Bab 2

Romance Completed 33915

"Assalamualaikum..." Damya membuka kasut lalu melangkah masuk ke dalam rumah.

"Waalaikumussalam... hmm, anak ibu dah balik dah..." Damya segera mencapai tangan ibunya lalu dikucupnya perlahan. Pipi ibunya juga dicium sekilas. Begitulah rutin hariannya apabila pulang daripada tempat kerja.

Puan Aisyah tersenyum melihat anak kesayangannya itu. Damya sememangnya manja dengan dia.

"Ibu masak apa malam ini?" Soal Damya yang mula mengorak langkah ke dapur bersama-sama ibunya.

"Ibu nak masak ayam kari aje. Adik pergi mandi dan salin pakaian dulu. Lepas tu tolong ibu buat air." Arah Puan Aisyah pada Damya.

"Okey ibu. Adik naik dulu." Damya segera menaiki tangga untuk ke bilik bagi membersihkan dirinya terlebih dahulu.

Mereka sekeluarga menggelar Damya sebagai adik kerana Damya merupakan anak bongsu dalam keluarga Encik Zairi. Anak sulung mereka, Firdaus merupakan seorang pilot. Kerana kesibukkan dalam menjalankan tugasnya, dia jarang berada di rumah.

Walaupun hanya dikurniakan dua cahaya mata sahaja, Puan Aisyah dan Encik Zairi sangat bahagia dan bersyukur dikurniakan anak-anak yang taat dan baik seperi Damya dan Daus.

"Sedapnya bau..." Damya mendekati ibunya yang sedang mengacau lauk.

"Dah, tolong ibu buat air. Ayah kamu kejap lagi dah nak sampai dah." Arah Puan Aisyah kepada anaknya, Damya.

"Baik ibu...." Balas Damya.

Bahan-bahan segera dia keluarkan daripada peti sejuk. Dia mula menghiris lemon untuk membuat lemon teh ais. Selepas itu, dia membancuh pula teh dan hirisan lemon dimasukkan ke dalam jag dan menggaulnya bersama-sama sebelum ais dimasukkan ke dalam minuman tersebut.

Damya menuangkan sedikit air itu ke dalam gelas lalu meminumnya.

"Hmm... sedap!" Komennya. Rasa puas hati dengan air buatan sendiri.

Bunyi loceng rumah menandakan Encik Zairi, ayah kepada Damya sudah datang.

"Adik, tolong kacau ni kejap. Lepas dua minit, matikan je api sebab dah nak masak dah tu. Lepas tu hidang lauk ni atas meja. Ibu nak sambut ayah kejap."

"Okey bu..." Damya tersenyum gembira. Dia bahagia. Walaupun ibu dan ayah sudah 28 tahun hidup bersama, tetapi kemesraan mereka seperti orang yang baru menikah. Disebabkan itulah kasih sayang yang diberikan oleh ibu dan ayah kepada dia dan abangnya tidak pernah berkurang. Mereka saling menyayangi dan melengkapi antara satu sama lain.

'Tanpa kasih sayang ibu, ayah dan abang... aku tak rasa aku boleh teruskan hidup lagi.'

DAMYA melihat jam di telefon bimbitnya. 'Baru pukul 10…' bisik hati Damya.

Dia membaringkan dirinya di atas katil semula. Nak tidur, mata susah pula nak lelap. Habis nak buat apa ni? Damya kebosanan. Pandangannya beralih pada laci kecil yang terletak di tepi katilnya. Laju sahaja tangannya menggeledah laci itu dan mencapai sesuatu.

Gambar...

Damya tersenyum melihat gambar itu. Gambar ketika dia berusia 9 tahun bersama seorang budak lelaki yang comel. Lama Damya merenung wajah budak lelaki di gambar tersebut. Budak lelaki itu tersenyum sambil memeluk bahunya. Nampak bahagia.

Damya masih ingat lagi gambar ini di ambil ketika ini dia dan Aqeef menyertai pertandingan teater antara kelas di sekolah rendah dahulu. Dan kelas mereka mendapat tempat pertama. Bukan main gembira lagi Damya dan Aqeef setelah kelas mereka diumumkan sebagai pemenang pertandingan tersebut.

Teringatkan peristiwa itu, terselit rasa rindu pada zaman kecilnya dulu. Banyak kenangan yang dia cipta bersama Aqeef, teman sepermainannya semasa kecil. Tetapi semuanya berakhir apabila Aqeef dan keluarganya berpindah ke Kuala Lumpur. Mereka terpisah ketika Damya berumur 10 tahun. Sehingga kini, dia langsung tidak tahu akan keberadaan Aqeef.

Imbas kembali perpisahan Damya dan Daniel…

Airmata yang bila-bila masa sahaja mengalir cuba ditahan oleh Damya. Dia cuba untuk menguatkan diri menghadapi situasi ketika ini. Aqeef akan pergi meninggalkannya...

Hari ini, Aqeef dan keluarganya akan berpindah ke ibu kota dan meninggalkan kampung halaman yang telah di diami oleh mereka sekeluarga.

Damya sedih. Tidak sanggup rasanya berpisah dengan Aqeef yang bersama dengannya sejak mereka kecil lagi.

"Mya..."

Damya segera berpaling.

Airmata yang cuba ditahan akhirnya menitis jua apabila melihat wajah dihadapannya. Wajah yang akan dia rindui nanti.

Damya menunduk. Tidak ingin untuk Aqeef melihat airmatanya. Tiba-tiba bahunya disentuh seseorang. Siapa lagi kalau bukan Aqeef.

Aqeef... seseorang yang selalu membuli Damya. Tetapi dia jugalah yang akan memujuk Damya. Apabila Damya bersedih dan menangis, Aqeef memujuknya.

Damya cukup selesa bila bersama dengan Aqeef. Aqeef merupakan orang yang dia rapat selepas ibu ayah dan abangnya. Aqeef merupakan seorang sahabat yang sangat memahami karenah Damya Arissa.

"Mya..."

Sebak rasanya apabila Aqeef memanggil namanya. Dia tahu Aqeef cuba memujuk dirinya. Selepas ini, tiada lagi Aqeef yang akan memujuknya.

"Janganlah nangis. Kalau Mya nangis macam ni, susahlah hati Aqeef..."

Aqeef memujuk Damya. Dia juga sedih dengan perpisahan ini. Sedih meninggalkan kampung yang banyak memberikan kenangan indah dalam hidupnya dan sedih untuk berjauhan dengan Damya Arissa.
Kawan yang selalu dengannya sejak mereka kecil lagi.

Damya perlahan-lahan mengangkat kepalanya lalu mengesat air mata yang berjujuran.

Wajah tenang Aqeef ditenung. "Aqeef... jangan lupa Mya tau bila dah tinggal sana nanti."

Aqeef mengangguk perlahan sambil tersenyum. Matanya galak merenung wajah sembab Damya. Damya Arissa yang comel bila dah lepas nangis!

"Aqeef tak akan lupakan Mya. Jangan lupakan Aqeef juga ya. Jangan sedih lagi. Belajar elok-elok dan kejar impian Mya nak jadi doktor tu. Lepas ini, jangan selalu nangis lagi tau. Aqeef tak ada kat sini nak pujuk Mya..." Pesan Aqeef berjela-jela.

Damya mengangguk lemah. Sabarlah duhai hati...

Lama mereka bertatapan sehinggalah mama kepada Aqeef memanggil dia untuk berangkat pergi.

"Mya, Aqeef pergi dulu. Jaga diri Mya elok-elok ya. Ingat pada janji kita. Assalamualaikum."

Aqeef segera berlari anak meninggalkan Damya yang masih terkaku itu.

Walaupun masih dalam keadaan sedikit terkejut, lambaian Aqeef tetap dibalas. Lambaian terakhir daripada Aqeef sebelum kereta yang dinaiki bersama keluarganya hilang daripada pandangan mata Damya.

'Ingat pada janji kita. Lekatkan janji ini kat hati Mya.' Terngiang-ngiang kembali ucapan Aqeef sebentar tadi.

"Mya ingat dan Mya akan tunggu Aqeef tunaikan janji itu. Mya tunggu..."

Damya menangis lagi. Baru sekejap Aqeef meninggalkannya, dia sudah rindukan lelaki itu.

'AQEEF... kau kat mana? Mya rindu...'

Damya sangat merindui Aqeef. Dia masih sabar untuk menanti 'Aqeefnya' kembali.

"Aqeef..." akhirnya Damya terlena.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience