BAB 7

Romance Completed 7439

Empat Penyiasat Nerd…

“Aku ajak korang berkumpul ni sebab, aku ada perkara penting yang aku nak bagitahu. Korang tahu kan Natalia masuk hospital?” Masing-masing mengeluh. Jika perkara ini yang hendak dibincangkan, sambil berjalan pun boleh. Cerita lama yang dah basi.

“Pasal ni je ke kau panggil kitorang?” tanya Leo sambil menelan liur.

“Korang tahu kan dia koma, tak bangun-bangun lagi?” Chaz terus menyoal tanpa mempedulikan rungutan Leo.

“Yup! Sebab dia belum pulih, sebab tu tak bangun,” sela Met. Din meraup rambutnya.

“Ada kepentingan ke semua ni, Chaz?” Selamba dan telus nada Din. Chaz mengangguk. Dia perlu jelaskan segalanya pada mereka sekarang juga.

“Aku pernah jumpa Natalia. Aku bercakap dengan dia. Dia perlukan bantuan kita,” Hanya gelak tawa daripada mereka yang dia terima. Chaz sudah menjangkakan reaksi sebegini. Jangan pula mereka pengsan kerana sebentar lagi…

“Hai!” suara manjanya mengetuk gegendang telinga empat jejaka terbabit. Chaz sengih sahaja. Sudah lali dengan kemunculan Natalia.

“Argh!” Terjerit mereka bertiga. Masing-masing cabut lari. Tak tentu arah asalkan tembus ke pintu, jumpa jalan keluar. Sehingga terlanggar kerusi yang ada depan mata.

“Betul ke apa yang kita tengok tadi?” soal Met dengan nafas yang tercungap-cungap. Leo terduduk di depan pintu tandas. Tenaganya macam dah hilang. Bayangkan, naik tangga tiga tingkat pun tak sedar, kerana terlalu terperanjat. Bila sedar mulalah rasa nak tercabut urat kaki.

“Aku tak tahulah kalau mata kita tengah menipu,” balas Din yang sedang terbatuk-batuk. Dia menapak ke dalam tandas. Hasratnya hanya satu, hendak basuh muka.

“Aku nak cuci mata ni betul-betul. Basuh muka, kasi terang sikit. Semputlah lari macam ni,” omel Leo. Met dan Din tersandar kepenatan pada sinki.

“Nak turun balik ke?” Soalan Met dibiar sepi. Masing-masing berfikir panjang untuk mengiyakan. Tetapi jika tak menyertai Chaz mereka telah mengabaikan sikap setiakawan yang menjadi tunggak utama setiap ahli Nerd Dun Care!. Malah andai mereka terus mengelak berdepan dengan kenyataan, sampai bila-bila pun perkara yang sebenar takkan dapat diketahui. Dengan berat hati, tiga jejaka ini kuatkan semangat. Semuanya demi sahabat mereka yang bernama Chaz. Lambat-lambat mereka mengatur langkah.

Met mendahului dua lagi sahabatnya masuk ke bilik darjah kosong itu. Dia terhendap-hendap, bagai perompak yang hendak masuk ke dalam rumah.

“Aiyyak! Jangan!” Dia terjerit apabila Natalia menghampiri. Tangannya menutup muka. Din dan Leo beranikan diri. Mereka nekad untuk berhadapan dengan sesiapa sahaja yang muncul.

“Tak takut….tak takut…” dua jejaka ini asyik mengulangi ayat yang sama. Tak takut tapi suara ketar. Chaz menahan gelak dalam hati. Nasib baik tiga sahabat karibnya ini tidak pulang terus ke asrama. Ini bermakna, mereka akan terus bersamanya. Dan tentunya dia amat memerlukan sokongan Leo, Met dan Din untuk merungkai segalanya.

Natalia tersenyum. Met memegang dadanya. Jantung berdegup lebih pantas daripada biasa. Leo terduduk tak bangun-bangun, manakala Din pucat lesi. Terkejut yang amat melihat kedatangan Natalia yang memakai dress putih. Sempat gadis ini mengenyit nakal. Chaz telan liur.

“Aku tak nak tuduh sesiapa dalam hal ni. Hanya korang yang boleh tolong aku. Aku harap korang dapat buktikan kalau betul Hani terlibat dengan rancangan mencederakan aku. Kalau ya, aku harap korang boleh singkirkan dia daripada Gadis Matahari. Aku tak nak kawan-kawan lain terima nasib yang sama macam aku,” tanpa Natalia sedari, air matanya menitis. Dia jadi tersentuh bila menyebut nama Hani. Dia sedih, kerana keakraban mereka menjadikan gadis itu sebagai orang yang paling disyaki atas peristiwa yang menyebabkan dia koma sehingga sekarang.

“Natalia, klu apa yang kau boleh bagi untuk kami?” Soal Met. Cukup tenang.

“Dia simpan kasut aku, sebelah daripada tapaknya mesti ada kesan minyak. Sebab aku musykil kenapa dia tak serahkan kasut tu pada keluarga aku. Kenapa dia mesti simpan?” Din terdiam. Dia bagaikan menemui persoalan paling penting di situ.

“Maknanya, dia nak tutup kesalahan dengan ambil kasut kau? Tapi kenapa dia tak hapuskan je bukti tu?” Leo ketap bibir. Rasanya dia dapat melengkapkan persoalan Din.

“Sebab dia tak tahu, Natalia boleh jadi macam ni,” mereka semua mengangguk.

“Tepat sekali,” tambah Natalia. Dan mereka berjanji untuk menyelesaikan perkara ini secara tertutup dan terancang tanpa pengetahuan pelajar lain. Semuanya demi menjaga air muka Hani. Walaupun dia bersalah, namun tak bererti dia wajar dimalukan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience