Awal pagi lagi wanita yang bergelar isteri kepada Haiqal Jayden itu bangun mengemas rumah dengan tekun. Hari ini, sahabatnya, Hanis akan datang bertamu di rumah baharu itu untuk kali pertama. Ya, Atiqah dan Jayden baru saja berpindah dari apartment lama, beberapa hari lalu. Rumah banglo itu telah dibeli oleh Jayden tanpa pengetahuan Atiqah. Lebih mengejutkan lagi, rumah tersebut atas nama dirinya. Fuh, biar betul laki aku ni?
Dia menolak barang-barang yang belum sempat dikemas ke dalam stor yang tersedia di dalam rumah itu. Hanya barang-barang penting sahaja dia keluarkan dan susun didalam rumah itu. Dia menghela nafas panjang sambil meluruskan badan. Penat. Barang-barang itu telah berjaya di bawa ke dalam stor. Bersih terus pemandangan ruang tamu tersebut. Terpaksa dia melakukan hal itu sendiri dek kerana suaminya bekerja.
Mujurlah, dirinya tidak bekerja. Dia telah berhenti sejak menjadi isteri lelaki itu. Tidak dapat dibayangkan jika bekerja sambil mengerjakan tugas dirumah seperti saat ini. Jujur saja, dia tidak mampu. Silap hari bulan, boleh botak kepala memikirkan segala hal. Biarlah jawatan sebagai setiausaha itu dilepaskan kepada orang lain. Asalkan pekerja baharu itu tidak menggoda laki aku sudah! Nak rasa patah tulang seribu? Cubalah. Ini Atiqah, bukan calang-calang orangnya!
Usai meneguk segelas air putih, dia menyambung kerjanya semula dengan menyapu seluruh lantai. Kemudian, dia membersihkan lagi dengan menggunakan mop agar lebih terlihat berkilau serta selesa untuk dipijak. Dia harus bertungkus-lumus agar rumah itu bersih dan paling penting ialah mendapat pujian daripada sahabatnya.
Hanya pujian daripada Hanis sahaja mampu membuatkan dirinya berpuas hati dan percaya bahawa usahanya itu betul-betul membuahkan hasil yang sempurna. Bukan apa, Hanis seorang yang jujur. Kalau bersih, dia akan cakap bersih. Jika tidak, maka ada bersihkanlah!
Selepas menyapu dan mengemop lantai, tiba masa pula untuk menunggu lantai itu kering. Sementara menunggu, dia berpindah pula ke bahagian dapur. Disitu lagi dia membersihkan ruangan tersebut. Nanti, dia akan mengajak Hanis memasak serta makan tengah hari bersama. Dia mahu menikmati situasi makan bersama wanita itu seperti dulu. Sungguh dirinya merindui suasana apabila tergelak bersama di meja makan. Terasa dunia hanya milik mereka.
Setelah ruangan dapur dibersihkan, dia berpindah semula ke ruang tamu. Dia menarik permaidani lalu dibentangkan di atas lantai. Sebotol febreze di capai lalu disemburkan pada permaidani dan juga sofa bagi mengurangkan bau yang tidak selesa. Selesai pun! Dia merebahkan tubuh untuk seketika. Jam dinding di lirik. Masih ada lebih kurang 40 minit. Dia meminta Hanis datang ke rumahnya pukul 11 pagi. Lebihan masa itu, akan digunakan untuk bersiap-siap sambil menunggu kedatangan sahabatnya.
Hanis memberhentikan motosikalnya di hadapan sebuah rumah banglo. Lama rumah itu dilihat. Ragu dirinya untuk menekan loceng rumah tersebut. Takut tersalah rumah nanti. Dia melihat lokasi yang dihantar oleh Atiqah sebelum bergerak tadi. Tepat. Bijak juga dirinya melihat map. Bangga sikit!
Dia menghantar pesan ringkas sebelum menekan loceng rumah tersebut. Secara tiba-tiba, pintu pagar terbuka dengan sendirinya. Sedikit ternganga Hanis dibuatnya. Fuh, bukan main canggih rumah Atiqah ni. Dia menunggang motosikal masuk ke halaman rumah. Enjin motor dimatikan. Belum sempat untuk membuka topi keledar yang digunakan, Atiqah terlebih dahulu memeluk dirinya sambil menjerit keriangan.
“Hanis! I miss you so much...” Terpapar wajah keterujaan di wajah Atiqah saat itu.
“Elleh, kita baru je semalam dekat airport...” Kata Hanis dengan selamba. Tapi, hanya sekejap saja. Sempat kedua pasangan itu mempelawa untuk makan bersama, namun Hanis menolak secara lembut kerana waktu itu masa dalam bekerja. Nanti apa pula kata Mariam dengan pekerja lain di Cafe tersebut.
“Itu lain, ini lain. Ish, kau tak rindu akulah tu kan kan kan?!” ujar Atiqah sambil mencebik bibir. Dia menarik muka mengelak daripada melihat wajah Hanis.
“Eee... mestilah rindu! Ni memang kita sembang dekat luar aje ke? Tak nak bawa aku masuk tengok rumah mewah kau ni?” perlahan dia menutur kata. Sesekali kepalanya dijengukkan melihat keadaan dalam rumah Atiqah. Rasa tidak sabar pula mahu melihat isi rumah itu. Yalah, tengok aje dulu. Manalah tahu suatu hari nanti dapat memiliki rumah semewah itu.
Atiqah tersenyum kambing. Lupa hendak mempelawa wanita itu dek kerana dikaburi oleh rasa terujanya. Yalah, ini kali pertama Hanis menjejakkan kaki dirumahnya. “Alololo.... Sorry. Terlampau excited. Jom, jom masuk.” pelawanya. “Kau jangan balik awal tau! Kau kena makan dekat sini,” tambah Atiqah lagi semasa melangkah masuk ke dala rumah.
Hanis hanya mengangguk. Matanya liar memandang setiap sisi ruang tamu itu. Perfect, walaupun hiasan tidak berapa banyak. Dia faham, Atiqah tidak sempat lagi untuk menghias rumah itu.
“Ya Allah, cantiknya rumah engkau. Bersih pula tu...” puji Hanis. Jatuh cinta apabila melihat isi ruangan itu. Besar. Terbayang pula apabila dia memiliki rumah sebesar itu. Sudah tentu dia akan hias dengan idea-idea yang moden. Wah, secepat itu kau berangan ya, Hanis!
“Betul ke bersih? Ke nak sedapkan hati aku je?” soal Atiqah sedikit musykil. Namun, pada masa yang sama juga, hatinya berbunga-bunga mendengar pujian daripada sahabatnya. Tak sia-sia dia membanting tulang mengemas rumahnya dari awal pagi tadi. Hanis mengangguk laju. Dirinya masih dalam keterujaan.
Atiqah yang memandang Hanis tersenyum lebar. Dia memegang bahu wanita itu dengan lembut. “Aku doakan engkau boleh dapat rumah macam ni juga suatu hari nanti. Aku pun tak sangka boleh memijak rumah sebesar ni. Alaa... yang beli abang Jay bukan aku. Kita sama je...” ujarnya panjang lebar.
“Harta suami, harta isteri juga...” usik Hanis sebelum meledakkan tawanya. Atiqah turut tergelak sama, menyetujui kata-kata Hanis tadi.
“Oh, aku terlupa... jap eh, aku nak ambil hadiah buat kau. Jap, jap...” Hanis berlari semula keluar untuk mengambil hadiah tersebut. Tidak lama kemudian, dia masuk kembali dan mengambil tempat bersebelahan dengan Atiqah. “Nah...” Hadiah diberikan kepada sahabatnya.
“Hadiah apa ni? boleh aku buka?” soalnya separuh teruja. Hanis mengangguk. Atiqah terus saja membuka apabila mendapat green light. Terlopong dirinya buat seketika apabila melihat isi kotak itu ialah sebuah rantai emas. Dia memandang Hanis semacam tidak percaya.
“Kau biar betul? Mahal ni. Ish, tak naklah aku. Lagi pun, ini bukan rantai idaman kau ke? Kau jelah pakai...” Atiqah menolak dengan lembut. Teringat lagi sewaktu mereka bersama-sama meronda satu mall sehingga tibalah mereka di sebuah kedai emas. Di sanalah, Hanis menyatakan hasratnya untuk memiliki rantai itu.
“Ish, apa kau ni! Tu hadiah untuk kau. Ambil jelah...” pujuk Hanis.
“Habis, kau?” soal Atiqah, masih ragu-ragu.
“Alaa... mestilah aku ada. Aku pun da beli,” Dia menarik rantai yang berselindung disebalik bajunya. Rantai tersebut sama dengan rantai yang dihadiahkan buat Atiqah.
“Aku terjumpa bentuk rantai yang sama. So. aku beli untuk kau sebagai tanda persahabatan kita. Kau suka kan?”
“Suka! Tapi, benda ni mahal. Kau tak sayang duit kau ke?”
“Duit boleh dicari selagi aku masih sihat. Sahabat macam kau. susah tau nak cari. Pakai je lah... banyak soalan betul!” balas Hanis.
Tersengih Atiqah dibuatnya. “Yelah... pasangkan cepat untuk aku,” tanpa membantah, Hanis memasang rantai tersebut pada leher Atiqah.
“Cantiknya! saya suka, saya suka! Terima kasih. Kaulah sahabat aku dunia akhirat. Sayang kau banyak-banyak,” kata Atiqah lalu memeluk erat Hanis buat kali kedua.
“Sudahlah... sesak nafas aku.” cepat-cepat Hanis menolak badan Atiqah. Bukan main erat dia peluk. Nak pendekkan umur aku ke? Atiqah hanya tergelak suka melihat reaksi sahabatnya.
****
Happy reading <33
Share this novel