Chapter 15

Romance Completed 32271

Lima Belas

Tali leher diikat kemas, rambut disikat rapi. Setelah berpuas hati dengan penampilannya, Farhan mengangkat sebuah beg yang berisi baju dan buku nota. Perasaan cemas menguasai dirinya kerana dia tidak habis lagi membaca nota-nota untuk menduduki ujian Kursus Induksi. Dia menumpang ayahnya ke tempat kursus tersebut. Kebetulan tempat kerja ayahnya terletak berhampiran dengan Hotel Putra Kuala Lumpur. Kursus tersebut memakan masa selama tiga hari. Dua hari mendengar ceramah dan satu hari khas untuk menduduki ujian bertulis.

Enjin kereta Honda Accord dihidupkan. Sementara menunggu enjin kereta ayahnya panas, dia menghafal sedikit isi-isi penting untuk soalan yang mungkin akan keluar dalam ujian itu nanti. Dalam dia asyik menghafal, ayahnya memanggil dia untuk bergerak ke Kuala Lumpur. Farhan menyalam ibunya yang setia menanti di muka pintu rumah.

Dia melangkah masuk ke dalam kereta dengan kalimah basmalah dan doa menaiki kenderaan. Farhan dan ayahnya berborak mesra sepanjang perjalanan. Perjalanan dari Putrajaya ke Kuala Lumpur memakan masa hampir 40 minit kerana jalan mula sesak apabila memasuki Kuala Lumpur.

Jam baru menunjukkan angka lapan. Kursus bermula pada jam 10 pagi. Dia tiba awal di Hotel Putra. Sebelum dia turun dari kereta, tangan ayahnya diraih dan disalam. Beg dikeluarkan daripada tempat duduk belakang. Dia masuk ke dalam hotel.

“Masih awal lagi. Apa aku hendak buat ni?” Getus hatinya. Dia memandang kiri dan kanan. Beg ditariknya dan dia melabuhkan punggungnya di atas sofa tempat menunggu. Al-Mathsurat diambil keluar daripada begnya dan dibacanya untuk mengisi masa.

Usai sahaja dia membaca Al-Mathsurat, dia melihat jam tangan. “Aduh, baru 8.30? Mengantuk betul.”

Farhan menutup matanya dalam masa beberapa minit dia terlelap di sofa empuk itu. Dia tersedar bila dia terdengar bunyi bising. Matanya digosok. Peserta kursus yang lain baru sahaja tiba. Mereka menaiki bas dari Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan. Tiba-tiba, dia ternampak satu susuk tubuh yang amat dikenalinya.

“Marha? Dia ada di sini? Eh, tak mungkin. Mungkin pelanduk dua serupa sahaja.” Bisik hatinya. Gadis yang sedang lalu di hadapannya saling tidak tumpah seperti Marha. Cuma gadis itu bertudung labuh.

“Ha ha. Apalah hendak jadi dengan aku? Semua perempuan aku nampak macam Marha.” Farhan tergelak. Dia menyorong begnya dan mengikut para peserta lain untuk memasuki bilik Kenanga di tingkat satu. Dia menguak pintu bilik itu. Peserta lain sudah mula memenuhi.

Dia memandang sekali imbas untuk mencari tempat yang masih kosong. Dia terperasan ada seseorang yang dia kenal semasa menuntut di UNiSEL dahulu. Ameer Imran, pelajar kelas 8C. Dia terus menuju ke tempat Ammer Imran duduk dan mengambil tempat di situ. Dia menepuk bahu Ameer dan jelas kelihatan riak terkejut di wajah Ameer.

“Eh, kau Farhan! Tak sangka aku, boleh berjumpa kau di sini. Tak tahu pula kau posting di Negeri Sembilan.” Kata Ameer dengan girang. Tangan mereka bertautan bersalaman.

“Aku pun sama. Tak sangka. Kecil betul dunia ni.” Balas Farhan. “Ramai juga cikgu-cikgu yang hadir. Mungkin dalam 100 orang?” Kepalanya menoleh ke kiri dan kanan. Matanya melilau mencari kelibat gadis yang bertudung labuh yang dia lihat tadi. Namun hampa. Dia menarik kerusi dan melabuhkan punggungnya.

Ameer mengangguk kepala. “Yalah. Kau apa cerita? Sudah berkahwinkah?”

“Soalan killer tu. Belum lagi. Aku masih menunggu bidadari aku muncul.” Dia mengangkat kening dua kali.

Dalam kerancakan dua sahabat itu berbual, pegawai yang menguruskan kursus induksi memanggil para peserta untuk mendaftar kehadiran dan menghantar assignment individu. Farhan dan Ameer bergegas bangun dan terus memasuki barisan. Keadaan sedikit sesak dan kalut. Semua berebut-rebut hendak mendaftarkan diri. Dalam kekalutan, Farhan terlanggar seseorang. Dia menoleh ke kanannya, ingin meminta maaf.

Lidahnya kelu. Matanya terkebil-kebil melihat orang yang dilanggarnya tadi. Dia terkejut.

“Marha?”

“Farhan?” Balas gadis yang berada di tepinya. Jelas terpancar air muka terkejutnya. “Awak posting Negeri Sembilan juga?”

“Ya. Tak sangka. Sudah setahun lebih baru tahu kita mengajar dalam satu negeri rupanya.”

“Itulah kan. Baiklah Farhan. Kita borak masa rehat ya? Assalamualaikum.” Marha mengukir garis manis dan berlalu pergi ke tempat duduknya.

Perasaan Farhan bercampur-baur ketika itu. Dia sangat gembira kerana berjumpa semula dengan bidadari hatinya. Dia mengeluarkan telefon bimbit berjenama Sony Ericsson dan mencari nombor telefon ibunya. Caller ringtone Maher Zain bermain di hujung talian.

“Assalamualaikum. Ibu, bidadari Along sudah muncul!”

“Waalaikumussalam. Marha? Alhamdulillah. Along jangan suka sangat. Along cubalah risik dulu ya? Takut dia sudah berpunya. Nanti Along juga yang sedih.”

“Ok,ok. Gembiranya Along, bu. Nanti Along call lagi ya? Doakan Along ya ibu.”

“Insha Allah.”

Farhan mematikan panggilan telefonnya. Dia kembali ke tempat duduknya. Sempat dia mengerling ke arah Marha yang leka membaca sesuatu. Senyuman tidak lekang daripada bibirnya.

“Tunggu aku, Marha. Aku akan menjemput kau tak lama lagi. Harap-harap kau belum berpunya.” Bisik Farhan. Perasaan girangnya sukar dibendung. Koyakan sengihannya jelas di bibir.

“Eh, Farhan. Kenapa asyik tersingih saja? Apa yang happy sangat tu?” Ameer menyiku lengan Farhan.

“Kau hendak tahu tidak?”

“Tahu apa?” Ameer mengerutkan dahinya.

“Aku sudah jumpa bidadari aku.” Semakin lebar sengihan Farhan.

“Serius? Mana bidadari kau? Aku mahu tengok.”

“Seriuslah. Ha ha. Mana boleh. Rahsia.” Farhan tergelak.

“Hmm. Suka hati kau lah Farhan.” Ujar Ameer.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience