Chapter 19

Mystery Completed 14816

Bab 19

“Oh… Kawan-kawan aku dari KL. Mereka datang berkhemah di sini,” jawab Amalina girang lantas terus berlalu meninggalkan Leo.

Tidak lama kemudian Amalina kembali ke khemah. Dia memerhati ke arah nasi yang diletakkannya tadi. Nasi itu langsung tidak disentuh oleh Leo. Kini tabir malam sudah pun berlabuh, tetapi Leo masih jua belum kembali. Entah ke mana dia pergi. Mengapa Leo tiba-tiba hilang begitu saja?

“Mana sakai yang you upah tu?” tanya Airiel dari arah belakang Amalina.

Amalina menoleh. Dahinya berkerut mendengar kata-kata Airiel yang dirasakannya begitu kasar sekali.

“Orang panggil dia Leo, Riel.”

“Leo? Macam nama orang putih. Tapi sakai tetap sakai kan?”

“Leo… Tak baik cakap macam tu!”

“I tak percayakan dialah!” kata Airiel sambil memegang tangan Amalina.

“Siang malam I tak boleh tidur bila I dapat tahu you berdua-duaan saja dengan dia di dalam hutan ni. I ingatkan ada orang lain yang bertugas dengan you kat sini.”

“Sebenarnya projek ni adalah antara I dengan Hashim…”

“Hashim… Ha! Tu sorang lagi buaya tembaga yang I tak percaya!” kata Airiel sambil memeluk pinggang Amalina dengan lebih erat lagi.

Amalina berusaha melepaskan pelukan itu. Dia berdiri di hadapan Airiel sambil bercekak pinggang.

“You ni semua orang nak curiga…” Amalina menjeling tajam pada Airiel, benar-benar tidak suka pada tingkah laku kekasihnya itu.

“Itu tandanya I terlalu sayangkan you, lebih dari segala-galanya.” Airiel membalas sambil mencuit hujung hidung Amalina.

“I takut kehilangan you. I takut sakai tu sukakan you! Nanti dibuatnya ubat guna-guna, you jadi gilakan dia dan tinggalkan I. Merana hidup I tahu?”

“Apa you cakap ni Riel? Sejak dari tadi asyik merepek saja!” Amalina jadi marah pada Airiel yang tidak habis-habis mencurigai Leo.

“Kenapa you resah aje sejak sakai tu tak ada. Entah-entah dia balik ke kampungnya, siapa tahu?”

“Dia takkan balik ke kampung.” Balas Amalina dengan dahi berkerut-kerut.

“Setianya. Seperti anjing dengan tuannya.”

“Riel! Cukuplah. Jangan hina dia lebih-lebih. Dia juga manusia sama seperti kita,” kata Amalina mulai geram.

Airiel berjalan meninggalkan kanopi Amalina apabila melihat Leo tiba-tiba sahaja muncul dari dalam kegelapan malam. Dia kembali ke arah kanopi tempat kawan-kawannya berkumpul yang berjarak hanya sepuluh langkah sahaja. Namun matanya tetap mengawasi Amalina yang sedang bercakap dengan Leo.

“Mana kau pergi? Periksa jerat?” tanya Amalina pada Leo.

Leo sekadar mengangguk.

“Leo! Kau masih tak sihat. Kenapa kau pergi periksa jerat?”

Leo tidak menjawab. Dia terus mengambil parang lantas menyembelih kancil. Dengan pantas dia menyiat kulit kancil itu dengan kedua-dua tangannya yang tegap. Setelah selesai dia lantas memotong daging kancil itu kepada beberapa bahagian supaya senang untuk dimakan.

“Leo, aku tanya ni.”

Leo hanya menjeling tidak mengeluarkan barang sepatah kata pun.

“Malam ni you tidur di khemah I. Khemah I besar,” bisik Airiel syahdu, sambil mencium rambut Amalina dengan lembut.

“Gatallah you ni!” Bantah Amalina sambil mencubit paha Airiel dengan kuat.

“Kita belum ada apa-apa ikatan.”

“Ikatan? You mahukan ikatan bagi menghalalkan setiap perbuatan kita? Nah… Memang I ada bawa cincin!” kata Airiel sambil berdiri. Dia menyeluk poket seluarnya sambil mengeluarkan sebuah kotak kecil bersalut baldu.

“Kawan-kawan!” seru Airiel pada kawan-kawannya yang seramai 14 orang itu, yang duduk mengelilingi unggun api yang besar. Semua yang ada di situ memandang ke arah Airiel.

“Malam ni aku nak buat satu pengumuman penting!” katanya sambil mengulum senyum. Dia menarik Amalina supaya bangun dan berdiri di sisinya.

...bersambung

Bab akan datang:

Apakah pengumuman yang ingin dibuat oleh Airiel?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience