JDS 1

Romance Completed 93500

SHARIFAH Sofia mengamati perkarangan Hotel De Fresco miliknya dengan penuh rasa bangga. Senyuman nipis terukir dibibir. Dia yang sudah lebih separuh abad masih lagi gagah menguruskan legasi yang sudah berpuluh tahun menjadi perniagaan keturunannya.

Bangunan yang gah berdiri di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur itu adalah salah sebuah hotel yang terkenal dikalangan golongan elit. Hotel yang mempunyai lebih dari lima ratus bilik tamu berserta empat buah restoran termasuk bar dan ruangan istirehat khas untuk keselesaan tetamu. Hotel miliknya juga dilengkapi dengan pusat kecergasan, kedai kopi dan bar di kawasan kolam renang. Pendek kata, sangat mewah dan eksklusif.

Hotel De Fresco juga mempunyai cawangan di Itali, Perancis, Turki dan beberapa buah negara Eropah yang lain. Fresco adalah perkataan dari bahasa Itali yang membawa maksud segar. Jadi, konsep yang dibawa oleh hotel miliknya akan sentiasa diperbaharui dari masa ke semasa mengikut trend masa kini. Untuk merealisasikan konsep-konsep sebegitu, dia memerlukan bantuan cucu sulungnya iaitu Qaid.

Qaid yang telah kehilangan ibu bapa sejak kecil lagi telah dijaga oleh Sharifah Sofia. Kini, lelaki itu sudah siap untuk membantunya menguruskan legasi perniagaan mereka.

Langkah diatur perlahan masuk ke pintu lobi hotel. Dia melemparkan senyuman pada bellboy yang bertugas.

“Morning, Madam,” ucap bellboy itu sambil tangannya diletak ke dada.

“Morning,” balas Sharifah Sofia dengan tenang. Kaca mata dibuka sebaik sahaja kakinya berada di dalam bangunan hotel. Diletakkan kaca mata tersebut ke dalam beg tangan yang tersangkut di lengan kirinya.

Sharifah Sofia mengatur pula langkah menuju ke Freesia Coffee House hotel yang terletak di sebelah kanan lobi. Setiap pekerja yang berada di situ akan menyapanya dengan sopan dan ramah. Itulah rutin hariannya sebelum naik ke pejabat, dia akan bersarapan pagi terlebih dahulu di Freesia Coffee House hotel.

“Qaid!” panggil Sharifah Sofia saat matanya menangkap kelibat Qaid yang sedang berjalan sekitar lobi.

Serta merta Qaid memandang pada suara yang memanggilnya. Dia tersenyum mesra apabila melihat susuk tubuh nendanya yang sedang duduk bersarapan di coffee house. Qaid membesarkan langkah menuju ke arah wanita itu.

“Morning, nenda,” ucap Qaid sambil memberi kucupan di dahi Sharifah Sofia. Sharifah Sofia tersenyum bangga. Dia suka Qaid melayaninya seperti itu.

“Mari bersarapan sekali dengan nenda,” pelawa Sharifah Sofia sambil memegang lengan cucunya. Qaid tersenyum. Dia akur. Punggung dilabuhkan ke sofa empuk berwarna kelabu itu.

“Awal sampai?” soal Sharifah Sofia. Dia mencapai cawan kopi yang ada di depannya. Perlahan-lahan kopi itu disisip. Kemudian, matanya beralih pada Qaid.

Qaid tersenyum lagi. “Hari ni, housekeeping department buat kerja-kerja pembersihan kolam renang. Then, maintenance department pula nak cek semua lampu di setiap aras bilik. Jadi, banyak yang perlu Qaid pantau,” jelas Qaid dengan tenang. Dia kelihatan agak santai dengan baju t-shirt polo berwarna hitam yang dipadankan dengan seluar jeans berwarna biru gelap.

“Oh. Tak sia-sia nenda ada pembantu yang rajin macam Qaid,” puji Sharifah Sofia. Qaid ketawa kecil.

Nenda memang suka memuji.

“Qaid, ada perkara yang nak nenda bincangkan dengan Qaid. Beberapa hari ni fikiran nenda terganggu…” kata-kata Sharifah Sofia terhenti di situ. Dia menyandar tenang ke dada sofa. Pandangan dilemparkan keluar dinding kaca yang ada di sebelah kirinya. Bola mata bergerak meliar sekitar taman mini yang berada diluar itu.

“Kenapa nenda?” soal Qaid sedikit bimbang. Dahinya berkerut melihat pada wajah Sharifah Sofia yang tiba-tiba suram itu.

Perlahan Sharifah Sofia menalakan semula pandangannya pada Qaid. “Nenda rindukan adik Qaid, Qaleesya,”

Serta merta riak wajah Qaid berubah. Dia terdiam seketika.

“Kalau Qaid tak keberatan, boleh Qaid carikan Qaleesya untuk nenda?” soal Sharifah Sofia. Qaid diam. Matanya menatap tepat pada wajah Sharifah Sofia.

Qaleesya, adik kandung Qaid yang terpisah sejak dua puluh tahun lepas. Dia dibawa lari bersama ibu dan ayah kandung Qaid sendiri. Manakala, Qaid pula ditinggalkan bersama Sharifah Sofia. Sehingga kini, Qaid masih tidak mengerti mengapa dia tidak dibawa bersama oleh mereka. Mengapa dia ditinggalkan? Semua itu membuatkan Qaid sedih dan berjauh hati. Walaupun ibu dan ayahnya telah meninggal akibat kemalangan, tetap sahaja hati Qaid masih terasa. Namun, adiknya dikhabarkan terselamat dan telah dijaga oleh orang yang mereka sendiri tidak tahu siapa.

Permintaan Sharifah Sofia itu agak berat buat Qaid. Hatinya sendiri masih tertanya-tanya mengapa dia ditinggalkan? Kini, nenda meminta dia untuk mencari adiknya pula. Sungguh Qaid merasa keliru.

“Qaid…” Sharifah Sofia tersedar perubahan riak wajah Qaid seakan tidak senang dengan permintaannya.

Qaid menggali nafas dalam sebelum dia meneruskan kata-katanya. “Qaid akan cuba cari dia,” lambat-lambat kata itu ditutur dari bibirnya.

Sharifah Sofia tersenyum senang. “Nenda tahu Qaid cucu yang baik dan yang paling nenda sayang,” lembut ucapan itu diberikan pada cucunya.

Qaid tersenyum pahit.

“Qaid pun sayang nenda,”

“Itu nenda tahu,” pintas Sharifah Sofia sambil mengukir senyum lebar. Qaid ketawa kecil.

Qaid melirik jam ditangan, “Eemm… Sorry nenda, Qaid tak boleh berlama-lama di sini. Banyak kerja yang perlu diselesaikan hari ni,” Qaid menolak tubuhnya bangun dari situ.

“Okey, Qaid. Selamat bekerja,” ucap Sharifah Sofia.

Kemudian, Qaid berlalu pergi dari situ. Sharifah Sofia hanya menghantar dengan pandangan mata sehingga susuk tubuh Qaid masuk ke dalam perut lif.

Nama cucu perempuannya iaitu Qaleesya bermain difikiran Sharifah Sofia sejak beberapa hari lepas. Bukan dia tidak mahu mencari tahu sendiri keberadaan Qaleesya. Dia cuma mahu Qaid dengan ikhlas mencari adiknya sendiri. Dia tahu Qaid sedih dengan apa yang berlaku tanpa mengetahui apa yang sebenar-benarnya telah terjadi pada keluarganya. Segala rahsia itu masih disimpan kemas oleh Sharifah Sofia hingga kini. Jika rahsia tersebut terbongkar, pasti Qaid tidak akan memaafkannya.

Ibu Qaid iaitu Sharifah Qaisarah adalah satu-satunya anak perempuan tunggal dalam keluarga Sharifah Sofia dan Syed Muzammil. Manakala Syed Affan pula merupakan satu-satunya anak lelaki dalam keluarga mereka. Syed Affan bersama isterinya Sharifah Wilma mempunyai seorang anak lelaki yang merupakan sepupu Qaid iaitu Syed Ilham.

Namun, Syed Affan juga telah meninggal dunia akibat serangan jantung beberapa tahun yang lepas. Jadi, segala urusan hotel diuruskan oleh Sharifah Sofia bersama Qaid.

Syed Ilham? Dia tidak berminat dalam pengurusan hotel. Lelaki itu lebih selesa bergerak bebas tanpa berbuat apa-apa. Lebih seronok katanya. Hanya Qaid sahaja menjadi harapan Sharifah Sofia saat ini. Jika diikutkan, Qaid tidak layak dari segi keturunan kerana bapa Qaid iaitu Jamaluddin bukanlah dari keturunan Syed. Tetapi, sikap bertanggungjawab dan rajin Qaid membuatkan Sharifah Sofia sangat menyayangi cucunya itu.

KELUAR sahaja dari lift, Qaid berjalan pantas menuju ke arah sebelah kiri bangunan. Dia mencari kelibat pekerja-pekerja yang ditugaskan untuk membersihkan kolam renang ditingkat lima itu.

“Encik Qaid!” sapa seseorang dari arah belakang. Serta merta Qaid menoleh.

“Hah, mana yang lain?” soal Qaid sebaik sahaja melihat wajah Amir, supervisor housekeeping department.

“Diorang pergi stand by barang,” balas Amir sambil menghampiri majikannya itu. Qaid hanya mengangguk tanda faham.

“Agak-agak pukul berapa boleh settle?” soal Qaid ingin tahu. Dia bercekak pinggang. Matahari terik yang terpacak di atas kepala itu membuatkan peluh-peluh kecil keluar dari dahinya.

“Dalam petang macam tu Encik Qaid. Ini pun tak start lagi. Budak-budak ni terhegeh-hegeh,” bebel Amir. Qaid ketawa kecil. “Takpa. Tak rushing pun. Lagipun hari ni maintenance untuk pool tingkat lima saja kan?” soal Qaid lagi.

“Ya, encik. Esok baru kita selenggara pool atas bumbung pula,” jawab Amir. Qaid mengangguk lagi.

“Okey. Saya nak ke maintenance department. Nak kena pantau kerja-kerja tukar lampu pula. Nanti dalam petang saya datang sini semula,” bahu Amir ditepuk perlahan.

“Baik, boss!”

“Thanks,” ucap Qaid. Lantas dia berlalu pergi dari situ. Qaid kembali ke lift dan menekan butang tingkat bawah.

Begitulah rutin kerja Qaid setiap hari. Sentiasa sibuk. Qaid merupakan seorang majikan yang sangat baik dan memahami. Tidak hairanlah jika semua pekerja di hotel itu senang dengannya.

Sharifah Sofia sering mengingatkan Qaid agar meletakkan jurang hubungan antara dia dan pekerja agar mereka tidak mengambil kesempatan atas kebaikan Qaid. Namun, lain pula dengan pendirian lelaki itu. Dia lebih suka bersikap mesra dengan pekerja-pekerja di situ. Tetapi, ada masanya dia akan bertegas.

Keluar sahaja dari pintu lift, Qaid mencari pula susuk tubuh supervisor maintenance department iaitu Pak Cik Saiful yang telah berkhidmat di hotel itu hampir belasan tahun. Matanya meliar ke sekeliling kawasan pejabat, namun tiada. Qaid garu kepala yang tidak gatal.

Telefon bimbit dikeluarkan untuk menghubungi lelaki itu. Belum sempat dia menyentuh ikon panggil, Pak Cik Saiful muncul dari arah lift.

“Laa… Pak cik cari Qaid dekat atas,” ujar lelaki itu sambil ketawa.

“Allahuakbar. Maaf pak cik, Qaid jumpa Amir tadi,”

“Oh, yalah, mereka selenggara kolam renangkan?”

Qaid mengangguk mengiyakan kata-kata lelaki itu.

“Budak-budak maintenance dah start kerja ke?” soal Qaid. Dia berjalan menghampiri Pak Cik Saiful.

“Baru je. Tadi masing-masing melepak la, merokoklah. Pak cik sergah, baru berjalan,” adu Pak Cik Saiful lagi. Qaid ketawa. Dia sudah biasa mendengar aduan seperti itu oleh ketua-ketua setiap jabatan. Antara mereka bukanlah semua bersikap begitu hanya segelintir sahaja. Namun, Qaid masih boleh bertolak ansur kerana kerja-kerja yang diberikan siap pada waktu yang ditetapkan. Itu sudah mencukupi baginya.

“Sekarang ni, diorang tengah buat kerja di aras berapa pak cik?” soal Qaid sambil menggosok lembut rahangnya.

“Baru mula Qaid. Ada lagi di tingkat enam,” jawab Pak Cik Saiful.

“Oh, okey. Apa lagi yang diperlukan untuk kerja-kerja selenggara? Lampu semua cukup?” Soal Qaid lagi. Wajah tua itu dipandang dengan penuh perhatian.

“Setakat ni cukup lagi. Tapi, pakcik rasa kalau dah banyak yang perlu ditukar, mungkin tak cukup. Tapi, apa-apa nanti pak cik beritahu Qaid,”

“Okeylah, pakcik. Qaid naik dulu tengok diorang buat kerja,” Qaid meminta diri. Pak Cik Saiful sekadar mengangguk. Kemudian, Qaid berjalan kembali ke arah lift. Butang naik ditekan.

Hari ini, mungkin Qaid akan sibuk di setiap aras bilik. Kerja-kerja pemantauan harus dibuat agar setiap jadual dan kerja disiapkan tepat pada masanya. Segalanya dibuat untuk memastikan tetamu yang menginap di hotel mereka berada dalam keadaan selesa dan segala fasiliti dapat digunakan dengan baik.

ZAFIRA merenung pada ibu angkatnya, Noni yang sedang berhias untuk berjumpa pelanggannya di rumah pelacuran itu. “Bu, sampai bila ibu nak buat kerja macam ni? Jomlah ikut orang. Kita lari dari sini,” Zafira bersuara dengan serius. Sudah berapa kali dia mengajak wanita itu kabur dari rumah pelacuran itu. Namun, Noni enggan. Dia tidak mahu diburu oleh bapak ayam yang memeliharanya.

“Aku tak boleh. Aku tak nak kena kejar sana sini. Aku penat. Apa yang penting, diorang tak usik kau,” balas Noni sambil melihat dirinya ke dalam cermin. Make up diwajah dirapikan sedikit agar kelihatan lebih cantik dan kemas.

Zafira mengeluh. Itu sahaja jawapan yang diberikan oleh ibu angkatnya setiap kali dia mengajak wanita itu lari. “Ibu bukannya muda lagi. Biar orang ganti ibu,” sengaja Zafira menduga Noni.

Serta merta Noni menalakan pandangan tajam ke arah Zafira. Dia marah dan tidak suka mendengar Zafira berkata begitu.

“Kau jangan cakap macam tu. Aku cili mulut kau nanti!”

Mengekek Zafira ketawa. Cepat benar ibunya naik darah saat diusik sebegitu.

Walaupun dia tidak mempunyai talian darah dengan Noni, namun, dia tahu Noni begitu sayang padanya.

“Orang berguraulah ibu. Cepat sangat melantunnya!” Tawa Zafira masih bersisa. Dia sudah dapat mengagak balasan seperti itu yang akan dia terima daripada Noni.

“Kau ingat seronok buat kerja ni? Kalau boleh, aku nak berhenti. Tapi, susah. Raymond minta 40 ribu untuk lepaskan aku,” jelas Noni bersungguh-sungguh.

“Habis selama ni, duit ibu buat kerja tu, dia tak ambil ke? Dasar bapak ayam!” kutuk Zafira dengan selamba.

“Kau jangan jadi macam aku. Bila dah terjebak, susah nak berhenti,” kata Noni kedengaran sayu. Nadanya sedikit bergetar.

Zafira ketap bibir. Dia benar-benar mahu membawa Noni keluar dari situ. Tetapi, jumlah wang tebusan yang begitu besar, membuatkan Zafira melupakan hasratnya. Sampai bila-bila pun, dia tidak akan mampu menebus Noni dengan harga tersebut. Namun, Dia bersyukur kerana Noni tidak pernah menjebaknya. Malah wanita itu selalu sahaja melindunginya.

DUM!DUM!DUM!

Pintu bilik diketuk dengan kuat. Zafira membawa matanya ke arah pintu dengan riak muka dingin. Dia mendengus kasar. Pasti orang-orang Raymond yang tidak beradab itu datang untuk memanggil Noni.

DUM!DUM!DUM!

“Sabarlah!!!” Jerit Zafira geram.

“Aku pergi dulu. Lambat nanti, roboh pula pintu tu dikerjakan,” terhegeh-hegeh Noni mencapai beg tangannya. Beberapa keping kondom yang berada di dalam laci diambil dan disumbat ke dalam beg tangan. Zafira hanya memerhati segala tingkah laku Noni. Itulah pemandangan yang dia lihat sejak dia kecil lagi. Jauh disudut hatinya dia sedih melihat Noni. Namun, tiada apa yang boleh dia lakukan selain berdoa agar keajaiban berlaku dalam hidup mereka.

Zafira memandang kosong pada pintu yang tertutup itu. Dia melepaskan keluhan berat. Beberapa detik dia sebegitu. Kemudian, dia bangun dan bersiap untuk keluar mencari kerja lebih masa bagi menampung kehidupan mereka.

KACA mata hitam dibuka lalu disangkutkan ke leher baju kemeja berwarna biru gelap yang dipakai. Lelaki itu berdiri dan menyandarkan bahu kirinya ke dinding sambil berpeluk tubuh di satu sudut pusat membeli belah itu. Kemudian, dia membuang pandangannya ke tengah jalan. Kelihatan orang ramai berpusu-pusu keluar masuk di pintu pusat membeli belah. Perlahan keluhan dilepaskan. Dia teringat kembali perbualan dengan ibunya, Sharifah Wilma malam tadi.

“Sampai bila Am nak melepak macam ni?” Soal Sharifah Wilma sudah tidak tahan lagi melihat sikap Syed Ilham yang asyik bersenang lenang tanpa bekerja. Walaupun harta miliknya tersangat mampu untuk menampung kehidupan mereka, namun, Sharifah Wilma mahu anaknya itu bekerja di hotel milik Sharifah Sofia seperti Qaid. Sungguh dia tidak berpuas hati dan cemburu kerana Sharifah Sofia sentiasa memberi keutamaan pada Qaid. Jika diikutkan, Qaid tidak layak langsung berada di dalam hotel tersebut kerana lelaki itu tidak mempunyai gelaran Syed seperti anaknya.

“Am tak ready nak kerja. Lagi pun Am nak enjoy dulu,” selamba sahaja Syed Ilham membalas tanpa memikirkan perasaan Sharifah Wilma.

Dada Sharifah Wilma mula berombak-ombak menahan marah. Geram dengan jawapan yang didengarinya. “Am!!” Jerkah wanita itu.

Terangkat bahu Syed Ilham terkejut saat mendengar suara memetir ibunya itu. Serta merta matanya dihalakan pada wajah menyinga Sharifah Wilma. Kemudian, dia tersengih mempamerkan sebaris gigi putihnya.

“Kalau esok Am tak jumpa nenda, jangan balik rumah ni!!!” Ugut Sharifah Sofia dengan garang. Pantas sahaja Syed Ilham mengangguk seperti burung belatuk. Takut juga dia pada Sharifah Wilma.

Lamunan Syed Ilham terhenti apabila bahunya dilanggar seseorang. Pantas dia menoleh pada susuk tubuh yang melanggarnya.

“Sorry… Saya tak sengaja,” ucap gadis kecil molek itu.

“It’s okay,” Syed Ilham membantu gadis itu mengutip semula telefon bimbit yang terjatuh ke lantai. “Nah,” telefon bimbit diserahkan pada si gadis.

“Terima kasih,” ucap gadis itu sambil membelek-belek telefon bimbitnya.
Mujur masih berfungsi.

“Maaf sekali lagi. Saya tak perasaan awak berdiri dekat sini,” sekali lagi gadis itu mengucap kata maaf. Syed Ilham hanya tersenyum nipis.

“Takpa. Lagi pun salah saya sebab berdiri. Sepatutnya saya duduk tadi,” seloroh Syed Ilham sambil ketawa sendiri. Gadis itu juga buat-buat ketawa sekadar menjaga hati.

“A’ahkan… sepatutnya awak duduk tadi. Tapi, kalau saya, saya baring. Eh, tak kelakarkan?” Makin galak gadis itu ketawa.

Terhenti seketika tawa Syed Ilham saat mendengar ucap balas gadis itu. Namun, melihat akan gelak tawa yang masih belum reda dari gadis itu, Syed Ilham menyambung tawanya bersama.

“Kelakarlah you ni,”

“Saya bergurau je. Eeemm… Okeylah, saya pergi dulu. Sorry sekali lagi,”

“Nama you siapa?” soal Syed Ilham ingin tahu. Dia agak tertarik dengan perwatakan gadis itu.

“Fira!” Jawab Zafira sambil berlari anak meninggalkan Syed Ilham disitu.

“Apa? Sya?” Soal Syed Ilham. Jawapan gadis itu kurang jelas dipendengarannya. Namun, tidak sempat dia bertanya lebih lanjut, gadis itu telah pun hilang dicelah orang ramai. Syed Ilham mengukir senyum. Kemudian, dia berjalan keluar dari pusat membeli belah.

Seperti yang dia janjikan dengan Sharifah Wilma, hari ini dia akan bertemu dengan Sharifah Sofia untuk meminta jawatan yang sesuai dengannya di hotel milik nendanya itu. Walaupun dia langsung tidak berminat dengan dunia perhotelan, mahu atau tidak dia terpaksa akur dengan kehendak ibunya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience