AI 3 - CADANGAN

Romance Completed 784066

ALEESYA selesai memindahkan wang kepada adiknya Amira, setelah menerima wang gajinya tadi. Walaubagaimanapun wang gaji yang diterimanya masih tidak mencukupi untuk mereka sekeluarga. Ini kerana, dia perlu membeli ubat-ubatan untuk ayahnya juga.

Selain bekerja sebagai promoter, Aleesya turut membuat kerja separuh masa di kedai makan. Kadang kala itu, Aleesya terpaksa berhutang beras dan makanan lain di kedai runcit Pak Ali. Nasib baiklah Pak Ali memahami keadaan dirinya sekeluarga. Tetapi, sampai bila dia harus berhutang?

“Assalammualaikum,” ucap Ajib.

Aleesya yang sedang leka membuat kira-kira tadi, terus sahaja bangun, dan menuju ke muka pintu.

“Waalaikummussalam. Oh, pak ngah rupanya.” Aleesya menyambut kedatangan bapa saudaranya, yang merupakan adik kepada bapanya.

“Ni ada lauk kari daging dengan nasi sikit. Mak ngah kamu masak tadi. Cukuplah untuk kamu dengan ayah kamu makan nanti.”

“Susah-susah aje pak ngah ni.”

“Ambil ajelah. Rezeki jangan ditolak.” Bekal makanan bertukar tangan.

“Terima kasih pak ngah.”

“Sama-sama. Ni ayah kamu buat apa?”

“Ada dekat bilik dia. Tengah tidur. Esya baru aje lepas mandikan dia.”

Ajib mengeluh perlahan. “Pak Ngah nak bantu dari segi kewangan pun, pak ngah cukup-cukup makan aje. Ni, kerja pun entah bila nak dapat ni. Dah merata pak ngah mencari. Tadi temuduga pun, tak tahulah dapat ke tidak.”

“Sabarlah pak ngah. Insya-Allah, nanti adalah rezeki pak ngah nanti. Yang penting, kita doa aje banyak-banyak. Banyak ke kerja pak ngah minta?”

“Nak kata banyak tu tak adalah. Adalah sikit. Pengawal keselamatan, pemandu. Tapi itulah, tak ada yang panggil. Mungkin pak ngah dah tua sangat kut.”

Tiba-tiba telefon bimbit Ajib berdering. Deringan tersebut telah mengejutkan mereka berdua. Ajib dengan pantas menjawab panggilan tersebut. Setelah bercakap selama lima minit, akhirnya dia tersenyum sambil memandang Aleesya.

“Siapa call tu pak ngah? Senyum lebar nampak.”

“Pak Ngah dah dapat kerja. Esok dah boleh start.”

“Eh, iya ke pak ngah? Alhamdulillah, baru aje kita cakap pasal kerja tadi. Tiba-tiba aje dah dapat panggilan. Kerja apa tu pak ngah?”

“Driver. Tak sangka temuduga tadi, terus aje dapat kerja. Esok, pak ngah dah boleh start kerja. Syukur Ya Allah...”

Aleesya tersenyum memandang wajah bapa saudaranya.

 

 

KEESOKAN harinya, Ajib tiba di rumah majikan barunya. Rumah majikannya cukup besar dan mewah. Kelihatan juga beberapa buah kereta mewah, di kawasan parkir. Ajib benar-benar kagum melihatnya. Ini kali pertama dia jejak ke sini. Dan semalam, dia hanya pergi temuduga di syarikat sahaja, dan bukannya di rumah agam ini.

Tidak lama itu, muncul seorang wanita tua di hadapannya. “Encik Ajib ya?”

“Ya saya.”

“Mari ikut saya. Puan Baiyah dah tunggu.”

“Baik,” jawab Ajib.

Ajib berjalan masuk ke kediaman tersebut. Kelihatan seorang wanita yang sudah pun tua, sedang duduk di atas sofa, sedang memandang ke arahnya. Umur wanita itu, boleh dianggarkan di dalam lingkungan 70-an.

“Kamu Ajib?”

“Ya, saya puan.”

“Semalam kamu pergi ke temuduga di syarikat saya, dan berjumpa dengan Puan Suzana bukan?”

“Ya puan. Saya disuruh Puan Suzana supaya datang ke sini, dan berjumpa dengan puan. Dan Puan Suzana juga ada beritahu kepada saya, yang saya akan jadi driver kepada Tuan Mukhriz?”

“Ya. Dia cucu saya. Dan kamu akan jadi driver kepada dia.”

Ajib mengangguk sedikit.

“Kerja driver ni tak susah mana pun. Kamu hanya perlu bawa sahaja ke mana cucu saya nak pergi. Kalau dia call, baru kamu datang ke sini. Kalau dia tak call, kamu hanya perlu duduk di pejabat sahaja, dan tak perlu datang ke sini,” jelas Baiyah.

Ajib hanya tekun mendengar.

“Gaji kamu, saya akan bayar sebanyak enam ribu.”

“Ha? Enam ribu?” Terbuntang mata Ajib saat mendengar nilai gajinya.

“Ya, kenapa?”

“Eh, tak ada apa-apa.”

“Hmm, baiklah. Dan saya juga nak beritahu, saya tak suka pekerja saya yang begitu menyibuk untuk mengambil tahu hal dalam rumah ini. Dan kalau boleh, saya tak nak awak bercerita kepada sesiapa pun apa yang terjadi, atau apa-apa sahajalah, jika ada perkara yang berlaku dalam rumah ni. Boleh awak ikut cakap saya?” jelas Baiyah lagi. Dia memang tidak mahu, jika ada yang suka mengambil tahu hal keluarganya.

“Baik puan. Jangan risau, saya bukan jenis yang suka bercerita apa-apa pun pada orang lain. Lagipun saya nak cari rezeki yang halal untuk keluarga saya.”

“Baiklah. Hari ini cucu saya tak nak keluar rumah lagi. Jadi hari ini, kamu bawa saya ke bank sahaja.” Baiyah terus bangun dari sofa, sambil mencapai beg tangan dan tongkatnya.

“Baik puan.” Ajib terus berjalan mengikuti Baiyah. Bukan main gembira lagi apabila mendengar gajinya akan dibayar sebanyak enam ribu.

 

 

AMIRA pulang ke rumahnya, kerana cuti semesternya sudah pun bermula. Pintu rumah terus sahaja dibuka. Entah bagaimana, hidungnya tiba-tiba terhidu bau yang busuk.

Bau apa pula ni? Amira menutup hidungnya. Kakinya terus melangkah menuju ke bilik bapanya, yang pintunya kelihatan terbuka sedikit.

“Siapa tu? Esya ke tu?” laung Ajmal dari dalam bilik.

Amira tidak melangkah masuk ke dalam bilik. Malah, dia hanya berdiri di muka pintu bilik bapanya sahaja.

“Eh, Mira dah balik? Ayah ingatkan Esya.”

“Ee! Busuknya bilik ni!” Tekak Amira, benar-benar berasa loya. Hampir sahaja dia termuntah di situ.

Ajmal tersentak dengan kata-kata Amira tadi.

“Luka ayah ni dah cuci ke belum?” soal Amira.

“Belum lagi. Kakak kamu tak balik dari kerja lagi.”

“Ee, patutlah busuk. Cubalah cuci sendiri. Loya tahu tak, tekak ni? Ha, tunggu ajelah kakak balik. Biar dia cuci. Mira nak masuk bilik, nak tidur!” Amira melangkah menuju ke biliknya. Pintu bilik terus dihempas kasar.

Ajmal terdiam seketika. Dadanya berasa sebak. Anak kandungnya sendirinya sanggup melayaninya sebegitu rupa. Air mata yang ditahan tadi, akhirnya mengalir dengan laju.

Sampai hati kamu Mira... Tidak lama itu, dia terus tertidur akibat penat melayani perasaan sedihnya.

Tepat pukul 8 malam, Aleesya tiba di rumah sambil menjinjit dua bungkus nasi. Dia terkejut melihat adiknya sedang menonton televisyen saat ini.

“Eh, bila adik balik?”

“Petang tadilah. Cuti semester, kan? Takkan itu pun tak tahu.”

“Oh, akak memang tak tahu. Akak pun belajar sampai tingkatan lima aje,” jawab Aleesya.

“Dah-dah. Tak payah nak cakap banyak. Pergilah cuci kaki ayah tu. Busuk tahu tak! Geli.”

“Mira tak tolong cucikan ke?”

“Eh, apasal pula Mira nak kena cuci? Itukan kerja akak. Akaklah cuci.”

Aleesya mengeluh perlahan. “Tak apalah. Akak pergi cuci dulu. Ada nasi ni. Nanti makanlah. Tinggalkan satu untuk ayah.” Aleesya terus sahaja berjalan menuju ke bilik bapanya. Kelihatan bapanya sedang menangis ketika ini.

“Ayah kenapa ni, menangis?”

Ajmal hanya menggelengkan kepalanya.

“Ayah terasa ke kata-kata adik tadi?”

Ajmal hanya mendiamkan diri.

“Sorry Esya balik lambat. Esya buat OT. Dapatlah duit lebih sikit. Esya cuci kaki ayah ya? Lepas tu Esya mandikan ayah.”

“Ayah minta maaf sebab dah menyusahkan Esya.”

“Kenapa ayah nak minta maaf pula? Lagipun ini tanggungjawab Esya. Memang Esya sebagai anak, kena berbakti dengan ayah, kan? Dan bantu ayah?”

Ajmal hanya tersenyum sedikit. Kalaulah Aleesya tiada, pasti sekarang ini, hidupnya terkontang-kanting.

 

 

“MIRA bangun. Akak nak pergi kerja ni. Akak ada masak nasi goreng. Nanti ayah dah bangun, Mira tolong bagi ayah makan ya? Takut ayah lapar nanti.”

Amira terus menarik selimut untuk menutup wajahnya. “Jangan kacaulah! Orang nak tidur pun tak senang.”

“Dah pukul berapa dah ni Mira? Takkan nak tidur lagi? Dah pukul 8 pagi, kan?”

Amira berdengus kasar. “Pukul 8 pagi tu awal lagilah! Selalunya kalau cuti, aku memang bangun lambat. Kau ni boleh tak, kalau tak kacau aku? Aku ni tengah cuti sem tahu tak? Nak rehat! Bukannya aku balik sini sebab nak jaga ayah pula!” jerkah Amira.

Pang!

Wajah Amira terus sahaja ditampar. Aleesya jadi hilang sabar saat ini dengan adiknya. “Mira jangan nak kurang ajar ya dengan akak!”

“Kau kakak aku ke? Kenapa muka kau tak sama pun dengan aku? Entah-entah kau ni anak angkat tak?”

“Amira!” jerit Aleesya.

“Apa bising-bising tu! Esya, Mira,” laung Ajmal dari dalam bilik.

Aleesya tersedar. “Tak da apa-apa ayah.”

“Kau berambus dari bilik aku! Berambus!” Amira terus bangun dari katil, lalu menolak tubuh Aleesya keluar dari biliknya. Setelah itu, pintu bilik terus dihempas kuat.

Aleesya berdiri di depan pintu bilik, sambil melepaskan keluhan yang berat. Dia benar-benar terasa dengan kata-kata adiknya tadi. Kenapalah Amira, langsung tidak mahu menghormatinya? Sudah banyak dia berkorban untuk adiknya itu. Tetapi adiknya langsung tidak menghargai dengan apa yang telah dia buat.

“Esya?” panggil Ajmal perlahan dari dalam bilik.

Aleesya menarik nafas, lalu berjalan menuju ke bilik ayahnya.

“Ya ayah? Maaf bising tadi, sampai ayah terjaga dari tidur.”

“Kenapa tadi? Mira marah Esya ke?” Lembut sahaja suara Ajmal ketika ini. Dia faham, Aleesya pasti terasa dengan kata-kata Amira tadi.

“Tak adalah ayah. Biasalah dengan Mira tu. Kalau dia masih mengantuk, memang suka mengamuk. Silap Esya juga, kacau dia tadi. Ayah nak makan?”

“Tak apalah. Nantilah ayah makan. Kamu pun pergilah kerja. Dah pukul berapa dah ni.”

“Alamak. Yalah ayah. Esya pergi dulu ya? Oh lupa pula, pampers ayah dah habis. Nanti balik Esya beli ya?” Aleesya menyalami tangan ayahnya.

“Er... Esya.”

“Ya ayah?”

“Hmm tak da apalah. Elok-elok pergi kerja.”

Aleesya hanya tersenyum, sambil mengangguk kepalanya.

 

 

JAM sudah menunjukkan pukul 6 petang. Perut Ajmal mula berkeroncong. Dari pagi tadi, dia langsung tidak menjamah sedikit pun makanan. Anaknya Amira, langsung tidak datang ke biliknya. Tilamnya pula, sudah basah lencun dengan air kencingnya. Ajmal sudah tidak tahan lagi, bergelumang dengan air kencingnya sendiri. Aleesya pula, entah pukul berapa dia akan pulang.

“Mira, Mira. Tolong ayah. Ayah nak mandi ni,” jerit Ajmal.

Amira yang berada di ruang tamu, berpura-pura tidak mendengar. Terus sahaja dia memakai earphone di kedua-dua belah telinganya.

Ketika ini, Ajmal menggagahkan dirinya untuk bangun dari katil. Dia melihat kedua-dua kakinya yang kudung, akibat penyakit kencing manis yang dialaminya. Kedua-dua kakinya terpaksa dipotong kerana dia telah terlibat kemalangan jalan raya bersama arwah isterinya tiga tahun yang lalu.

“Mira! Tolong ayah. Tilam dah basah ni!” jerit Ajmal lagi.

Amira langsung tidak munculkan dirinya. Ajmal tiada cara lain lagi, dia cuba menggapai kerusi roda di tepi katilnya.

Entah bagaimana, Ajmal telah hilang imbangan lalu terjatuh dari atas katil, dan wajahnya terus tersembam di atas lantai. Mata Ajmal mula berbalam-balam akibat hentakan yang kuat tadi, lalu dia pengsan di situ, dalam keadaan tubuhnya tertiarap di atas lantai.

Tepat jam 7 petang, Aleesya tiba di rumah sambil menjinjit  satu pek pampers pakai buang orang dewasa, dan juga tiga bungkus nasi yang dibawa dari kedai makan tadi.

Eh, tak buka lampu ke Mira ni? Berkerut dahi Aleesya melihat keadaan ruang tamu yang bergelap.

Tanpa menunggu, suis lampu terus sahaja ditekan. Kakinya laju melangkah ke bilik ayahnya. Alangkah terkejutnya Aleesya apabila melihat keadaan ayahnya yang di dalam keadaan tertiarap di atas lantai. Ayahnya itu sudah tidak sedarkan diri ketika ini. Aleesya terus sahaja meluru ke arah ayahnya, lalu kepalanya dipangku di atas ribanya.

“Amira! Amira!” jerit Aleesya. Tetapi adiknya langsung tidak muncul. Aleesya tidak mahu menunggu lagi, dia terus sahaja menghubungi ambulans.

 

 

“KAU buat apa ha! Kau langsung tak tengok ayah kenapa?” Aleesya benar-benar marah dengan apa yang berlaku.

Amira tidak peduli dengan tengkingan Aleesya. Malah, sibuk dengan telefon bimbit di tangannya.

Tidak lama itu, Ajib dan Sakinah muncul di hadapan mereka berdua.

“Esya, macam mana dengan ayah?” Riak wajah Ajib, benar-benar di dalam kerisauan.

“Ayah dekat wad kecemasan.” Aleesya menahan sebaknya.

Tubuh Aleesya terus sahaja dipeluk oleh Sakinah. “Jangan risau Esya. Kita doa banyak-banyak semoga ayah Esya tak ada apa-apa.”

Aleesya menganggukkan kepalanya. Dalam masa yang sama, sempat dia mengerling ke arah Amira. Adiknya itu langsung tiada perasaan. Tiada rasa risaukah pada ayahnya?

Tidak lama itu, muncul seorang doktor di hadapan mereka berdua.

“Cik Aleesya?”

“Ya saya doktor. Macam mana dengan keadaan ayah saya?”

“Condition Encik Ajib dalam keadaan stabil. Cuma saya nak beritahu, yang ayah cik sekarang ni, ada penyakit buah pinggang.”

“Apa? Buah pinggang?” Aleesya benar-benar terkejut.

Ajib juga turut terkejut mendengarnya. “Ya Allah, betul ke ni doktor?”

“Ya encik.”

“Kenapa sebelum ni saya tak tahu? Bukan ke ayah saya hanya mengalami kencing manis sahaja ke?”

“Penyakit itu, baru sahaja menyerang dia. Dan, Encik Ajib perlu membuat dialysis setiap bulan.”

Aleesya terdiam. Kos untuk dialisis sahaja sudah berapa. Dia mula pening kepala untuk mencari wang. Aleesya benar-benar buntu.

Ajib merenung Aleesya. Timbul rasa kasihan pada anak saudaranya itu.

 

 

SUDAH sebulan Ajib berada di hospital. Dan Aleesya pula, sedang bekerja keras untuk mencari wang. Adakalanya itu dia akan membuat kerja lebih masa dengan mengambil upah mengemas rumah orang dengan bayaran RM50 untuk satu rumah.

Dalam pukul 10 malam, Aleesya tiba di rumah. Dia benar-benar penat hari ini. Walaupun hari ini adalah hari Ahad, dia tetap akan bekerja untuk mencari wang lebih. Tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi, menandakan satu pesanan ringkas masuk.

 

Amira : Mira nak duit. Dah habis.

 

Aleesya menahan marah. Baru sahaja dia memberi wang kepada adiknya beberapa hari yang lepas. Sekarang ini adiknya meminta lagi.

Tak habis-habis, duit, duit, duit! Aleesya terus sahaja melemparkan telefon bimbitnya di atas katil.

Sudahlah dia perlu mencari wang untuk rawatan cuci buah pinggang ayahnya lagi. Kadang-kadang dia terpaksa tebalkan muka pergi meminjam wang pada bapa saudaranya Ajib. Tetapi bapa saudaranya juga memerlukan wang.

 

 

AJIB menunggu Tuan Mukhriz di luar pintu kereta. Majikannya itu sentiasa keluar dengan memakai pelitup muka dan cermin mata hitam. Kali pertama dia melihat wajah Tuan Mukhriz sebulan yang lalu, dia benar-benar terkejut. Patutlah Puan Baiyah sudah berpesan kepadanya jangan mengambil tahu hal rumah itu. Ajib benar-benar kasihan dengan apa yang terjadi kepada majikannya itu.

“Tuan Mukhriz nak ke mana hari ini?”

“Pak Ajib tak payahlah panggil tuan. Panggil Riz aje. Saya dah pesan banyak kali, kan?”

Ajib tersengih. “Pak Ajib dah terbiasa. Hari ini Riz nak ke mana?”

“Riz ingat nak ke pantailah Pak Ajib.”

“Oh, kalau nak ke pantai, kita kena pergi ke Port Dickson.”

“Boleh ke Pak Ajib bawakan?”

“Boleh aje.”

“Terima kasih Pak Ajib. Maaf kalau Riz menyusahkan.”

“Jangan cakap macam tu. Lagipun Riz kan, majikan Pak Ajib. Mana Riz nak pergi, Pak Ajib akan tetap bawa.”

Tuan Mukhriz tersenyum sedikit.

“Dah jom,” ajak Ajib.

Perjalanan dari Kuala Lumpur ke Port Dickson mengambil masa satu jam lebih. Dalam pukul 5 petang mereka tiba di tepi Pantai Port Dickson. Nasib baiklah waktu itu, tidak ramai pengunjung. Mungkin disebabkan mereka pergi pada hari bekerja.

Tuan Mukhriz terus sahaja menghidu bau air laut di hadapannya.

Ajib pula berdiri di belakang Tuan Mukhriz. Kasihan pula dia melihat Tuan Mukhriz yang terpaksa memakai pelitup muka, jika dia mahu keluar ke mana-mana.

“Entah sampai bila saya nak kena pakai mask ni,” kata Tuan Mukhriz tiba-tiba.

“Tak ada cara ke nak buat?” soal Ajib.

“Ada.”

“Apa caranya tu?” Ajib seakan teruja mahu mendengarnya.

“Saya kena nikah. Cari perempuan yang sanggup bersama saya. Dan perempuan tu juga kena ikhlas menerima saya dan berhati bersih kalau nak wajah saya ni normal balik. Kalau saya terpaksa bayar, pun saya tak kisah. Janji dia sanggup menjadi isteri saya.”

Ajib terdiam. Entah kenapa dia teringatkan Aleesya. Dia tahu anak saudaranya itu kini sedang mencari wang untuk menampung kos rawatan abangnya.

“Tapi saya tahu, tak ada seorang wanita pun yang sanggup bersama dengan saya.” Tuan Mukhriz melepaskan keluhan yang berat.

Ajib masih terdiam. Perlukah dia mencadangkan anak saudaranya? Tetapi Aleesya mahukah berkahwin dengan Tuan Mukhriz?

“Kalau Riz tak kisah, Riz nak tak, kahwin dengan anak saudara Pak Ajib?”

Tuan Mukhriz memandang Ajib. “Maksud Pak Ajib?”

“Riz jangan fikir yang bukan-bukan ya? Dan Riz jangan fikir Pak Ajib nak ambil kesempatan ke apa. Pak Ajib sebenarnya kasihankan Riz. Dan Pak Ajib juga kasihankan anak saudara Pak Ajib. Dia sekarang ni, memang memerlukan wang untuk menampung kos rawatan ayahnya. Kadang-kadang Pak Ajib pun tak cukup duit nak beri pada anak saudara Pak Ajib tu. Jadi, kalau Riz setuju nak memperisterikan anak saudara Pak Ajib, Pak Ajib akan tanya dia balik nanti.”

Tuan Mukhriz memandang Ajib dengan pandangan yang berbelah bahagi. Dia risau, jika wanita itu sama seperti bekas isterinya yang dulu. Lama juga dia berfikir.

“Macam mana Riz?” soal Ajib lagi.

Tuan Mukhriz menarik nafas sedalam-dalamnya. “Kalau dah Pak Ajib cakap macam tu, Riz setuju. Riz akan beri dia wang untuk tampung kos rawatan ayah dia, kalau dia setuju untuk bantu Riz. Dan Riz juga akan terima dia sebagai isteri Riz sepenuh hati Riz, kalau dia betul-betul ikhlas dengan Riz.”

Ajib tersenyum. “Baiklah, kalau Riz setuju, Pak Ajib akan beritahu dia.”

Tuan Mukhriz hanya tersenyum sedikit. Dia tidak mahu terlalu berharap.

Share this novel

Anis Insyirah
2021-02-22 19:22:20 

bestnya....

Rasyidah Hamid
2020-07-12 09:32:19 

Sara Amylia Kamarozaman
2020-06-07 13:45:46 

best nye...update lg...x sabar nk thu jln citenye..


NovelPlus Premium

The best ads free experience