KISAH 1 - BELAAN

Horror & Thriller Series 23829

Mak Jah tersentak apabila saat dia menyelak kain yang menutup wajah suaminya yang baru bergelar arwah itu, matanya berkelip-kelip. Bukan itu sahaja, mulutnya juga memanggil-manggil nama Mak Jah. Namun Mak Jah tahu, orang lain bukan nampak dan dengar apa yang dia dengar.

Hanya dia seorang sahaja yang tahu dan dengar. Hanya dia sahaja yang mengetahui kisah silam Pak Usop. Setelah dikebumikan jenazah Pak Usop di sebuah tanah perkuburan Islam di Bakri tanpa ada apa-apa masalah pada sebelah petang, talkin dibacakan. Hujan renyai mengiringi petang yang suram dan duka itu buat Mak Jah dan 2 orang anaknya.

Saat orang lain beransur pulang, Mak Jah masih berdiri di sebelah pusara arwah suaminya sambil memegang payung. Mak Jah ternampak tanah-tanah yang menutupi pusara Pak Usop itu bergerak-gerak. Ibarat ada sesuatu yang ingin keluar dari dalam. Mak Jah semakin pucat saat ternampak akan tangan yang tiba-tiba keluar daripada pusara itu. Tangan manusia.

"Mak, jom kita balik, hujan dah semakin lebat ni", kata Shahir, anak sulung Mak Jah menyebabkan dia tersentak.

"Mak okay ke?", sambung Shahir lagi. Ibarat dapat membaca sesuatu yang tidak kena pada raut wajah Mak Jah.

"Tiada apa-apa, mak cuma terkenangkan arwah ayah kau sahaja", kata Mak Jah, cuba berdalih daripada apa yang baru sahaja dia nampak tadi.

Mak Jah segera berjalan menuju ke kereta mereka yang diletakkan di tepi jalan. Anak bongsu Mak Jah, Hayati telahpun berada di dalam kereta sejak tadi lagi. Terpampang kesedihan dan kesugulan pada wajah gadis berusia 18 tahun itu.

"Mari kita balik terus, kita nak kena sediakan rumah untuk majlis tahlil malam ni nanti", kata Mak Jah sejurus selepas dia masuk ke dalam kereta.

Jam 8.00 malam, seusai solat jemaah di masjid, orang ramai mula datang berkunjung melawat Arwah Pak Usop, Mak Jah ke dapur rumahnya memasak air bagi menjamu tetamu yang hadir untuk majlis tahlil arwah itu.

"Jah, ooo Jah, ni apa pasal ramai sangat datang rumah aku ni?", tiba-tiba sahaja terdengar satu suara yang cukup Mak Jah kenali.

Di balik jeriji besi pada tingkap dapur menghala belakang rumahnya, berdiri satu makhluk yang betul-betul menyerupai Pak Usop. Cumanya, dia memakai kain kafan, yang terpalit lumpur dan tanah. Mak Jah memandang di balik tingkap itu.

"Jah, kau pekak ke Jah, ni apa pasal tiba-tiba ramai nak datang ke rumah aku ni!?", jerit makhluk itu.

Kali ini suaranya sedikit menengking, seolah-olah memarahi akan Mak Jah yang disangkanya tidak melayan kata-katanya itu.

"Biarlah, mereka datang nak ke tahlil awak, nak baca Yassin untuk awak jugak", jawab Mak Jah.

"Nanti habislah beras dan barang dapur kita kalau kau hidangkan semuanya", kata makhluk terbabit.

"Ish, sudah-sudahlah. Dah mati pun masih nak kedekut lagi", jawab Mak Jah dengan nada sindiran.

"Mak! Mak cakap dengan siapa?", tiba-tiba sahaja terpacul Hayati di pintu dapur. Mukanya sedikit kehairanan melihat ibunya yang tadi didengarnya bercakap seorang diri.

"Tiada apa-apa, mari tolong mak angkat cawan ni, kita bawa ke ruang tamu", jawab Mak Jah, cuba berdalih dan mengalih perhatian anaknya itu dengan arahan.

Hayati menuruti apa yang disuruhnya tadi, cepat-cepat dia ambil dulang dan meletakkan cawan serta teko yang berisi air teh o panas itu ke ruang tamu. Kuih-muih turut mereka sediakan, setelah dari pagi lagi, Mak Jah dah menghubungi Mak Tom untuk menyediakan hidangan itu, selepas Pak Usop meninggal dunia.

Selesai bacaan Yassin dan solat Isya', tetamu mula beredar meninggalkan rumah Mak Jah.

"Dah dah, biar mak yang cuci semua ni, kamu tolong adik kamu tu susun balik kerusi di ruang tamu", kata Mak Jah apabila dia terlihat akan Shahir di dapur yang hendak basuh pinggan dan cawan.

Shahir menuruti sahaja. Dia sudah faham benar akan perangai ibunya. Kata-kata yang dilemparkan itu adalah kata-kata kalau ibunya tak mahu dia ganggu atau menyuruh dia keluar daripada dapur.

"Jah, ooo, Jah, aku lapar oi. Takkan tiada makanan untuk aku?", sekali lagi suara itu datang daripada luar tingkap dapur Mak Jah.

"Awak tu dah mati, sudah-sudahlah, balik ke tempat awak tu, jangan datang ke mari kacau kami anak beranak", kata Mak Jah.

"Jah oi, ni aku hidup lagi ni, kau tak nampak!? Takkan kau tak kenal laki kau sendiri Jah!?", dia menjawab serta melontarkan soalan kepada Mak Jah.

"Kau tu bukan laki aku, laki aku dah mati, kau jangan datang sini lagi kau faham!?", bentak Mak Jah sedikit kuat kata-katanya.

"Kau dah tak sayang lagi aku ke Jah, kau tengok la sini, ni aku la, Usop. Mari rapat sini" jawab lembaga tersebut.

Di balik tirai, memang kelihatan seseorang yang sedang berdiri. Mak Jah cuba melihat dengan teliti, 'dia' sedang berdiri tegak tanpa bergerak. Sama macam tadi, badannya dibaluti kain kafan, mukanya pucat, lebam-lebam dan ternampak akan ulat-ulat yang menguit-nguit di pipinya yang berlubang itu.

"Bagilah aku makan kalau ya pun dah benci aku", dia bersuara lagi, tetapi tidak diendahkan oleh Mak Jah. Mak Jah mendiamkan diri sahaja sambil membasuh pinggan mangkuk yang tersusun di atas sinki itu.

Sekilas mata memandang, 'dia' sudah tidak lagi berada di situ. Mak Jah menarik nafas lega, namun apabila dia menoleh ke belakang, terpacul daripada mulutnya

"Ya Allah!" terkejut Mak Jah dibuatnya.

Hampir nak pitam apabila 'dia' tiba-tiba muncul betul-betul di belakang Mak Jah. 'Dia' bergerak perlahan-lahan ke meja makan di dapur sambil menarik kerusi dan duduk di situ.

"Jah, marilah duduk bersama aku", kata 'dia'.

Mak Jah tiada pilihan lain, pintu yang menghubungkan bahagian dapur dengan ruang tamu itu terhalang oleh 'dia' yang duduk di atas kerusi sambil mengangkat tudung saji, melihatkan baki kuih-muih yang tinggal.

Mak Jah duduk di hadapannya. "Sudahlah tu, aku harap lepas kau makan ni, kau tak datang lagi mengganggu aku dan anak-anak aku", kata Mak Jah, membuat permintaan pada 'dia'.

"Kau cakap senang, sekarang ni aku dah tiada tempat berlindung. Orang tua tu dah mampus, takkan aku nak bertenggek lagi di bahu dia. Aku lapar, dari pagi tadi aku tak makan kau tahu tak!", katanya.

Mak Jah mengeluh panjang sambil menggelengkan kepalanya. Memang semasa arwah suaminya masih hidup, pelbagai ilmu-ilmu mistik dipelajarinya, semata-mata untuk mendapatkan hasil tuaian di kebun durian yang banyak serta orang ramai terpikat dengannya.

Memang Pak Usop merupakan salah seorang yang agak berada di situ, kalau nak dibandingkan dengan orang kampung yang lain. Mak Jah masih teringat akan perangai suaminya, yang sering meminta telur ayam kampung untuk dimakan sebelum dia tidur.

Mak Jah bukan tak cuba, dah cuba beberapa kali menasihati suaminya supaya tidak melakukan perkara-perkara terkutuk itu. Namun orang tua itu berdegil, dimarahnya pula Mak Jah, seolah-olah tidak bersyukur akan keadaan mereka yang mewah itu.

Semasa umurnya 35 tahun, sebaya dengan Mak Jah, suaminya ke Siam untuk mempelajari ilmu-ilmu mistik. Niat asalnya adalah untuk memperoleh cahaya mata, yang mana setelah 5 tahun berkahwin, mereka masih tidak dikurniakan dengan anak.

Namun Pak Usop lebih-lebih. Dia inginkan lebih daripada anak sahaja. Dia inginkan kekayaan. Dia inginkan harta dunia serta hasil tuaiannya menjadi. Untuk mendapatkan pelbagai kemewahan itu, dia perlu membela 'sesuatu', serta memberinya makan.

Telur ayam, dan adakalanya darahnya sendiri diberikan. Pernah satu ketika Mak Jah terperasan akan suaminya di dapur menoreh-noreh lengannya bagi mendapatkan darah. Darah yang mengalir itu ditadahnya di dalam cawan, sambil mulutnya terkumat-kamit membacakan sesuatu yang tidak difahami Mak Jah.

Kadangkala, ayam mentah, daging lembu serta tulangnya diberikan kepada 'dia'. Bukan main seronok apabila diberikan makanan mewah itu. Melonjak-lonjak suaminya di dapur, yang hanya mampu diperhatikan sahaja oleh Mak Jah.

Solat fardhu pun dilarangnya Mak Jah buat. Nak solat, pergi masjid katanya. Pernah sekali, apabila selesai bacaan Yassin di masjid, Mak Jah pulang membawa sebotol air mineral, air yang dibacakan dengan Yassin, mengamuk lain macam jadinya Pak Usop.

"Aku panas! Nak buat apa kau bawa balik air Yassin ni!",

Direntapnya botol itu dan dibalingnya keluar dari rumah. Mak Jah tergamam apabila melihatkan perilaku suaminya itu. Bukan itu sahaja, saat mereka tidur bersama sekatil, kadangkala benda itu menampakkan dirinya.

Makhluk berupa beruk dan berbulu bewarna hitam itu hampir setiap malam berteleku di hujung katil, memerhatikan mereka berdua, suami isteri. Kadangkala, dia berbunyi. Bunyinya ibarat bunyi kerbau menguak.

Itu belum lagi diceritakan apa yang berlaku saat suaminya menghadapi sakaratul maut pagi tadi. Menjerit terlolong apabila Shahir cuba membisikkan kalimah syahadah ke telinganya.

Sekeras-kerasnya Mak Jah terpaksa menghalang sesiapa yang ingin menziarahi arwah apabila dia sakit beberapa hari lepas. Saat dia menghembuskan nafas terakhir, terlihat akan bayangan seekor beruk melompat keluar dari tingkap.

Memang Mak Jah perasan apabila bacaan Yassin dibuat, lembaga itu berpaut pada tiang seri rumah mereka. Memandang kearahnya dengan penuh kebencian. Dan apabila jenazah Pak Usop nak dikebumikan, Mak Jah terlihat akan satu lagi badan di sebelah mayat di dalam liang lahad.

Berbulu lebat, keras dan kejung. Namun Mak Jah tahu, orang lain tak nampak apa yang dia nampak. Dia juga sering menerima persoalan daripada Shahir dan Hayati, mengenai bunyi derapan kaki di atas bumbung rumah mereka setiap malam. Pak Usop sering berdalih, mengatakan bahawa itu bunyi musang mahupun tikus.

Kini benda itu duduk betul-betul dihadapan Mak Jah sambil menyuap kuih-muih di dalam mulutnya. Ulat-ulat sebesar ibu jari sesekali jatuh daripada atas kepalanya yang bertutup dengan kain kafan. Bukan itu sahaja, bau busuk yang menjijikan, ibarat bau mayat reput memenuhi ruang dapur, sehingga mengundang berpuluh ekor langau di dapur.

Makanan yang disuapnya, ada yang jatuh terkeluar semula di pipi belah kananya yang mempunya lubang sebesar bola pingpong itu. Disuapnya makanan itu dengan gelojoh, ibarat kebuluran.

Shahir menjengulkan dirinya di dapur, dan tak semena-mena dia bertempik saat terlihat akan 'arwah ayahnya' yang berupa mayat dan sedang makan itu.

"Ayah!?", jeritnya.

Mak Jah memandang Shahir sambil menggelengkan kepalanya.

"Itu bukan ayah kau, itu belaan dia!", Mak Jah berkata dengan kuat. Shahir yang terpaku tadi terus menekup kedua-dua telinganya seraya membaca ayat kursi.

Tak semena-mena benda itu jatuh ke lantai, meggelupur macam dituang air panas. Bunyinya bertempik ibarat kerbau menguak itu semakin lama semakin kuat. Selesai bacaan ayat kursi, Shahir segera azan dengan suara yang sangat lantang.

Saat itu, asap hitam mula berkepul-kepul dan bau yang tadinya busuk, menjadi bau seakan-akan bau muntah pula. Masam dan menjijikkan. Beberapa saat kemudian, benda itu berubah bentuk kepada bentuk orang utan.

Sambil menguak-nguak ke arah Shahir ibarat mengarahkannya supaya berhenti azan. Namun Shahir tak berganjak, dia terus menerus azan menyebabkan benda itu melompat keluar melalui tingkap dapur, sambil melolong kepanasan.

Shahir tergamam, dan Mak Jah pula hanya duduk di bawah dan menekup kepala dengan kedua-dua tangannya sambil menangis. Shahir ibarat faham akan keadaan yang baru berlaku. Dia tahu, dia ada beribu persoalan, dan dia tahu, Mak Jah perlu menceritakan segalanya kepada dia.

Shahir memeluk tubuh Mak Jah. Di dalam hatinya sebak dan takut, kerana saat itu dia baru tahu arwah ayahnya mengamalkan perkara-perkara khurafat. Dia mendiamkan dirinya, tetapi dia tahu, sudah terlambat untuk ayahnya bertaubat. Hanya doa sahaja yang mampu menolongnya.

TAMAT

Share this novel

Afrina Nur Evalina
2020-03-01 15:23:02 


NovelPlus Premium

The best ads free experience