Bab 17

Young Adult Completed 7336

Mawar duduk bermuhasabah diri di atas tikar sejadah itu seusai dia mendirikan solat maghrib. Berulang kali dia mengucap istighfar agar dosa-dosanya yang lalu diampunkan oleh Allah.

Kak Diya dan Mak Ngah, kedua-duanya sentiasa mengingatkan Mawar - secara lisan serta berdepan dan juga melalui pesanan Whatsapp - supaya Mawar kerapkan beristighfar dan mendirikan solat sunat taubat.

Setelah puas beristighfar, tangannya ditadahkan ke langit untuk dia menuturkan doa. Dimulakan doa itu dengan penuh rasa rendah diri dan pujian buat Pemilik Alam, selawat serta doa buat Pesuruh-Nya dan sekalian para Sahabat. Ia diikuti doa ibu bapa dan memohon pengampunan dosa.

Selesai memanjatkan doa, dia teringat saranan yang dikongsi oleh kak Diya di dalam mesej WhatsApp tadi.

Apa kata Mawar cuba minta maaf
pada Suhaila sdiri pula?

Mgkin dgn cara tu,
Suhaila akan lembut hati.

Sejujurnya, waima Mawar membenci Suhaila atas sebab pembulian yang dilakukan oleh Suhaila terhadapnya, dia faham dan dia mengerti kenapa Suhaila berbuat sedemikian.

Mawar faham pembulian yang dilakukan oleh Suhaila setakat ini masih tidak menandingi apa yang telah dia dan kawan-kawan lamanya lakukan terhadap arwah Suhaiza dulu.

Juga baru saat ini dia tersedar betapa benarnya saranan kak Diya kepadanya - dia belum pernah meminta maaf secara peribadi kepada Suhaila sendiri di atas kesalahannya terhadap adik kembar Suhaila dulu.

“Aku kena minta maaf pada dia esok. Mungkin dah terlambat … Tapi, itu lebih baik daripada aku menyesal seumur hidup,” bisik Mawar penuh tekad.

***

Pukul 3:00 pagi.

Pada detik yang diisi kesunyian ini, Haizi hanya bertemankan lampu bilik tidurnya dan senaskhah Al-Quran di dalam genggaman. Tadi, dia baru selesai membaca surah kegemarannya - surah Ar-Rahman.

Solat sunat taubat dan solat sunat tahajjud telah selamat dia dirikan tadi. Ketenangan mengalir dengan lancar di dalam hatinya, seraya membuatkan seluruh tubuhnya terasa aman dan tenteram.

Dia berkira-kira hendak mendirikan solat sunat istikharah - meminta petunjuk serta bimbingan daripada Allah agar dia dapat membuat keputusan yang terbaik - sama ada melaporkan perihal Mawar kepada polis atau tidak. Atau adakah patut baginya mendakwa Mawar di bawah kes sivil di mahkamah? 

Jika dia mengikutkan rasa sedihnya dan kesumat yang nian terbit, sudah terang lagi bersuluh apa tindakan yang bakal dia ambil. Namun, adilkah buat anak muda itu jika dia mengambil tindakan sedemikian?

Kata-kata maaf yang Mawar ucapkan tempoh hari diulang tayang di dalam layar mindanya.

“Saya minta ampun, cikgu. Saya minta maaf. Saya betul-betul menyesal dengan perbuatan saya. Masa tu, saya cuma nak berkawan. Sebab tak nak keseorangan, saya ikut serta semua benda yang diorang buat. Termasuklah…”

Haizi lalu teringat pula akan kata-kata ibu saudara Mawar yang datang bersama Mawar pagi itu. Gadis remaja itu telah menjadi seorang anak yatim piatu kini. Dia sudah kehilangan kasih sayang sepasang ibu bapa.

Sampaikah hati Haizi untuk mengambil tindakan keras terhadap seorang anak yatim piatu?

“Tapi anak yatim tu dah bunuh anak aku!” Dia menekup mukanya sebagai wadah untuk dia meluahkan rasa tertekan. Haizi benar-benar keliru saat ini.

Simpati dan benci bercampur-baur.

Belas kasihan dan amarah saling bertempur.

Naskhah Al-Quran itu diletakkan kembali di atas rak di hadapannya. Imannya semakin mendesak agar dia mendirikan solat sunat istikharah. Dia lalu berdiri dan mula mengucap takbiratul-ihram.

Benar.

Dia punya hak untuk menuntut keadilan di atas kematian anaknya. Namun, dalam masa yang sama, dia sedar bahawa pilihan memaafkan itu pastinya akan lebih membawa ketenangan di dalam hidupnya buat jangka masa panjang.

Tatkala dia akhirnya sampai ke sujud terakhir, sepenuh hati dia mengucapkan doa yang berasal daripada ayat 32 di dalam surah Al-Baqarah itu.

Setelah mengucapkan salam kedua, Haizi kini menutur doa istikharah dengan penuh penghayatan. Hatinya hiba setiap kali memikirkan perihal ini - keadilan buat anaknya atau belas kasihan buat si bekas pembuli?

“Ya Allah, aku memohon agar memilih mana yang baik menurut Engkau, ya Allah. Aku juga memohon diberikan kepastian dengan ketentuanMu dan aku memohon dengan kemurahanMu Tuhan yang Maha Agung. Sesungguhnya Engkau Tuhan yang Berkuasa, sedangkan aku tidak tahu. Engkau Tuhan yang amat mengetahui segala sesuatu yang masih tersembunyi.”

Air matanya mula mengalir deras.

“Ya Allah! Jika menurut pendapat-Mu urusan ini memberi kebaikan bagiku untuk agamaku, kehidupanku, dan pekerjaanku, maka takdirkanlah ia bagiku dan berkatilah ia padaku." Doanya terhenti sebentar. Sebak di dada semakin tidak tertahan.

“Jika menurut pengetahuan-Mu bahawa urusan ini memberi keburukan bagiku untuk agamaku, kehidupanku dan pekerjaanku, maka aku mohon agar Engkau jauhkan ia daripadaku dan kurniakanlah bagiku hanya kebaikan di mana sahaja aku berada Jadikanlah aku orang yang reda atas anugerah-Mu.”

Terima kasih sudi baca cerita ni!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience