BAB 3

Mystery & Detective Series 5545

Papan penanda arah Hutan Berbisik mula kelihatan di sepanjang jalan. Panorama hijau yang indah memukau mata mula bertamu. Sungguh nyaman dan menenangkan. Berbeza dengan suasana bandar yang penuh dengan percemaran udara dan bunyi. Tidak mahu mensia-siakan keindahan yang tersaji di depan mata, Nisa mula mengeluarkan kamera miliknya lalu merakamkan detik-detik indah itu.

Van yang dipandu oleh Zafuan mula memasuki jalan yang sempit. Kira-kira hanya muat untuk sebuah kenderaan sahaja yang lalu. Kiri dan kanan sudah dikelilingi hutan tebal.

Tiba-tiba matanya tertancap pada susuk lelaki tua bertongkat yang memakai serba hitam sedang berdiri di pinggir jalan sambil memerhatikan mereka. Agak kencurigakan. Haiqal yang turut melihat lelaki itu mencuit bahunya. Namun dia sekadar menggelengkan kepalanya. Jangan tegur.

Nisa yang sedang asyik membidik gambar secara tak sengaja telah merakam gambar lelaki tua itu. Dek terkejut dia menjerit supaya van dihentikan segera.

"Berhenti!" Jerit Nisa secara tiba-tiba. Lantas pedal brek ditekan mengejut. Hampir tercabut jantung Linda yang sedang rancak berbual dengan Fira.

"Kau dah kenapa Nisa? Terjerit macam orang nampak hantu?" Ujar Fira berbaur geram. Jemarinya meraup ke belakang rambut yang telah menutupi separuh mukanya. Cermin kecil segera diambil lalu ditilik wajahnya itu.

Serentak dengan itu Linda mencubit lengan Fira kerana terlalu lancang bersuara.

"Kita ada dekat dalam hutan tau. Mulut tu tolong jaga sikit." Tegur Linda tegas.

"S-sorry aku tak sengaja. Aku rasa aku ada nampak seseorang dekat tepi selekoh sana." Ujar Nisa seraya berpaling melihat ke belakang. Jari telunjuknya di tuding tepat pada selekoh yang baru sahaja mereka lalu. Zafuan dan Haiqal saling berpandangan. Kening Fira bertaut.

Untuk lebih meyakinkan rakannya yang lain Nisa menunjukkan foto lelaki tua itu yang berjaya dirakamnya. Linda membuntangkan mata. Lelaki itu memandang tepat ke lensa kamera. Dia merasakan lelaki tua itu seolah-olah sedang memandangnya.

Pada awalnya mereka mahu meneruskan saja perjalanan tanpa menghiraukan lelaki itu namun Nisa berkeras. Dia merasakan lelaki tua itu sedang dalam kesusahan dan memerlukan bantuan.

"Korang tunggu dekat sini. Jangan pergi ke mana-mana tau. Biar aku dengan Zaff pergi tengok pakcik tu."

Bahu Zafuan dicuit halus. Dengan langkah yang agak perlahan mereka berdua mula mencari pakcik tua yang dilihatnya sebentar tadi. Malangnya langsung tiada kelibat manusia yang kelihatan.

Mereka berdua saling berpandangan. Jantung semakin rancak berdegup. Air liur ditelan kesat. Tiada kata yang mampu diungkapkan pada ketika itu. Zafuan kemudian memberi isyarat untuk kembali ke van.

Namun tiba-tiba bunyi daun kering dipijak sangat jelas di telinga. Langkah mereka mati serentak. Merasakan seperti yang seseorang yang sedang memerhati, perlahan-lahan mereka mula menoleh.

Haiqal terjerit kecil. Mulutnya ditekup laju. Hampir saja mulutnya itu mengeluarkan kata-kata kesat. Zafuan pula hampir saja jatuh terduduk dek hilang keseimbangan kerana ditolak oleh Haiqal tanpa sengaja. Mana tidaknya tiba-tiba sahaja lelaki tua yang mereka cari muncul di belakang. Dia mengusap dadanya berkali-kali.

"Pakcik buat apa dekat tengah-tengah hutan ni?"

Lelaki itu tidak menjawab. Matanya merenung tepat ke dalam mata Zafuan yang bertanyakan soalan kepadanya. Bulu romanya mulai merinding. Haiqal sekadar diam membisu.

Zafuan berdehem halus. Nafas dalam ditarik sebelum dihembuskan perlahan. Sekali lagi dia cuba bertanya kepada lelaki tua berkenaan.

"Pakcik ada perlukan bantuan ke? Atau nak kami tumpangkan?"

"Balik!" Balas lelaki tua itu dengan kasar. Suara garaunya kedengaran sangat menakutkan. Mereka berdua terkesiap. Muka mula berubah pucat.

"T-tak boleh pakcik. Kami datang dari jauh. Kalau nak balik makan masa 5-6 jam juga baru sampai. Lagipun kami ada aktiviti dekat sini." Jawab Zafuan sedikit gagap. Dia cuba beranikan diri bersuara meskipun agak takut. Haiqal di belakang sekadar mengangguk setuju.

"Bukan hari ini. Balik!"

Suaranya semakin keras sehingga didengari oleh tiga orang wanita yang sedang menunggu di dalam van. Mereka yang sedari tadi hanya melihat dari jauh menjadi semakin resah. Mereka saling berpegangan tangan dengan erat. Seorang pun tidak mampu untuk mengeluarkan sebutir bicara.

Haiqal yang berasa agak bengang dengan cara lelaki tua itu menegur mereka mula bersuara.

"Kalau pakcik tak nak tumpang bagitahu ajelah. Tak payah tengking kami macam tu. Kami ni bukannya budak kecil lagi. Tahulah kami nak balik nanti." Balas Haiqal sedikit kasar sebelum berlalu pergi dari situ.

Lelaki itu merenungnya yang semakin menjauh tanpa sebarang reaksi. Suasana jeda buat seketika. Zafuan menjadi serba-salah. Tidak tahu apa yang perlu dikatakan.

"Minta maaf banyak-banyak. Saya pergi dulu ya pakcik."

Ujar Zafuan lembut sebelum berundur.

"Dia sudah semakin dekat! Hutan tidak berhenti berbisik. Langit akan berubah menjadi gelap gelita dan bulan menjadi darah."

Zafuan berhenti melangkah disaat telinganya menangkap bait kata yang dituturkan lelaki tua itu. Serentak dengan itu juga angin kencang bertiup sepintas lalu seolah-olah berbisik sesuatu di telinganya. Namun apabila dia menoleh lelaki itu telah hilang dari pandangan.

Menganggap semua itu hanya khayalan dirinya sahaja dia segera kembali ke van sebelum meneruskan perjalanan mereka.

Kemahiran memandunya semakin diuji apabila memasuki jalan tanah merah yang berbukit dan tidak rata.

"Jauh lagi ke nak sampai?" Keluh Fira yang sudah mulai terasa lenguh badan kerana terlalu lama digoncang van.

"Eh melebih pula dia. Macamlah kau yang bawa van ni." Fira mencebik saat disindir halus oleh Linda. Nisa tersenyum.

Ketika itu juga Haiqal ternampak papan yang dipaku pada sebatang pohon tinggi yang menunjukkan arah menuju ke tapak perkhemahan lama yang mereka tuju.

"Dah dekat dah. Dalam 2KM lagi."

Keterujaan jelas terpancar diwajah gadis-gadis itu terutama Nisa. Maklumlah ini pengalaman pertama dia berkhemah di hutan.

Sekali lagi van dibrek dengan mengejut. Botol air dan kudapan lain yang berada di atas kabinet jatuh bergolek ke lantai.

Zafuan membuntangkan matanya memandang ke hadapan. Seorang wanita lengkap dengan beg galas berdiri menghadapnya sambil mendepakan kedua belah tangannya. Mata dikatup rapat. Berang dengan tindakan wanita itu Zafuan menekan hon sekuat hatinya.

Wanita itu meraba badannya berkali-kali sebelum meghela nafas lega. Syukur tiada sebarang kecederaan.

Pintu van dihempas kasar. Zafuan keluar lalu mendekati wanita itu.

"Kau dah gila ke? Tak sayang nyawa?"

Senyum manis yang terukir diwajah wanita itu terus pudar disaat lelaki yang datang menghampirinya membuka mulut.

"Rileks sudah. Tak payah nak melenting tak tentu pasal." Balas wanita itu bersahaja. Hati Zafuan makin mendidih.

"Rileks kau cakap? Kalau aku lambat sikit tekan brek tadi dah arwah kau dekat situ tau. Tak pasal-pasal aku dicop sebagai pembunuh pula."

"Kecoh betullah mamat ni. Kalau mati pun aku bukannya dia." Tutur wanita itu perlahan umpana menelan kata-katanya itu.

Zafuan yang sejenis telinga lintah dengar dengan jelas apa yang dituturkan oleh wanita itu. Cerlung dia memandang.

Empat orang yang masih berada di dalam van hanya melihat gelagat dua orang itu dari jauh.

"Perempuan mana pula tu?" Linda mengajukan pertanyaan kepada Haiqal.

"Manalah aku tahu."

"Apa sebenarnya yang berlaku tadi?"

"Tadi tiba-tiba je perempuan tu muncul dari celah-celah semak lepas tu berdiri dekat situ menghalang jalan. Nasib baik Zaff cepat tekan brek kalau tak..." Haiqal membuka cerita.

"Entah-entah dia nak samun kita tak. Bukan apa aku ada baca artikel pasal kes samun yang guna modus operandi yang macam ni." Fira cuba membuat andaian. Suaranya sedikit bergetar.

"Kau tak payah nak mengarutlah. Lagipun dia sorang je tu. Kita ni ada ramai." Bidas Linda menolak andaian tersebut.

"Yang you duduk tercegat dekat sini buat apa lagi, pergilah turun tengok kawan you tu." Nisa menolak lembut bahu Haiqal. Keluh pendek dihela. Tingkap van diturunkan sebelum kepala dijulurkan keluar.

"Zaff!" Laung Haiqal sambil tangannya melambai-lambai. Sepantas kilat lelaki itu menoleh.

"Kau nampak kan kawan aku dah mula bising. Jadi sekarang ni tolong ke tepi. Aku nak lalu." Arah Zafuan kepada wanita itu. Riak terkejutnya tidak dapat disorok. Tanpa mengendahkan arahan tersebut, dia laju berlari memintas Zafuan menuju ke van.

"Hai, sorry kalau saya dah buat korang semua terkejut. Nama saya Ayu." Sapa wanita itu mesra.

Sunyi tanpa jawapan. Haiqal terkebil-kebil melihatnya. Zafuan dengan kasar menarik lengan wanita itu lalu diheretnya ke tepi.

"Kau tak faham bahasa ke? Atau kau ada masalah pendengaran?" Marah Zafuan.

"Ish, apa ni. Lepaslah. Sakit tahu tak." Ayu merentap kasar.

"Ayu kan? Awak buat apa sorang-sorang dekat dalam hutan ni? Bahaya tau." Nisa yang terlalu prihatin mula bersuara. Linda mengeluh perlahan.

"Sebenarnya saya sesat. Saya terpisah dari kumpulan. Sekarang ni saya tengah tempat untuk bermalam. Kalau boleh saya nak minta tumpang pergi dekat depan sana."

"Ke mana?"

Ayu menuding jari telunjuknya pada papan tanda Tapak Perkhemahan Hutan Berbisik. Fira dan Linda saling berbalas pandang.

*****

SELAMAT DATANG KE HUTAN BERBISIK

Lebih kurang jam 4.40 petang mereka tiba di pintu masuk tapak perkhemahan tersebut. Satu permandangan yang sudah dijangka. Hampir tiada apa yang kelihatan di sana kecuali pondok-pondok usang dengan semak samun yang semakin meninggi.

Kaunter pendaftaran sudah separa roboh. Papan tanda juga telah diselaputi dengan pohon yang menjalar. Logiklah kerana sudah 10 tahun tempat ini tiada pengunjung. Sunyi sepi. Hanya kedengaran bunyi hidupan hutan sedang bernyanyi mengalunkan irama masing-masing.

"Kau biar betul Fira, dekat sini ke kita nak pasang khemah nanti?"

"Manalah aku tahu."

Linda mengeluarkan telefon pintar miliknya . Malang sekali kerana tiada rangkaian untuk membuat panggilan keluar. Dia ingin menghubungi salah seorang bekas pekerja tapak perkhemahan tersebut. Sebelum ke mari dia telah berurusan dengan pekerja tersebut dan telah berjanji untuk menjadi penunjuk arah. Linda mendengus. Kakinya mula merayau sekeliling sambil tangannya dihunus ke udara.

"Habis tu kita macam mana sekarang ni?"

"Sayang, I tak sedap hatilah. Jomlah kita patah balik." Nisa merangkul lengan teman lekakinya. Jantungnya mula berdetak laju.

"What? Berpatah balik? Langit ni bila-bila masa je akan gelap. Nak keluar dari sini bukan sekejap tau." Fira membantah.

Zafuan mengeluh perlahan. Inilah sebabnya kenapa dia malas untuk keluar dengan perempuan. Banyak cekadaknya.

"Korang tak nak cuba masuk ke dalam lagi?" Ayu yang baru kembali dari melihat sekeliling kawasan tiba-tiba bersuara. Semua mata tertumpu kepadanya.

"Dekat sana tu ada kesan tayar. Macam ada orang yang lalu lalang dekat sini. Masih baru lagi. Mungkin kalau kita..."

"Aku setuju. Hari dah semakin gelap. Kita kena cepat cari tempat yang sesuai untuk pasang khemah. Sebolehnya cari dekat dengan sumber air." Linda laju mencantas. Ayu menghela nafas panjang.

"Rasanya sungai atau air terjun dah tak jauh dari sini sebab aku ada dengar bunyi deruan air mengalir." Tambah Zafuan sambil matanya menjeling ke arah Ayu. Mata mereka bertaut.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience