“Tolong Alia…Tolong Alia…hikhikhik..”, suara lembut gemersik itu menganggu kerjanya. Terhenti Zafran menaip papan kekunci komputer ribanya. Dia menelan air liur yang kesat. Walaupun bunyi perlahan tetapi masih boleh menegakkan bulu romanya. Gila tak seram! Akhirnya dia menapak perlahan ke arah pintu biliknya.
Dengan sedikit keberanian yang ada, Zafran menolak sedikit pintu itu. ‘Tolong Alia Zafran..’, semakin dekat dengan pintu itu, semakin kuat bunyinya. ‘Betul ke dengan apa yang aku dengar tadi?’ getus hatinya gementar. ‘Suara itu…’, gumam Zafran perlahan. Air liurnya diteguknya berkali-kali, percikan peluh di dahinya seolah-olah memahami degupan jantungnya tika ini.
‘Oh tuhan! Jangan kau uji aku dengan benda-
benda ni!’
Entah mengapa, liurnya terasa kesat untuk ditelan kali ini apabila melihat satu lembaga hitam sedang meringkuk di sudut biliknya. Sungguh! Lututnya longlai apabila lembaga itu mula merangkak laju ke arahnya dengan rambutnya yang panjang mengurai melepasi bahu.
“Kau nak apa dari aku?! Jangan kacau aku lagi.” Teriak Zafran sekuat-kuatnya. Sebaik Zafran melepaskan tempikan, kepala lembaga itu berputar 180 darjah. Kelihatanlah wajahnya yang hancur berkecai dan berdarah sehingga menampakkan biji matanya yang tersembul. Giginya yang kebanyakkan sudah patah mengeluarkan darah dan nanah hijau. Pakaiannya yang basah dengan darah yang hanyir sangat memualkan Zafran saat ini. Pantas Zafran menekup mulutnya daripada memuntahkan isi perutnya. Menggeletar tubuh Zafran apabila wajah lembaga itu menghampiri mukanya dan tiba-tiba lembaga itu membuka luas mulutnya dengan mengilai-ngilai sehingga mengeluarkan ulat-ulat dimulutnya.
“Tidakkkk!!!” teriakan terakhirnya bergema apabila kepalanya sudah selamat ditelan lembaga itu. Darah sudah memancut keluar dari leher Zafran dan yang tinggal hanya bau hanyir darah yang memenuhi ruang bilik itu.
“Allah!!!” Zafran menempik kuat. Terus dia bangun dari pembaringan. Tercungap dia cuba bernafas. Dia mengelap kasar peluh yang merenik di dahinya. ‘Ya Allah! Aku mimpi rupanya..’ monolognya dalam hati. Zafran meraup kasar mukanya. Keluhan berat dilepaskan. Lembaga yang dilihat dalam mimpi tadi terus menghantui fikirannya.
Tiba-tiba tubuhnya dijalar rasa seram sejuk sambil matanya melilau di ruang segenap biliknya. Keluhan dilepaskan lagi. Sudah hampir setahun mimpi ngeri itu menemaninya hampir setiap malam. Dia tertekan! Semuanya jelas terbukti apabila prestasi kerjanya merosot dan berat badannya menurun kebelakangan ini. Yang pasti semuanya berpunca selepas peristiwa itu.
Setahun yang lalu…..
Alia Delisha merayu agar dilepaskan namun malang sekali apabila Zafran langsung tidak memperdulikan rayuan dan tangisannya. Tubuhnya diheret kasar ke gudang usang yang terletak di bahagian bawah tanah milik keluarga Zafran.
“Jangan buat Alia macam ini Zafran..please..Apa salah Alia?” rayu Alia bersama esakan halus. Kelmarin, tubuhnya sudah lebam dipukul dan disepak terajang oleh lelaki itu. Tidak cukup lagi, Zafran menghadiahkan penampar pula hari ini.
“Kau diam betina!” jerkah Zafran kuat serentak itu dilepaskan tamparan ke pipi gebu Alia. Berdesing gegendang telinganya. Darah yang mengalir di tepi bibir dilapnya kasar. Terasa pijar dan bahang pipinya. ‘Apalah sangat sakit di bibirnya kalau nak dibandingkan dengan sakitnya hati aku ini. Dasar lelaki dayus!’ omelnya geram.Namun, luahan itu hanya mampu dipendam di dalam hati dikhuatiri semakin teruk tubuhnya bakal dikerjakan. Sehabis daya Alia menjaga mulutnya dari
melontarkan kata-kata kasar kepada lelaki pyscho itu.
Tanpa buang masa, Zafran terus menghumban tubuh genit itu dengan kasar ke katil. Alia yang merayu agar dilepaskan hanya dihadiahkan senyuman jengkel oleh Zafran.
“Selangkah kau masuk dalam ruangan ini, tak akan ada peluang untuk kau melangkah keluar. Hahahahahaha”, Zafran berkata dengan sinisnya. Ruangan bawah tanah itu bergema dengan gelak ketawanya. Ya! Dia puas dapat membalas dendam terhadap Alia. Dia puas apabila dapat melihat wanita itu terseksa. Apatah lagi melihat esakan kuat dari wanita itu menambahkan lagi semangatnya untuk membunuh wanita itu.
“Zafran..awak tak akan apa-apakan perempuan yang awak sayang kan? Awak cintakan saya kan,” pujuk Alia lembut. Dia sangat-sangat berharap lelaki ini akan berubah kerana Zafran yang dia kenal bukan sebegini. Dulu, dia sangat penyayang dan peramah. Alia mengetap bibir menahan esakannya yang bila-bila saja pecah. Dia percaya ada sesuatu yang menganggu fikiran lelaki itu saat ini sehingga dia berubah 360 darjah.
“Cinta? Hahaha..kalau kau nak tahu, tak pernah ada istilah cinta dalam hidup aku. Tugas aku hanya untuk memusnahkan hidup kau. Tak sangka lakonan aku menjadikan? Aku pikat kau, tapi itulah tak sangka kau jual mahal pulak,” Zafran berkata dengan bangganya selepas melukakan hati seorang wanita yang tulus mencintainya.
“Ingat Allah Zafran. Masih belum terlambat lagi untuk awak undurkan kembali semua ini,” pujuk Alia lagi. ‘Ya Allah, tolong lindungi dia,’ berdoa Alia sambil teresak-esak menangis.
“Kau tak payah nak beria-ria menangis. Tak lama lagi kau akan mati. Ada apa-apa last wish untuk aku tunaikan?” Alia tergamam. Tak sangka lelaki yang dia cinta sanggup mempermainkan dirinya.
“Kau memang kejam Zafran! Sanggup kau buat aku macam ini. Apa salah aku?” tengking Alia lalu menolak kasar tubuh tegap itu. Zafran terpana. Terasa tercabar kejantanannya apabila ditolak perempuan itu. Zafran merengus geram lalu menghadiahkan penampar kuat di pipi wanita itu lagi. Alia sudah terjelepok jatuh ke lantai. Lemah tubuhnya saat ini. Zafran hanya memandang sinis wanita di hadapannya.
Tanpa banyak bicara, Zafran mengeluarkan sepucuk pistol Vektor SP1 di bawah laci mejanya dan berjalan mengelilingi wanita itu. Sesaat, pistol itu terarah tepat pada muka Alia. Alia yang terpempan terus saja menggelengkan kepalanya dan terus memaut kaki Zafran. Alia tidak berhenti menangis dan meronta. Namun semuanya hanya sia-sia.
“Please Zafran. Alia merayu pada awak..” rayunya lemah sambil melutut di hadapan lelaki itu. Zafran berang terus saja mencengkam kuat rahang muka Alia sambil mengacu pistol tepat ke arah wajahnya. Sesaat, tiga tembakan sudah dilepaskan. Tiada langsung belas kasihannya terhadap Alia. Tubuh Alia yang sudah tidak bernyawa dipandang puas. Kelihatan wajah wanita itu sudah berkecai, hanya menampakkan sebelah mukanya. Sebahagian otak yang bertaburan di lantai Zafran pijak tanpa rasa bersalah.
Percikkan darah pekat yang terpercik di tangan dia jilat tanpa perasaan. ‘Baru puas hati aku!’ gumamnya puas sebelum meletupkan bahagian rumah bawah tanah itu dengan letupan bom. Tetapi dia lupa, Allah sentiasa ada dan juga malaikat yang tidak pernah berhenti untuk mencatit amalan hamba-hamba-Nya.
Bunyi alarm yang berdering di telefon bimbit menyentakkan lamunannya. Lantas Zafran meraup kasar mukanya. Fikirannya ketika ini betul-betul buntu. Apatah lagi peristiwa yang berlaku setahun yang lalu diulang tayang dalam mindanya.
“Alia…Maafkan aku,” rintihnya sebak. Ditekup muka ke lututnya sambil bahunya terhenjut-henjut menahan tangisan yang hampir pecah.
“Maafkan aku…Maafkan aku….”, rintihnya lagi. Sungguh! Penyesalan ini tidak akan hilang sampai bila-bila. Sepantas kilat empangan air matanya terus pecah apabila mengingatkan kembali senyuman manis kekasihnya. ‘Aku rindu kau Alia. Tergamaknya aku bunuh kau. Ke mana hati nurani aku ketika itu?’ rintihnya sebak. Dia betul-betul menyesal.
Setengah jam kemudian, telefon Zafran capai. Segera didail nombor Rudy, kawan baiknya. Berkali-kali dia cuba telefon sehinggalah Rudy menjawabnya. Kedengaran suaranya serak. ‘Mungkin baru bangun tidur. Aduh! Memanglah baru terjaga dari tidur sekarang ni pukul 3 pagi!’ omelnya sambil mengaru kepalanya yang tidak gatal.
“Kau kena tolong aku ni bro!!”
“Buang tebiat ke apa kau ni? Asalamualaikum pon tak ada. Dahlah kacau time aku tidur,” rungut Rudy geram. Sudahlah dia penat. Terasa baru sahaja dia melelapkan mata. Sebab PUBG punya pasal, sanggup dia bersengkang mata.
“Tolonglah aku. Aku dah lost tak tahu nak mintak tolong siapa lagi. Aku harapkan kau je!” pujuknya sayu.
“Kau kan ada Alia. Mana dia pergi?” Dua-dua terdiam. Rudy menampar-nampar mulutnya beberapa kali. ‘Celupar sangat mulut kau ni Rudy!’ omelnya sendiri. Mungkin atas faktor mengantuk, itu yang tiba-tiba nama Alia terlintas di mindanya ketika itu.
“Okay kejap lagi aku sampai. Tapi kalau nanti kita kena tangkap basah macam mana?” soal Rudy yang masih dalam mamainya.
“Kepala otak kau! Aku ni lelaki! Kau tu jantan,” marah Zafran. Masa macam inilah Rudy nak buat lawak bodoh yang menyakitkan hati. Rudy hanya tersengih seperti kerang busuk. Digaru kepalanya yang tidak gatal. Dengar saja bunyi loceng, Zafran bergegas membukanya. Muncul Rudy dengan muka serius tanpa senyum. ‘Aik! Cepat pula dia datang,’ gumamnya pelik. Tanpa banyak bicara, Zafran terus mengajak Rudy masuk ke dalam rumahnya. Sewaktu Rudy melintasi dirinya, hidungnya menangkap bau hanyir darah. Terlalu busuk! Tetapi dia hanya mendiamkan diri sahaja.
“Sorrylah geng sebab aku ajak kau datang pagi-pagi buta ni. Ada hal yang aku nak bincang dengan kau sikit,”ujar Zafran. Serba salah dirinya terpaksa melibatkan Rudy dalam masalahnya.
“Kau nak air panas ke? Boleh aku buatkan dulu”, Zafran pelik melihat wajah pucat tak berdarah kawan baiknya.
“Aku tumpang toilet sekejap,” mendatar sahaja suara Rudy. Pelik! Tidak pernah-pernah Rudy minta kebenarannya sebelum ini. Zafran hanya menganggukkan kepala sahaja. Deringan ringtone nyanyian Peterpan menjerit minta diangkat. Lantas Zafran menggapai telefon bimbitnya di meja.
Nama Rudy yang terpapar di skrin telefon bimbitnya dipandang pelik. ‘Buang tebiat apa budak ni call aku dalam toilet,’ tanpa buang masa Zafran menekan butang off. Sekali lagi deringan telefon bimbitnya bergema semula. Pantas Zafran menjawab panggilan dari Rudy.
“Bro, aku lambat sikit sampai. Kereta aku buat hal pulak time macam ni. Apa-apa aku roger,” ujar Rudy bengang kerana kereta yang baru dibaiki dua minggu lepas sudah rosak lagi. Zafran terkesima. Tiba-tiba bunyi dentuman kuat dari pintu tandas menyentak kuat jantungnya. Matanya menyoroti pintu tandas yang terbuka luas itu.
Telefon bimbit yang dipegang kejap sudah jatuh dari pegangannya. Zafran mengelap peluh yang merenik di dahinya. Tercungap dia cuba mencari nafas. Lantas dia beranikan diri melangkah dengan terketar-ketar ke arah tandas itu. Tiada orang! Sesaat, bau hanyir darah menusuk rongga hidungnya. Serta merta bulu roma di
tengkuknya meremang hebat apatah lagi bunyi tangisan seorang wanita di gegendang telinganya semakin kuat pada pendengarannya. Berderau darahnya. Zafran tahu milik siapa suara tangisan itu.
‘Kenapa kau bunuh aku? Apa salah aku?’suara tangisan halus betul-betul meruntun jiwa Zafran ketika ini.
“Aku minta maaf Alia...Sungguh! Terlalu besar dosa aku pada kau. Aku pohon..tolonglah pergi dengan tenang. Jangan ganggu aku lagi..,”rayunya sebak. Zafran menundukkan wajahnya ke lantai apabila wajah ngeri Alia semakin dekat ke wajahnya. Dia hanya pejam lama matanya. Perlahan-lahan bayangan Alia bertukar dalam bentuk asap hitam dan hilang dibawa angin malam. Zafran membuka matanya. Dia panjatkan rasa bersyukur apabila semuanya kembali kepada normal. Apatah lagi figura roh Alia sudah lenyap di pandangan matanya.
Bingkai gambar yang berada di sebelah katilnya dia capai. Tersenyum melihat wajah manis wanita yang terpampang di bingkai gambar itu. Namun, tidak lama senyuman itu bertahan. Perlahan-lahan air mata membasahi pipinya seperti malam-malam sebelumnya. Air mata yang jatuh menitik di bingkai gambar, Zafran kesat perlahan.
Sesungguhnya penyesalan ini tak akan hilang sampai bila-bila. Bahkan pada waktu ini, sungguh perit hatinya untuk menelan natijah daripada dosa semalam dan akhirnya terhukum dengan khilaf yang dilakukan sendiri. ‘Semoga masih ada ruang taubat untuk aku berubah dan perbetulkan kekhilafan kerana aku pendosa yang juga ingin ke syurga. Semoga kau tenang di sana Alia Delisha dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman,’ doa Zafran di dalam hati.
Ketahuilah sesungguhnya nyawa kaum muslimin di sisi Allah Ta’ala merupakan nilai yang sangat tinggi. Bahkan hancurnya dunia sekalipun, itu masih lebih ringan dibandingkan dengan hilangnya nyawa seorang muslim. Allah Ta’ala berfirman
bahawa:
“Dan barang siapa membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah Jahannam, kekal ia di dalamnya dan Allah murka kepadanya, dan mengutukinya serta menyediakan azab yang besar baginya.” (An-Nisa: 93)
T A M A T
#NotaAuthor
Terima kasih kepada yang sudi membaca cerpen yang tidak seberapa ini. Semoga sedikit sebanyak karya yg dihasilkan dapat memberikan input yg berguna kepada pembaca semua.
Setiap penulis mungkin mempunyai gaya penceritaan yang berbeza-beza. Tapi selagi pembaca faham apa yang saya cuba sampaikan, saya dah cukup happy sangat.. :) :) :)
Semoga komen-komen positif dari pembaca semua dapat improve penulisan saya menjadi lebih baik dari sebelum ni. Insyallah apa-apa nasihat, teguran, makian saya terima dengan berlapang dada. Thank you for the big support!
From,
Dakwat_Hitam
Share this novel