BAB 8

Romance Completed 9878

TIGA minggu kemudian,

“Izyan, dah lama mama tak nampak Danish datang ke sini. Bergaduh ke?” Puan Ruzila menegur anaknya yang sedang leka membaca novel. Dia melabuhkan punggung di sebelah anak gadisnya itu.

“Entah. Merajuk kut. Tak pun, dah jumpa perempuan lain.” Izyan Hasna menjawab acuh tidak acuh sahaja.

“Merajuk kenapa pulak? Izyan ada cakap apa-apa yang menyinggung perasaan Danish ke?” Berkerut-kerut dahi Puan Ruzila. Baru sahaja dia menyimpan harapan yang tinggi atas perhubungan mereka, tiba-tiba anaknya pula mencari fasal.

“Alah, dia tu selalu sangat mengaku suka pada Izyan. Rindulah, itulah, inilah. Tengok, sekarang, dah tiga minggu tak jumpa, tak call, okey saja. Tak ada pulak dia datang cari Izyan. Nampak sangat penipunya, mama. Lelaki macam tu mama nak Izyan jadikan suami? Tak sangguplah Izyan.”

“Izyan!” Mendidih darahnya ketika itu. Anaknya yang seorang ini apabila bercakap di belakang orang, bukan pandai menapis. Cakap ikut sedap mulut sahaja!

“Mama, tolonglah. Izyan tak nak teruskan lagi. Mama batalkan saja rancangan mama dan Mak Cik Azizah tu. Beritahu Mak Cik Azizah, anaknya tak ikhlas pada Izyan dan Izyan tak suka pada lelaki yang sering menyakitkan hati Izyan setiap kali bertemu. Kalau setakat nak harap muka saja kacak, ramailah lelaki macam dia di kampus! Apa dia ingat tengok saja muka dia yang kacak tu, terus hati Izyan tak sakit bila dia perli-perli Izyan? Patutlah tak ada orang nak berkahwin dengan dia walaupun mama cakap apa? Cukup sifat?” Izyan Hasna terus-terusan mengutuk lelaki bernama Danish itu. Sebenaranya, dia geram. Geram kerana Danish sudah lama tidak menghubunginya. Hatinya sakit. Terasa seperti dia pula yang terindu-rindukan lelaki itu sedangkan dia tidak tahu entah apa perasaan lelaki itu saat ini.

“Izyan! Kenapa lancang sangat mulut tu?” Marah Puan Ruzila. Dia menoleh ke belakang. Kelihatan Danish hanya mampu tersenyum kelat memandang ke arah mereka. Pada mulanya, dia hanya mahu menguji perasaan Izyan Hasna tetapi tidak disangka begitu pula reaksi anaknya. Menyesal dia menyembunyikan kehadiran Danish daripada pengetahuan Izyan Hasna.

“Tak apa, mak cik. Biar dia luahkan perasaan yang terpendam. Baru Danish tahu, rupa-rupanya Izyan tak pernah suka pada Danish. Selama ni, Danish saja yang perasan.” Ucap Danish dengan sayu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience