30

Romance Completed 51694

"(Lazimnya) perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat; dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. Mereka (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh orang-orang (yang jahat); mereka (yang baik) itu akan beroleh pengampunan (dari Allah) dan pengurniaan yang mulia"

(An-Nuur 24:26)

"Antara ayat al-Quran yang selalu disalah fahami. Ayat ini diturunkan sebagai pembelaan terhadap isteri Nabi Muhammad S.A.W, Aisyah yang difitnah curang kepada Nabi Muhammad S.A.W. Bukan tentang takdir bahawa jodoh orang baik mesti dengan yang baik.

Sebaliknya ayat ini termasuk saranan dan kelaziman orang yang baik tertarik untuk bersama dengan orang baik sama ada ketika berkawan atau berkahwin. Ayat ini bukan janji Allah bahawa orang yang baik pasti akan dapat jodoh yang baik, tidak semestinya.

Ustaz Habib Ali Zainal Abidin mengatakan bahawa ayat tersebut adalah salah satu syariat yang Allah turunkan sebagai panduan bahawa orang yang baik akan memilih mereka yang baik sebagai pasangannya dan mereka yang tidak baik akan lebih cenderung memilih pasangan yang tidak baik.

Kalau secara bahasa yang mudah iaitu pasangan yang sekufu.

Ayat Al-Quran ini bukan merupakan janji Allah yang mengatakan mereka yang baik pasti akan mendapat pasangan yang baik. Ayat ini hanyalah panduan untuk kita berusaha mencari pasangan yang baik untuk kita.

Jika terjadi sebaliknya, maka itu bukan kerana silapnya ayat Allah melainkan satu ujian untuk kita.

Allah ingin menguji sejauh mana keimanan kita sebagai hambaNya bila mana ketika diuji dengan manusia yang tidak sekufu dengan kita. Diuji dengan manusia yang mungkin jauh daripada Allah.

Ujian untuk kita sama ada kita berjaya untuk membawa dia kepada Allah, ataupun kita yang terpengaruh dengan dia meninggalkan Allah.

Apabila sebut pasangan yang baik, saya teringat seorang kawan baik saya ada pernah berkongsi satu kata-kata yang sangat baik dan diharap dapat membuka minda kita semua tentang hakikat sebenar pasangan yang baik.

Kita semua inginkan pasangan yang baik, betul?

Tetapi bagaimana dengan mereka yang diuji dengan pasangan yang tidak baik?

'Aku cuba menjadi manusia yang baik tetapi kenapa aku dapat pasangan yang tidak baik?'

Jadi apa yang kita rasa, mesti lah tidak puas hati, betul? Kecewa juga, mungkin?

Bila jadi begini, kita kena lihat balik definisi 'baik' itu menurut siapa?

Menurut Allah atau menurut kita?

Jika menurut kita memang kita tidak akan puas hati bila mana dapat yang sebaliknya. Oleh itu penilaian 'baik' itu bukan menurut kita tetapi 'baik' itu adalah menurut penilaian Allah.

Hakikatnya hanya Allah yang tahu hakikat 'baik' untuk setiap hambaNya. Kita hanya tahu apa yang kita nampak.

Tetapi Allah Maha Tahu setiap hambaNya luar dan dalam. Masa lalu dan masa hadapan semua dalam pengetahuan Allah.

Definisi 'baik' atau 'tidak baik' seseorang manusia itu adalah rahsia Allah dalam menentukan soal jodoh. Kita tidak tahu apa-apa melainkan apa yang Allah ajarkan kepada kita.

Selain itu? Ia adalah rahsia Allah.

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah Mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.”

Kalau kita gunakan contoh Asiah. Asiah mendapat Firaun sebagai pasangan hidupnya. Adakah Firaun adalah pasangan yang baik bagi Asiah?

Jika menurut kita, Asiah adalah wanita yang baik mana sesuai dengan Firaun yang derhaka kepada Allah dan mengaku sebagai Tuhan. Jahat Firaun itu.

Tapi menurut Allah, Firaun adalah pasangan yang terbaik untuk Asiah di dunia. Kenapa?

Kerana dengan sebab itu, Allah menjadikan Asiah wanita mulia dan dijamin masuk syurga. Firaun adalah ujian untuk Asiah dan Asiah berjaya melalui ujiannya itu dan diberi ganjaran Syurga.

Jodoh itu adalah rahsia Allah dan ianya tidak dijangka.

Oleh itu, pasangan yang baik itu bukan atas penilaian kita tetapi penilaian Allah. Pasangan yang baik itu adalah apabila kita bersamanya, diri kita menjadi lebih baik di sisi Allah.

Iman meningkat.
Ibadah terjaga.
Aurat dipelihara.
Dasar pasangan yang baik iaitu iman dan taqwa.

Justeru, walau siapa sahaja yang menjadi pasangan kita, itu bukan masalah sekiranya kita yakin bahawa Allah memberikan dia kerana dia yang 'terbaik' untuk kita.

Mungkin untuk kita ubah dia.
Mungkin untuk dia ubah kita.
Mungkin untuk kita sama-sama berubah.

Berusahalah untuk menjadi pasangan yang baik untuk pasangan masing-masing dan Allah akan limpahkan rahmat dan berkatnya dunia dan akhirat. InshaAllah"

Panjang lebar kuliah malam ini mengenai jodoh. Julia hanya menekur kepala memandang karpet masjid. Habis kuliah pendek seusai tamat Solat Isyak secara berjemaah, para jemaah sudah mula bangun untuk keluar meninggalkan masjid.

Begitulah keadaannya, adakala jika dia terasa mahu keluar, dia ke masjid untuk berjemaah. Dari keluar tak tentu hala meronda, elok dia tumpang menadah ilmu dirumah Allah.

"Berapa bulan dah ni?" Tanya seorang mak cik yang duduk disebelah Julia. Dia masih belum berdiri.

"31 minggu mak cik" Jawab Julia. Perutnya diusap perlahan.

"Insya Allah, anak solehah ni" Tutur mak cik itu lagi. Mata Julia bercahaya mendengar sebaris ayat yang keluar dari mulut mak cik itu.

"Yeke mak cik? Alhamdulillah ya Allah. Banyak kali scan. Tetap tak nampak mak cik" Ucap Julia. Mak cik itu hanya tersenyum.

Enjoy reading and stay safe!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience