Bab 42: VeoBay Group

Romance Series 20066

VEOBAY Group. Tengok aje papan tanda besar yang tertera di tingkat atas bangunan itu membuatkan rasa gemuruh dalam diri Damia makin mencanak-canak meningkat. Mana taknya, hari ini dia akan menjalani temu duga di syarikat ni.

Tak sangka ada jugak syarikat besar di bumi Perlis ini. Selalunya, syarikat yang gah berdiri mencakar langit ini sering dilihat di Kuala Lumpur. Tapi tak pelik jugalah kerana VeoBay Group ini didirikan di bandar Kangar, yang bermaksud jauh dari tempat tinggal Damia di Bukit Pelarit.

Nak datang ke Kangar ni pun, jauh juga perjalanan. Ambil masa 45 minit juga tu. Itu pun datang menggunakan perkhidmatan Grab. Disebabkan itu dia tak datang ke sini menggunakan motosikal milik suaminya.

Kan dah membazir wang. Kalau tak dapat kerja kat sini, tak tahulah nak cakap apa.

Ketepikan tentang VeoBay Group atau apa-apa pun, yang Damia rasa tak sedap hati sekarang ni ialah jawatan yang akan dia sandang sewaktu ditemu duga di sini nanti. Tak tidur malam dia memikirkan benda tu!

Suaminya memberitahu bahawa Zaid yang menawarkan kerja kat syarikat ini kepadanya seminggu yang lepas. Gembira jugaklah dia dengar tentang tawaran di syarikat ini tetapi timbul juga rasa ragu-ragu.

Dia ditawarkan bekerja kat sini tapi posisinya bekerja tidak dapat diketahui. Malah, ketika dia bertanya suaminya semula, suaminya hanya menjongketkan bahu. Kata Syafiq, Zaid akan memberi kerja mengikut kelulusan setelah Zaid menemu duga Damia.

Pertama kali dalam sejarah, dia datang untuk interview tanpa mengetahui akan jawatan kerja tersebut. Haih!

Kalau ikut kelulusan, entah-entah dapat jadi cleaner kat sini? Ah! Tak kisahlah, janji ada kerja. Damia cuba menyedapkan hati untuk menerima walaupun terasa berat.

Tapi itulah, Syafiqlah yang memberi dorongan untuk Damia datang mencuba nasib di syarikat ini. Mana tahu, ada rezekinya kat sini. 

Damia memang tak peduli untuk kerja kat mana-mana pun. Kalau dia dapat bekerja di syarikat ini pun, dah terlebih baik rasanya. Tak sangka syarikat besar ni kepunyaan Zaid.

Cakap pasal Zaid, mahu terjojol biji mata Damia apabila suaminya memberitahu yang syarikat ini milik Zaid Zaffran! Lelaki yang dia bertemu tempoh hari merupakan CEO di syarikat ini? Shocked, but not surprised.

Tak hairanlah, tengok gaya Zaid sewaktu di kampung itu pun dah tahu. Paling koman pun, pasti Zaid tu anak Datuk. Ala-ala anak Datuk Megah Holding gitu. Jadi, apa baranglah nak jadi CEO pun. Sempat lagi Damia puji. Bakal bos tu.

Tapi kenapa dia dengan senang hatinya mahu datang temu duga kat sini? Dia datang sebab suaminya atau dirinya sendiri?

Damia akui kedua-duanya. Kerana dia mendapat dorongan dan keizinan suaminyalah, dia sudah tercegat di hadapan bangunan ini. Dan, kerana tekad yang ada dalam dirinya untuk mencari kerjalah yang membuatkan kakinya mulai melangkah masuk ke dalam bangunan ini.

Bertemankan rasa gementar, langkah diatur. Butang lif ditekan menuju ke tingkat 7 usai bertanya arah kepada seorang pengawal keselamatan berwarga asing. Sebaik sahaja memasuki ruang lif yang kosong itu, nafas dihembus cuba bertenang.

Takkan berdebar jumpa Zaid pulak? Damia dah geleng kepala. Minta simpanglah. Sejak bila dia terhegeh-hegeh dengan lelaki tu. Lelaki tu yang tawarkan kerja melalui suaminya, dia terima ajelah.

Apa yang dia risau sekarang ini ialah takut gagal memperoleh kerja buat berapa kali entahnya. Kalau dia gagal dapat kerja kat sini, dia mahu berkurung seharian dalam bilik. Mahu mogok.

Berjalan jauh datang ke Kangar, lepas itu membazirkan masa, tenaga dan air liur pula tu. Memang patut dia mahu buat macam tu.

Kalau Zaid tu tak bagi aku apa-apa kerja kat sini, siap kau Zaid! Aku report kat suami aku! Sempat lagi Damia mengugut dalam hati.

Eleh, kalau report kat Syafiq pun dia boleh buat apa je? Syafiq dengan Zaid pun baru kenal, bukannya kawan baik pun. Damia mengeluh lagi.

Pintu lif terbuka. Langkah berat diatur menuju ke sebuah meja kaunter. Damia berjalan menghampiri seorang wanita bertudung biru itu. Mungkin dia receptionist kat sini.

"Ya, cik. Ada apa yang boleh saya bantu?" tanya wanita itu dengan penuh sopannya.

"Umm ... saya nak jumpa Encik Zaffran. Saya ada interview kerja kat sini."

Nak aje Damia pukul diri sendiri sekarang ni. Biul! Dah kenapa panggil dengan panggilan Encik Zaffran? Tengom wajah penyambut tetamu yang sedikit berkerut itu pun dah tahu yang staf di sini lebih gemar memanggilnya dengan nama Zaid.

Ah! Tak kisahlah. Zaffran tu nama dia juga. Dia sendiri yang perkenalkan nama dia macam tu kat aku. Damia membedil hatinya yang tak henti-henti membisik.

"Nama apa, ya?" soal penyambut tetamu itu.

"Damia Qistina."

"Okey, Cik Damia. Saya akan inform dia. Cik duduk dulu kat situ, nanti kalau Encik Zaid suruh panggil masuk, saya bagitahu cik."

"Hmm ... baiklah. Terima kasih." Damia senyum lebar lalu dia henyakkan punggung di atas sofa empuk berdekatan situ. Sofa yang dikhaskan untuk tetamu menunggu.

Tatkala menunggu penyambut tetamu itu memberitahu tentang kehadiran dirinya kepada Zaid melalui interkom, Damia termenung seketika. Perbualan bersama suaminya tempoh hari menjadi imbasan minda.

"Abang nak saya kerja kat syarikat Zaid tu?" tanya Damia.

Syafiq angguk lalu dia pancarkan senyum yang penuh kehambaran.

Damia makin buntu. Mulut suaminya dari tadi mengizinkan untuknya pergi mencuba nasib ke syarikat Zaid itu, tetapi kenapa wajah suaminya kelihatan sugul saja?

"Abang dah fikir benda ni ni sejak tiga hari yang lepas. Sejak Zaid bagitahu abang tentang offer ni, abang tak bagitahu sayang dulu. Tapi lepas tiga hari ni, sayang tetap tak dapat kerja. Jadi abang tak perlu nak sorokkan offer ni sebab mungkin rezeki sayang ada kat syarikat Zaid," terang Syafiq. Tubuhnya tepat menghala kepada si isteri yang perlukan sokongan.

"Saya rasa macam berbelah bahagi. Patut ke saya pergi sana? Dengan kelulusan takat STPM saya ni nak kerja kat syarikat besar. Zaid tau tak tentang tu?" Damia bertanya lagi.

"Abang dah bagitahu semuanya tentang sayang. Tahap pendidikan sayang, pengalaman kerja sayang. Tapi dia tetap suruh abang sampaikan tawaran ni kat sayang. Katanya, dia nak bantu sayang dapat kerja. Ye la, dia pun faham nak cari kerja susah lagi-lagi kat area kampung ni."

Keluhan berat dilepaskan Damia. Dia patut yakin yang dia boleh. Dia patut tahu yang dia takkan gagal lagi.

Terasa tangannya digenggam, Damia terus angkat wajahnya memandang suaminya.

"Sayang jangan risau. Sayang memang nak cari kerja, kan?"

Damia mengangguk laju.

"Jadi, sayang patut cuba nasib kat syarikat Zaid tu. Abang percayakan Zaid walaupun kenal dia gitu-gitu je. Insya-Allah, Allah akan permudahkan urusan sayang," ucap Syafiq memberi semangat.

Dia tahu isterinya masih takut pisang berbuah dua kali. Bukan dua kali, tapi berkali-kali jugalah. Beria-ia datang temu duga, bersungguh-sungguh sediakan itu dan ini. Lepas tu? Hancur!

"Saya kalau Zaid tu bagitahu tentang jawatan kerja saya, saya takkan gelisah macam ni, bang. Ada ke patut dia tawarkan kerja tapi tak bagitahu kerja dalam skop apa? Takkan dia tak bagitahu abang masa tu? Abang cubalah call dia," luah Damia tercebik-cebik bibirnya.

Syafiq geleng. "Dia tak bagitahu pun tentang tu. Dia kata, dia akan interview sayang, dan akan bagi kerja ikut kelayakan. Abang nak call, tapi abang tak sempat bertukar nombor dengan dia. Tapi jangan risaulah sayang. Dia orang ternama tu, takkan nak tawarkan kerja tak elok pulak."

Terlalu positif suaminya. Cemburu Damia dengan sikap suaminya itu. Tapi di sebalik kepositifan suaminya itu, Damia tahu suaminya tetap risau. Cuma, sengaja dia sorokkan kerisauannya agar matlamat Damia berjaya dicapai.

Ya, asalkan dapat cari kerja yang halal.

Damia hela nafas sebelum kepalanya mengangguk.

Lamunan Damia terputus apabila namanya dilaung oleh penyambut tetamu tadi. Langsung dia angkat wajah dan menghampiri wanita itu.

"Encik Zaid suruh cik masuk ke pejabat dia sekarang. Pejabat dia kat hujung sekali." Jari telunjuk penyambut tetamu itu terhala kepada bilik berdinding kaca itu.

Damia ucapkan terima kasih lalu dia berjalan beriringan dengan rasa yang penuh gemuruh. Rasa jantungnya sudah berdetak tak seirama. Tak sekata. 

Nafas dihela dan ditarik perlahan. Sumpah! Kenapa rasa berdebarnya lain macam? Mungkin dia mengharap sangat untuk dapat kerja kat sini. Tapi kalau tak dapat pun, itu tak mengejutkan. Dia tak perlu berharap lebih.

Jadi cleaner? Atau tea lady? Itu sebenarnya sudah cukup tapi dah nama pun serakah, Damia tetap rasa tak puas. Hampir sebulan dia ke hulu dan ke hilir meminta kerja, takkan kerja itu saja yang dia mampu dapat? 

Ish! Tak bersyukur betul kau ni, Damia. Nama pun kerja, terima ajelah. Kata kerja susah nak dapat zaman sekarang ni tapi pandai pulak kau nak memilih. Hati Damia membentak otak yang menyalut pemikiran negatif.

Baju kurung moden berwarna peach dilabuhkan. Begitu juga tudung shawl berwarna krim dibetulkan. Semuanya dibelikan oleh suaminya. Semoga adalah tuahnya di situ. Mana tahu, pemberian suami ini selalunya bawa berkat.

Selepas itu, doa dipanjatkan agar dipermudahkan segala urusannya hari ini. Segala pesanan yang dititipkan suaminya tadi tidak dia lupa. Semua dia amalkan.

First impression depan bakal bos tu penting! Kena kemas sentiasa. Tapi itulah, bakal bosnya tu dah kenyang tengok dia menangis dah pun. Tak terbayang betapa buruknya dia waktu mengongoi dengan suaminya minggu lepas tu. Alahai, malunya kalau diingat balik!

Papan plat yang terlekat pada pintu kaca yang tertera nama 'Muhammad Zaid Zaffran' ditatapnya lama. Lama dia berdiri di depan dinding dan pintu kaca tinted itu untuk mengumpul kekuatan. Nafas dihela buat kesekian kali.

"Assalamualaikum, encik. Boleh saya masuk?" tanya Damia penuh sopan. Takkan nak main redah saja masuk bilik bakal bos. Nanti ada juga yang kena halau keluar.

"Waalaikumussalam ... yes. Come in!" Sedikit keras suara itu di dalam.

Damia membuka langkahnya dan pintu kaca itu ditolak. Apabila melangkah masuk sahaja ke pejabat milik Zaid itu, Damia tundukkan kepalanya tanda hormat.

"Please have a seat," pelawa Zaid. Matanya tertumpu pula kepada wanita di hadapannya selesai mengerjakan sesuatu pada laptop di depannya.

Damia duduk menghadap Zaid. Hanya meja kerja Zaid sahaja yang memisahkan mereka sekarang ini. Mata mereka saling memandang. Wajah Damia penuh tegang, manakala Zaid penuh tenang.

Lain betul Zaid hari ini. Nampak lagi ... segak? Segaklah dengan baju kerjanya. Kot hitam yang disatukan dengan baju kemeja putih, nampak betul-betul macam CEO dalam drama televisyenlah pulak!

Muka pun jambu dan suci aje, macam pelakon Cina. Rambut pun, kemas saja tersisir. Dan sudah tak berkarat macam mula-mula dia jumpa lelaki itu minggu lalu. 

Dulu taste kau macam itulah kan, Damia? Taste jambu dan putih ala-ala pelakon Korea dan Cina. Dulu pun, peminat Korea sungguh kau.

Tapi sekarang, lepas berjumpa dengan Syafiq, semua berubah. Taste berubah, hobi berubah, semuanyalah berubah. Kini, ciri idaman kau adalah Syafiq. Ya, hanyalah Syafiq sampai bila-bila pun. Damia meluruskan fikirannya yang berterbangan entah ke mana.

"Dah habis mengelamun?" 

Damia tersentak. Nak aje dia tampar pipinya sendiri sekarang ini. Macam mana dia boleh berangan tadi? Fikir pasal Korealah, suaminyalah, sampaikan tak sedar yang dia sedang menjalani temu duga. Temu duga tu!

Tapi melihat bibir Zaid yang tersungging sedikit, hati Damia sedikit lega. Fuh! Ingat dah nak kena halau tadi. Baru tak sampai seminit bertemu bakal bos, ada saja masalah yang ditimbulkan. Baik dia minta maaf sekarang.

"Maaf, Encik Zaffran. Saya nervous tadi," dalih Damia. Takkanlah nak jujur mengatakan dia berangan pula, kan?

Wajah Zaid sedikit berubah. "Awak panggil saya apa tadi?"

"Apa?" Gelabah buat kali kedua. Ha, sudah! Banyak betul masalah kau buat ni, Damia. Itu belum mula lagi temu duga.

"Just now, awak panggil saya apa?"

"Err ... Encik Zaffran?" 

Bibir dikemam. Okey, sekarang dia baru tersedar yang dia sudah tersalah sebut nama. Mestilah tersalah sebut, mungkin 'Zaffran' itu nama ayahnya. Sepatutnya dia kena panggil dengan 'Encik Zaid' saja tadi. Aduh! Boleh pula kau terlepas cakap, Damia. Tadi, kat receptionist pun sama. Rungutnya dalam hati.

Zaid diam. Tak tahu dia mahu bereaksi apa. Nak kata marah pun tak, nak kata senang pun tak. Wajahnya ... kosong.

"Saya mintak ma ... maaf, Encik Zaid. Saya tak tahu yang Zaffran tu ..."

Belum habis pun Damia menghabiskan ayatnya, Zaid segera memotong, "No! No! It's okay. Zaffran tu pun nama saya. Muhammad Zaid Zaffran Bin Fazrul. Tapi staf kat sini selalu panggil saya dengan 'Encik Zaid' je. Dan nama 'Zaffran' tu selalunya arwah papa dan arwah mama saya je yang panggil guna nama tu. Itu yang saya terkejut sikit bila awak panggil saya dengan nama tu."

Damia angguk. "Oh, ye ke encik? Saya memang tak tahu yang orang lain selalu panggil 'Encik Zaid' tu. Maaflah sebab main sebut je tadi."

Patutlah Zaid tergamam. Nama Zaffran itu hanya disebut oleh orang yang teristimewa baginya. Arwah ayah dan arwah ibunya. Jadi Zaid ini adalah yatim piatulah, ye? Satu info baru berjaya dikumpul Damia.

"Eh, tak apa. Panggil je saya dengan 'Encik Zaffran' pun. Saya tak kisah." 

"Baik, Encik Zaffran." Damia angguk lagi.

Alhamdulillah, nasib baiklah bakal bosnya ini boleh tahan juga orangnya. Kalau baran, entah apalah nasibnya lepas ini. 

"Saya rasa kita patut proceed dengan interview ni. So, bawak tak dokumen yang saya suruh tu? Suami awak ada bagitahu, kan?"

"Ya, ya. Ada. Saya dah sediakan sijil-sijil dan resume yang encik perlukan. Suami saya dah bagitahu semua." Fail di dalam beg tangan dikeluarkan lalu diserahkan ia kepada Zaid. Zaid menerima fail itu lalu dibelek-belek fail itu dengan telitinya.

Damia makin gelisah. Bab-bab sijil ni yang sedikit meresahkan hati. Sudahlah STPM dia ambil bidang sastera. Lepas itu SPM pun bidang perakaunan. Jadi apa kaitan dengan skop kerja di syarikat Zaid ini? 

Nak kata keputusannya cemerlang, tak adalah sangat. Keputusan yang hanya melayakkan dapat sijil aje.

Itulah, masa dapat tawaran sambung belajar Diploma di UiTM Merbok, dia sendiri yang tolak. Katanya, jauhlah, malaslah, banyak alasan! Padahal waktu itu ibunya mampu sahaja menampungnya pergi ke sana. 

Itu baru kelulusan pendidikan. Kalau fasal pengalaman kerja? Mahu nangis rasa kalau dibaca semula resume yang disediakannya.

'Empat tahun bekerja sebagai juruwang di sebuah kedai runcit.'

Sebaris ayat itu sahaja yang mampu dia paparkan dalam resumenya. Kalau majikan lain, dah ditolak mentah-mentah agaknya Damia ini. Macam dia lalui selalu. Tapi tak tahulah Zaid ni macam mana orangnya.

Lama Zaid teliti dokumen-dokumen itu sebelum bersuara, "So, lepas STPM, awak tak sambung belajar?"

"Ya." Damia sengih. Dah terhidu dah tu bau-bau nak kena reject.

Dan beberapa lagi soalan tentang latar belakang pendidikan Damia ditanya. Damia angguk dan dijawab dengan penuh tenang. Dikira baik dah tu kerana dia berjaya kawal rasa resahnya tadi. 

"Awak pun ada kerja jadi cashier kat kedai runcit? Empat tahun? Boleh tahan lama jugak tu."

"Ya, encik. Lepas habis SPM, saya menganggur setahun lepas tu saya kerja jadi cashier tu."

"Kedai runcit mana? Macam 7E? Atau mini market?"

Itu dia! Soalan membunuh sungguh. Tapi takkan Damia mahu menipu pula. Nanti makin teruk jadinya.

"Err ... kedai runcit mak saya. Kat kampung yang saya duduk tu jugak. Saya kerja kat situlah dulu."

Kalau diikutkan, sampai sekarang dia pasti akan bekerja sebagai cashier di kedai runcit ibunya. Tapi tak pasal-pasal diberhentikan pula. Bila difikirkan, tak mengapalah. Bagus juga ibunya paksa berhentikannya pun. Dengan gaji yang ibunya bagi pun terlalu dikit, macamlah dia nak sangat kerja kat sana.

"Oh, I see ..." Terangguk-angguk kepala Zaid. "Okey, soalan last sebelum kita akhiri interview ni, kenapa awak nak kerja kat sini? I mean, main purpose awak cari kerja," sambungnya.

Soalan yang bisa ditebak. 

"Firstly, sebab saya nak bantu ringankan beban suami saya. Saya akui yang kami suami isteri mengalami masalah kewangan disebabkan satu peristiwa yang berlaku."

"Peristiwa kebakaran tu, kan?" teka Zaid.

"Ma ... macam mana encik tahu?"

"Kan masuk berita."

Oh! Damia angguk berkali-kali. Lupa dia tentang perkara itu. Bila diingat semula, banyak jugalah wartawan yang berpusu-pusu mahu membuat liputan mengenai kes yang berlalu itu. Tak sangka pula Zaid ini ambil tahu tentang berita itu. Siap ingat lagi siapa mangsanya.

"Awak kata awak nak bantu suami awak dapat duit. Baguslah kalau niat awak nak bantu suami awak tu. Tapi boleh saya tanya satu benda?" Jari-jemari Zaid bercantum. Sikunya bertemu meja dan dagu ditongkatkan.

"Ya. Boleh, encik."

"Awak dengan Syafiq, dah berapa lama kahwin?" tanya Zaid dengan penuh perasaan ingin tahu.

Damia bungkam seketika. Ini termasuk dalam soalan yang selalu ditanya dalam temu duga ke? Dah macam nak mengorek rahsia aje.

Tapi takkanlah Zaid nak korek hal peribadi pula. Dah dia interviewer dan merangkap bos kat sini, mestilah dia kena tahu semua benda tentang pekerjanya. Damia jernihkan pemikirannya.

"Baru minggu lepas perkahwinan kami genap dua bulan," jawab Damia tersenyum nipis. Cepat saja masa berlalu, tengok-tengok dah dua bulan. 

Zaid angguk dan tersenyum. Fail milik Damia itu ditutup menandakan sesi temu bual sudah tamat. 

"You're good, Damia. I like your attitude and the way you answer all my questions. Tapi, maaf kalau saya terkasar bahasa sikit. Secara realistik, berdasarkan qualification yang awak ada, memang susah sebenarnya nak terima awak masuk ke dalam VeoBay Group ni."

Harapan jatuh merudum umpama menjunam jauh sedalam air di Lautan Pasifik. Kena reject lagi setelah banyak soalan yang ditanya? Kurang ajar! 

Kalau dah tak nak terima tu, tak payahlah tanya banyak-banyak! Hari tu terhegeh-hegeh sampaikan offer interview ni kat suami aku macam beria-ia nak aku kerja kat sini. Aku ingat, dia tanya banyak-banyak macam ni, adalah harapan aku. Huh! Geramnya. Bertubi-tubi kata makian yang disembur dalam hati Damia.

"Aaa ... umm ... tak apa, encik. Saya faham." Damia cuba menerima hakikat tapi riak kekecewaan tak mampu dia sembunyikan di balik wajah.

"I'm sorry. Tapi jangan risau, Damia. Disebabkan effort yang awak ada, disebabkan awak tak henti putus asa, saya rasa saya patut bagi peluang kat awak untuk rasa pengalaman bekerja kat sini."

Hati yang remuk berkecai seperti mahu bercantum semula. Sekejap, jadi dia ada harapan lagilah ni? Tolong jangan bagi harapan palsu.

Dengan nada yang masih mampu dikawal, Damia bertanya, "Be ... betul ke ni, Encik Zaffran?"

"Yes. Saya nak bagi awak satu peluang yang jarang orang lain dapat. I think, kerja ni sesuai dengan awak."

Berubah lagi wajah Damia dengan jawapan Zadi tu. Cakap pasal peluang dapat kerja itu, memang dia mahu melompat seronok tapi kerja apa? Si Zaid ni pun buat saspens aje.

"Kerja sebagai apa tu?"

Zaid tersenyum nipis sebelum menjawab soalan Damia itu. 

Bersambung...

Hmm Zaid ni mcm ada udang di sebalik batu je :/

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience