Bab 18

Young Adult Completed 7336

"Nanti cuba ajak Suhaila berbincang elok-elok, okey? Mak Ngah doakan urusan Mawar semua lancar hari ni," ujar Suhana lalu merangkul tubuh anak saudaranya itu ke dalam dakapan.

"Terima kasih, Mak Ngah. Assalamualaikum." Pelukan itu dia yang pertama leraikan. Mawar lalu melangkah keluar daripada perut kereta itu dengan hati yang berat dan resah.

Sebelum melangkah masuk, dia berdiri sebentar di situ untuk menghantar pergi Mak Ngah yang memacu kenderaannya dengan pandangan yang sayu.

Apa yang pasti, meski sayu menguasai, tetap jua ada bibit-bibit harapan yang bertunas perlahan.

Sepanjang dia berjalan ke kelas, dia sibuk cuba mengingati semula apa yang telah dia bincangkan dan rancang semalam bersama Mak Ngah selepas makan malam.

"Rehat nanti atau habis sekolah, cuba cari Suhaila dekat kelas dia dan ajak dia berbincang berdua. Lepas tu, minta maaf pada dia," ulang Mawar berkali-kali.

Terbit secara rawak di dalam mindanya satu persoalan yang baru hari ini dia terfikir - adakah dia mahukan kemaafan dan belas kasihan daripada Suhaila dan cikgu Haizi kerana dia benar-benar berasa bersalah dan sudah insaf?

Atau dia sekadar mahu mengelak daripada dihukum masuk penjara atau hukuman lain yang setara dengannya?

"Astaghfirullah," ucapnya dengan resah.

Hatinya berbolak-balik.

Salahkah baginya untuk mencuba mengelak sebarang hukuman? Mawar seorang manusia yang punya rasa takut dan dia sedar betapa pengecutnya dia kerana sekadar berani buat, namun tidak berani bertanggungjawab.

Dia tidak mampu untuk terus memikirkan persoalan itu.

Kerana dia tahu, jawapan yang haq akan membawanya ke jalan buntu.

Mawar kini tiba di kelas. Sempat mata menjeling Ahmad Firdaus yang sedang ralit membaca buku di tempat duduknya. Mawar melintasi jejaka itu dan bersegera melangkah ke arah mejanya nun di belakang.

Sejurus sahaja dia duduk, belum sempat dia menanggalkan beg yang disandang, datang seorang gadis yang jelas pada wajahnya tanda lahir bagaikan lebam. Gadis itu kemudian bersandar pada pintu belakang kelas.

Mawar tidak jadi menanggalkan begnya. Matanya terpaku ke arah gadis itu yang kini memberi isyarat dengan tangan kanan kepada Mawar agar mengikutinya.

Kerisauan mula mekar. Namun, arahan gadis itu tidak Mawar ingkar. Beg sandang itu akhirnya ditanggal dan Mawar bangkit dari kerusi.

Gadis yang tidak diketahui namanya itu - namun Mawar yakin dia salah seorang kawan Suhaila - berjalan di hadapan menuntun langkah berjalan ke destinasi yang menanti Mawar.

Di belakang, Mawar keresahan melihat suasana sekolah yang sunyi sepi kerana ia masih awal pagi. Ramai pelajar yang belum sampai lagi. Memang suasana yang sesuai untuk memburu mangsa.

Walaupun ini hanya minggu kedua Mawar berada di sekolah itu, dia sudah arif serba sedikit akan kawasan sekolah itu. Melihatkan jalan yang dilalui oleh mereka berdua, tahulah Mawar ke mana mereka tujui.

'Mesti dia nak bawa aku ke makmal komputer lama dekat hujung blok E tu, kan?' getus hati Mawar penuh risau.

Jantungnya mula berdebar laju.

Dia yakin nasib tak baik pasti menantinya di situ.

***

Tina begitu sibuk mengintai sekali-sekala ke luar pintu makmal lama itu. Kelakuannya yang menjengkelkan itu membuatkan Suhaila akhirnya membuka mulut menegur.

"Tina, kau boleh tenang tak? Nanti Syifa sampai, dia ketuklah pintu tu!" tegur Suhaila keras. Dia lalu menyambung bermain-main semula dengan pisau lipat yang dibawanya dari rumah.

"Natasha, kau bawa tak tali macam yang aku suruh semalam?" soal Suhaila kepada gadis yang duduk di atas kerusi bertentangannya.

Natasha menyeluk ke dalam beg sekolahnya, lalu dia menayangkan segelung tali nilon berwarna biru ke arah Suhaila yang beriak penuh dendam itu.

"Nice," puji Suhaila ringkas.

Beberapa minit lagi berlalu sebelum akhirnya mereka bertiga mendengar ketukan bertalu-talu pada pintu masuk makmal. Tina yang ditugaskan menjaga pintu segera membukanya.

Muka Mawar yang pertama terjengul tatkala pintu itu dibuka. Mawar kekal berdiri di pintu masuk itu, tercengang dan ketakutan. Dia kemudian ditolak masuk oleh Syifa yang berada di belakangnya.

"Mampuslah kau hari ni!" ejek Tina yang baru sahaja menutup pintu. Kata-kata cemuhannya itu diiringi gelak yang menyeringai. Tak lain tak bukan, tujuannya adalah untuk menyakitkan hati Mawar dan menambahkan lagi rasa takutnya.

Tina, Syifa dan Natasha lalu mengelilingi Mawar tanpa disuruh. Mangsa mereka itu lalu didudukkan dengan paksa dalam keadaan berlutut.

Mawar mula menggeletar ketakutan. Dia sedar ada kemungkinan dia akan dicederakan hari ini. Serentak itu, dia mula teringat akan saat-saat dia membuli rakan-rakan sekolahnya dulu bersama Adibah, Atikah, Jihan, dan Wafa.

"Hasbunallah wa ni'mal wakil..." bisik Mawar perlahan.

Air mata yang menitis keluar tidak dapat dia tahan.

Hai, korang! Alang-alang dah baca habis tu, jemputlah komen sekali tau. Makin semangat saya nak menulis.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience