Jakarta, Indonesia 2022
"TOLONG cepat sikit, pak cik! Tolong!" Berkali-kali suara rayuan berbaur tangisan itu terungkap keluar daripada bibir Marissa. Tubuh seorang anak kecil yang hanya terkaku lemah kian didakap erat di dalam pelukannya.
Marissa tidak mahu tahu apapun yang bakal berlaku, yang dia mahu hanyalah pergi meninggalkan sebuah tempat yang tidak ubah seperti neraka buat dirinya. Demi nyawanya sendiri, demi Tengku Laayin juga demi nyawa kecil yang sedang membesar di dalam kandungannya, dia tetap akan pergi.
"Mau ke bandara, ya bu?" soal pemandu teksi separuh umur itu sambil mengangguk berkali-kali.
"Ya, pak cik. Cepat sikit ya?" ujar Marissa lagi.
Akur pada arahan Marissa, pemandu teksi itu segera memecut laju meninggalkan kawasan perumahan yang paling mewah di ibu kota itu. Rasa penasaran dan bimbang terhadap keadaan Marissa membuatkan pemandu teksi itu tidak mampu berhenti untuk melirik ke arah belakang. Menurutnya, wanita itu kelihatan takut dan sangat terburu-buru.
"Ibu ini asalnya Malaysia, ya?" Lelaki tua itu sekadar menyoal saking mahu mengalihkan perhatian Marissa daripada rasa cemas. Daripada cara Marissa berbicara dia memang tahu, wanita itu bukanlah warga tempatan.
"Ya, pak cik." Marissa angguk sekali sebelum kembali menunduk membawah.
"Jadi ibu sama anaknya ke sini kerna lagi liburan?"
Kali ini Marissa pantas menggeleng. "Tak pak cik. Saya ke sini sebab ikut suami saya. Kami tinggal kat sini hampir empat tahun dah. Saya nak balik Malaysia. Pak cik tolong cepat sikit ya?" ujar Marissa lagi. Biar berasa kalut dan takut, pertanyaan orang tua di hadapannya itu tetap dijawab sebaik mungkin. Seluruh tubuhnya masih terasa parah menggigil, tetapi dia sedar, dia perlu kuat demi Tengku Laayin.
"Iya, bu. Waktu-waktu seperti ini emang sih... jalannya agak macet. Tapi ibu gak perlu khuatir, ibu sama anak ibu aman bersama saya."
"Terima kasih, pak cik. Saya... saya perlu keluar dari sini. Saya pergi balik ke Malaysia secepat mungkin demi keselamatan kami."
"Insya-Allah, dengan izin Allah semuanya baik-baik saja."
Share this novel
boo
adoi kan bayaran ke...kata free
hebatnya