BAB 1

Spiritual Completed 1351

Wahai muslim dan muslimah, Tatkala engkau tersesat ditengah gurun percintaan, dan engkau bingung menentukan arah perjalanan, maka berserulah, “Ya Allah…”

Aku dilahirkan di dalam keluarga yang dalam keadaan sederhana namun masih lagi mampu beli barangan yang mewah dan dapat merasai makanan yang sedap. Apa yang aku impikan pasti ibu dan ayah belikan walaupun cepat atau lambat. Aku semuanya cukup didikan dan kasih sayang cuma satu sahaja didikan agama aku kurang. Aku membesar dengan kekurangan didikan agama namun aku tak pernah salahkan ibu dan ayah kerana kini aku sudah meningkat dewasa dan dapat berfikiran matang untuk memilih jalan yang mana. Samada selama-lamanya sesat dalam dunia yang penuh kejahilian atau kembali ke pangkal jalan aku sebagai seorang umat Islam. Aku dah boleh berfikir dan memilih.

Aku sayang ibu dan ayah tapi sekiranya aku sayangkan mereka tanpa menunaikan perintah Allah SWT, adakah aku sayang mereka? Adakah aku betul-betul tunjukkan bahawa aku sayang mereka? Kini aku tahu jawapannya, aku sebenarnya sayangkan mereka dengan hanya sekadar percakapan namun perbuatan aku tidak. Ketika aku berusia enam tahun, ibu dan ayah mendaftarkan aku ke sebuah tadika Pasti Darul Umum III berdekatan dengan rumahku. Aku belajar di situ dengan penuh ajaran agama. Balik sahaja dari sekolah, pasti aku akan bacakan surah yang sudah kuhafal kepada ibu. Aku gembira sangat sebab dapat hafal semua surah dan doa sunnah.

Namun, ia hanya terkesan selama setahun sahaja. Masuk sahaja darjah satu, aku jarang mengamalkan bacaan doa dan surah. Bermulalah kisah hidup aku semasa zaman sekolah rendah, aku ini tidak pernah mendapat sahabat yang betul-betul sudi berkawan denganku. Aku sering dibuli dan diejek. Sampai sekarang kata-kata ejekan mereka melekat dalam mindaku. Aku asyik dikhianati oleh kawan sendiri. Mereka berpura-pura berkawan dengan aku. Aku ketika itu seperti bodoh apabila diperbodohkan oleh mereka. Sangat bodoh.

Satu hari, aku tak berapa pasti ketika itu aku dalam darjah 3 ataupun 4, ketika itu waktu Pendidikan Jasmani sudah tamat, cikgu menyuruh kami semua naik ke kelas untuk menukar baju. Aku orang terakhir yang masuk kelas kerana menolong guru. Semasa aku ingin masuk ke dalam kelas, aku lihat pintu bilik darjah aku ditutup dan ada dua orang rakan sekelasku berdiri di hadapan pintu masuk sambil tersenyum-senyum sindir. Aku mendekati mereka dan...

“Weyh, kau pakai mahkota ni kalau kau nak masuk kelas.”

kata salah seorang rakan sekelasku. Aku hanya menurut perintah. Tanganku mengambil mahkota yang diperbuat dengan kertas dan aku letakkan di atas kepala. Terus mereka tergelak-gelak, kemudian serentak mereka menolak pintu bilik darjah itu. Semua ketawa mengejek ke arah aku.

“Anak manja! Suka kartun ‘Princess’! Suka makan McDonald. Anak manja! Anak manja! Anak ibu! Gemuk! Gemuk-gedempol! Hahaha...” serentak semua rakan sekelas aku mengejek sambil menyelongkar beg sekolahku. Aku
hanya mendiamkan diri dan menangis. Tak siapa pun peduli aku menangis, mereka mengejek aku lagi terus menerus.
Sejak kejadian itu, aku menjadi semakin pendiam dan suka termenung. Pelajaran aku merosot. Emosi aku terganggu. Ketika itu aku terlalu ikutkan hati. SETIAP HARI. Setiap hari mereka membuli dan mengejek aku. Aku boleh senaraikan apa yang mereka buli aku sepanjang tahun itu.

1. Sorokkan kotak pensel ketika itu peperiksaan sedang dijalankan.
2. Menampal kertas yang tertulis ‘Saya Anak Manja. Kuat Menangis’ pada punggungku.
3. Mengurung aku di dalam kelas.
4. Mengurung aku di dalam tandas sekolah selama berejam-rejam.

Semua pasti tertanya, kenapa aku tak beritahu cikgu? Kenapa ibu dan ayah aku tak datang sekolah? Jawapan aku ialah, cikgu juga dua kali lima sahaja dengan mereka semua. Sekiranya aku mengadu pada mereka, mana pernah mereka pedulikan. Mereka kutuk aku adalah. Cakap aku lembik sangat dan kuat menangis. Itukah peranan seorang guru? Aku fobia. Sangat fobia. Mereka tak pernah tanya apa masalah aku sekiranya nampak aku menangis di belakang kelas. Hidup aku penuh kesunyian dan tangisan di sekolah.

Balik sahaja sekolah, aku terus peluk ibu erat-erat dan mengadu semuanya. Ibu suruh aku bersabar sebab Allah sayangkan orang yang sabar menempuhi dugaannya. Aku semakin lama menjadi semakin pendiam. Aku tak suka bergaul. Aku suka terperap dalam bilik dengan menghabiskan masa dengan termenung dan berangan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience