BAB 1

Romance Completed 9366

12 Januari

Selalunya, kalau berpindah ke sekolah baru pasti ada dua perasaan yang akan menyerang. Pertama segan dan takut kerana belum pernah bersua dengan teman baru dan kena mengambil masa untuk biasakan diri dnegan persekitaran baru ataupun kedua, teruja kerana kau sejenis yang happy go lucky dan tak sabar bertemu dengan teman baru.

Tapi lain eksnya dengan aku. Kali pertama menjejakkan kaki ke sekolah baru, aku sudah kebosanan. Melihat persekitaran sekolah yang jauh berbeza daripada keadaan di sekolah lama aku dulu, sedikit rasa kesal menggamit hati.

Sikit saja, tak banyak!! Iyalah, sebelum ni aku adalah warga salah sebuah sekolah berasrama penuh yang berprestij di Malaysia ni. Sekolah tu dulu pernah melahirkan tokoh-tokoh dalam pelbagai bidang dalam negara.

Tapi, itulah, disebabkan satu peristiwa hitam, maka aku pun ditendang keluar. Mak bapak aku usah ceritalah, hangin aje satu badan sekarang ni.

“Tinggal setahun saja lagi, Faridzul Asyraf Faridzuan. Setahun aje lagi! Itupun kamu tak boleh nak kawal diri? Tak boleh nak jadi budak baik?” suara emak aku, Puan Salmi mengaum bagaikan harimau kuat. Di satu sudut pula, bapak aku sedang pandang dengan wajah yang cukup garang, persis hendak menelan aku.

“Berapa kali Joe nak cakap, mak? Joe tak buat kesalahan yang terakhir tu. Joe cakap Joe tak buat, Joe tak buatlah!!” aku masih ingin membela diri.

Itulah kenyataannya. Memang aku mengaku yang aku ni nakal. Aku pernah buli orang, aku hisap rokok, aku panjat pagar pergi tengok wayang. Bertumbuk, berkelahi tu? Biasalah! Tapi, sejak encik Haris datang dan jadi Ketua Guru Disiplin, langkah aku dirantai. Dia sentiasa cari kesalahan aku. Dia sentiasa saja merekodkan setiap kesalahan yang aku buat. Dah tak main pejam-pejam mata dah! Celik semedang mata dia! Nampak sahaja setiap dosa yang aku buat walaupun sebesar kuman! Tapi, tuduhan terakhir dia buat aku terus naik hantu! Tak fikir panjang, aku tumbuk muka dia! Yalah, siapa yang boleh bersabar bila dituduh buat perkara yang dia tak buat, kan?

Bapak naik darah. Dia datang berdiri depan aku. “Perbuatan kamu yang terakhir tu memang tak boleh dimaafkan! Siapa suruh kamu pergi hendap asrama pelajar perempuan? Siapa suruh kamu jadi stalker? Siapa suruh kamu curi…”

Aku segera mencelah, “Yang ni Joe bantah, bapak!”

Bapak aku tak boleh terima cakap aku. “Bantah? Apa bantah-bantah? Kamu nak cakap apa? Nak bagitahu bapak yang kamu tak buat semua tu?” herdiknya.

“Memang tu Joe tak buat! Joe mengaku Joe ni nakal tapi kalau sampai dituduh mencuri adik kecil budak perempuan tu, itu tuduhan palsu. Bapak, Joe ni ada taste tahu! Setakat adik kecil dari pasar malam tu, buat apa Joe nak ambil? Kalau nak sangat tentu Joe akan cari jenama VS, bapak!”

“VS?”

Laa… mak aku pun tak tahu VS tu apa? Alah, biar dia cari sendirilah….

Jadi, aku di’halau’ keluar dari sekolah tu kerana tuduhan palsu seorang murid perempuan. Aku tak kenalpun dia tapi mungkin agaknya dialah yang merupakan ‘secret admirer’ aku, orang yang selalu hantar surat melayang-layang pada aku mencurah segala perasaan sayang, cinta, rindu….. tapi aku tak layan. Mungkin kerana itu dia marah dan menabur fitnah yang amat menjatuhkan air muka aku.

Bayangkanlah… aku ni dulu tokoh ko-kurikulum sekolah, ketua pasukan bola sepak sekolah, olahragawan sekolah yang memang terkenal, amat terkenal dalam kalangan pelajar perempuan. Kata orang tu, aku ni dambaan setiap wanita, tiba-tiba dikutuk atas perbuatan hina itu. Mana aku nak letak muka?

Yang lebih menyakitkan hati aku, Cikgu Haris sikitpun tak bagi peluang aku untuk membela diri. Kemuncaknya, kami bertikam lidah. Macam-macam dikutuknya aku.

“Kamu ingat, datuk kamu dulu bekas wakil rakyat, kamu boleh sewenang-wenang buat sesuka hati kamu di sekolah ni? Faridzul Asyraf, sekolah ini bukan sekolah datuk atau sekolah bapak kamu. Kerajaan dirikan sekolah ni untuk lahirkan murid yang cemerlang, cemerlang kehidupannya di dunia dan akhirat. Sekolah ni tak perlukan murid berakhlak rendah macam kamu ni!” suara cikgu Haris beralun kuat.

“Cikgu buat tuduhan palsu pada saya. Saya tak buat semua tu.”

“Sudahlah! Orang gila tak akan mengaku dia gila. Orang jahat tak akan cakap dia jahat. Orang yang dah buat benda tak elok macam kamu tentu tak akan mengaku jugak. Tapi, saya dah jumpa bukti. Jadi….”

“Bukti tu semua orang boleh letak kat dalam loker saya, cikgu!” aku masih keras menafikan.

Cikgu Haris berdiri depan aku. “Awak nak cakap yang saya orangnya yang dah letakkan benda tu dalam surat cinta tu?”

Aku beranikan diri menatap sepasang matanya. “Mungkin! Cikgu kan tak suka saya? Semua kesalahan saya cikgu dah catat. Jadi, kalau benda begini boleh buang saya dari sekolah ni, saya yakin, cikgu sanggup buatnya!” balasku tegas. Dia kulihat menggenggam penumbuk dan tak lama lepas tu, dia tumbuk muka aku yang handsome ni. Aku apa lagi, geram punya fasal, aku pun balaslah. Cikgu-cikgu lain yang ada dalam bilik Pengetua, yang tadi diam tak bersuara, iaitu cikgu kelas aku, cikgu kaunseling dan Tuan Pengetua sendiri terus cuba meleraikan. Lepas tu…. memang ‘bon voyage’lah jawabnya.

Tapi sebelum aku pergi sempat jugak aku cakap begini kepada cikgu Haris…

“Cikgu nak tahu tak kenapa saya tak buat semua benda tu?”

Cikgu Haris tengok muka aku macam nak telan. Ah, aku dah tak kisah dah. Rasa malu aku buang jauh.

“Sebab, saya sukakan anak cikgu, si Farah Harissa tu.”

“Ada hati kamu? Faridzul Asyraf, mati hidup balik pun kamu tidak akan jadi menantu saya. Kamu faham tak? Tak ingin saya nak bermenantukan kacang hantu macam kamu ni. Jangan kamu mimpi!”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience