Rate

Bab 2. Sama-sama suka

Drama Completed 195524

    Darisa di hantar ke rumah dengan selamat oleh Anas. Dara yang ada di dalam rumah keluar menyambut kepulangan anaknya bila bunyi enjin motosikal berhenti di hadapan rumahnya.

    “Kenapa Anas pula yang hantarkan, Risa?” Dara muncul di muka pintu lalu menyapa mereka berdua.

    “Umi tak nak balik lagi, lagipun umi cakap tadi. Umi nak balik dengan kawan-kawan, umi nak singgah ke rumah Mak Cik Melati dulu sebelum balik.” Terang Anas yang kekal duduk di atas motosikalnya.

    “Mak Cik Melati yang duduk rumah depan jalan tu ke?” Soal Dara untuk kepastian.

    “Yalah tu ibu. Mak cik Melati yang itulah agaknya, ” balas Anas.

    “Hem, ibu baru singgah rumah dia kemarin. Ibu nak keluar hantarkan kuih, terima kasihlah tolong hantarkan Risa. Jadi kerja pula kamu Anas, nak hantarkan Risa. Kalau tak tadi, boleh saja Risa balik sendiri tak payah kamu nak hantar.” Dara melihat anaknya Darisa.

    “Risa dah cakap tak usah, ibu. Tapi umi nak juga abang Anas hantarkan.” Darisa bersuara. Dia tahu maksud hati ibunya. 

    “Bukan salah Risa ibu. Umi yang minta Anas hantarkan, umi takut jadi apa-apa dengan Risa nanti. Jalan seorang diri, sekarang ni orang macam-macam. Takut ada niat tak baik dengan Risa. Lagipun Anas hantar naik motor, cepat sampainya tak perlu Risa nak berjalan makan masa yang lama baru nak sampai.” Terang Anas.

    “Yea lah, Risa pun dah sampai. Terima kasih hantarkan Risa. Anas tu naik motor, hati-hati.” Pesan Dara.

    “Ya, ibu. Alang-alang nak balik ni. Boleh Anas hantarkan kuih ibu.” Anas melihat bekas kuih ada di atas pelantar di sisi rumah yang baru diletakkan oleh Dara saat dia keluar tadi.

    “Tak payahlah, dahlah kamu hantarkan Risa. Ni nak pergi hantarkan kuih pula. Susahkan Anas nak ke hulu hilir. Lagipun jalan ke sana tak sama dengan jalan balik ke rumah Anas. Ibu naik basikal saja. Bukannya jauh mana pun.” Dara menolak pelawaan anak muda itu.   

    “Alah tak apa ibu, lagipun ibu naik basikal dengan panas-panas ni. Anas naik motor, sekejap saja sampai. Ibu tunggu saja sini, kejap Anas hantarkan.” Anas turun dari motorsikal dan mengambil dua bekas kuih yang disusun berlapis. Bekas kuih itu dibawanya naik ke atas motosikal.

    “Budak ni, nak juga dia. Ikutlah kalau Anas nak tolong juga.” Dara pasrah lalu membenarkan Anas membantunya. Alamat serta butiran penerima tempahan kuihnya diberitahu kepada Anas. Bagi Anas, hal itu tak susah sedikit pun. Kerana dia mengenali setiap penduduk kampung yang tinggal di dalam kampung itu.

    “Anas pergi dulu…” Anas meminta diri untuk pergi. 

    “Hati-hati tu, dah la bawa sebelah tangan. Ibu ni, risau.” Dara resah melihat Anas yang sedang bergelut untuk membiasakan diri dengan bekas kuih yang perlu dipegang dan handle motosikal.

    Motorsikal itu perlahan-lahan beganjak pergi. Setelah naik ke atas jalan berturap, Anas mula mendapat rentaknya dan kini sudah serasi. Dara tetap berdiri di situ melihat Anas sampai anak muda itu pergi menjauh. 

    “Masuk buatkan air untuk Anas,” Dara menyampaikan pesannya kepada Darisa yang sedang membuka kasut di muka pintu rumah mereka.

    “Baik, ibu.” Akur Darisa, kasut yang dipakai tadi diketuk-ketuk kemudian diletakkan di rak kasut besi di tepi pintu masuk rumahnya.

    Manakala Dara berjalan menghampiri rumahnya dan duduk di atas pelantar kayu menanti kepulangan Anas. Darisa datang kembali membawa dulang di tangannya. Dua gelas kaca yang terisi air berwarna merah yang ada di atas dulang tersebut.

    “Air untuk ibu sekali ni, Risa buatkan.” Dulang yang ada di tangan diletakkan di pelantar. Satu gelas diangkat dan diberikan buat ibunya.

    “Baik kan, Anas tu,” puji Dara. Reaksi Darisa diperhatikannya. Sewaktu ingin mengambil air dari Darisa.

    “Ya, ibu.” Darisa sekadar mengangguk dan duduk bersama dengan ibunya.

    “Keluarga mereka dah banyak tolong kita sejak ayah meninggal, ibu harap anak ibu dapatlah bantu balas budi mereka nanti. Nak harapkan ibu, ibu dah tua. Tak ada apa yang boleh ibu bagi dengan anak ibu ni. Melainkan rumah yang ayah yang tak sebesar mana ni.” Terjuih bibir bawah Dara menunding rumah papan yang menjadi tempat mereka dua beranak berteduh.

    “Ibu…” Darisa memintas, tak suka dia mendengar rintihan sayu ibunya. Ayat itu sudah sering kali didengarinya. Balas budi dengan keluarga Hayati dan juga Amran.

    “Ibu cakap benda betul. Risa sendiri tahukan yang umi Anas tu berkenan sangat dengan Risa. Dari kecil dia dah anggap Risa macam anak dia. Risa dan Nur dah macam adik beradik kembar dulu.” Dara ketawa kecil mengenangkan peristiwa dahulu. Dua anak perempuan yang selalu bermain di rumahnya. Kerana dulu dia lah yang mengasuh Annur kerana ingin mencari wang tambahan buat membantu suaminya.

    “Risa dah anggap Nur macam adik Risa. Adik berbeza bulan tapi sama tahun, betul lah kata ibu. Kami macam kembar.” Darisa tersenyum manis sambil melihat halaman rumahnya.

    “Risa mahu kalau nanti Risa betul-betul jadi kakak Nur?” soal  Dara.

    “Risa selesa dengan keadaan sekarang ibu.” Darisa berpaling melihat pada ibunya.

    “Hemm, Risa tak faham dengan maksud ibu?” Tenang tutur Dara menyampaikan soalan itu. Kaki yang terjuntai ke bawah diangkat naik ke atas. Kain batik dibetulkan agar kaki yang terlipat duduk bersila itu ditutup rapi. “Risa tak sukakan Anas?” Dara bertanya lagi.

    “Risa masih lagi belajar ibu.” Tangan ibunya disentuh dan digengam lembut. Wajahnya kekal senyum pada wajah ibunya yang semakin di makan usia. 

    “Memanglah Risa masih belajar. Nanti dah habis belajar, Risa tak suka dengan Anas? Tak nak jadi menantu umi?” kali ini Dara tak lagi berdalih. Dia memilih untuk berterus terang kepada Darisa.

    “Tapi abang Anas, belum tentu lagi suka dengan Risa.” Darisa menggeleng. Bagaimana dia hendak menjawab soalan ibunya itu. Sedangkan dia tak mendapat apa-apa petunjuk yang mengatakan Anas suka padanya.

    “Ibu tak tanya tentang Anas. Ibu tanya anak ibu ni, suka ke tak? Ibu nak dengar jawapan dari anak ibu.” Tangan yang berada di dalam gengaman Darisa ditarik keluar dan menepuk belakang tangan Darisa.

    “Risa tak tahu nak jawab macam mana? Kalau baik pada ibu. Baik untuk semua orang Risa terima kalau itu jodoh Risa,” balas Darisa.

    “Itu yang ibu nak dengar, bukannya ibu nak memaksa Risa. Ibu cuma nak dengar jawapan Risa.”  Ucap Dara dengan senang hati. kini dia tersenyum puas dengan jawapan Darisa. Maknanya mereka ada peluang untuk berbesan. Angan-angan yang telah ditanam lama dulu kini menampakkan hasilnya.

    “Tahukan, yang umi Anas dengan keluarga kita dah lama mengikat janji. Nak satukan Anas dengan Risa. Sejak arwah ayah ada lagi. Masa tu, ibu menolak. Sebab ini semua terlalu awal. Ibu takut, nanti bila kamu berdua dah besar. Saling tak serasi. Tak nak lah ibu memaksa anak ibu ni. Buat pilihan berkait dengan alasan yang lain. Ibu nak anak ibu bebas memilih” Dara meraup pipi Darisa. Wajah anak itu ditatap dalam-dalam. “Ibu nak kamu pilih orang yang boleh jaga kamu nanti. Ibu takkan sentiasa ada di sisi anak ibu.” Dara mengangguk kecil pada Darisa.

    “Ibu, janganlah macam ni. Risa tak terasa tertekan pun dengan pilihan ni.” Darisa memeluk ibunya.

    Bunyi enjin motorsikal kian menghampiri. Pelukan dua beranak itu terlerai dengan sendirinya. Dari jauh kelihatan Anas sudah kembali dan memasuk jalan menuju kepada mereka. Darisa bangun dan cepat-cepat masuk ke dalam rumah.

    “Assalamualaikum. Lama ke ibu tunggu?” sapa Anas.

    “Waalaikumsalam. Tak lah, mana ada lama. Lagipun ibu ni, tak buat apa-apa, tunggu saja. Anas tu yang penat, cepat betul Anas pergi hantar. Marilah turun dulu, duduk dengan ibu ni. Ada air, boleh lah buat basahkan tekak. Panas-panas macam ni.” ajak Dara. 

    “ Minum? Boleh ibu. Dah siap pun airnya.” Anas turun dari motorsikalnya. “Ibu, ni duitnya…” Anas mengeluarkan duit kertas yang terlipat dari saku bajunya.

    “Ishh, Asiah ni. Ibu dah cakap, nanti-nanti saja bagi duitnya. Sekali pulangkan bekas kuih ibu. Beria-ia dia nak nak bagi juga, bukannya tak ada esok-esok.” Dara menerima duit hasil jualan kuihnya dari Anas.

    “Mak Cik Asiah cakap dia bagi siap-siap. Takut ibu nak guna nanti. Esok dia datang hantarkan bekas kuih tu.” Terang Anas.  Dia duduk di pelantar bersama dengan ibu Darisa.

    “Ini ada lebih, ni Anas? Betul ke ni Mak Cik Asiah yang bagi? ” soal Dara yang sedang mengira helaian duit kertas di tangannya.

    “Betul lah tu ibu, Mak Cik Asiah yang beri tadi,” balas Anas setelah meneguk air sirap buatan Darisa.

    “Tak apa lah, nanti sajalah ibu tanya dengan Mak Cik Asiah.  Terima kasihlah hantarkan kuih tadi.” Ucap Dara.

    “Tak apa ibu, kalau ibu nak Anas hantarkan lagi lepas ni. Ibu telefon saja Anas, biar Anas yang hantarkan.” Tanpa segan-segan Anas menawarkan dirinya untuk membantu Dara.

    “Tak apa Anas. Jangan macam tu. Nanti ibu pula yang tak selesa. Ibu larat lagi nak hantar, Risa pun ada boleh bantu ibu.”  

    Risa, mana dia? Anas berpaling melihat ke belakang, melihat pintu kayu yang terbuka luas, namun Darisa tak kelihatan di sana.  Kenapa pula aku boleh tercari-cari dia.  Tangan mula mengaru kepala yang terasa gatal. “Ibu, Anas balik dulu. Sedap air yang ibu buatkan. Nanti apa-apa, ibu telefon ya.” Anas meletakkan gelas yang telah kosong di atas dulang semula. 

    “Nak balik dah? Elok-elok bawa motor tu. Terima kasih ya, Anas.” Ucap Dara yang masih kekal duduk di pelantar rumahnya.

    “Tak apa ibu. Sama-sama, balik dulu ya.” Anas menghidupkan enjin motosikalnya. “Assalamualaikum.”

    “Waalaikumsalam. Bawa elok-elok motor tu. Nanti sampaikan salam pada umi kamu ya, sebab dah  minta kamu hantarkan Risa tadi.” tak jemu Dara memperingati buat anak muda itu sekali menitip pesannya buat Hayati.

    Anas mengangguk dan menunggang motosikalnya pergi. 

    “Risa sudahlah tu mengendap, ibu ni walau tak nampak kamu. Ibu boleh rasa kamu ada situ. Mengintai Anas dari tadi.” usik Dara.

    “Mana ada Risa mengendap, ibu. Risa tunggu nak keluar angkatkan dulang bawa masuk ke dalam,” dalih Darisa, lalu  muncul di sebalik tirai tingkap nako rumah mereka.

    “Hemm, ya lah tu. Macam lah ibu tak pernah muda. Ibu ni lagi banyak makan garam dari kamu. Ibu faham sangat. Jiwa anak muda,”  balas Dara. Matanya tak lepas dari terus melihat satu-satunya anak gadisnya yang sedang merona malu.

    “Alah ibu, mana ada. Ibu tak elok tahu, makan garam banya-banyak. Darah tinggi nanti.” Usik Darisa.

    “Betuah anak ni, dia buat tak faham pula. Apa yang ibu cakap kan, ada saja dia nak melencong merata,” marah Dara dengan rasa rajuk pada Darisa.

    Darisa ketawa, kemudian dia memeluk ibunya. “Risa faham, ibu jangan lah marah. Nanti Risa bosan ibu tak nak bercakap dengan Risa.” Manja Darisa merengek didalam pelukkan ibunya.

    “Biarlah, ibu merajuk. Risa kan, dah tak nak dengar nasihat ibu, suka ngusik ibu pula sekarang ni. Makin menjadi-jadi sekarang ni.” kali ini Dara pula yang merungut.

    “Alah, ibu janganlah. Risa minta maaf. Risa janji, tak buat lagi. Janji..” Darisa meleraikan pelukan dan mengangkat tangan janji di depan ibunya.

    “Janji Risa tak boleh pakai. Hari ni janji, esok buat lagi.” kali ini nekad Dara merajuk dengan anaknya.

    “Tapi kali ni betul ibu, Risa tak usik ibu lagi.” kata Darisa dengan bersungguh-sungguh.   

    “Ibu tak percaya juga, nanti kalau Risa tak usik ibu. Sunyilah rumah kita ni. bosan pula ibu tak dengar celoteh anak dara ibu.” Dara menarik senyumannya melebar.

    “Ibu! Ibu kenakan Risa. Sampai hati ibu.” Darisa menjatuhkan tangannya dengan lemah ke bawah. Muncung bibirnya sedepa.

    “Alah anak ibu ni. Eh, tu kenapa Anas pusing balik tu!” Dara membawa turun kakinya ke bawah.

    “Abang Anas datang balik? Ibu..” Darisa menekup wajahnya. Kemudian tangan itu jatuh dan menjenguk ke arah jalan. “Kenapa tak dengar bunyi enjin..” Kosong, cuma ada motosikal orang lain yang berlalu pergi di atas jalan sana. 

    “Ibu, kenakan Risa lagi…” Darisa berpaling dan mengangkat dulang air yang ada di pelantar.  Merona wajahnya merah malu-malu bila disakat ibunya.

    “Mulut saja cakap tak nak, tapi hati…” Dara mengikut langkah Darisa masuk ke dalam rumah. “Sama-sama suka tapi tak nak mengaku.” Usik Dara. “Satu saja ibu anak pesan dengan Risa, dalam berkawan. Ibu nak Risa jaga batas dengan Anas.” Dara berkata lagi lalu duduk di kerusi rotan rumahnya.

    “Ya ibu. Risa tahu Risa dah besar, kami dah tak boleh dekat-dekat macam dulu.”  Darisa membalas dari dapur.

    “Eloklah kalau Risa faham, Risa dah besar. Dah tahu nak bezakan mana baik dan buruk. Kita tak punya apa-apa Risa, hanya maruah yang kita ada.” Dara menjenguk melihat ke dapur sana. Rumahnya yang tak sebesar mana mudah untuk dia melihat Darisa dari ruang tamu rumahnya.

    “Ya ibu, esok Risa nak keluar dengan Nur nak ke pekan.” Darisa yang sedang membasuh gelas di singki meminta kebenaran pada ibunya.

    “Nak pergi pekan? Nak buat apa?” soal Dara.

    “Ada nak beli buku. Boleh tak ibu?” 

    “Esok kan ada kenduri. Kenapa tak pergi hari lain saja?” Dara mula tak senang. Bukannya dia nak mengongkong anaknya itu, tapi lebih risau dengan keadaan anaknya.

    “Kami pergi lepas kenduri nanti ibu. Tumpang umi, sebab umi pun nak ke pekan sama.” tangan yang basah dilap dan Darisa berjalan ke ruang tamu rumahnya.

    “Ada umi, kalau ada umi. Taklah ibu nak risau. Pergilah. Ibu izinkan.”

    “Baik ibu, terima kasih.” Balas Darisa dengan senang hati.

Assalamualaikum hai.. Berjumpa lagi kita.. Terima kasih semua sudi singgah ke karya terbaru waney.. CENGKAMAN CINTA... tqtqtqtq sangat2.. Insya Allah kita sambung esok ya.. (^-^)

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience