Bagaikan Puteri!

Romance Completed 117449

BAB 13

SEPANJANG perjalanan pulang ke rumah aku langsung tidak boleh bernafas dengan teratur. Dadaku benar-benar sesak! Setelah aku turun dari bas, aku berjalan kaki memasuki kawasan perumahan Delta Melur. Aku mengatur langkah dengan perlahan-lahan, setiba di sebuah taman permainan yang berada tidak jauh dari rumahku, aku terus singgah di situ.

            Hari semakin senja.  Kanak-kanak sudah mula pulang ke rumah masing-masing. Aku duduk di sebuah buaian. Melihat langit yang semakin kemerahan. Burung-burung pun sibuk dan bersimpang-siur berterbangan untuk pulang ke sarang. Aku menunduk melihat tanah pula. Ketika itulah satu keluhan meniti di bibirku.

            “Saya rasa... saya dah mula sukakan awak, Cik Aya!”

            “Apa senior cakap ni?”

            “Saya cuba untuk lepaskan Aya, bila tahu Aya milik orang lain. Tetapi... saya sebenarnya telah menipu diri sendiri.”

            “Tapi... sejak bila?” Aku terasa bibirku turut bergetar apabila menyoalnya begitu.

            Ray menelan liur. Dia berundur setapak lalu memusiang badannya menghadap tingkap. “Sejak... sejak saya relakan diri jadi pelindung Aya.”

 Lama juga aku terpaku di situ apabila mendengar luahannya. Sekarang apa aku nak buat?!! Akhirnya aku bangun dari buaian setelah lama mengelamun. Dan meneruskan perjalanan untuk pulang ke rumah dengan fikiran yang sangat kusut! Senior Ray telah meluahkan perasaanya kepadaku. Aku rasa seperti bermimpi. Katanya-katanya terakhirnya masih terngiang-ngiang di mindaku.

            “Jika Harry menyakiti Aya... silalah datang kepada saya!”

**********

“WELCOME back to school!!!” jerit beberapa pelajar lelaki yang sungguh ceria sambil melangkah masuk ke kelas.

            Aku turut menceriakan wajahku apabila di sapa oleh rakan-rakan yang hampir dua minggu tidak nampak muka. Masing-masing sibuk menceritakan pengalaman musim cuti mereka. Tidak kurang juga ada yang datang kelas dengan berjalan capik. Sah-sah terlibat dalam kemalangan. Macam-macam kerenah mereka langsung tidak membuat aku berminat untuk turut bercerita. Aku lebih banyak diam dan termenung. Fikiranku sejak semalam menjadi kusut. Sudahlah masalah Harry menjadi tanda tanya, Senior Ray pula sudah meluahkan perasaan.

            Apa perasaan aku bila dapat tahu perasaan sebenar Ray? Ahh.... apa boleh aku buat? Aku benar-benar buntu! Bukankah... wajah Senior Ray kelihatan sangat ikhlas? Aku pasti menyesal kalau... kalau sia-siakan dia. Tapi, bagaimana dengan Harry? Bukankah tempoh aku menyamar sebagai kekasihnya cuma sebulan? Ya... dan sudah pastilah, akan berakhir minggu ini! Bagus, nampaknya aku sudah nampak jalan penyelesaiannya.

            Aku, Rita dan Bella berjalan beriringan sambil ketawa riang ketika menuju ke perhentian bas. Ketika dalam kelas tadi kami tidak banyak peluang untuk bercerita kerana cikgu-cikgu sentiasa masuk tepat pada waktu dan memberi kami banyak latihan unruk hadapi ujian akan datang. Tamat waktu sekolah, pelbagai cerita dapat kami kongsi tentang pengalaman musim cuti yang sudah berlalu itu. Namun, aku tidak membuka cerita tentang Harry yang turut bersama aku pulang ke kampung. Sudah pastilah kecoh mereka akan bertanya itu dan ini.

            Rita mengambil peluang masa cuti itu untuk mengikuti kelas masakan Jepun di sebuah hotel tempat ibunya bekerja. Katanya, sangat seronok malah guru yang mengajar mereka orang Jepun sendiri. Aku sangat teruja mendengarnya. Rita telah mengisi masa cutinya dengan perkara berfaedah. Jika nak dibandingkan dengan aku...

            Bella juga tidak melepaskan peluang untuk bercerita. Dia dan keluarga pergi bercuti ke Bali selama seminggu. Sempat juga mereka ke Medan. Bella turut berikan kepada kami souvenir yang sangat comel dan unik. Aku dapat merasakan musim cuti akulah paling membosankan.

            “Tuan Muda Harry dan kawan-kawan dia pergi bercuti kat mana, Aya? Mesti pergi Eropah kan... mesti sangat seronok!” Soal Bella yang berjalan di sebelah kananku. Dia kelihatan sangat gembira. Mungkin mood bercuti itu masih ada dalam dirinya.

            “Senior Harry ada latihan untuk tournament. Yang lain tu mereka pergi perkhemahan, macam summer camp lah. Budak-budak lelaki takkanlah nak ikut family sangat, kan?” Jawabku dengan selamba. Cuba untuk menyembunyikan cerita sebenar.

            “Betul tu... lagipun keluarga mereka kebanyakannya orang business. Mana ada masa nak bercuti macam tu. Paling kasihan, mereka yang ibu bapanya tak ada kat Malaysia. Anak orang kaya ni, nampak aje hidup dia orang macam perfect kan? Tetapi hakikatnya tidak...” ucap Rita pula. Penuh berisi.

            Aku mengangguk setuju. “Kadang-kadang... mereka juga ingin menikmati hidup seperti orang-orang kelas sederhana. Masa tu, kita dapat tengok senyuman mereka yang sangat manis dan ceria. Seolah-olah mereka baru menikmati hidup...” ujarku sambil terbayang Harry ketika berada di kampungku. Macam mana sukanya dia apabila makan sambil duduk bersila dan menjamah ulam-ulam kampung. Dia kelihatan tidak kekok untuk makan makanan seperti itu malah dia sangat berselera. Dia juga sangat sukakan gulai rebung mak cik, malah sanggup turun untuk mencari rebung di belakang rumah dan bertarung dengan nyamuk dan pacat.

            “Aya!” panggil Bella dan Rita dengan serentak.

            Terkejut aku dibuatnya sehingga hampir melatah. “Terkejutlah, kenapa jerit macam tu!” marahku.

            “Kau berangan sampai ke mana? Kami bercakap pun tak dengar.” Balas Bella pula.

            “Iyake?” aku tersengih-sengih. Sedar akan kesilapan sendiri.

            Ketika itulah sebuah kereta mewah berhenti betul-betul di depan kami yang baru keluar dari pagar sekolah untuk ke perhentian bas. Aku bergerak ke belakang setapak diikuti Rita dan Bella. Aku mula rasa takut. Adakah mereka ini penculik yang selalu dilihat dalam filem? Aku tiba-tiba terasa bulu roma tercacak. Kepalaku mula terbayang macam-macam.

            Dua orang lelaki berkot kemas keluar dari kereta dan berdiri di depan kami. Aku menelan liur. Sempat juga aku menoleh ke kiri dan kanan melihat keadaan. Mujurlah ramai orang. Akan tetapi tumpuan mereka semua sudah tentulah kepada kami!

            “Cik Marhaya?” soal lelaki itu.

            Rita dan Bella serentak memandangku.

            “Kau kenal ke dia orang ni? Macam mafia aje?” Bisik Rita perlahan di telingaku.

            “Er... ya saya...” jawabku aku teragak-agak.

            “Sila ikut kami.” Pelawanya sambil membuka pintu belakang kereta itu.

            “Kamu ni siapa?” soal Bella dengan lantang. “Jangan berani nak buat sesuatu!”

            Kedua lelaki itu hanya tersenyum. “Maaf kerana lupa memperkenalkan diri. Kami berdua pengawal peribadi Tuan Adam Taylor, kami datang untuk menjemput Cik Marhaya ke Vila Taylor hari ini.” Kata salah seorang dari mereka.

            Rita dan Bella sangatlah terkejut. Aku pula terkebil-kebil di situ.

            “Tapi...”

            “Aya? Apa semua ni?” desak Rita ingin tahu.

            “Silakan...” sekali lagi lelaki bertubuh sasa itu menjemput aku masuk ke dalam kereta itu.

            “Bella, Rita. Nanti aku roger. Aku perlu ikut mereka sekarang.” Pesanku kepada kedua sahabatku itu sebelum melangkah masuk ke dalam kereta dengan berat hati.

            Rita dan Bella masih lagi bingung dan berdiri kaku di situ sehinggalah kereta itu bergerak meninggalkan sekolah.

            Berada dalam kereta mewah itu membuatkan aku sedikit gelisah. Berdebar-debar juga hati apabila mengingatkan pertemuan dengan majikan ayahku itu. Adakah aku akan diterima dengan baik dalam rumah itu? fikiranku mula kacau. Bagaimana aku akan hidup di rumah besar Tuan Adam yang dipenuhi maid-maid ala istana itu?

Pernah aku berkunjung ke rumah besar itu tahun lepas untuk menghantar barang kepada ayah. Aku hanya menunggu di luar kawasan rumah, tanah lapang yang dipenuhi rumput karpet. Belakang rumah itu pula terdapat pantai peribadi yang luas. Ketika itu aku duduk di sebuah meja bulat tidak jauh dari fountain yang bertingkat berbentuk bulat terletak betul-betul di hadapan pintu utama. Dari pandangan aku rumah itu benar-benar seperti istana Inggeris lama yang unik.

            Kali ini, aku sekali lagi memasuki kawasan vila itu dengan menaiki kereta mewah milik Sir Adam. Tidak banyak yang berubah, halamannya sangat luas dan jarak antara pintu masuk untuk ke rumah agam itu punyalah jauh. Kalau berjalan kaki boleh semput jugalah. Sepanjang jalan itu terdapat pelbagai bunga-bunga yang menghiasi kiri dan kanan jalan. Padang rumput juga besar seperti padang golf. Menghijau dan sejuk mata memandang, di situlah ada beberapa meja bulat berwarna putih yang menghasilkan suasana ala Inggeris yang sangat mengagumkan.

            Kereta itu akhirnya berhenti, kemudian pintu kereta dibuka dari luar. Aku rasa sangatlah segan. Mengapa aku dilayan seperti cik muda pula, sedangkan aku ini adalah orang biasa sahaja. Tidak layak rasanya diberi layanan seperti itu. Namun aku melangkah keluar juga dengan memberi senyuman hormat kepada lelaki yang membuka pintu untuk aku itu.

            “Selamat datang ke Vila Taylor.”

            Aku disambut oleh seorang wanita yang berseragam kemas dan berusia 40-an. Dia membawa aku masuk ke dalam rumah besar itu. Sungguh aku tidak percaya! Ruang dalamannya lebih cantik dari aku bayangkan. Beberapa potret besar keluarga ini tergantung di dinding. Tetapi, semuanya gambar ketika muda, dan cucunya masih kecil. Aku tersenyum. Comel betul!

            Aku dibawa ke ruang tamu utama yang terletak sebelah kanan dari pintu utama. Teragak-agak untuk melabuhkan punggung di atas sofa mahal itu. Aku menelan liur kerana masih tidak percaya yang aku akan tinggal di sini! Bau haruman lavender memenuhi ruang dan rasa sangat segar dan tenang. Aku hampir-hampir terasa mengantuk.

            “Cik Aya sila tunggu sebentar. Sekejap lagi ada orang akan datang bawakan pakaian untuk ditukar. Selepas ini Cik Aya akan dibawa ke taman untuk menikmati hidangan teh bersama tuan besar, Sir Adam.” Beritahu wanita itu dengan sopan. Kemudian dia meminta diri dan aku hanya mampu mengangguk dan mengangguk. Suara aku seperti sudah hilang ditelan perasaan teruja campur berdebar. Nanti! Apa? Minum teh? Ohh... mesti ada adat-adatnya. Aku... aku mana tahu menahu!

Sudah aku terbayang etika orang Jepun ketika majlis minum teh. Bersimpuh dengan memakai kimono. Sususan jari yang betul ketika memegang cawan teh dan cara menuangnya juga penuh dengan kesenian! Ahhh! Apa yang kau merepek ni Aya! Sir Adam bukannya orang Jepunlah! Fuhh... bertenang Aya, bertenang. Aku akhirnya rasa sangat letih dan sandarkan badanku di sofa. Entah kenapa mataku semakin memberat dan aku terus terlelap.

**********

            “CIK Aya...”

            Aku terasa badanku di gerak-gerakkan. Apa ni? Kacau betullah! Aku memalingkan tubuh dalam keadaan mataku masih terpejam. Kenapa sedap sangat tidur kali ini sampai mataku tidak mampu dibuka. Mimpi pun indah-indah belaka. Aku berlari-lari di ladang lavender yang luas, kiri dan kanan berwarna ungu. Cukup tenang dengan harumannya yang mampu membuat aku terasa di awang-awangan. Aku tersenyum sambil ketawa kecil dan berpusing-pusing sambil menikmati keindahan ladang itu.

            “Cantiknya... haha...”

            “Er... Cik Aya...”

            Aku membuka mata dengan serta merta. “Aku kat mana ni? Bukan ladang lavender ke?”

            Wanita itu ketawa kecil sambil menutup mulutnya. “Kat sini tak ada ladang lavender, tapi kita ada Rose Garden.” 

            Aku baru tersedar yang aku sudah melalut dalam mimpi. Aku seraya bangun berdiri dengan terburu-buru sehingga kepala aku terasa berpusing. Pening!

            “Ma... maafkan saya.” Aku tersenyum menutup malu.

            “Saya Hanna. Saya pembantu di sini,” Wanita itu memperkenalkan diri. Dia masih muda dan aku kira dalam usia 20-an. 

            “Kak Hanna.” Aku tersenyum sambil menyebut namanya.

            “Cik Aya boleh panggil saya Hanna aje.”

            “Kalau macam Hanna pun panggil saya Aya aje.”    

            Kemudian kami berdua ketawa setuju. Dia mempelawa aku untuk menaiki tangga menuju bilik di atas. Aku mengikut Hanna yang sangat cantik itu, dia memakai baju seragam berskirt labuh berwarna kelabu dan putih. Sangat comel!

            Pintu bilik dikuak. Aku membuntuti Hanna melangkah masuk ke dalam bilik. Sekali lagi aku kagum, bilik itu bercat putih dengan langsirnya berwarna lilac. Sekali lagi haruman lavender menusuk hidungku. Aku melangkah keluar ke balkoni.

            “Wahh...” aku benar-benar tidak percaya apa yang aku lihat ini.

            Hanna menghampiri aku dengan senyuman yang tidak pernah lekang.

            “Kami pilih bilik ini untuk Aya, kerana kami yakin Aya pasti akan suka dengan pemandangan ini. Ada bilik yang menghadap pantai. Ada bilik yang menghadap ke padang rumput yang menghijau, dan bilik ini... “

            “Rose Garden...” aku menyambungnya dengan perlahan. Mataku masih tidak boleh beralih melihat taman bunga yang dipenuhi bunga ros pelbagai jenis dan warna. Sekali angin bertiup bau harumannya boleh aku hidu dari arah balkoni. Kelopak-kelopak ros itu berterbangan dan jatuh ke rumput yang hijau. Sungguh indah...

            “Baiklah... Cik Aya silakan masuk. Bersihkan diri dan sila pakai baju yang kami sudah sediakan.”

            Aku semakin tidak percaya. Rumah ini seperti syurga. Walaupun syurga itu indahnya tidak mungkin dapat digambarkan. Setelah kembali ke dalam bilik, aku mengambil tuala dari tangan Hanna. Wanita itu turut membuka pintu bilik mandi untuk aku. Dilayan seperti tuan puteri pula. Macam bermimpi aje!

            “Apa... apa ni?!” aku amat terkejut. Bilik air apa ni! Besar... malah lebih besar dari ruang tamu rumah aku. Siap ada jacuzzi yang... yang ditabur kelopak ros merah. Cahaya lilin aromaterapi juga memenuhi ruang dengan wangian semerbak. Seperti berada di spa! Aku boleh jadi gila macam ni! Tempat apa yang aku datang ni?

            “Please make yourself comfortable, Miss Aya.” Hanna mengundur diri dengan tertib. Dia menutup pintu slide itu dengan perlahan.

            “Macam mana nak mandi ni?” keluhku lemah. Tak biasa aku nak mandi berendam macam tu. Macam kerbau kat kampung nenek aku aje. Berkubang dalam sawah. Haish!

            “Argghhh! Siksanyaaa...”

**********

Share this novel

liyana
2021-02-10 11:34:41 

dah agak mesti ray suka aya


NovelPlus Premium

The best ads free experience