1 Ikhlas

Romance Completed 441551

"Haaa, tengok tu! Drakula kecil dah datang! Eee, menyampah aku!" Hanim yang sedang melengkapkan log harian kanak-kanak segera menoleh ke luar pagar walau tahu, siapa yang dimaksudkan oleh Norlia ketika itu.

"Ish, kau ni! Tak baik cakap anak orang macam tu. Budak kan? Manalah dia tahu apa-apa." Hanim membidas lantaran kurang senang dengan cemuhan yang dihamburkan oleh rakan sekerjanya. Seperti itulah Norlia. Mulutnya memang tajam, bukan sedikit tetapi banyak!

"Budak tak budak, disebabkan dialah aku kena sound dengan mak bapa si Faizal tu tahu tak?! Digigitnya budak Faizal tu sampai biru dah! Nasiblah aku tak kena dakwa sebab cuai!" Norlia berujar geram.

"Salah kau juga kan? Dah tahu Nisa tu suka menggigit, yang kau pergi tinggalkan dia berdua je dengan Faizal tu, dah kenapa?"

"Biasa pun aku buat macam tu, tak pernah pun berlaku macam ni! Aku tinggal kejap je, tak sampai pun seminit! Budak Nisa tu memang buat hal! Ikutkan hati aku, tak nak aku handle kelas dia!"

"Ya Allah kau ni, Lia! Budak lagi tu. Dahlah, kau pergi ambil dia. Lama sangat dalam kereta tu."

"Drama pagi lagilah tu! Mengada-ngada tak nak turun, tapi nanti kat sini, buat hal! Semua orang dia nak makan!" Norlia memaki. Namun, rela tidak rela, arahan Hanim tetap dipatuhinya juga.

Bersama senyuman hambar yang terukir, luar pagar didatangi dengan hati yang sebal diikuti oleh gerakan Hanim dari belakang. Dia yakin, pasti drakula kecil itu sedang meroyan enggan turun, kerana memang seperti itulah yang terjadi setiap pagi.

Cermin kereta milik Fatin pada bahagian penumpang hadapan diketuk, sebelum pintu itu dibukakan perlahan. "Se...selamat pagi, Nisa." sapaan Norlia sempat tersekat tatkala melihat susuk Fatin yang duduk di bahagian tempat penumpang hadapan itu, sedang pemandunya pula, orang lain. Wajah yang tidak pernah dilihat, terlihat berusia, namun jelas berkarisma, segak dan tampan.

"Selamat pagi, cikgu. Maaflah, budak ni...merajuk tak nak turun pula." Fatin membalas datar, namun jelas dengan riak serba salah.

Memang Fatin terlihat sedikit sombong, tidak seperti Tuan Rafique sendiri. Oleh kerana itu jugalah, para pekerja di situ lebih selesa berurusan dengan Tuan Rafique jika ada sesuatu hal berkaitan dengan Nisa yang mahu dibincangkan.

"Tak apa, Puan. Jom Nisa. Kita main kat dalam, sayang." Norlia mencuba untuk memaniskan wajah dan suaranya. Tubuh kecil anak itu cuba diambil, namun Nisa tetap juga menepis. Anak itu jika sudah memberontak, jangan harap yang dia akan menurut kepada segala arahan. Hanya Tuan Rafique sahaja yang bijak memujuk anaknya, malangnya pagi itu, dia terpaksa turun awal ke pejabat lalu tidak sempat untuk menghantar Nisa seperti biasa.

"Sayang, mommy kena pergi kerja ni. Nanti, Pak Long pun terlambat tau tak?" Fatin cuba memujuk walau tidak pasti, anak itu faham atau tidak akan kata-katanya.

Diam-diam Nolia mengangguk faham, rupa-rupanya lelaki segak tampan itu...bapa saudara Nisa. Tampan tetapi nampak pendiam, sedari tadi hanya menunduk. Nampak sangat sejenis yang takutkan bini!

"Haaaaaaa!" semakin dipaksa, semakin Nisa menjerit, memberontak juga mula mengancam mahu menggigit bahu ibunya. Mujur sahaja Fatin cepat mengelak.

"Ya Allah, budak ni bang! Abang tengoklah! Nasib Fatin tak kena gigit! Kalau dia gigit, sakit tau tak?!" tanpa sedar, Fatin terlanjur memperlihatkan sisi manjanya di hadapan cikgu-cikgu Nisa. Sempat juga kedua-dua wanita itu tersenyum lucu.

"Sini, Pak Long bawa Nisa masuk. Nak?" baru kali ini Tuan Hayrill Iskandar bersuara, juga memaniskan wajah yang sedia tampan dengan senyuman membuatkan Nolia hampir sahaja terlupa diri. Sumpah, jika lelaki itu berstatus bujang terlajak mahupun duda kematian isteri, dia bersedia menawarkan diri untuk menjadi pengganti.

Untung sahaja Nisa tidak menolak. Barangkali kerana sikap penyayang bapa saudaranya itu. Dengan senang hati tubuhnya ditadah sebelum dibawa keluar.

"Jangan suka gigit-gigit tau? Nanti Pak Long bagi makan cili, nak?" Tuan Hayrill Iskandar memberi amaran sayang sebelum pipi montel anak itu digomol-gomol.

"Maaflah, Nisa ni memang manja sikit." Tuan Hayrill Iskandar menunduk berkali-kali setelah menapak tepat di hadapan pintu masuk pusat jagaan itu. Sudahlah senyuman manis dan lontaran nada romantiknya seakan-akan dituju buat Norlia seorang. Mana taknya wanita itu menjadi semakin tidak keruan!

"Err, tak apa encik. Bu...budak kan?" Norlia merespon gugup.

Sebaik sahaja dilepaskan ke bawah, bukan main laju lagi Nisa berlari ke dalam kelompok kawan-kawannya. Barulah Tuan Hayrill Iskandar faham akan maksud Drama Akasia Nisa yang dikatakan oleh Fatin awal pagi tadi.

"Terima kasih, cikgu. Saya minta diri dulu." dengan nada yang hormat, Tuan Hayrill Iskandar berpamitan. Dari sikap rendah hatinya itu, tidak akan seorang pun yang tahu bahawa lelaki itu adalah seorang bos besar di syarikat milik keluarganya kini.

Norlia yang sudah terasa menggigil, merenyam, menggatal laju mengangguk.

"Ya Allah Hanim! Sumpah, bapa saudara Nisa tu...hensem sangat! Kalau aku tahu Nisa ada Pak Long ada sekacak tu, dah lama aku jaga Nisa penuh dengan perhatian dan kasih sayang!"

Hanim hanya bergeleng kepala, mencuba untuk meriak biasa walau sebenarnya, dia juga bersetuju dengan pendapat Norlia tadi. Aura Tuan Hayrill Iskandar, berbeza; amat berbeza dengan lelaki kacak yang lain.

"Taste kau...orang tua erk? Kau tak nampak rambut dia? Tumbuh uban sehelai dua dah kat atas kepala dia tu tadi? Tak nampak?!" Hanim mengusik sambil tersenyum lebar.

"Ya kan? Nampak...tua! Hahahaha! Alaah, tua tak tua, janji handsome!" kedua-dua wanita itu terkekeh sambil mula menyusun langkah masuk ke dalam.

"Oh ya, tadi...Ustazah Jumiah ada bagitahu yang...next week, ada seorang lagi budak lelaki yang akan daftar masuk." kata-kata Hanim laju membuatkan Norlia menoleh ke arahnya.

"Budak lelaki? Kelas aku juga ke?" soal Norlia sambil bercurian mengeluh.

Jika budak lelaki yang dimaksudkan itu akan berada di bawah jagaannya, maka semakin kuruslah dia nanti.

"Tak, dia under Cikgu Shaza. Tiga tahun dah. Dengar-dengar, nakal, degil! Mak dia kata, budak tu suka memanjat macam monyet. Ni mak dia sendiri yang cakap tau? Bukan aku!"

"Alhamdulillah!" laju Norlia meraup wajah tanda lega yang teramat. Biarlah mahu nakal macam mana sekalipun, dah nama pun budak! Asalkan jangan di bawah jagaannya sahaja, sudah!

**********

Hazura tersenyum lega. Akhirnya, perbincangan mengenai pembukaan cawangan restorannya yang terbaharu selesai dengan jayanya juga. Seperti biasa, banyak idea dan ilmu yang dia kongsikan dan dia perolehi.

Bisnes kedai makan? Nampak mudah, nampak enteng, nampak menguntungkan. Namun ramai yang tidak tahu, cerita air mata yang telah berlaku di sebalik kejayaan itu. Bukan hanya buat Hazura bersama Hafiz, malah, pengusaha yang lain juga sama. Jika tersilap langkah, maka sudah tentu pengusaha akan mengalami kerugian besar atau lebih menyedihkan; bisnes tutup.

Ramai yang berfikir, jika handal dalam memasak, jika sudah ada modal, tapak, bangunan kedai, peralatan, maka dengan senang sahaja bisnes boleh dimulakan. Pemikiran-pemikiran seperti itulah yang menjadi salah satu penyebab terhadap kegagalan dalam industri ini. Asas yang paling penting sebelum memulakan perniagaan adalah diri kita sendiri. Semua itu bergantung dengan sikap dan kesungguhan diri. Seperti itulah nasihat yang akan dibebelkan oleh Hafiz kepada Hazura setiap hari.

Jika dulu, lelaki itu hanya mampu memandu Myvi, kini, taraf kehidupannya berubah banyak. Dia sudah mampu memiliki dua buah kereta yang boleh tahan mewahnya, juga, rumah sendiri yang dibeli atas nama sendiri di ibu kota. Bersungguh-sungguh mengangkat hidup sendiri, dalam masa yang sama, bersungguh-sungguh juga dia mengangkat taraf kehidupan Hazura. Pendek kata, kerana cerita air mata, juga, kegigihan hati yang membuatkan kedua-dua insan itu kini dapat menjadi seorang 'manusia'.

"Jelas kan? Jadi, lepas ni, aku sendiri yang akan uruskan semuanya kat sini. Kerja kau pula, uruskan cawangan kita yang baru tu. Dekat sikit kalau kau nak menggedik dengan duda kau nanti."

"Ish, orang dengarlah!" bahu Hafiz ditampar kuat, laju juga matanya melilau ke pelbagai arah. Seperti biasa, Hafiz akan mengekeh setelah mengusik.

"Malu konon! Kalau dekat rumah, bukan main lagi menggedik. Oh my duda! Oh my duda! Duda tua!" Hafiz mengajuk. Puas hatinya dapat mengenakan sepupunya itu, biar terajar sedikit.

"Kat rumah lain! Ni kita kat luar tahu tak? Nak kena belasah ke? Dahlah, jom balik. Nanti nak kena singgah ambil Naqil lagi."

"Jom, jom." Hafiz duluan bangkit, sebelum menarik kerusi untuk sepupunya. Pada yang tidak kenal, sudah pasti akan menyangka yang kedua-dua insan itu adalah pasangan suami isteri; suami isteri yang kuat bertengkar namun saling mengambil berat.

**********

"Terima kasih, teacher. Saya minta maaf kalau selama dua tahun ni, Naqil banyak menyusahkan. Saya tahu, anak saya tu degil, nakal." Hazura menunduk hormat sambil mengeluarkan beberapa buah beg kertas dari dalam keretanya. Susuk anaknya yang sedang bergurau senda di dalam kereta bersama Hafiz ketika itu sempat dilirik.

"Tak apa, madam. Memang tugas kami. Naqil memang nakal, tapi orangnya bijak. Seimbanglah tu." Mei Yin hanya mampu tersenyum saat berkata-kata walau dalam diam, dia turut mengiakan kata-kata Hazura.

Setiap hari, tidak sah kalau taska itu tidak bergegar disebabkan perangai nakal Naqil sehinggakan pengasuh yang menjaga anak itu juga kerap kali bertukar ganti. Namun, senakal-nakal Naqil, dia tidak pernah mencederakan atau menyakiti guru mahupun rakan-rakannya. Paling parah pun; sekadar merampas barangan, membuli rakan-rakan, juga bercurian menyelinap ke luar kelas sahaja.

Hazura tersenyum, dalam geram memikirkan perangai nakal Naqil, sempat juga wanita itu berasa bangga ketika ada bibir yang sudi memuji anak kesayangannya. Ibu mana yang tidak gembira jika anaknya dipuji?
"Ni ada hadiah sikit untuk semua teacher. Maaflah, kalau ada yang terkurang."

"Eh, tak apa madam. Kami tak minta balasan pun. Selama ni pun, madam baik sangat dengan kami. Maaf juga sebab menyusahkan." Mei Yin menunduk berkali-kali tanda menghargai pemberian Hazura itu.

"Tak susah, saya ikhlas. Ni bukan rasuah tau, tapi hadiah seikhas hati saya. Bahagi-bahagi nanti ya."

Mei Yin mengangguk bersama perasaan yang teruja, gembira dan gementar.

"Terima kasih banyak. Errr, pindah KL ke, puan?" Nirmala mencelah dalam pertanyaan yang ramah. Memandangkan ramai kanak-kanak yang sudah pulang, maka mereka semua mempunyai kesempatan berbual untuk kali yang terakhir dengan Hazura.

"Ya, tinggal terus kat sana. Plan nak buka satu lagi restoran kat sana."

"Alhamdulillah, semoga makin murah rezeki, puan. Bisnes kat sini macam mana?"

"Uncle Naqil yang akan uruskan. Senang-senang, datanglah jenguk kami kat sana nanti. Dialu-alukan." pelawa Hazura sambil tersenyum.

"Insya-Allah, puan. Ada rezeki nanti kami akan datang. Hati-hati, saya doakan semoga perjalanan puan sekeluarga selamat sampai ke sana."

"Aamin, terima kasih cikgu. Kami nak kena minta diri ya, nak kemas barang lagi. Assalamualaikum."

"Waalaikumsalam."

Hazura melangkah masuk ke dalam kereta semula setelah berpamitan, berbalas salam dan lambaian. Sebak juga berdepan dengan perpisahan, para pengasuh anaknya itu sudah dianggap seperti ahli keluarganya sendiri.

"Apa kau beli untuk cikgu-cikgu tu?" Hafiz menyoal sebaik sahaja Hazura berlabuh di atas kerusi pemandu. Sedari tadi dia berasa penasaran, mahu bertanya, dia terlupa pula kerana sepanjang perjalanan untuk menjemput Naqil, mereka berdua terlalu asyik mengusik dan bertengkar sesama sendiri.

"Kau teka!"

"Kapal terbang sebiji seorang!" Hafiz menjawab sebal. Sudahlah kepalanya pening akibat cuaca yang panas, disuruh lagi menebak.

"Hahaha!" Hazura menghamburkan tawa.

"Kalau kapal terbang sebiji seorang, manalah aku mampu!" Hazura menghabiskan senyuman. "Aku...aku beli gelang emas je." ujarnya perlahan.

Hafiz langsung ternganga. "Banyak duit kau, Haz. Aku agak, seutas gelang tu mesti beribu-riban kan? Tapi tak apalah, sebagai ubat untuk kepala-kepala mereka yang dah berhempas pulas melayan kenakalan anak kau selama ni." Hafiz memerli sinis, namun jauh di sudut hati, dia juga merasa kagum dengan sifat murah hati adik sepupunya itu.

"Kau yang manjakan budak ni sangat, Fiz! Jangan nak salahkan aku pula!" Hazura membalas keras kerana terlalu geram.

"Laa, anak buah aku kan? Memanglah aku manja! Kau ni, bercakap tak pakai mulut!" bidas Hafiz selamba tanpa rasa serba salah langsung. "Naqil, minggu depan, Naqil dah nak masuk school baru tau? Suka tak?"

"Suka!" Naqil laju mengangguk sambil menayang segaris senyuman comel. Senyuman itulah yang sering kali membuatkan Hazura mahu menitiskan air mata, kerana kemanisan wajah itu benar-benar diwarisi daripada ayah kandungnya.

"Dekat sekolah baru tu nanti, jangan nakal. Jangan kacau kawan, jangan buli kawan. Kalau ummi tahu Naqil nakal, siap! Pak Cik Hafiz tak tinggal sama dengan kita lagi tau? Atuk dengan nenek pula balik kampung. Tak ada lagi dah orang yang nak menangkan Naqil!" Hazura melayangkan amaran tanpa mempedulikan jelingan kurang senang Hafiz.

"Tapi Naqil boleh telefon pak cik. Kalau ummi marah, Naqil bagitahu pak cik. Biar pak cik marah ummi balik."

"Hafiz! Dah-dahlah cuci otak anak aku tu!" Hazura menegur keras kerana semakin kurang senang dengan cara Hafiz menatang anaknya. Berlebihan sungguh!

"Acik nak gi ana? Nak acik duduk sama dengan Aqil!" Naqil mula merengek. Anak itu tahu, jika tanpa Hafiz, sudah pasti dia tidak akan dapat menjadi raja.

"Pak cik nak pergi cari mak cik. Naqil dengan ummi pergi cari abah. Okay?" Hafiz berseloroh.

Berseloroh dengan senyuman, namun siapa tahu sebak yang dia rasa ketika itu. Berpisah dengan Naqil bukan sesuatu hal yang mudah buat Hafiz. Anak itu sedari baru lahir lagi sudah dijaga dengan penuh kasih sayang tanpa tertinggal sedikitpun. Dia ikhlas tanpa mengharapkan balasan perasaan daripada Hazura kerana dia tahu, hati Hazura hanya buat dudanya.

"Abah tu apa?" anak kecil itu menyoal polos.

Serta merta Hazura menjadi diam, mulutnya terkunci rapat bersama dada yang sangat sesak. Kejamkah dia selama ini lantaran telah memutuskan pertalian di antara seorang ayah dengan anak? Tangan yang memegang stereng kereta terasa menggigil, mujur ada Hafiz yang terus memujuknya dalam diam.

"Abah tu, daddy, papa, ayah." Hafiz laju menjawab sambil tersenyum nipis. Kepala Naqil diusap, lalu dikucup lama.

"Aqil ada a...abah?" anak itu kini faham, namun mahu menyebut perkataan itu, lidahnya belum mahir. "Kawan Aqil kata, Aqil tak ada abah. Aqil ada ummi, acik, atuk ngan nenek je."

"Naqil ada abah, sayang. Abah Naqil sama muka macam Naqil. Hensem macam Naqil. Abah Naqil kerja jauh. Sebab tu, kita pindah. Pak cik akan bawa Naqil dengan ummi pergi jumpa abah." terang Hafiz satu persatu.

"Abah baik tak, macam acik?" soal anak itu lagi. Minatnya untuk tahu tentang seorang abah, semakin meninggi. Jika abah yang dimaksudkan sebaik bapa saudaranya itu, sudah tentu dialah insan yang paling bahagia.

"Baik sangat. Abah sayangkan Naqil dengan Ummi. Nanti kita jumpa abah Naqil ya."

Naqil mengangguk lagi, lalu menyandarkan tubuh lelahnya pada dada Hafiz sebelum matanya terlelap lena.

Share this novel

pbezpq
2022-07-12 03:46:01 

test_account


NovelPlus Premium

The best ads free experience