Namun dia pula mulai menjadi cemburu apabila melihat Natalea mulai dikelilingi ramai orang. Sikap cemburu yang mulanya biasa sahaja tiba-tiba menjadi cemburu buta.
Dia mulai mempersoalkan apa sahaja yang Natalea lakukan. Sehingga sampai ke satu tahap dia bimbang jika Natalea mengadu semua masaalah rumahtangga mereka kepada ibu dan bapanya.
Pada fikirannya alangkah hinanya maruahnya sebagai suami jika ibu bapa Natalea mengetahui perihal dirinya yang tidak bekerja lagi itu.
Malah dia juga mulai takut jika Natalea meninggalkannya. Fikirannya mulai kacau dengan sikap cemburu.
Walaupun Natalea menafikan dengan lembut, tetapi penafian itu tetap dianggapnya sebagai jawapan yang menyakitkan hati.
Dari menganggur dan asyik bertukar-tukar kerja dia mulai berjinak-jinak dengan judi. Harapannya kalau menang nanti bolehlah dia kaya dan tidak perlu lagi bersusah payah seperti sekarang.
Tetapi dia tidak pernah menang. Apabila kalah dia berjinak-jinak dengan arak pula.
Balik ke rumah Natalea menjadi mangsa maki hamunnya pula. Puas hatinya dapat melampiaskan rasa marah kerana kalah berjudi itu kepada Natalea.
Suatu hari dia kalah teruk setelah berjudi dengan wang gadaian cincin emas perkahwinannya. Kecewa kerana kalah dia minum begitu banyak dengan harapan dapat melupakan kekalahan tersebut.
Ketika pulang ke rumah dia melihat seorang lelaki keluar dari rumahnya. Sangkanya ketika itu orang yang dilihatnya itu adalah lelaki yang berasmara dengan Natalea ketika dia tiada di rumah.
Dipengaruhi alkohol, perasaan cemburunya mulai menyemarak. Tanpa usul periksa sebaik sahaja masuk ke rumah dia memekik-mekik nama Natalea.
Share this novel