat pasaraya. Tapi tak lama. Rhea risau nak tinggalkan Armel dekat rumah pengasuh. Sejak daripada tu, Rhea cuba jual kek. Sampailah sekarang,” cerita Rhea.

“Jiran-jiran kita baik sangat. Diorang selalu support perniagaan Rhea. Selalu bagi duit lebih juga untuk Armel. Alhamdulillah... Murah rezeki Armel,” tambah Rhea lagi.

Hayyan hanya diam mendengar cerita wanita itu. Sejujurnya susah untuk dia menerima hakikat yang dia sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak.

Yang dia ingat dia masih lagi bercinta dengan Trisha. Ya, Trisha itu bekas kekasih Hayyan.

“Sekejap lagi Rhea nak keluar pergi barang dapur,” beritahu Rhea.

“Hmm.” Hayyan mengangguk kecil.

“Ibu!” Armel yang baru bangun tidur langsung berlari keluar daripada rumah mendapatkan Rhea.

Rhea ketawa kecil. “Princess ibu dah bangun?” Tubuh Armel dibawa ke dalam pelukannya.

Hayyan hanya menjadi pemerhati dua beranak itu. Sesekali bibirnya ikut tersenyum sama melihat telatah Armel. Comel!

“Ibu nak keluar beli barang sekejap lagi. Armel temankan ayah dekat rumah ya?” pinta Rhea.

Armel menoleh sekilas ke arah Hayyan kemudian pandangan kembali teralih pada Rhea. “Armel nak ikut ibu...”

Rhea terdiam seketika. Dia tahu Armel masih perlukan masa untuk menerima kehadiran Hayyan. Sama seperti Hayyan juga.

“Kalau Armel temankan ayah, ibu belikan aiskrim untuk Armel.”

Laju Armel mengangguk setuju bila sudah diumpan dengan aiskrim. Rhea hanya ketawa melihat reaksi anaknya itu. Tak susah nak pujuk Armel. Umpan dengan aiskrim pun sudah cukup.

SELEPAS membeli barang keperluan dapur, Rhea terus memandu keretanya pulang ke rumah. Sewaktu dalam perjalanan pulang ke rumah, dia ternampak sebuah gerai kecil yang menjual cendol.

Rhea terus berhentikan keretanya. Hayyan suka makan cendol. Dia mahu belikan cendol untuk suaminya itu. Bibirnya tersenyum sendiri.

Tiba di hadapan rumah, dahi Rhea berkerut halus. Terdengar suara riuh orang berbual di dalam rumahnya. Matanya terpandangkan kasut tumit tinggi di depan pintu. Kasut itu bukan miliknya.

Tanpa menunggu lama, Rhea terus masuk ke dalam rumah.

“Assalammualaikum.”

Rahang Rhea jatuh melihat sosok tubuh yang sedang duduk di sebelah Hayyan itu.

Trisha.

Trisha datang bersama dengan ibu mentuanya. Apa yang Rhea takutkan selama ini akhirnya terjadi juga.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience