“BAIKLAH kelas, hari ni kamu semua akan terima seorang lagi murid baru, dia baru pindah dari Selangor. Saya harap kamu semua akan berkawan dengan dia. Ketua kelas , sila tunjukkan Sofia tempat duduk dia,” jelas Cikgu Akim kepada murid di dalam kelas 2 Mekar sambil matanya memerhatikan setiap wajah anak murid yang ada di hadapannya.
Dania berdiri lantas memperkenalkan diri kepada Sofia. “Nama aku Dania, panggil Dan je. Meh sini aku tunjukkan tempat duduk kau.” Sofia menganggukkan kepala lantas mengikut Dania ke meja belakang, ketika sedang berjalan menuju ke mejanya, Sofia terpandang wajah seorang murid lelaki yang kelihatan agak muram didalam kelas itu, Sofia senyum kepadanya. Namun, senyumannya tidak dibalas.
Sombongnya, rengus hati Sofia setelah dia duduk di tempatnya. Sofia memandang sepi suasana kelas baharunya. Walaupun sebenarnya agak riuh tapi hati Sofia sepi kerana dia masih rindukan sekolah lamanya. Lamunan Sofia terhenti apabila seorang cikgu bertudung merah biru masuk ke dalam kelasnya. Sofia memulakan hari persekolahannya seperti biasa.
Loceng berbunyi menandakan waktu rehat, Sofia hanya melihat rakan-rakan kelasnya yang lain meninggalkan kelas. Sofia ditinggalkan berseorangan di dalam kelas. “Haih, apalah nasib, murid sini semuanya sombong. Bukannya nak ambil tahu aku ni budak baru. Nak ke tandasnya mana? Nak ke kantinnya mana? Aduhai,” rungut Sofia sambil memasukkan buku latihannya ke dalam beg yang diletak di belakangnya. Apabila Sofia berpusing mahu menghadap semula ke papan putih dia terkejut kerana murid lelaki yang muram tadi berdiri betul-betul di hadapannya.
“Ya Allah, terkejut aku! Cuba bagi salam dulu, ni tercegat kat situ pehal,” kata Sofia dengan garang dia berasa sangat terkejut. Sofia memerhati pakaian murid itu, pakaiannya agak lusuh. Di bawah lencana pelajar itu tertulis nama ADAM.
“Maafkan saya. Cuma nak bagitau masa rehat tak dibenarkan duduk dalam kelas,” jelas murid lelaki bernama Adam sambil merenung tajam merenung mata Sofia. Sofia mengangguk lalu berdiri, berjalan meninggalkan kelas. “Eh, Adam lepas ni subjek apa…” Kata-kata Sofia terhenti apabila dia dapati Adam yang tadinya berdiri di tempat duduknya kini sudah tiada. Tiada sesiapa berada di dalam kelas itu.
Sofia berjalan perlahan menuruni anak tangga, dia meliarkan matanya untuk mencari Dania. Dia terpandang susuk tubuh gadis berbadan kecil itu di koperasi sekolah yang terletak berhadapan tangga kelasnya. “Dan! Dania!” jerit Sofia sambil berlari anak menuju ke arah Dania.
“Eh, Sofia. Ingatkan tak nak turun tadi,” kata Dania sambil meletakkan tangan di atas bahu Sofia. Sofia tersenyum sambil membetulkan tudungnya yang tidak senget. “Hehehe… bosan duduk atas. Lagipun aku haus, nak beli air di mana ya?” soal Sofia sambil melihat ke arah koperasi yang masih penuh dengan murid lain. Dania menghulurkan tangan meminta duit daripada Sofia. “Kau nak air apa? Sini aku beli, kau nak beratur memang sampai habis waktu sekolah tak dapat beli,” gurau Dania sambil mencari mangsa untuk dia pesan membeli minuman.
“Aku nak ice lemon tea,” pesan Sofia . Dania segera menuju kepada seorang murid berbadan gempal, Dania menghulurkan duit sambil bercakap kepada murid tersebut. “Sekarang ni kita duduk kita sembang apa patut,” gelak Dania agak kurang sopan membuatkan 4 orang pelajar lelaki segera melihat kearah Dania sambil menggelengkan kepala.
Sedang seronok Dania dan Sofia berbual, mata Sofia tertarik kepada Adam yang sedang berdiri di hujung kantin sambil memandangnya. Sofia mengerutkan dahi dan mencebik bibir kepada Adam. Nak usyar aku agaknya dia ni, monolog Sofia pada diri sendiri, lantas Sofia tersenyum sendiri kerana perasan. “Kau dah kenapa senyum sorang? Nak ngorat siapa hah?” Ayat Dania membuatkan senyuman Sofia mati dan seterusnya Sofia segera mencubit lengan Dania.
“Nah Dan air kau, lain kali beli sendiri.” Gadis berbadan gempal itu menghulurkan 2 kotak air ice lemon tea dan terus berlalu pergi. Dania segera mengambilnya lalu memberi satu kotak lagi kepada Sofia. Sofia membuka straw air dengan berhati-hati dan menyedut air minumannya dengan cermat. Loceng tamat rehat pun berbunyi selepas Sofia dan Dania tiba dikelas.
SOFIA berjalan malas menuju ke kelasnya, dia menjeling pada jam tangannya. Jam baru menunjukkan pukul 06.20 pagi, tapi dia sudah berada di dalam kawasan sekolahnya. Ini kerana tempat kerja ibunya terletak jauh dari sekolah, jadi dia terpaksa pergi awal ke sekolah. Harap-haraplah dah ada yang sampai, doa Sofia dalam hati. Namun segalanya hampa apabila dia dapati kelasnya masih gelap, begitu juga dengan kelas-kelas yang lain.
Sofia memberanikan diri melangkah masuk ke kelasnya, suasana yang sunyi sepi membuatkan bulu roma Sofia sedikit meremang. Sofia segera menekan suis lampu dan kipas kelasnya, kelas 2 Mekar terang daripada kegelapan subuh. Sofia berpaling badan hendak menuju ke tempat duduknya, dia terkejut apabila melihat Adam sedang duduk di tempat duduknya sambil memandang Sofia.
“Adam! Balik-balik buat aku terkejut! Ya Allah! Nasib baik aku ni tak ada sakit jantung tau.” Marah Sofia sambil mengurut dadanya, jantungnya berdegup laju seakan-akan baru lepas menghabiskan larian 100 meter.
“Awal awak datang?” soal Adam tanpa mengendahkan marah Sofia. Sofia segera meletakkan beg dan berjalan menuju meja Adam, Sofia duduk di hadapan Adam. “Yang kau ni datang lebih awal dari aku pehal? Dah tu duduk dalam gelap, tak takut ke?” soal Sofia.
“Kau yang patut takut, ni tempat aku.” Jawapan Adam membuatkan Sofia sedikit tersentak. “Ya, aku tahu aku bukan budak sini, tak payahlah nak bagi warning macam tu. Dahlah baik aku turun.” Sofia segera turun ke kantin meninggalkan kelas dan Adam. Sofia duduk di kerusi kantin sehingga Dania datang menghampirinya.
“Weh Sofia, kau eh orang yang buka suis kelas tadi?” Sofia hanya mengangguk perlahan. “Dah tu pehal kau tak off balik, membazir ah.” Ayat Dania membuatkan Sofia sedikit bengang.
“Dok, tadi Adam ada dalam kelas tu. Aku tahulah dia suka duduk dalam gelap takkanlah nak biar dia sorang-sorang duduk dalam gelap-gelita macam tu.” Selepas Dania mendengar jawapan Sofia Dania bergegas meninggalkan Sofia. Sofia agak pelik dengan kelakuan Dania, namun dibiarkan saja.
KINI, genaplah seminggu Sofia berpindah ke sekolah baharunya. Namun, Sofia masih tiada rakan. Dania yang pada mulanya rapat dengannya pergi meninggalkannya seakan-akan ada benda yang Dania takutkan terhadap Sofia. Yang Sofia ada cuma Adam. Ya hanya Adam yang ada bersama Sofia. Walaupun selepas tamat waktu persekolahan Adam akan tetap menunggu Sofia sehingga ibu Sofia mengambilnya. Sofia sangat berterima kasih kepada Adam. Sekurangnya dia tidak bersendirian.
Sofia akan balik bersama ibunya, Puan Maisara setiap petang. Kehidupan mereka yang hanya berdua membuatkan mereka menjadi begitu rapat. “Sofia memang dengan Adam ke setiap hari?” soal Puan Maisara kepada anak tunggalnya itu. Puan Maisara sangat menyayangi Sofia kerana itu sajalah peneman hidup yang dia ada. Suaminya telah meninggalkan mereka berdua dan berkahwin dengan perempuan lain.
“Ya, ibu. Adam jelah yang sanggup nak kawan dengan Sofia. Yang lain hampeh!” balas Sofia sambil merenung ke luar jendela. Meratah semua pemandangan hijau di luar kereta CRV milik ibunya. Puan Maisara hanya menggelengkan kepala.
“Tak baik cakap macam tu, mana tahu Sofia ke yang tak nak tegur mereka. Yalah Sofia kan budak baru, Sofialah yang kena ramah mulut sikit,” balas Puan Maisara sambil mengusap kepala anaknya. Sofia hanya mencebik dan kemudiannya menceritakan tentang Adam kepada Puan Maisara.
“Nanti bawalah Adam berjumpa dengan ibu, teringin ibu nak berkenalan dengan kawan Sofia tu.” Sofia hanya mengangguk ceria.
“ADAM, ibu aku nak jumpa dengan kau, saja nak kenal-kenal.” Mata Sofia merenung wajah lembut Adam. Mata Adam yang sayu membuatkan Sofia senang menatap wajah Adam.
“Mana mungkin manusia lain boleh melihat aku,” jawab Adam perlahan membuatkan Sofia bertanya kembali . “Cakap apa tadi? Ulang balik, tak dengar.” Namun Adam hanya tersenyum sinis.
“Kau cakap dengan siapa Sofia?” tegur Aidil, rakan sekelas Sofia yang berkulit hitam manis. Sofia segera menoleh ke tempat Adam, namun Adam tiada di situ.
SOFIA berlari pantas, pandangannya gelap yang dia pasti dia berada di kawasan sekolah. Namun dia pelik mengapa kawasan sekolahnya seakan-akan seperti telah lama ditinggalkan. Sofia meneruskan lariannya sehingga dia terjumpa sebuah tempat yang tidak asing baginya. Ya, itu ialah kelasnya. Kelasnya buruk, semua meja dan kerusi tidak teratur. Sofia memandang setiap sudut kelasnya, dia mula merasa bulu romanya meremang ketika dia terbau satu bauan.
Bauan yang busuk itu meloyakan tekak Sofia sehinggakan Sofia termuntah. Sofia mula menangis ketakutan. Sofia cuba mencari jalan keluar, namun apa yang dia lihat keliling kawasan sekolah itu hanya hutan.
“Sofia…” Sofia mencari suara yang memanggil namanya, dia yakin bahawa suara itu milik Adam. Sofia menjerit nama Adam dan meminta tolong. Sofia berlari keluar kelas dan menjerit ketakutan yang dia fikir dalam fikirannya hanya Adam.
Ketika Sofia berlari, kaki Sofia seperti tersadung sesuatu sehingga menyebabkan dia tertiarap di lantai. Sofia mengangkat kepalanya, Sofia terkejut kerana dia dapati dia berada di dalam kelasnya semula. Sofia mengesot cuba keluar dari kelas, namun dia terhenti kerana dia terasa seperti ada seseorang di belakangnya. Sofia segera menoleh ke belakang.
“Sofia… maafkan... Maafkan aku.” Adam merenung Sofia, Sofia menjerit ketakutan kerana lelaki yang berdiri di hadapannya seorang murid sekolah lengkap beruniform, namun wajahnya hancur seperti ditoreh, darah mengalir pantas terpancut dari luka-luka dalam pada wajahnya, pakaiannya berlumuran darah. Dan di bawah lencana murid tersebut tertulis ADAM.
“PEGANG tangan dan kaki dia! Pelajar lelaki azan sekarang! Jangan kasi dia terlepas,” jerit seorang ustazah kepada beberapa orang murid. Sofia yang meronta-ronta dipegang kuat oleh rakan-rakan kelasnya yang lain. Tidak lama kemudian Sofia pengsan dengan sendirinya. Seluruh kelas menjadi riuh dan risaukan keadaan Sofia.
“Ini semua angkara Adam ustazah.” Ustazah Hamidah memandang muka Dania dan kemudiannya menggelengkan kepala. “Ya saya tahu, Adam lepaskan Sofia sebab dia sayangkan Sofia,” jawab Ustazah Hamidah lembut sambil mengusap kepala Sofia. Dia membacakan ayat Kursi dan menghembuskan ke wajah Sofia. Sofia membuka mata dan kepalanya terasa sedikit pening.
“Adam tak wujud Sofia.” Ayat Dania membuatkan Sofia terpaku, dia lantas melihat tempat duduk Adam. Ya, tiada kerusi mahupun meja ada di situ. Sofia merasakan ada angin lembut menyapa wajahnya, mungkin angin tanda perpisahan.
Share this novel
time baca perenggan yg terakhir tu dh rasa sebak.. pastu berharap yg Adam tu sentiasa ada, menjaga dan menyayangi Sofia..
Widihh, bahasa malaysia yaa, good