BAB 9

Crime Completed 5579

“Jangan gerak. Satu nafas, kau mati,” ugutku dengan separuh yakin. Si botak itu menuruti arahanku. Apabila keadaan menjadi terkawal, Bang Joe memberikan arahan untuk merampas semua dadah yang dibawa oleh Ular Putih. Mereka mula bertindak pantas.

Namun begitu, ada sesuatu yang aneh menurutku. Si botak tiba-tiba sahaja ketawa persis Joker dalam cerita Batman. Hatiku mula tidak senang.

“Senyap, bedebah!” Aku menekan pistol pada kepalanya, biar dia ingat posisinya sekarang. Aku tidak tahu apa yang begitu lucu pada fikirannya.

“Sekarang!!” si botak menjerit kuat. Sekarang? Apa yang sekarang? Dahiku berkerut seribu. Ketika itu, bunyi tembakan dilepaskan.

Aku menoleh ke belakang dan melihat seorang ahli kumpulanku tumbang mencium tanah. Mataku membulat tidak percaya.

Aku segera duduk, berlindung di sebalik kereta yang dipandu si botak sambil terus mengacukan pistol kepadanya. Si botak masih terus ketawa.

“Kau fikir Ular Putih terlalu bodoh untuk dipermainkan? Puhhh!” si botak meludah ke tanah. Aku cuma melihat belakang badannya, tetapi aku tahu dia pasti sedang tersenyum.

Satu lagi das tembakan dilepaskan dan bunyi jeritan kedengaran. Sudah dua orang kami yang tewas. Bang Joe juga ku lihat begitu gelisah.

Rupa-rupanya, ahli kumpulan Ular Putih yang lain sudah dapat menghidu rancangan Bang Joe sejak awal lagi dan mereka bersembunyi terlebih dahulu sebelum bertindak.

Aku perlu mengambil langkah berjaga-jaga. Aku menyepak kaki si botak, mengharap dia akan jatuh dan mudah untuk ku tewaskan. Padahal, dia langsung tidak terjejas dengan sepakanku itu.

Aku menelan liur. Dia mengeluarkan pistol dari poketnya yang sengaja tidak dikeluarkan awal-awal. Kali ini, pistol itu diacukan tepat pada wajahku. Adakah ini akan menjadi pengakhiran bagiku? Ya Allah, Ya Rabbi... tolonglah aku. Bantulah aku.

‘Poooommmmm!’ Kedengaran bunyi tembakan yang dilepaskan. Ku fikir aku yang ditembak, namun tubuh badanku langsung tidak terjejas. Si botak pula yang hampir terjatuh menghempapku.

Mujur aku masih kuat untuk menolaknya ke tepi. Ku lihat Bang Joe yang berada di belakang si botak. Bang Joe jugalah yang membunuhnya. Membunuhnya untuk menyelamatkanku.

Di tengah kekalutan malam, kedengaran bunyi yang cukup mengganggu semua pihak yang sedang bergaduh di situ. Siren polis. Bang Joe mengamuk bukan kepalang.

“Ah, dasar pembelot! Pembelot dalam kalangan kita! Aku tak akan lepaskan si pembelot!”

Oh tidak. Allahu. Baru terlepas kandang buaya, masuk ke kandang harimau pula. Kini, pasti aku yang menjadi sasaran Bang Joe.

Aku melihat Bang Joe bersedia untuk melepaskan tembakan sebelum anggota polis muncul. Nafasku menjadi deras. Mataku ku pejam erat.

Tak terbayang bagaimana peluru akan menembusi badanku nanti. Satu lagi tembakan dilepaskan.

Aku perlahan-lahan membuka mata. Tubuhku tidak apa-apa. Begitu juga dengan tubuh Bang Joe. Aku memandang sekeliling. Bang Joe membunuh anak buahnya yang lain.

Nampaknya dia sangat mempercayaiku, padahal... padahal akulah sebenarnya yang menghubungi pihak polis untuk ke lokasi sebelum kejadian. Aku yang membocorkan segala-galanya.

“Pergi! Pergi cepat!” Bang Joe menghalauku pergi. Dia menyerahkan sesuatu padaku. Kertas kecil yang sedikit keras.

“Kau masih punya masa depan, jangan jadi bodoh macam aku!”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience