1 Cinderella Pun Tiba!

Family Series 57531

Seorang gadis manis melangkah masuk ke dalam lobi sebuah syarikat terkemuka dengan penuh keyakinan. Di celah ketiak, sebuah fail berwarna hitam dikepit kemas. Sungguh-sungguh dia atur langkah dengan penuh hati-hati.

Bukan apa, tadi saja tiga kali dia hampir terkehel kerana kasut tumit tinggi bersaiz agak besar yang tersarung di kaki. Semua gara-gara Nurul Amiesya, teman serumah merangkap best friend forever dia. Sungguh-sungguh mahu dia pakai kasut tumit tinggi lima inci milik temannya itu.

Macam-macam dibebel bila dia tolak kerana dia lebih selesa mengenakan kasut flat. Ini temu duga pertama, penampilan kena vogue macam wanita korporat katanya. Tak minah tu rasa apa yang dia rasai kini! Voguelah sangat. Beauty is pain okay! Melecet belakang buku lali gara-gara kasut kulit Amiesya. Awaslah kalau dia gagal temu duga. Dia kerat empat belas kasut Miesya, dibuat sup kaw-kaw bersama Whiskas dan bagi kucing gemuk minah tu makan nanti.

“Selamat pagi. Ada appointment ke?” Wanita di meja hadapan menegur ramah.

“Selamat pagi. Saya datang untuk temu duga. Ini slip temu duga saya.” Sekeping kertas dia serahkan kepada wanita itu.

“Oh, Cik Deila Araferro ya? Unik sungguh nama cik ni. Ada darah campuran ke?”

Tawa kecil terletus dengar pertanyaan wanita itu. Dia geleng. Pertanyaan macam tu sudah sebati dalam diri. Semua gara-gara sebaris namanya.

“Taklah, saya berdarah tulen. Opah saya yang beri nama tu. Zaman opah saya dulu selalu bersiaran dalam televisyen cerita bersiri dari Sepanyol yang famous dengan perkataan ‘pero-pero’ tu. Dia minat gila cerita bersiri tu.” Wanita itu mengangguk sambil tertawa lucu.

“Ah, ni mesti cucu kesayangan opah.” Usik wanita itu. Dia, si pemilik nama unik Deila Araferro hanya tersengih.

“Cik Deila boleh guna lift untuk ke tingkat satu. Bilik temu duga itu terletak di hujung tingkat satu. Nanti cik boleh rujuk penunjuk arah yang disediakan. Pakai identify card ini sepanjang berada dalam bangunan ni tau. Nanti timbul pula masalah kalau bos baru yang turun sendiri dan menemu duga cik.”

Deila Araferro menyambut kad nama yang dihulurkan. Wajah wanita itu ditenung beberapa saat.

“Bos baru? Boleh saya tahu kenapa bertukar bos?” Keterujaan sedikit merosot bila dengar berita tersebut. Hanya ada satu sebab mengapa bertukar bos. Pasti syarikat terkemuka itu mengalami masalah kewangan. Aduh, adakah dia tersilap memilih?

“Bos lama nak bersara dan anaknya yang akan ganti tempat dia. Dengar cerita bos baru ni masih muda dan baru tamat pengajian di luar negara.” Terlukis jelas garis keterujaan di wajah wanita itu ketika menerangkan. Entahlah teruja tu pasal apa, dapat bos baru atau kerana usia bos baru yang dikata masih muda. Mereka dah bosan kot tengok muka dipenuhi keriput setiap hari.

“Oh, macam tu. Wish me luck ya. Saya pergi dulu, terima kasih!” Semangat kembali membara.

“Good luck, Cik Deila Araferro, chaiyok!” Wah, semangat perjuangan membuak-buak bila ada yang bersorak untuk dia. Best juga kalau dia dapat kerja di situ, pasti seronok punya rakan kerja yang mesra dan ceria macam wanita tadi.

Dia teruskan perjalanan menuju ke arah lift. Masuk ke perut lift bila pintu lift terbuka dan terus ditekan punat tingkat yang mahu dituju. Debaran kembali membongkar dada ketika langkah kaki semakin menghampiri bilik temu duga. Cuba bertenang dan menarik nafas sedalamnya. Langkah kembali diatur untuk masuk ke dalam bilik yang pintunya dibiarkan terbuka luas itu.

Ketika melangkah masuk, semangat mulai merundum bila lihat separuh barisan kerusi yang disediakan telah penuh. Mak ai, ramainya! Semakin ramai, semakin tipislah peluang dia untuk diterima bekerja di situ. Punggung dilabuhkan bersebelahan dengan seorang gadis yang kelihatan begitu tekun menatap telefon bimbit.

Niat mahu beramah mesra terbantut bila lihat air muka serius gadis itu. Akhirnya, dia ikut menarik keluar telefon bimbit dan cuba mencari maklumat tentang syarikat tersebut. Semalam, gigih dia dan Amiesya usha maklumat mengenai Lumia Group, syarikat gergasi yang sangat gah di mata dunia itu.

Sebuah syarikat gergasi yang menghasilkan produk sendiri yang pastinya sentiasa mendapat permintaan tinggi dari dalam mahupun luar negara. Setiap produk baru yang dilancarkan pasti laku keras sampai kehabisan stok dan ada yang berputih mata menunggu stok terbaru.

Sistem marketing memang tip top! Itu sebab utama mengapa dia memilih Lumia. Dia mahu masuk dalam team marketing, mempelajari sesuatu dan mahu buka perniagaan sendiri. Tinggi betul angan-angan dia kan? Tapi, seperti kata opah, tiada yang mustahil! Yang penting ada usaha, pasti ada jalannya.

Kemunculan seorang wanita awal 30an bersama seorang lelaki yang agak berusia sedikit di hadapan mereka langsung menyirnakan menungan Deila Araferro. Lensa mata terus difokus ke arah dua manusia di hadapan itu.

“Morning, everyone… Sebelum itu, selamat datang ke Lumia. Saya Aisyah, pegawai yang akan mengendalikan temu duga ini dibantu oleh Harris, lelaki tampan di sebelah saya ni.” Masing-masing mereka terangguk-angguk sambil khusyuk mendengar. Wanita yang menggelar dirinya Aisyah tersenyum sambil memandang lelaki bernama Harris di sebelah saat lelaki itu diperkenalkan.

“Untuk pengetahuan semua, temu duga ini akan dilakukan sendiri oleh bos besar dan saya difahamkan dia sedang dalam perjalanan sekarang. So, sebelum temu duga ini bermula, saya nak tahu siapa-siapa yang sudah berada di sini.”

Dan seperti kebiasaan, satu persatu nama disebut. Selepas kehadiran diambil, Aisyah memaklumkan yang sesi temu duga akan dimulakan sebentar lagi. Mereka akan dipanggil secara berkumpulan untuk menjimatkan masa katanya.

Deila Araferro pandang sekeliling selepas Aisyah dan Harris beredar menuju ke bilik sebelah. Masing-masing pamer wajah stress. Ada yang diam bertekur, ada yang tarik keluar berlembar-lembar kertas dan mulai menghafal isi yang tercatat di dalamnya dan tidak kurang juga yang ralit membaca di skrin telefon dan tab masing-masing.

Keadaan itu buat Deila terikut jadi stress meski pun dia yakin yang dia sudah cukup buat persediaan dibantu oleh Amiesya semalam. Awalnya dia tak buat apa-apa persediaan langsung kerana level konfidennya setinggi gunung Everest, dia juara debat sejak sekolah menengah hingga ke universiti what! Kelentong itu semudah petik jari bagi dia.

Tapi tula, bila kau ada housemate yang perangainya mengalahkan opah kau, semua hal dia nak sibuk, lepas tu paling tak boleh hadap, kaki bebel mengalahkan opah di kampung! Berasap telinga. Selagi kau tak buat apa yang disuruh, sampai esok lusa tulatlah kau hadap mulut pot pet minah tu.

Deila tersentak sekali lagi bila Aisyah keluar dan mula memanggil kumpulan pertama untuk masuk ke dalam bilik penemu duga. Asyik menerawang jauh fikiran! Batin merungut. Dia kembali cuba fokus dan melihat sekeliling. Argh! Stress pula melihat wajah calon-calon yang ada di situ. Akhirnya, henfon ditarik keluar.

“Kumpulan seterusnya, kumpulan ke tujuh. Penama-penama yang saya sebutkan sila berdiri dan ikut saya.”

Deila pasang telinga sambil bola mata ralit memandang skrin telefon.

“Dan yang terakhir, Deila Araferro!” Spontan badan menegak bila dengar nama disebut. Animasi Jepun dengan subtitle English tanpa suara kerana sengaja dia matikan volume yang sedang bermain di layar skrin henfon segera dimatikan. Terkocoh-kocoh Deila bingkas bangun lalu buka langkah besar-besar kerana tidak mahu dicop sambil lewa. Biar nampak cergas dan cerdas di mata pegawai penemu duga itu nanti.

Awalnya, langkah diatur macam dia sedang berada di pentas peragaan, ya! Yakin itu harus walau pun ketinggian dia tidak melayakkan dia untuk menceburi bidang glamour itu. Sayang seribu kali sayang, dia lupa yang dia sedang mengenakan kasut bertumit lima inci yang longgar.

Tepat ketika tubuh berada di dalam bilik temu duga di mana ada dua orang penemu duga sedang duduk menunggu manakala sebuah bangku kelihatan kosong tidak bertuan, Deila terkehel. Hilang kawalan, tubuh rebah ke belakang. Sebelah kaki terangkat saat dia jatuh, menerbangkan sebelah kasut di udara sebelum menghempuk belakang sebatang tubuh berbahu bidang yang sedang berdiri membelakangi mereka dan bercakap dalam telefon.

BUK!

Macam nangka busuk Deila jatuh terlentang di atas lantai. Sakit yang dia rasai taklah sehebat rasa malu yang menguasai diri saat itu. Apatah lagi bila sedar semua mata tertumpu ke arahnya, kecuali lelaki yang masih khusyuk berbual dalam telefon membelakangi dia.

Saat-saat kritikal macam tu, tiba-tiba sebuah lagu bahasa Jepun berkumandang. Lantang membingitkan telinga!

Konna koto ii na
dekitara ii na
anna yume konna yume ippai aru kedo

minna minna minna
kanaete kureru
fushigina pokke de kanaete kureru
sora wo jiyuu ni tobitai na (hai! takekoputaa!)

An An An
tottemo daisuki
Doraemon

Okay, ini sangat memalukan. Tapi dia peminat tegar animasi Jepun dan salah satu yang tak lapuk dek zaman ialah Doraemon. Dialah peminat sejati sejak zaman kanak-kanak hingga dewasa. Salah ke dia minat Doraemon? Mengapa dia dipandang seperti penjenayah saat itu?

“Please, no hand phone while you are in this room!” Aisyah pantas menegur sambil tayang wajah kurang senangnya. Dah tua macam ni, kalau kahwin pasti beranak pinak dengan jayanya… pakai lagu Doraemon sebagai ringtone? Deila dipandang dengan rasa pelik.

“Maaf!” Sambil berusaha bangun dengan hanya memakai sebelah kasut yang pastinya terlalu sulit untuk dia lakukan tanpa sebarang bantuan, telefon bimbit diambil lalu diletak dalam silent mode. Melihat nama yang tertera, Deila tidak jadi mahu menolak panggilan tersebut. Lama mata terlekat pada skrin. Rasa malu yang membuak-buak terus sirna.

Gegaran pada peranti empat segi itu hanya terhenti sekejap. Kemudian, bergetar semula seperti getar yang Deila rasai di dada sebaik sahaja melihat nama si pemanggil.

“Anda semua boleh ambil tempat duduk di kerusi yang tersedia!” Suara lantang wanita bernama Aisyah itu tak sedikit pun buat Deila mengalihkan mata dari skrin telefon bimbit yang dipegangnya.

“Cik?” Aisyah menegur Deila yang masih mematung tidak jauh darinya.

“Maaf, saya kena sambut panggilan ni. Ianya mungkin tentang opah saya di kampung.” Aisyah tergamam bila lihat Deila pusing badan lalu terenjut-enjut buka langkah menuju ke pintu keluar.

“Deila! Asal lambat sangat kau angkat telefon?” Suara seorang lelaki menerjah pendengaran.

“Kenapa Mirul?” Deila terus tanya. Panik bila dengar suara cemas Amirul, anak ketua kampung.

“Opah kau tiba-tiba pengsan dalam perjalanan balik dari bendang! Bapa aku dah puas larang opah kau tu turun bendang, tapi dia tak nak dengar! Bapa aku dalam perjalanan bawa opah kau ke hospital sekarang.”

Ya Allah ya Tuhanku! Pandangan tiba-tiba jadi kabur.

“Whose damn shoe is this?!” Suara jeritan seorang lelaki dari dalam bilik sudah tidak Deila pedulikan. Sebelah kasut milik Amiesya yang masih tersarung di kaki ditanggalkan lalu dia kepit di celah ketiak. Dengan hanya berkaki ayam, Deila Araferro berlari menuju ke lift bersama air mata yang laju menuruni pipi.

“Opah!!! Tunggu Deila please!!!”

Sementara di dalam bilik, seorang lelaki sedang merenung tajam kasut tumit tinggi berwarna hitam saiz lapan itu dengan wajah merah padam.

“Cari siapa pemilik kasut ini!”

Hai semua, cerita ni free sampailah ke penamat dan tak akan diunlock ya. Hope you all enjoy! cite santai jer tau. Love, peace and hug!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience