Satu hal lagi terjadi bila saya keseorangan di pejabat itu. Biasanya isteri ada menemani apabila saya bekerja hingga lewat malam. Tapi disebabkan saya rasa anak-anak perlu berjumpa ibu mereka lebih lama kerana sudah beberapa malam juga kami berdua pulang lewat malam, jadi malam itu saya ambil keputusan untuk hantar saja isteri pulang ke rumah.
Sementara saya menyiapkan segala kerja yang tertangguh. Sedang asyik saya meneliti dan membetulkan ayat kertas cadangan yang sedang diusahakan untuk projek yang seterusnya, saya rasa tak sedap hati tiba-tiba.
Bulu roma juga semakin berdiri tegak tak semena-mena. Tapi disebabkan saya fikir itu hanya perasaan saja, maka saya duduk lagi di meja kerja meneruskan kerja. Entah macam mana, saya rasa mahu memandang penjuru bilik kerja ini. Lepas tu saya perasan ada sesuatu kat penjuru bilik ni. Apabila saya toleh saya nampak kelibat seperti seorang wanita berambut panjang sedang berdiri tegak membelakangi saya.
Saya tersentak dan terus mengalihkan pandangan cepat-cepat. Betul ke apa yang saya lihat ni?
Apabila saya tengok balik ke arah penjuru bilik tu tak nampak apa-apa pula. Saya fikir tu mungkin perasaan saya je ataupun saya berhalusinasi sebab penat berfikir.
Saya pun teruskan kerja, masa ni saya duduk atas bucu meja sambil membelek kertas yang saya kejakan tadi. Tiba-tiba perasaan seram yang satu macam datang lagi.
Saya nampak ada bayang-bayang di hadapan saya dalam jarak dekat. Lebih kurang 2 hingga 3 meter je dari saya. Bila saya dongak, rasa nak luruh jantung sekejap!
Benda apa yang ada depan saya pun tak tau la nak kata apa. Sosok macam perempuan tapi tak nampak muka. Terapung-apung memandang saya. Saya pun buat-buat berani, bangun perlahan-lahan tinggalkan benda tu dan turun ke tingkat bawah.
Share this novel