Rina ditemani oleh sahabat-sahabatnya pulang ke kampung halaman gadis itu. Mereka menggunakan dua buah kereta untuk menghantar Rina. Satu kereta Syahiran dan satu kereta Aqilah. Syahiran memandu keretanya bersendirian dan sebagai penunjuk jalan kepada kereta Aqilah yang berada di belakang keretanya. Kedua kereta itu membelah malam yang pekat dan gelap gelita. Syahiran sudah memberitahu kedua orang tuanya bahawa dia mahu pulang ke kampung ke rumah neneknya sementara Aqilah memberitahu orang tuanya dia mahu menghantar Rina pulang ke kampung dengan alasan salah satu ahli keluarga Rina jatuh sakit dan gadis itu tiada pengangkutan untuk pulang ke kampung. Jun pula memberitahu abangnya bahawa dia menemani Aqilah menghantar Rina pulang ke kampung.
Dua jam mereka di dalam perjalanan tanpa berhenti di perhentian kerana mahu segera tiba. Rina yang kepenatan sempat melelapkan matanya tetapi hanya sementara kerana apabila dia terjaga, dia akan menangis lagi semahunya. Mereka akhirnya sampai di hadapan rumah kampung yang serba serbi kekurangan itu. Rumah yang separuh konkrit dan separuh papan itu agak jauh daripada rumah penduduk kampung yang lain.
Perlahan-lahan Rina turun daripada kereta Aqilah. Tubuhnya dipapah oleh Aqilah dan Jun sementara Syahiran berjaga-jaga dibelakangnya takut-takut jika dia pengsan ketika itu. Rumah Rina terang berderang menandakan orang di dalam rumahnya masih belum tidur. Syahiran memberi salam dan memanggil ibu dan nenek Rina sebanyak tiga kali. Suaranya sengaja diperlahankan kerana dia tidak mahu ada sesiapa yang dengar kecuali mereka yang berada di situ. Tidak lama mereka menunggu untuk pintu dibuka apabila terpampang wajah Nek Jak tidak lama kemudian.
"Rina Altafunisa." Suara lembut Puan Mawar memanggil nama anaknya dengan penuh
kasih sayang di hadapan pintu rumah tepatnya dibelakang Nek Jah yang membuka pintu buat mereka.
Rina ingin berlari mendapatkan ibunya tetapi badannya terlalu lemah untuk berlari. Air matanya yang sudah kering mengalir lagi apabila melihat ibunya yang mengesot tidak sabar mahu memeluknya. Puan Mawar sudah lama lumpuh separuh badan selepas kemalangan jalan raya mengakibatkan wanita itu hilang separuh keupayaannya sementara Nek Jah yang sudah tua renta memerlukan tongkat untuk bergerak ke sana dan ke sini.
"Ibu, ampunkan Rina." Rina memeluk erat ibunya sebaik saja mereka berhadap-hadapan. Dicarinya kaki Puan Mawar sebelum mengucup kedua tapak kaki ibunya itu. Rina menangis di dalam pelukan ibunya yang mengelus lembut kepalanya. Tiada sepatah pun yang keluar daripada mulut Puan Mawar tetapi mata wanita itu jelas kelihatan sangat terpukul diatas apa yang menimpa anak tunggalnya itu.
"Dimana suami kamu, nak? Dia tidak ikut bersama kamu semua?" Nek Jah mencari kelibat lelaki asing kerana dia hanya melihat Syahiran di situ.
"Suami?" Ketiga-tiga sahabat Rina bertanya serentak. Mereka masih belum tahu bahawa Rina sudah berkahwin kerana ditangkap khalwat.
"Mak, sudahlah. Besok saja kita berbual lagi. Kasihan mereka meredah dingin malam pasti mereka sangat keletihan. Masuklah anak-anak. Hari sudah semakin lewat, subuh akan menjelang tidak lama lagi. Tidurlah disini, Syahiran kamu mahu balik ke rumah nenek dan datuk kamu atau kamu mahu menginap di sini saja?" Puan Mawar memotong perbualan Nek Jah kerana masa untuk bertanya tidak sesuai ketika itu.
"Sebaiknya biarlah Syah balik ke rumah nenek dan datuk kerana tidak manis jika orang kampung melihat Syah keluar daripada rumah makcik di awal pagi nanti. Syah minta diri dulu makcik, nek.” Syahiran mengucup tangan Nek Jah dan bersalaman dengan Puan Mawar sementara.
“Kau berdua jaga Rina baik-baik. Kalau ada apa-apa terus telefon aku." Syahiran sempat berpesan kepada Jun dan Aqilah sebelum masuk ke dalam perut keretanya dan memandu pergi daripada situ.
Rina tidak dapat melelapkan mata waktu itu dan dia juga tahu Puan Mawar sedang berjaga. Rina mengemaskan pelukannya kepada Puan Mawar kerana dia berasa selamat jika disamping ibunya. Dia dapat merasakan degupan jantung Puan Mawar yang laju mengepam darah ke seluruh tubuh wanita itu.
"Rina Altafunisa, kenapa masih tidak tidur?" Perlahan saja suara Puan Mawar tapi masih boleh didengar dengan jelas oleh Rina.
"Ibu, apa yang Rina harus lakukan? Rina sudah hancur. Tiada apa lagi yang tinggal pada Rina untuk dibanggakan. Rina kotor ibu." Rina menangis lagi di dalam pelukan Puan Mawar. Sudah ke berapa sekian kalinya air matanya itu mengalir. Dia penat dan merasakan matanya sudah membengkak tetapi hatinya masih sukar dipujuk untuk redha.
"Rina, anak kesayangan ibu. Kamu sudah membuktikan kesucianmu pada suami kamu dan itu sudah cukup menyangkal prasangka dihatinya. Rina, inilah lumrah dunia. Ujian untuk manusia agar sentiasa ingat Allah dikala kita mula melupakan-Nya." Puan Mawar mengemaskan pelukan anaknya pada dirinya.
"Apa dosa Rina, bu?" Rina mula mempertikaikan.
"Banyak nak, bahkan yang kita tidak sedari juga menumpuk. Jangan pernah salahkan takdir, serahkan semuanya kepada Allah. Belajar ikhlas dan sabar, Allah tidak tidur. Allah Maha Mendengar rintihan hamba-Nya. Berdoalah, minta hanya kepada-Nya. InsyaAllah hati kamu akan jauh lebih tenang." Tenang Puan Mawar menuturkan kata-kata walaupun ketika itu hatinya turut terasa disiat-siat. Anak gadis satu-satunya diperlakukan sekeji itu hati ibu mana yang tidak meronta marah. Tapi apalah dayanya yang separuh lumpuh itu. Hanya doa yang mampu dia lakukan agar Allah sentiasa melindungi anaknya.
Rina beristighfar. Benar kata ibunya, dibandingkan pahala yang dibuatnya lebih banyak dosa yang dilakukan pada setiap hari sengaja atau yang tidak disengajakan. Inilah takdir hidupnya yang harus diterima. Rina membayangkan kesakitan wanita Palestin dan Syiria yang menerima nasib yang teruk daripadanya. Ini baru sedikit berbanding mereka yang diperkosa setiap hari dan bergilir-gilir. Mengingat akan hal itu membuatkan Rina ngilu.
"Rina Altafunisa, ingatlah pesan ibu walau dimanapun kamu berada. Jatuh tersungkur kamu di jurang sekalipun jangan pernah lupakan Allah. Carilah jalan penyelesaian tetapi jangan memilih laluan syaitan yang menyesatkan. Ibu tak selamanya bersama kamu. Kelak ibu juga akan dipanggil menghadap Allah seperti abi. Ketika itu, belajarlah untuk ikhlas dan sabar. Allah mencintai orang-orang yang sabar." Puan Mawar mencium dahi anaknya sebelum melelapkan mata.
Rina mendengar lantunan perlahan zikrullah dari bibir Puan Mawar sehingga dia turut mengikut lantunan zikrullah itu dan tertidur. Tidur di dalam pelukan ibunya membuatkan dia terbayangkan zaman kanak-kanaknya ketika dia sering dimanja oleh Puan Mawar dan Nek Jah.
Azan subuh berkumandang sayup-sayup kedengaran di dalam rumah Rina. Rina orang pertama yang terjaga daripada tidurnya. Puan Mawar yang sedang tidur pulas dibiarkan saja dahulu untuk terus dibuai mimpi kerana pasti ibunya itu keletihan sehari semalam memikirkan masalah dirinya. Rina melepaskan nafas beratnya yang kedengaran lelah. Dia mahu belajar sabar dan ikhlas seperti apa yang diajarkan oleh Puan Mawar semalam. Kata-kata ibunya disematkan di dalam kepalanya.
Rina keluar daripada bilik untuk membangunkan Jun dan Aqilah yang tidur di ruang tamu bersama Nek Jah. Mereka solat berjemaah diimamkan oleh Jun. Jika selalunya Rina yang mengimamkan solat ketika di asrama mereka, kali ini Rina memaksa Jun mengimamkan solat mereka kerana berasa tidak layak untuk mengimamkan makmum selepas apa yang terjadi kepada dirinya semalam.
"Rina, maaf aku tahu ini bukan masa yang sesuai untuk bertanya tapi aku tak boleh sembunyikan lagi rasa ingin tahu ini. Apa sebenarnya yang terjadi? Bila kau berkahwin dan mengapa kami tidak tahu?" Aqilah memberanikan diri bertanya kepada Rina yang bertafakur di atas sejadah selepas selesai solat.
Rina memberhentikan zikirnya dan memadang tiga wajah yang ingin tahu benar apa yang terjadi kepada dirinya. Rina menghela nafas yang dalam dan mula bercerita dari awal sehingga ke akhir apa yang berlaku kepada dirinya.
"Sekarang kau tahu kenapa aku tidak boleh melaporkan perkara ini kepada polis? Adakah polis mahu menerima laporan aku ni?" Rina memandang wajah Jun dan Aqilah silih berganti.
"Tapi ini juga dikira kekerasan rumah tangga, Rina. Apa yang berlaku semalam adalah satu tragedi." Jun mengepal penumbuknya menjadi semakin marah kerana merasakan lelaki itu terselemat daripada tindakan undang-undang.
"Musibah itu biarlah hanya kau berdua saja yang tahu tidak perlu diperpanjangkan sehingga melibatkan banyak pihak. Malu besar keluarga aku nanti. Kami ini miskin, orang miskin juga akhirnya yang akan dipandang hina. Mereka akan mengatakan aku yang bersalah dan cuba menggoda anak orang kaya itu untuk hidup senang sama seperti tuduhan lelaki itu pada aku." Rina memalingkan wajahnya daripada terus memandang Aqilah dan Jun kerana takut dia menitiskan air mata lagi. Dia mahu belajar sabar dan ikhlas.
"Pergilah bangunkan Mawar, subuh sudah semakin suntuk." Nek Jah baru teringat Puan Mawar yang masih tidur belum menunaikan solat fardu subuh.
Rina bangkit dari duduknya dan mendekati Puan Mawar yang tenang saja wajah tidurnya. Rina memanggil Puan Mawar lembut berkali-kali kerana panggilan pertamanya tidak disambut oleh Puan Mawar. Pelik! Puan Mawar bukanlah seorang yang tidur mati. Selalunya ibunya akan terjaga walaupun terdengar bunyi yang perlahan.
Rina mula memegang ibunya, sejuk. Rina panik, ada yang tidak kena dengan keadaan ibunya yang diam kaku seperti itu. Daripada memegang kini dia mula menggoncangkan tubuh ibunya itu.
"Ibu...ibu...ibu!!! Ya Allah, ibu!" Rina meraung sedar ibunya sudah keras tidak bernyawa. Air matanya menitis membasahi wajahnya yang disembamkan ditubuh kurus Puan Mawar. Apakah nasibnya ini. Sudahlah jatuh ditimpa tangga pula. Ya Allah, besar sungguh ujian yang diberikan buatku yang lemah ini.
Mendengar tangisan Rina, mereka yang berada diluar bilik masuk ke dalam. Mereka terkesima, Nek Jah yang hampir jatuh itu dipapah Aqilah dan Jun. Puan Mawar sudah meninggal dunia. Tapi bila saat pemergiannya sehingga Rina yang tidur disebelahnya tidak menyedari? Rina menarik selimut yang menutupi separuh badan Puan Mawar sehingga ke hujung kepala ibunya itu. Dirinya tersandar lesu tidak bermaya sambil memandang mayat Puan Mawar.
"Aqilah, Jun. Pergilah ke surau dan khabarkan kepada imam bahawa ibu aku sudah meninggal dunia." Rina memejamkan matanya rapat tidak sanggup menyebut permergian Puan Mawar.
Tidak menunggu lama Aqilah dan Jun yang masih bertelekung terus keluar daripada rumah ingin mencari surau di kampung itu untuk menyampaikan khabar duka. Jun sempat menelefon Syahiran agar datang ke rumah Rina untuk menemani sahabat mereka itu.
Setelah Jun dan Aqilah mengkhabarkan kematian Puan Mawar kepada imam di kampung itu penduduk kampung datang berpusu-pusu untuk menziarah keluarga si mati dan menyampaikan takziah serta doa. Rina sudah tidak bermaya untuk berkata-kata hanya Nek Jah saja yang mengucapkan terima kasih kepada yang menghulurkan bantuan. Rina melihat sekujur tubuh ditengah-tengah orang yang membacakan surah Yaasin. Segala memori indah bersama Puan Mawar muncul satu persatu di kepalanya. Air matanya sudah kering, tidak larat lagi mahu menitiskan air matanya itu.
"Matahari sudah semakin tinggi, marilah kita bawa ke surau untuk disolatkan jenazahnya dan mengebumikan Puan Mawar dengan segera. Tidak baik jika diperlambatkan, kasihan." Imam Madi meminta penduduk kampung untuk membantu pengurusan jenazah kerana itu menjadi tuntutan fardu kifayah setiap umat Islam yang berakal sihat dan akil baligh.
"Rina, ikhlaskan pemergian ibu kamu. Ibu kamu sudah bahagia berjumpa dengan Pecipta-nya. InsyaAllah, ibu kamu termasuk orang-orang yang beriman." Imam Madi sempat menasihati Rina yang seperti mayat hidup itu kerana hanya termenung kosong seperti dia tidak berada di dalam dunia nyata. Mengapa wajah gadis itu lebam membiru? Apakah yang terjadi kepada anak Puan Mawar itu? Pertanyaan muncul di dalam fikiran Imam Madi tetapi tidak diluahkan kerana Rina pasti tidak mahu berbual dengan sesiapa waktu ini.
Rina dipimpin oleh Aqilah sementara Nek Jah dipapah oleh Syahiran dan Jun untuk menuju ke surau kampung. Mereka melakukan semua yang disuruh oleh Imam Madi daripada awal sehingga akhir sampailah jenazah Puan Mawar dikuburkan.
"Marilah balik ke rumah nak, nampaknya hari akan hujan. Awan sudah mulai gelap." Nek Jah memaksa Rina bangun berlalu pergi daripada kubur yang masih merah itu. Dia tahu apa yang dialami sangat mendadak dan mengejutkan. Diusia muda diuji sedemikian rupa sesiapa juga pasti amat merasai tekanannya.
"Rina, sudahlah tu. Kau tak kasihankan nenek kau ke? Jomlah, balik. Jangan berperangai seperti ini." Syahiran mula sebal dengan sikap acuh tak acuh Rina itu melayani Nek Jah disampingnya yang sudah teresak-esak menangis.
"Rina, ibu kau pasti sedih melihat keadaan kau seperti ini. Allah tidak suka orang yang berlebih-lebihan dalam kesedihan. Kau bersikap seperti ini sama dengan kau tak redha dengan ketentuan Allah." Aqilah mencuba nasib memujuk Rina. Manalah tahu jika sahabatnya itu mahu mendengar kata-katanya.
"Aku tahu kau kuat. Allah tidak akan menguji hamba-Nya lebih daripada kesanggupan hamba tersebut. Allah pilih kau untuk kau dekat pada-Nya." Jun menambah kata-kata untuk memujuk Rina.
"Biarkanlah aku disini sebentar. Aku masih mahu disini menemani ibu. Bawalah nenek balik dahulu, aku akan balik kemudian. Jangan risau tentang aku, Allah sentiasa ada untuk melindungiku." Rina bersuara jua akhirnya tanpa berpaling sedikitpun kepada mereka. Matanya masih menatap batu nisan Puan Mawar.
Mereka mengalah, tiada gunanya lagi untuk memujuk dan memaksa jika Rina berkeras tetap mahu berada di situ. Syahiran menyerahkan payung kepada Rina dan mengajak yang lainnya untuk berlalu pergi. Mereka berlalu satu persatu apabila hujan rintik-rintik semakin deras membasahi bumi Allah. Mereka melihat Rina dikejauhan yang membiarkan dirinya dibasahi hujan yang semakin lebat. Payung yang diberikan Syahiran tidak digunakan oleh Rina seakan memang sengaja membiarkan dirinya dibasahi.
'Rina Altafunisa, ikhlas dan sabar.' Rina menganggukkan kepalanya seperti burung belatuk dengan linangan air mata yang cuba ditahannya apabila seakan dapat mendengar suara lembut Puan Mawar. Batu nisan Puan Mawar diusap lembut dan sedaya upaya Rina mengukirkan senyumannya.
‘Allah Maha Pengasih, Allah Maha Penyayang. Ampuni dosa-dosa ibu hamba yang telah mewarat hamba sendirian tanpa seorang ayah. Balaslah kebaikankan kepada hamba dengan syurga-Mu, ya Allah. Janganlah Kau menghukumnya diatas salah silap hamba. Hamba bermohon belas ihsan-Mu. Kasihan ibu hamba yang sering hamba bebani dengan masalah hidup hamba. Allah, hamba mohon pada-Mu.’ Rina berdoa di dalam hatinya.
Share this novel