JUWITA sibuk ke sana ke mari menguruskan majlis yang bakal berlangsung pada petang itu. Setelah puas hati dengan segala persiapan yang dilakukan, dia tersenyum lebar.
"Hello anak mama." Juwita mendepakan tangannya menanti Haziq yang baru saja pandai berjalan melangkah ke arahnya.
Pipi Haziq dikucup berkali-kali sebaik saja dapat memeluknya. Mengekek Haziq ketawa apabila dicium berulang kali.
"Hensem boy mama dah mandi ke ni? Bau masam je." Juwita masih memandang Haziq yang sibuk menyembur air liur.
Terasa pinggangnya dipeluk dari belakang, dia segera menoleh. Tersenyum Zailani saat itu.
"Abang nak pergi jemput Idi dengan Ida. Ju nak ikut sama tak ni?" Juwita menggeleng. Masih ada lagi yang perlu diselesaikan. Walaupun dia terlalu rindukan kembar itu, namun dia tidak dapat turut serta.
"Okeylah. Abang pergi dengan ibu. Ju jangan lupa makan. Tak perlu tunggu abang. Masuk angin nanti perut tu." Sempat lagi Zailani berpesan sebelum mengucup lembut dahi Juwita dan Haziq.
"Abang..." Tangan Zailani diraih lalu dikucupnya. Zailani tersenyum lantas mengusap lembut pipi Juwita. Lalu dikucup lembut dahi isterinya itu.
Entah apa jampi Juwita pakai, makin hari makin sayang. Rasa susah nak lepaskan. Kalau boleh nak jadi macam belangkas. Nak berkepit je.
"Abang terus ambil kek ye nanti." Sempat Juwita menitip pesan. Zailani mengangguk.
Petang itu akan diadakan majlis doa selamat serta menyambut hari kelahiran putera mereka. Siapa sangka, akhirnya hampir dua tahun usia perkahwinan mereka.
Zailani sangat baik pada Juwita. Sentiasa melayaninya dengan penuh kasih sayang. Bahkan ketika angin Juwita tidak menentu, Zailani sangat sabar menenangkannya.
Saat Haziq meragam tengah malam, Zailani langsung tidak berkira untuk turut sama menjaga Haziq. Adakalanya Juwita tidur tidak sedarkan diri, Zailanilah yang menguruskan segalanya.
"Ju, mama panggil." Juwita kalih pandang pada figura yang berdiri di belakangnya. Terbit senyum manis di bibir Juwita.
"Khaty tolong tengok Haziq boleh?" Terukir segaris senyuman di bibir Khaty.
Khaty...
Sudah tiga bulan dia menjadi isteri Haris. Berwatakkannya sudah banyak berubah. Tidak lagi seperti dulu. Juwita suka melihat wajah bahagia mereka.
"Mak ngah..." sapa Juwita sebaik saja melangkah masuk ke dapur. Semerbak bau kuah hari yang di masak oleh Tuan Nabihah.
"Sedapnya bau." Sempat Juwita menjengah ke dalam periuk. Air tangan Tuan Nabihah tak pernah mengecewakannya.
"Mak ngah nak minta tolong Ju sikit ni. Boleh tak?" Terangkat kedua belah kening Juwita mendengar permintaan Tuan Nabihah. Jarang-jarang wanita itu meminta pertolongan darinya.
Tuan Nabihah memandang sekeliling sebelum mendekatkan mulutnya ke telinga Juwita. Buntang mata Juwita mendengar apa yang diperkatakan oleh Tuan Nabihah.
"Betul ke ni mak ngah?" Juwita seakan tidak percaya dengan apa yang didengarinya. Tuan Nabihah mengangguk.
"Okey... Ju call abang sekarang juga." Juwita bergegas meninggalkan Tuan Nabihah di dapur.
Juwita tersengih memandang Khaty yang sedang leka mengagah Haziq. Suka benar dia melayan Haziq. Pantas kakinya meniti tangga menuju ke biliknya.
Telefon bimbit dicapai. Tangannya pantas mendail nombor telefon Zailani. Selepas beberapa deringan kedengaran Zailani menyambut panggilannya.
"Hello sayang..." Juwita tersenyum.
"Abang, mak ngah kirim beli pelam muda. Minta tolong ibu pilihkan yang masam ye." Suara Juwita kedengaran sangat bahagia di halwa telinga Zailani.
"Okey sayang. Nanti abang belikan." Juwita terus menamatkan panggilan sebaik saja memberi salam.
Petang itu selepas selesai solat Asar berjemaah, seluruh ahli keluarga Juwita sibuk menjalankan tugas masing-masing.
Junaida pula ralit melayan Haziq. Mujurlah tidak dipaksa untuk membantu di dapur. Letihnya belum lagi hilang.
Sesekali dia mencuri pandang wajah Juwita yang kelihatan ceria. Tersenyum dia sendirian.
"Haziq, mama awak sorang yang sangat kuat. Jadi ucu harap awak juga akan jadi sekuat mama awak." Seakan mengerti apa yang diperkatakan oleh Junaida, Haziq tersenyum.
Kedengaran salam diberi. Junaida segera meluru ke arah pintu. Melihat tetamu yang telah pun tiba, Junaida segera mempelawa mereka masuk sebelum memanggil Zailani.
"Abang Lan... orang surau dah sampai." Zailani mengangguk lantas menghampiri mereka yang mula mengambil tempat di ruang tamu.
Setelah berbual beberapa seketika dengan Tok Imam Manaf, Tuan Mansur menghampiri mereka. Tersenyum dia seraya berjabat tangan dengan tok imam.
"Boleh kita mulakan sekarang ke man?" soal Tok Imam Manaf. Tuan Mansur mengangguk. Dia mengambil tempat disebelah tok imam.
Doa tahlil buat kedua ibu bapa mereka dibacakan terlebih dahulu kemudian disusulan dengan zikir dan akhir sekali barulah doa selamat dibacakan.
Majlis berlangsung dalam keadaan sederhana tetapi tetap meriah. Juwita melepaskan seketika lelahnya di dapur. Kelihatan Khaty yang sedang ralit memakan mangga muda.
Haris tidak dapat turut serta. Dia terpaksa bertugas di luar daerah. Tinggalkan Khaty di rumah. Semenjak mereka berkahwin, Khaty buat keputusan untuk menjadi suri rumah sepenuh masa.
Share this novel