Bab 7

Short Story Series 2699

SEPERTI biasa, hujung minggu itu Eshan pulang ke kampung setelah dua minggu tidak pulang disebabkan terlalu sibuk dengan urusan kerja. Dia masih bermalas-malasan di atas katil. Tiada apa-apa rancangan untuk hari ini. Pintu biliknya diketuk seseorang. Wajah uminya terjegul di depan pintu itu. Eshan bingkas bangun dari katilnya, tahu benar dia kalau umi akan membebel bila nampak dia masih melingkar dalam selimut walaupun matahari dan meninggi.

“Angah, lepas mandi, jom makan. Mak ada benda nak bagitahu Angah.” Kata uminya. Bunyi macam hal penting. Eshan hanya menurut perintah. Selesai mandi, dia menuju ke dapur. Bau aroma sambal nasi lemak menusuk hidungnya.

“Wah, umi, siap buat sambal sotong favourite Angah ni, ada apa-apa ke umi nak bodek Angah.” Eshan mengambil tempat di sebelah adiknya, Eryna.

“Hah, memang ada benda pun umi nak dari angah. He he he.” Jawab Eryna. Dia menghabiskan sisa nasi lemak itu dan bingkas bangun.

“Adik, dah siap makan? Cepatnya. Lawa-lawa ni nak pergi mana?” tanyanya.

“Nak keluar, harini kawan adik kahwin, so nak kena pergi awal rumah dia, jadi bridesmaid.” Eshan hanya menggangguk. Uminya menuangkan air kopi ke dalam cawan. Dia duduk bersebelahan Eshan yang sedang ralit menikmati nasi lemak itu.

“Angah, angah ni, gay ke?” tanya uminya.

“Uhuk, uhuk.” Eshan tersedak. Laju dia mencapai air kopi di hadapannya.

“Ya ALLAH umi, soalan apa tu umi? Astagfirullah hal azim!”

“Dahtu, yang kamu tak kahwin-kahwin lagi ni kenapa? Kamu tu dah 29, sikit masa lagi 30. Mak ni pulak, makin hari makin tua. Mak nak tengok anak-anak mak kahwin sebelum mak pergi.” Ujar uminya.

“Pergi ke mana pulaknya umi? Kenapa umi cakap macam tu? Tua sangat ke Angah ni?”

“Ya, tua. Orang lain baya-baya kamu, dah anak dua tau. Tu anak si Yah tu, baru 27, dah dua. Haa lagi, anak maklong kamu, lagi muda dari kamu, dah dua orang anak jugak, sikit masa lagi tiga gamaknya budak tu. Kamu ni, bukan tak handsome, handsome, lagi handsome dari anak orang lain, ada kerja, kereta besar, ada rumah sendiri. Apa lagi yang tak kena. Anak umi ni dah lengkap serba serbi.” Luah ibunya.

Eshan mengeluh. Kalau inilah hal yang nak dibincangkan, dia sanggup berhujung minggu di bandar saja.

“Umi, bukan Angah taknak kahwin, tapi orang tu yang reject Angah, Angah nak buat macam mana?”. Katanya bersahaja.

“Siapa yang berani reject anak umi yang helok ni. Bagitahu umi, nak kena dia ni.”

“Marissa.”

“Marissa? Marissa kawan kamu tu?”. Tanya uminya. Setahu dia, Marissa pernah bertunang sebelum ini tetapi putus sebab tunangnya buat hal. Setelah itu, tak kahwin lagi sampai sekarang dan asyik berkepit dengan anak terunanya ini.

- - - - - - - - - - - -

Marissa mencuci pinggan mangkuk yang ada di dalam sinki. Hari ini hari lahir ibunya. Disambut secara serba sederhana sahaja mereka anak beranak. Suka ibunya dengan hadiah telekung yang diberikannya. Namun, ada satu lagi hadiah yang ibunya minta. Menantu! Marissa mengeluh. Pili air ditutup.

“Ai, Mar. Mengeluh panjang nampak. Takkan basuh pinggan dah mengeluh kot.” Ilya Mardhiah, kakaknya juga turut pulang bagi menyambut hari lahir ibu mereka.

“Eh, Kak Ya. Mana ada Mar mengeluh sebab pinggan mangkuk ni. Mar mengeluh sebab lain.” Dia mengambil tempat di sebelah kakaknya di meja makan itu.

“Sebab mak nak menantu kan?” teka Ilya. Marissa menjungkitkan bahunya. Ilya tersenyum.

“Mar tak ada kenal sesiapa ke sekarang ni? Mar kan kerja as insurance people, banyak jumpa orang, takkan tak ada yang berkenan kat Mar ke apa ke?”

“Kenal siapa, lately ni Mar agak sibuk dengan kerja Mar, jadi Mar tak ada masa nak kenal-kenal dengan sesiapapun hatta nak beramah mesra dengan client-client Mar. Em, yang dekat dengan Mar sekarang ni, Eshan. Itu ajelah. Mar bukan ramai kawan pun kak.”

“Eshan? Kawan baik Mar dari sekolah tu? Dia tak kahwin lagi ke Mar?”

“Sama macam Mar kak. Belum kahwin-kahwin lagi. Dia kata kalau Mar kahwin dengan lelaki yang baik, elok, barulah dia akan cari jodoh dia. Kalau Mar dan dia tak jumpa jugak jodoh masing-masing, dia kata elok kitorang yang kahwin. Pelik kan dia tu kak? Ada pulak nak tunggu Mar kahwin. Dahtu nak kahwin dengan Mar. Memang taklah Mar nak kahwin dengan dia.” Panjang lebar Marissa menjawab. Ilya tersenyum.

“Lah, kenapa pulak tak nak kahwin dengan dia? Elok je akak tengok dia. Apa yang tak kenanya? Sama-sama bujang. Lagipun, akak pun dah lama perhati, dia asyik berkepit je dengan Mar. Lagi-lagi lepas kejadian putus tunang Mar. Selalu jugak mak bagitahu, Mar selalu keluar dengan dia kat KL sana. Dia memang tak ada steady girlfriend ke?”

“Entah-entah dia memang tunggu Mar kot, suka kat Mar. Mar je yang tak sedar semua tu. Kadang-kadang melalui perbuatan contoh caring, selalu ada di sisi, tolong kita walaupun diri sendiri tersepit, dah menunjukkan yang dia tu suka kat kita.” Kakaknya menambah.

Marissa menghela nafas panjang. Kata-kata kakaknya sama seperti Aifa. Tapi sejauh manakah kebenarannya? Betulkah Eshan menyukainya? Menunggunya?

“Em, sebab Mar tak ada apa-apa perasaan kat dia kak. Dia kawan baik Mar dari zaman sekolah lagi. Sepanjang persahabatan kami ni, tak pernah terdetik pun dalam hati Mar tersuka, tersyok kat dia. Even masa Mar putus hari tu, dia yang banyak bagi semangat kat Mar, tapi Mar hanya anggap dia sebagai kawan je. Seorang kawan yang caring. Tak lebih dari tu.” Balasnya. Ilya Mardhiah hanya menggeleng.

“Cuba la Mar buat solat istikharah. Mintak petunjuk dari ALLAH. Buka hati Mar tu. Dah tertutup sangat akak tengok. Kadang-kadang, kita sebenarnya tak sedar pun yang kita perlukan seseorang lebih dari dia perlukan kita, sehinggalah kita kehilangannya. Akak doakan yang terbaik untuk Mar. Ingat, Mar dah 29 tahun ni. Tak lama dah 30.” Nasihat kakaknya. Dia bangun meninggalkan Marissa di meja makan itu. Memberi ruang untuk adiknya berfikir.

Marissa bersandar. Dia tak tahu nak buat apa dengan kehidupan cintanya. Perlukah dia terima lamaran ajak-ajak ayam Eshan tu hanya sebab ibunya mahukan dia berumahtangga? Atau dia perlu membuka hatinya kepada orang lain? Marissa pening!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience