Bab 45: Pujuk

Romance Series 20066

MARAH-marah pun, tanggungjawab menghantar isteri ke tempat kerja tak dia lupa. Walaupun hubungan antara mereka sedikit tegang, Syafiq masih tak lupa untuk tonjolkan sisi suami misalinya.

Bangun pagi, dia yang kejutkan Damia. Lepas tu, dia yang hantar Damia seperti biasa.

Cuma sediakan sarapan aje yang Damia buat pagi tadi. Mungkin dia tu mahu meraih kembali hati si suami yang dihentak kecewa. Salah dirinya juga sebab tak memahami perasaan suaminya.

Dia selalu sangat minta macam-macam benda. Kalau suaminya tak bagi, mesti dia nak merajuk. Sebab itulah suaminya suka mengalah untuknya. Tapi untuk hal semalam, mesti suaminya tak akan beri peluang dah untuknya. Itulah, lain kali jangan mengada sangat!

Mereka berdua membisu sepanjang perjalanan di atas motosikal. Walaupun begitu, Damia takkan biarkan hubungan mereka makin dingin.

Kedua-dua tangannya menjalar memeluk erat pinggang suaminya dari belakang. Kepala pula dilentokkan menyandar bahu suaminya.

Dia tahu, walaupun Syafiq marah, suaminya tu takkan pernah leraikan pelukan itu. Dan tekaannya benar. Dia sudah masak dengan sikap suaminya tu. Marah sekalipun, tapi kalau isteri dah mula nak bermesra begini, Syafiq mesti layankan aje.

Tiba sahaja di hadapan bangunan VeoBay Group, Damia segera jejakkan kakinya ke tanah. Helmet berwarna jingga miliknya ditanggal lalu diserah kepada suaminya. 

Damia menghulurkan kedua belah tangannya untuk bersalaman dengan suami tercinta. Suaminya suakan tangan, lalu belakang tangan suaminya dikucup penuh syahdu. Wajah suaminya tidak berani dia pandang. Mungkin takut suaminya masih marah?

Tapi selalunya, Damia pasti akan mendapat kucupan di dahi setiap kali sebelum mereka berpisah. Cuma hari ini berbeza. Rasanya seperti tak lengkap.

"Saya pergi dulu, bang. Hati-hati bawak motor tu," pesan Damia lalu dia terus majukan langkah untuk masuk ke dalam bangunan. 

Suasana di luar bangunan syarikat tidaklah sesibuk mana. Sebabnya kerana Damia yang sentiasa datang 30 minit lebih awal dari mulanya waktu bekerja. Waktu bekerja mula pukul 8:00 pagi, tapi dia datang 30 minit awal dari tu setiap hari.

Lebih baik dia datang lebih awal dari bos dan bahkan rakan sekerja yang lain. Sampai je tempat kerja, bolehlah relaks sekejap. Tak adalah terlalu rushing sangat.

"Kejap sayang" suara Syafiq yang tiba-tiba menerjah itu segera menghentikan langkah Damia. Damia segera menoleh, lalu langkahnya kembali ditujukan mendekati suaminya.

Tapi belum sempat lagi dia bertanya, dia sudah lihat suaminya mengeluarkan dompet dari dalam poket seluar. Lalu beberapa keping wang not RM50 dan RM10 dikira sepintas lalu dan dihulur ke tangan Damia.

"Nah, duit yang sayang nak guna tu."

Damia tercengang. Matanya terkebil-kebil. Sungguh, tiba-tiba hatinya terasa dihentam sesuatu. Sesuatu yang membuatkan hatinya melebur kerana perbuatan suaminya itu.

"Tapi, abang ..."

Tak membiarkan Damia habiskan ayatnya, Syafiq memangkas, "Ambiklah, sayang. Tangan abang lenguh dah ni." Syafiq tertawa kecil melihat Damia yang masih melopong. Damia pun terus ambil duit itu.

Jumlah duit itu dikira. Bukan RM280 seperti yang dia minta semalam, tapi lebih.

"Abang, apa ni?" tanya Damia kehairanan. "Saya mintak RM280 je, bukan RM500."

"Anggap yang lebih tu, nafkah abang untuk sayang."

Sebak pula dirinya rasakan sekarang ini. Sayang sungguh suaminya kepada dia tu. Semalam kata aje tak ada duit, tapi hari ni, terlebih pula duit yang suaminya bagi.

"Lepas dapat gaji saya ganti balik untuk duit yuran tu."

"Ish, sayang ni. Tak payah. Tu tanggungjawab abang untuk sara keperluan sayang." Syafiq menolak untuk menerima. Dia sebagai suami, dialah yang bertanggungjawab sepenuhnya selagi mampu.

"Saya tak susahkan abang? Maksud saya, abang masih ada simpanan?" soal Damia lagi kerana dia risau sekiranya suaminya tu sanggup mengikat perut semata-mata mahu penuhi kehendaknya.

Syafiq geleng. "Mana ada susahkan abang. Abang adalah sikit simpanan. Sayang jangan risau. Pasal semalam tu, abang tak marah sayang tau. Cuma abang mengantuk sangat masa tu. Harap sayang fahamlah. Maafkan abang kalau ..."

"Abang," pangkas Damia. "Tak payahlah mintak maaf. Abang suami yang terbaik bagi saya. Terima kasih abang sebab sentiasa bagi apa yang saya nak. I love you."

Syafiq tersenyum manis. Dia terus merapatkan kepala isterinya lalu bibirnya segera mengucup dahi si isteri. Sekarang barulah lengkap rasanya kalau nak berpisah pun.

"Tapi abang ada satu permintaan jugak. Boleh sayang tunaikan untuk abang?" Giliran Syafiq pula menyatakan hasratnya.

Damia jongketkan kening. Amboi, macam tak ikhlas nampak. Permintaan dibalas permintaan lagaknya.

Tapi tak apalah. Demi suaminya, dia sanggup. Suaminya pun dah banyak buat macam-macam untuk dirinya.

"Boleh. Apa dia?"

"Esok sayang cuti. So, boleh tak kalau esok malam sayang teman abang pergi makan kat Warung Mak Uda tu?"

Makin melebar senyuman Damia hadiahkan kepada suaminya. Nak ajak makan aje rupanya. Kalau macam tu, tak payah ajak. Dia sendiri yang akan ikut suaminya pergi makan ke luar bersama.

"Mestilah boleh. Dah lama kita tak pergi sana. Kalau setakat makan berdua dengan abang, duduk sana dari pagi sampai ke malam pun, saya sanggup tau." Damia tak mampu sembunyikan kegembiraannya.

"Senyum macam tulah yang abang rindu nak tengok. Masa pagi tadi, sayang senyap je dengan abang. Abang rasa bersalah sangat, tau."

"Ceh, abang yang start dulu. Abang buat muka garang dengan saya, manalah saya tak takut nak bersembang dengan abang tadi." Damia memberi alasan tapi tangannya tak boleh duduk diam. Kerja nak menampar perlahan bahu suaminya aje. Suaminya pun, buat muka reda.

Damia kerling jam yang terlilit di tangan. Eh? Dah pukul 7:40 pagi? Bermaksud dah 10 minit dia bersembang dengan suaminya itu. Kenapa masa berlalu pantas sangat padahal dia rasa perbualannya dengan suaminya tu singkat saja.

Kepingan duit pemberian Syafiq dimasukkan ke dalam beg duit. Sempat dia perbetulkan tudung berbiaskan pantulan cermin sisi motosikal suaminya.

"Abang, saya masuk dulu. Balik rumah nanti, kita jumpa dan sembang puas-puas, ye?" Damia bersiap-siap untuk masuk ke dalam.

"Haih, tak nak salam abang ke?"

"Tadi saya salam dahlah," bantah Damia. Memang betul pun beberapa minit yang lepas, dia bersalam dengan suaminya. Takkanlah suaminya dah nyanyuk!

"Tu tak kiralah. Tadi sayang salam dengan abang, muka monyok aje. Kali ni, salam betul-betul."

Damia julingkan mata ke atas. Banyak songeh betul suaminya ni.

Tangan suaminya dicapai dan dibawa rapat mengenai bibirnya. Lepas itu, seperti biasa, dahinya sendiri pula menjadi sasaran ciuman suaminya. Dah macam lakonan semula apa yang berlaku tadi pula.

Jadi, semua dah selesai. Boleh masuk ke dalamlah, kan?

"Eh, takkan nak pergi macam tu je?"

Damia kerutkan dahi. Kepala yang tak gatal digaru. Dah kenapa suaminya ni. Banyak hal betul. Cerewetnya lain macam.

Mengandung ke suami aku ni? Ish! Kau gila ke, Damia? Jangan nak merepek. Hati Damia membentak fikiran biulnya.

"Apa lagi, bang?"

"Takkanlah dah lupa? Cium." Syafiq tayang pipi kirinya. Gaya dah macam nak minta penampar aje.

Allahuakbar ... memang sah! Bukan aku yang gila, tapi laki aku ni yang tak betul sebenarnya. Nak cium tu boleh, tapi tengok tempat dan masa jugalah. Ni masa ramai oranglah nak mintak itu ini. Damia merungut.

Kawasan sekitar bangunan pun dah dikerumuni oleh pekerja-pekerja yang baru tiba. Waktu macam ni la suaminya nak bersweet-sweet. Malulah nak buat kalau orang ramai tu tengok! 

"Tak nak cium abang ke?" tanya Syafiq lagi. Alahai, dia buat nada pasrah pula. Damia pun dah tak keruan jadinya bila lihat mulut suaminya memuncung.

Terpaksalah dia kena tebal muka demi suaminya. Harap-haraplah orang lain yang lalu-lalang tu, buat hal mereka sendiri. Kalau nak cium pun, kena buat cepat-cepat. Jadi kalau dia cium suaminya pun, tak adalah mereka perasan.

"Ye la, ye la." Damia putuskan jua untuk turuti permintaan suaminya. Kucupan sekali dihadiahkan sekilas mengenai rahang suaminya. Kucupan yang kurang dari 0.01 saat mengalahkan kelajuan panahan petir. 

Senyuman Syafiq makin melebar jadinya. Tengok wajah isterinya yang memerah menahan malu, dia tertawa kecil. Berhasil juga dia mahu usik isterinya tu.

"Macam tu la isteri abang. I love you." Makin mengada-ngada Syafiq tu. Ini siap bagi flying kiss lagi kat Damia.

"I love you too," balas Damia yang sudah tak mampu tahan senyum.

Laki bini ni dah macam tak nak berpisah aje. Orang lain yang di sekitar situ pun dah usyar pelik. Pasti mereka berfikir, Damia bersembang apa lama sangat dengan suaminya tu padahal Damia tu yang datang awal dulu dari mereka. 

Kalau macam tu, baik tak payah datang kerja. Duduk je menghadap muka suami tu kat rumah. Itulah antara kata-kata mereka-mereka yang jenis meluat dan dengki.

"Assalamualaikum." Tatkala bermesra berdua tu, tiba-tiba ada pula suara yang datang mengganggu.

"Waalaikumus ... salam." Apabila Syafiq dan Damia pandang sahaja dari mana arah suara itu muncul, mereka berdua berbalas tatapan. 

Zaid Zaffran? Kenapa dia ada kat sini? Memanglah dia bos di syarikat VeoBay Group ni tapi apa hal dia sibuk nak munculkan diri?

Entah, macam mengganggu pulak Si Zaid ni padahal dia tak buat salah apa pun. Kemunculannya pun, dah macam bagi aura negatif pula rasanya. 

"Syafiq, lama tak jumpa," ujar Zaid. Lalu dia dan Syafiq terus berjabat tangan. 

Syafiq tersenyum sebelum membalas, "Tu la, Zaid. Kita jumpa pun, selalu kat homestay tu je."

"Betul tu. Aku pun rasa dah tak pergi sana dah kut. Kerja kat area kampung tu dah settle minggu lepas."

Damia berdiri kaku dah macam patung. Apabila suaminya dan bosnya bersembang begitu, dia hanya mampu menjadi saksi aje.

Sempat juga dia kerling matanya memerhati sekeliling. Pekerja-pekerja situ nampak macam dah membuntang mata mereka lihat mereka bertiga. Lagi-lagi ke arah Zaid dan Syafiq. Maklumlah, yang seorang encik bos, dan seorang lagi kawan encik bos.

Pekerja perempuan, dah nama pun nampak lelaki handsome sikit, mulalah nak bersembang sesama sendiri. Memang dua lelaki tengah bersembang tu handsome pun. Damia akui dalam hati.

Tapi kalau nak menggatal pun, menggatal dengan Encik Zaffran aje. Kalau mata korang tu tak lepas tengok suami aku, memang aku cungkil mata korang tu sampai terkeluar. Damia bukukan kegeraman. Malah dia sempat menjeling tajam ke arah pekerja-pekerja wanita tadi. Entahlah mereka tu dari department mana. Tak pula dia kenal kerana rasanya tak penting pun kenal mereka tu.

"Jaga bini aku elok-elok. Kau jangan nak buli dia pulak."

Suara suaminya membuatkan Damia kembali tertumpu kepada perbualan dua lelaki itu. Amboi Syafiq ni, siap ugut-ugut bos isteri pula.

"Takkanlah aku nak buli isteri orang yang banyak tolong aku. Tak apalah. Nanti bila-bila, kita bersembang lagi. Kau pun ada nombor telefon aku, kan?" soal Zaid.

Syafiq mengiyakan. Memang dia dapat nombor telefon Zaid pun, daripada isterinya. Senanglah kalau nak berhubung dengan Zaid tu kalau sesuatu terjadi kepada Damia.

"Aku masuk dulu. Dah lambat ni." Zaid kerling jam di tangan. "Jom, Damia." Dia mengajak pula Damia untuk berjalan bersamanya.

"Ba ... baik, encik." Damia ikut. Tapi sebelum dia mengiringi Zaid tu, dia lambaikan tangan dahulu kepada suaminya sebelum berpisah.

Syafiq membalas lambaian tangan itu dengan senyuman. Tapi, seri senyumannya makin menghilang sambil menghantar pandangannya ke arah isterinya yang sudah makin menjauh.

Zaid dan Damia tu berjalan beriringan. Itu tak jadi masalah tapi apa hal mereka tu saling berpandangan. Siap bergelak lagi. Bersembang apa?

Syafiq geleng kepalanya. Dia cuba menghalau prasangka negatif. Zaid dan Damia tu, hanya bos dengan staf sajalah. Kenapa kau nak buruk sangka dengan Zaid pulak. Lagipun, orang kaya macam Zaid tu, macamlah dia tak sangkut dengan sesiapa. Bisik Syafiq dalam hati.

Dia beredar pergi selepas itu. Dia percayakan isterinya. Lagipun, dia tahu isterinya tu sayangkan dirinya seorang sahaja. Tak patut dia berfikir macam tadi.

*****

Dua mangkuk tomyam, tiga pinggan nasi dan set ikan siakap tiga rasa menjadi hidangan pilihan makan malam di Warung Mak Uda ini.

Bukan untuk dikongsi, tapi hanya untuk Damia seorang!

Damia makan dah mengalahkan orang membela saka pula. Ingat masa membuat pesanan tadi, Damia hanya melawak aje, rupa-rupanya memang dia mahukan pun hidangan semua tu. Memang kebulur sungguh sampaikan hampir licinlah hidangan yang dipesannya tu.

Lain pula dengan Syafiq yang hanya memesan nasi putih daging merah berserta sepinggan sotong goreng celup tepung sahaja.

Fuh! Makan mengalahkan orang lelaki isteri aku ni. Syafiq geleng kepalanya.

Tadi sebelum datang ke warung ni, Damia cakap dia nak dietlah, nak makan sikit sajalah. Tapi tu semua bohong! Sikit apa sampaikan hampir penuh dah meja makan mereka tu.

Kalau orang lain tengok ni, mesti mereka fikir yang Syafiq tu tak bagi makan isteri selama seminggu. Haih! Fitnah tu. Damia tu aje yang tiba-tiba seleranya lain macam malam ni. Penangan baru seminggu bekerja mungkin?

Kalau nak dibandingkan selera isterinya seminggu dua yang lepas, memang berbeza. Maklumlah, minggu yang lepas kan, isterinya dalam fasa memohon kerja. Bila mohon, tak dapat pula kerja yang diminta.

Jadi sebab itulah isterinya bad mood sepanjang dua minggu yang lepas. Nak makan pun, macam nak tak nak aje. Sepinggan nasi pun kadang tak habis. Itu pun Syafiq yang tolong licinkan.

Syukurlah hari ini Damia dah kembali kepada asal. Dia sudah makan dengan berselera tapi malam ini berseleranya lain macam. Tak apalah, anggap aje ganjaran untuk dirinya sendiri kerana berjaya memulakan kerja di tempat baru.

"Abang lupa nak tanya. Seminggu kerja kat syarikat Zaid tu, okey tak? Ada apa-apa masalah? Kalau ada, kongsilah dengan abang." Syafiq meneruskan perbualannya. 

Damia mengunyah menghabiskan sisa makanan di dalam mulut sebelum menelannya. Air teh o ais limau dihirup sebelum dia menjawab pertanyaan suaminya.

"Alhamdulillah, okey je. Kawan-kawan sana pun baik, cuma kami tak kamceng lagilah. Tak apa, insya-allah lama-lama nanti, okeylah tu. Saya pun dalam fasa kenal dengan diorang. Kalau cakap pasal Encik Zaffran, dia baik. Tak adalah suka membuli, tempik-tempik macam CEO kat drama tu." Damia lepaskan tawanya. Entah mana lawaknya tapi apabila dia fikirkan Zaid sedang marah, tiba-tiba terasa lucu pula.

Nak jugak dia tengok lelaki ala-ala pelakon Korea marah. Tak pernah pula dia lihat Zaid marah sepanjang seminggu dia bekerja di VeoBay Group tu. Mungkin ... Zaid belum tunjuk taringnya lagi?

Ah! Tak kisahlah tunjuk taring ke tak, yang penting aku tetap rasa lawak. Zaid tu nampak tegas aje tapi lembut orangnya. Lembut bukan macam pondan tu okey, tapi lembut lebih ke arah percakapan. Kalau dia bercakap dengan aku, tak pernah dia tengking-tengking. Fikiran Damia membalas hatinya yang disambut tawa.

Syafiq angkat keningnya. Tiba-tiba rasa menyampah pula dengar isterinya tu puji Si Zaid tu. Semenjak Zaid memberi jawatan personal assistant kepada isterinya, niatnya untuk berkawan rapat dengan Zaid tiba-tiba lebur. Tapi tak pula dia ingin bermusuh dengan bos kepada isterinya tu. Itulah apa yang Syafiq rasakan padahal Zaid sudah sedaya upaya membantu isterinya dapat kerja.

Syafiq teruskan santapannya. Daripada sakit hati memikirkan tu, baik dia makan aje. Tak pun bersembang topik lain. Ha, tu baru betul.

"Mak macam mana?" tanya Syafiq lagi. Soalan rawak juga dipertanyakan. Tapi memang dia nak tahu pun tentang keadaan Mak Siti. Maklumlah, dia dah lama tak berjumpa depan-depan dengan 'cik puan kesayangan' tu.

Setakat pergi ke rumah ibu mentuanya pun untuk menghantar dan menjemput Damia aje. Dia tak masuk ke dalam rumah pun. 

Syafiq yang tak masuk ke dalam rumah pun dah sakit hati dengar Mak Siti melangsi dari dalam. Tak terbayang  kalau dia masuk ke dalam rumah mahu menghadap si tua tu. Pernah, sewaktu hari pertama Damia mulakan kerja, Mak Siti malah mengecam tindakan Syafiq membiarkan Damia bekerja.

Syafiq yang tak beri peluang, dia sembur aje Mak Siti tu. Ingat dia tu lembik sangat tak boleh bertikam lidah?

Dengan bantuan isterinya, bolehlah dia tumpaskan ketajaman lidah Mak Siti tu, Tapi itulah, dah nama pun orang tua degil. Sekolahkan dengan cara mana pun, ceramahkan dengan teknik apa pun, tetap Mak Siti tu tak makan saman.

"Macam itulah. Perangai tak ubah-ubah. Saya setiap kali pergi rumah mak, saya masuk bilik terus. Kadang-kadang je saya jumpa dia nak tolong apa yang patut. Sakit hati tau tak nak tengok muka dia," rungut Damia.

Syafiq hanya angguk. Tak pelik pun apa yang diceritakan isterinya tu. 

"Pasal kak long?"

"Mak tak buat pun laporan polis tu. Dia dah malas nak ambik port pasal kak long dah katanya." 

Lagi sekali kepala Syafiq terangguk-angguk. Nampaknya Mak Siti sudah berputus asa menanti kepulangan Nadia tu. Masuk hari ni, bermakna sudah sebulan lebih Nadia tu menghilangkan diri bersama kekasihnya. Tak ada tanda-tanda dia mahu pulang, dan tak ada pula klu dia berada di mana sekarang.

Biarlah Nadia tu nak pergi ke mana pun. Dia yang pilih jalan hidup sebegitu. 

Pinggan dan cawan licin setelah berbual beberapa ketika. Sendawa dilepaskan. Memang tak sopan sungguh Damia ni. Syafiq tegur pun, dia hanya senyum aje. 

"Eh, abang tak habis makan ke daging tu?" Mata Damia tak lepas dari memandang mangkuk daging masak merah kepunyaan Syafiq. Nampak ada lagi beberapa keping sisanya. Nasi dalam pinggan Syafiq pun dah habis tapi tak nampak pula lagak Syafiq mahu meratahnya.

"Tak. Sayang nak ke?" 

Damia angguk laju. Senyuman lebar dihadiahkan lagi. Pantas mangkuk berisi daging masak merah itu dirapatkan mendekatinya. Dilahap tiga keping daging itu, dalam sekelip mata sahaja.

Mata Syafiq dah terkebil-kebil. Ni isteri aku ke saka? Makan punyalah lahap mengalahkan orang tak makan setahun. Omel Syafiq dalam hati.

"Sayang ... takkan tak kenyang lagi?" Takut-takut Syafiq bertanya sebegitu. Kalau isterinya menjawab tidak,  memang pokailah dia hari ni.

"Sekarang baru rasa kenyang." Damia menjawab sambil menyedut minuman sehingga habis. Sekarang, barulah ke semua hidangan di atas meja itu licin. Harap apa yang Damia cakap tu betullah. Kalau tak, jenuh Syafiq nak mengira duitnya membayar semua tu.

Mata Syafiq memandang tepat ke wajah isterinya. Lalu pandangan itu dialihkan ke arah perut, dan kembali semula memanah wajah isterinya. Kepala disengetkan dan mata disepetkan.

"Abang tengok saya macam tu, dah kenapa?" Damia sudah rasa ada yang tak kena dengan pandangan suaminya.

"Sayang sure ke yang sayang tak ada apa-apa?" Mata Syafiq dikecilkan. Jari jemarinya bercantum lalu dagunya ditongkatkan.

Damia yang seakan faham dengan fikiran suaminya segera mengambil garpu di atas pinggan. Malah dia acah-acah mahu mencucuk mata suaminya tu.

Syafiq apa lagi, berundur ke belakanglah tubuhnya tu. Tawa dilepaskan sampai terbatuk-batuklah dia. Nasib baiklah batuk sekejap aje, kalau tak boleh terkeluar semula apa yang dia makan tadi.

"Abang jangan macam-macam. Saya tak rasa sakit badan apa pun tau."

"Ye la. Abang melawak je. Dahlah. Jom balik. Abang dah nak bayar ni." Syafiq mengeluarkan dompetnya. Mujurlah dia bawa lebih dari RM100 hari ni. Kalau tidak, memang tak cukuplah mahu membayar.

"Abang ... terima kasih tau bawak saya makan. Nanti bila-bila saya free, kita makan berdua macam ni lagi."

"Abang setiap hari nak makan macam ni pun boleh. Tapi sayang tu la. Isnin sampai Jumaat kerja. Lepas tu, hari Sabtu, ada kelas English tu pulak. Masa kita nak bersama macam ni dah berkurang." Syafiq mengeluh. Minggu ini memang semuanya nampak normal sahaja, tapi minggu depan dan minggu seterusnya? Boleh ke mereka dapat keluar berdua macam ni lagi?

"Ala ... abang jangan merajuk. Kan saya dah janji, saya takkan ketepikan abang. Masa saya free, saya akan utamakan abang."

Syafiq berjalan sambil diiringi isterinya pergi ke kaunter bayaran. Bibirnya terukir satu senyuman. Jika itu apa yang dikatakan isterinya, hatinya sudah tak berasa resah lagi. Dia tahu isterinya seorang yang akan menepati janji.

"Ye la. Next week kita keluar makan lagi, ye?"

"Okey!"

Bersambung...

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience