Masing-masing berbisik-bisik di antara satu sama lain. Ada yang mengetuk-ngetuk meja kerana tidak dapat menahan jenaka itu. Tidak kurang juga yang memerlinya tanpa rasa bersalah.
Yanto tunduk. Matanya dipatrikan ke lantai. Segenggam penumbuk sudah dibulat-bulatkan. Hanya menanti untuk dilepaskan sahaja.
“Shhh! Diam semua. Tak baik kamu persendakan cita-cita kawan kamu ni. Apa salahnya kalau Yanto mahu jadi tukang kayu? Meja yang kamu tengah ketuk itu pun diperbuat daripada kayu. Jadi apa masalahnya?”
Perlahan-lahan genggaman dilepaskan. Hati Yanto berputik suka. Masih ada yang mahu memihak kepadanya. Masih ada yang mahu mempertahankannya.
“Boleh saya tanya kamu, Yanto ? Maaflah kalau soalan cikgu ni, akan buatkan kamu terasa hati. Sekadar ingin tahu. Bolehkah?” Yanto mengangguk.
‘Tanyalah apa sahaja asalkan soalan itu keluar dari bibirmu, cikgu.’ Bisik hati kecil Yanto.
“Kenapa kamu pilih untuk menjadi si tukang kayu?” Soalan itu berpusar-pusar di sekitar bilik darjah Yanto. Kali ini, deraian ketawa kembali menggila.
Yanto yang berada di hadapan kelas, masih keras membatu. Ada kumat-kamit pada dua bibir yang bercantum itu namun belum sempat bersuara, bangkit seorang murid memberi asbabnya.
“Dia mahu buat keranda, cikgu! Ayahnya kan tukang gali kubur! Kalau tak ada keranda, macam mana nak tanam mayat?”
Buk! Satu tumbukan menerjah ke pipi Aniff, murid yang tiba-tiba saja bangkit dan kini jatuh terduduk di lantai. Yanto puas! Tumbukannya tidak tersasar langsung.
Gelak ketawa yang bergegak-gempita sebentar tadi menjadi hingar-bingar dengan jeritan dan pekikan rakan sedarjah yang lain. Yanto berlalu pergi. Wajah kelatnya sudah berona ceria. Sekali dia terlepas, jangan minta kakinya mengeras. Yanto nekad!
Share this novel