BAB 1

Drama Series 55411

Angin sepoi-sepoi bahasa menghentam lembut tubuhnya yang sedang leka mengamati keindahan alam yang dipersembahkan pada sepasang kornea matanya. Sebagai seorang hamba yang tak pernah terlepas dari melakukan kesilapan, sesungguhnya dia berasa sangat bersyukur kerana sehingga ke hari ini, dia masih diberikan nikmat melihat. Tak terbayang bagaimanakah keadaannya jika suatu hari nanti nikmat tersebut ditarik serta merta. Moga-moga dijauhkan.

Tenang. Itulah yang dirasakan oleh Dian ketika kakinya menjejak kawasan pantai tersebut. Namun, dia juga tidak dapat menafikan bahawa sedikit sebanyak ketenangannya itu diganggu oleh rasa rindu yang berat kepada seorang insan yang telah pergi meninggalkannya. Alangkah lebih indahnya jika lelaki itu masih berada di sini, duduk dan berbual bersama. Tapi itulah, alangkah. Hanya sekadar 'alangkah'. Dia menghela nafas berat.

"Hai. Jauh termenung nampak," sapa seseorang membuatkan dia serta merta mendongak. Bibirnya mencarik senyuman kecil membalas senyuman Nana. Dia mengesot ke tepi memberi ruang untuk Nana duduk di bangku batu tersebut. Laut yang terbentang luas di hadapannya ditatap seketika sebelum dia menoleh ke sisi. Melihat sahabatnya yang sedang menunduk sambil menggoyangkan kaki.

"Aku ingat kau pergi mana tadi tiba-tiba sebelah aku kosong. Rupanya Kak Azi kata kau pergi pantai ambil angin," kata Nana tanpa dipinta. Dia menoleh semula ke hadapan dan turut melakukan gaya yang sama seperti Dian. Dian tersenyum senget.

"Aku tak boleh tidur. Tu yang aku keluar duduk sini kejap."

"Tapi rasa pelik juga kau tiba-tiba tak tidur tengah hari ni. Dua hari lepas asal masuk bilik je tidur. Masuk bilik je tidur. Macam dah tak ada benda lain dah. Aku sampai penat asyik tengok kau tidur je memanjang," bebel Nana membuatkan senyuman senget Dian semakin melebar. Dia mengerling ke arah sahabatnya itu.

"Tapi hari ni kau yang ganti tempat aku, kan?" Dia menjongket kening. Nana menoleh ke arahnya sekilas dan menjeling dengan bibir tercebik. "Itu sebab aku kenyang sangat tadi. Nyah, hari ni punya buffet sedap gila kot. Mahu tak bertambah aku? Haih, balik ni kena dietlah jawabnya," keluh Nana mendapat sambutan tawa kecil dari Dian. Lengan gadis itu ditampar lembut.

"Tak payah nak diet sangatlah. Kau cakap je pagi ni kau nak diet, masuk tengah hari sepinggan penuh lauk nasi kandar," usik Dian menambahkan lagi muncung sedepa Nana.

"Kau ni janganlah exposed aku sangat. At least aku makan juga. Dari kau, suruh makan sesuap pun susah!" balas Nana geram. Apa tak geramnya? Mulutnya tu dah berbuih-buih memaksa Dian untuk makan banyak sedikit. Tapi hanya dibuat tak endah. Bukannya nak suruh Dian tu gemuk ke apa cuma sekurang-kurangnya, makanlah sedikit supaya ada tenaga dalam badan.

Ini makan minum pun tak terjaga, kerja lebih masa, hah alamatnya pengsan. Kat pejabat tu, entah dah berapa kali sudah Dian jatuh pengsan kerana kurang nutrisi di dalam badan. Dia sebagai sahabat sudah semestinya risau akan kesihatan wanita itu. Dia tak nak apa-apa terjadi pada Dian. Cukuplah apa yang terjadi sebelum ini setakat itu sahaja.

"Bukan tak nak makan. Tak ada selera."

Hah itulah. Itulah jawapan klise yang selalu Dian lontarkan. Sampai naik bosan Nana mendengarnya. Macam dah tak ada ayat lain. Dia mengeluh dan menggelengkan kepalanya.

"Dian... Dian... Degil dengan kau memang berpisah tiada, kan? Cubalah sesekali kau dengar cakap orang tu. Bukannya aku or siapa-siapa saja nak membebel dekat kau. Semua tu sebab kita orang sayang, kita orang tak nak kau sakit. Itu je," terang Nana yang mula bernada serius. Wajah sedikit pucat Dian ditatap. Dian mengemam bibir dan mengangguk kecil.

"Aku tahu. Kau tak payahlah risau. Pandai-pandailah aku jaga diri aku macam mana," balas Dian dan melemparkan senyuman kecil buat Nana. Dia kembali berpaling ke hadapan.

"Pandai-pandailah sangat. Aku tengok sampai sekarang tak pandai-pandai pun. Hm?" perli Nana mendapat balasan jelingan daripada Dian. Tuk seketika, mereka berdua diam membisu. Membiarkan deruan ombak laut yang memecah kesunyian di situ.

"Di," panggil Nana membuatkan Dian menoleh dan mengumam sahaja. Nana menjatuhkan pandangannya melihat pasir halus pantai tersebut yang kadang kala ditiup oleh angin. Bibirnya mengoyak senyuman tipis.

"Aku tahu kau masih dalam proses pulihkan diri kau sendiri. Aku tahu bukan senang nak kau terima. Benda kena ambil masa, kan? Tak apalah. Kau ambillah berapa banyak masa yang kau nak sampai hati kau betul-betul sembuh. Tapi aku nak kau tahu yang aku selalu ada untuk kau. Aku risaukan kau tanda sayang. Sayangnya aku pada kawan baik aku sendiri. Kalau ada apa-apa jadi dekat kau, ni hati ni 10 hari 10 malam tak hilang rasa serba salah, kecewa dengan menyesal dia tu tahu? Kau jangan nak gelak, Dian. Aku cakap benda betul." Berubah terus nada suaranya apabila melihat Dian tersenyum-senyum dan mengemam bibir.

Orang sedang bersentimental, dia boleh pula nak gelak? Bila orang buat lawak tak ada pula dia nak tergelak. Kaku macam tu aje. Pelik.

Dian mengangguk mengiyakan kata-kata Nana. "Iya, Na. Aku tahu. Terima kasih sebab daripada dulu sampai sekarang kau masih ada dengan aku. Tak jemu bagi semangat dekat aku even dah berkali-kali jugalah aku... yeah, you know?" Bahu dijungkit. Nana mengangguk faham dan menghela nafasnya perlahan. Tangan Dian yang sedang berada di paha dicapai lalu digenggam erat.

"Aku sayang kau, Di. Aku kalau boleh tak nak langsung tengok kau sedih. Kalau kau nak sedih boleh, tapi ajak aku sekali. Sakit, sedih, kita share sama-sama."

"Kalau suami? Nak share juga ke?"

"Di, kau pernah rasa pasir pantai tak?"

Terhambur tawa dari bibir Dian. Wajah cemberut Nana ditatap sebelum pipi kawan baiknya itu dicubit geram. Dia mendekatkan jaraknya dengan Nana lalu tubuh gadis itu dipeluk. Ketika itu jugalah dia merasakan pandangannya mula berkaca dan hangat.

"Aku pun sayangkan kau, Na. Kau jangan tinggalkan aku tau? Cukuplah arwah Syah je. Jangan kau. Sakit Na kalau kau pun pergi tinggalkan aku," suara Dian dengan nada penuh sebak dan bergetar. Nana yang sedang membalas pelukannya mengangguk perlahan dan mengusap lembut belakang tubuh kawan baiknya itu.

"Iya. Aku takkan tinggalkan kau. Dah-dah. Lama-lama peluk macam ni nanti orang ingat kita pasangan lesbian pula," ujar Nana meleraikan pelukan tersebut. Secara tak langsung, sekali lagi membuat Dian tertawa halus dalam tangisannya. Nana turut tertawa sama.


Sepanjang 3 hari berada di Pulau Pangkor, kini tibalah masa untuk Dian, Nana dan Kak Azi berangkat pulang ke Kuala Lumpur semula untuk menyambung kerja mereka yang tergendala dek percutian yang dirancang minit terakhir. Mengikut rancangan awal, dah lama mereka bertiga ingin bercuti bersama-sama di situ namun disebabkan masing-masing ada hal tersendiri, dan kebetulan Dian pada waktu itu emosinya masih remuk jadi terpaksalah mereka tangguh terlebih dahulu. Dan sekarang, melihat keadaan Dian pun sedikit membaik daripada sebelum ini dan masing-masing mempunyai masa yang lapang, apalagi? Booking hotel lah siap-siap. Dapat juga akhirnya jejak kaki ke situ.

Mereka bertiga menarik bagasi bersama-sama ke bahagian kaunter resepsi untuk check out pada tengah hari itu. Kak Azi meminta Nana dan Dian menunggu dahulu di situ sementara dia yang pergi ke kaunter. Mereka berdua mengangguk dan menghantar pandangan ke arah Kak Azi yang sedang melangkah ke arag kaunter. Nana menghela nafas sedikit kuat dan dengan selambanya melabuh punggung di atas bagasinya sendiri. Dian menoleh ke arahnya dan berdecit perlahan.

"Oi."

"Apa?"

"Tu, sana ada kerusi. Pergi duduk sanalah kalau nak duduk," beritahunya dengan kening sedikit berkerut. Nana berpaling melihat ke arah yang ditunjukkan oleh Dian sekilas kemudian mencebik bibirnya. Dia menggeleng kepala.

"Malaslah. Jauh," jawabnya. Automatik Dian menggulingkan biji matanya dan menggeleng perlahan. Dia malas mahu berdebat dengan Nana. Biarkan je dia. Daripada haritu asyik duduk atas bagasi. Apa gunalah resort yang mereka menetap selama 3 hari 2 malam itu menyediakan kerusi? Buat hiasan je ke?

"Dian, Dian, Dian! Tengok tu. Tu, tu!" Nana menyenggol-nyenggol kemudian menarik-narik baju blaus kawannya itu dengan bibir termuncung-muncung ke arah sesuatu. Sekali lagi Dian berdecit dengan wajah berkerut masam. Dia menoleh sedikit. "Apa lagi kau ni?" soalnya sedikit kasar.

"Tu. Tengoklah sana tu. Handsome doh!" tunjuk Nana yang masih menjuihkan bibirnya. Dian menoleh dan cuba mencari apa yang dilihat oleh Nana. Dia tak nampak apa-apa yang mengujakan selain dari pelancong yang melangkah masuk ke ruang lobi dan juga staf resort tersebut keluar masuk di ruangan itu.

"Mana ada apa-apa. Engkau ni... aku bagi juga kang. Aku ni dahlah lama tak pukul orang," kata Dian dengan suara terketap sedikit. Nana mendongak dan berdecit geram. "Hello, sebelum kau bagi kat aku, meh aku bagi dulu dekat kau. Mata tu cuba function sikit. Tu, sana! Yang dekat kaunter tengah cakap dengan kawan dia tu. Yang putih-putih tu!" marah Nana dan memuncung-muncungkan lagi bibirnya. Ini kalau ada orang lalu dan terperasan ni, memang cari malu si Nana ni. Dian menjelingnya dan sekali lagi memandang ke arah yang ditunjukkan oleh Nana.

Dekat kaunter, tengah cakap dengan kawan... yang putih-putih? Okay, dia jumpa. Dia mengecilkan sedikit anak matanya memerhati gerangan yang dikatakan kacak oleh Nana itu. Dia mengeluh pendek apabila lelaki itu sedang menunduk melihat sesuatu. Baru saja dia hendak membuka mulut ingin menghamburkan kata-kata kasar kepada Nana, perbuatannya serta merta terhenti apabila lelaki itu mengangkat wajahnya dan melemparkan senyuman pada rakan sekerjanya.

Deg.

Dian tersentak. Cepat-cepat dia mengalihkan pandangannya dan mengawal riak wajahnya. Nana yang sedang melihat ke arah yang sama dan sesekali mendongak melihat ke arah Dian tersengih seperti kerang busuk. Dia mencuit sedikit lengan sahabatnya itu.

"Handsome kan?"

Dian mengerling ke arahnya dan menjungkit bahu. "Entah. Biasa je aku tengok," balasnya dan meliarkan bebola matanya melihat dekorasi di ruangan lobi itu. Nana mencebik dan menjelingnya menyampah.

"Malaslah aku dengan kau ni," keluhnya siap mengangkat tangannya tanda masak dengan perangai Dian kemudian berpaling ke arah lain. Kononnya nak merajuklah tu. Dian hanya membuat tidak peduli dan memandang ke arah kaunter sekali lagi. Kali ini, kelihatan lelaki yang dimaksudkan oleh Nana itu seperti sedang memantau dan sesekali akan menyapa ke arah pelanggan yang berada di kaunter tersebut. Aktiviti renungannya pada lelaki itu serta merta terhenti tatkala suara Kak Azi menyapa gegendang telinganya.

"Okay, let's go back home. But before kita balik, korang ada nak singgah mana-mana dulu ke? Nak beli ole-ole ke?" tanya Kak Azi memandang wajah junior merangkap sahabatnya itu satu per satu.

"Tak ada rasanya. Tak tahulah kalau Nana," kata Dian sambil menunding jari ke arah Nana yang masih duduk di atas bagasinya. Nana menoleh dengan mata dikebil-kebilkan.

"Seriuslah kau tak nak beli apa-apa? Ole-ole untuk family kau, bekas pak mak mertua kau? Tak nak beli?" tanyanya masih dengan riak wajah yang sama. Kak Azi turut menoleh ke arahnya. Dian mengetap perlahan bibirnya dan menggaru kepalanya yang berlitup dengan tudung itu.

"Bukan tak nak beli. Tapi..."

"Ah tak ada. Kau beli juga. Engkau dahlah asyik terperap dalam bilik je. Orang ajak jalan-jalan, tidur. Tak ada, tak ada. Kau beli juga. Labur sikit duit kau tu," potong Nana kemudian berdiri dan menarik pemegang bagasi tersebut. Kak Azi tertawa perlahan apabila melihat wajah Dian mula bertukar masam.

"Dah... dah. Jangan nak bergaduh. Nanti kita singgahlah mana-mana beli cenderhati sikit. Dian pun beli tau? Sikit-sikit pun tak apa. Okay?" pujuk Kak Azi dan mendapat anggukan kecil daripada Dian. Mereka bertiga akhirnya mengorak langkah keluar daripada resort tersebut.

Beberapa langkah sebelum sampai ke luar, telefon pintar yang berada dalam pegangan Dian tiba-tiba saja terlepas dan terjatuh ke lantai. Membuatkan langkah wanita itu mati serta merta. Kak Azi dan Nana yang berada di hadapannya turut berhenti dan menoleh. Berkerut dahi mereka memerhatikan Dian yang sedang tertunduk ingin mengutip telefon pintarnya.

"Boleh pula terjatuh- oh!" Bulat biji mata Nana dan Kak Azi tatkala terlihat situasi yang benar-benar tak dijangka oleh mereka. Terkebil-kebil mereka melihat ke arah Dian yang turut terkaku sama seperti mereka.

Terkulat-kulat Dian meneguk air liurnya dan mengelip-ngelipkan kelopak matanya. Wajah yang ditatapnya tadi sebelum Kak Azi tiba menyapa mereka kini betul-betul berdiri di hadapannya sambil menghulurkan telefon pintarnya yang terjatuh tadi. Senyuman yang dilihat Dian tadi turut dilemparkan.

Deg.

Dian tersentak sekali lagi. Cepat-cepat dia mengubah riak wajahnya dan menyambut huluran tersebut.

"T-thank you."

Lelaki itu senyum dan mengangguk kecil. "Most welcome. Simpan dalam beg ya, cik? Takut terjatuh lagi. Mahal tu," katanya menyelitkan sedikit guraun dan tertawa halus. Dian terangguk-angguk faham dan kelam kabut menyimpan telefonnya itu ke dalam tas tangannya sementara lelaki itu pula sudah berpaling dan melangkah ke arah kaunter semula. Dian mengangkat wajah dan menatap ke arahnya sebelum perlahan-lahan mengorak langkah mendekati Nana dan Kak Azi.

Belum apa-apa lagi dia sudah melihat senyuman nakal Nana. Ah sudah. Ini yang dia malas ni.

"Dian, kau..."

"Dah-dah jalan cepat. Dah lambat dah ni. Aku nak balik nak tidur!" potongnya menolak lembut tubuh Nana supaya menghadap ke hadapan. Sambil-sambil dia menolak Nana, dia menoleh ke belakang semula. Seperti kebetulan, lelaki itu turut menoleh sama dan melambai kecil ke arahnya. Terhinjut kedua bahunya. Laju dia berpaling dan berjalan terus mengikut langkah kawan-kawannya di hadapan.

zen dh lama rancang. korang je lalai xD

Share this novel

Widad Kamal
2022-05-08 15:49:53 

watak hero baru pula ya, mcmna ni, takleh move on lagi dgn syah huhu


NovelPlus Premium

The best ads free experience