28 - Kedatangan Aidil Hakimi

Romance Completed 45760

Baru kali ini, dia berkesempatan menziarahi kubur kedua orang tuanya setelah berpisah dengan bekas suaminya dahulu. Semasa masih bergelar seorang isteri, dia sering kali datang ke pusara arwah ibu dan ayahnya bagi meluahkan segala isi hati yang dipendam. Meskipun, ianya tidak mendapat sahutan, tapi serba sedikit hatinya terasa lega dan ringan. Dapat dia rasakan seolah-olah kedua orang tuanya sedang berada disamping dan mendengar isi hatinya.

Dia membersihkan dengan mencabut rumput-rumput yang tumbuh disekitar pusara itu. Pada masa yang sama, dia mula bercerita lagi tentang kehidupannya saat ini. Terkadang dia tertawa saat menceritakan hal-hal yang lucu. Adakalanya juga nadanya terdengar kecewa apabila mengimbas kenangan pahit. Dia mulai terbayang jika kedua orang tuanya masih hidup. Sudah pasti saat ini dia merupakan wanita yang paling bahagia.

Mungkin, perkahwinan itu tidak pernah terjadi dalam hidupnya. Penderitaan yang di alaminya sebelum ini juga tidak akan pernah wujud dalam dirinya. Bahkan. kehidupannya jauh lebih cerah berbanding saat ini. Namun itu hanya sebuah bayangan. Inilah jalan hidupnya. Semuanya sudah tertulis. Hanya perlu dihadapi dengan hati sabar.

Dia memandang pusara ibunya dengan mata kuyu. Insan yang paling bermakna dalam hidupnya. Ibunya menghidap penyakit kanser payudara dan telah meninggalkan mereka sewaktu dirinya berusia 13 tahun. Hanya Allah saja tahu perasaannya pada saat itu. Tidak dengan itu, dua tahun kemudian, ayahnya pula disahkan meninggal dunia di tempat kejadian setelah berlaku pelanggaran ketika ayahnya pulang dari kerja pada malam itu.

Dari situ bermula kehidupan yang agak sukar di mana dia harus tanggung bersendirian. Dia terpaksa membuang jauh sifat manjanya. Satu-satunya tempat untuk dia bermanja adalah Nurul Atiqah. Sampai saat ini, wanita itu tidak pernah jemu untuk melayan karenah dirinya. Bukan tidak mahu bermanja dengan ibu saudaranya, cuma wanita itu hanya endah tak endah saja. Betullah kata orang, kasih sayang seorang ibu tiada tandingannya.

“Ibu, ayah, sekali lagi Putri minta maaf sebab baru datang ke sini ziarah kubur ibu dan ayah. InsyaAllah, lepas ni Putri sering datang sini lagi...” ujarnya lembut sambil mengusap batu nisan tersebut.

Putri merupakan nama panggilan yang sering digunakan oleh kedua orang tuanya tika dahulu. Bagi mereka, Putri itu adalah nama istimewa. Nama yang diibaratkan seperti seorang wanita yang memegang takhta tertinggi. Itulah yang disampaikan kepadanya sebelum ini.

Hanis mengesat air mata yang mengalir laju membasahi pipi. Secara tiba-tiba dirinya dihambat rasa sebak saat ini. Semakin di cuba untuk menahan air mata, semakin tebal rasa sedih yang menghambat diri. Mana taknya, semua kenangan manis mula menyelimuti dan sudah jelas membuatkan dirinya menahan rindu yang berat. Rindu yang tidak dapat dipecahkan.

“Putri minta diri dulu. Semoga ibu dan ayah sentiasa tenang di sana. Ada masa nanti, Putri datang ya,” ujarnya begitu berat hati hendak meninggalkan kedua pusarah itu. Mahu atau tidak, digagahkan juga langkahnya menuju ke motosikal yang berada tidak jauh dari situ. Dengan berhati-hati, dia menunggang motosikal keluar dari kawasan tanah perkuburan.

Motosikal itu diparkirkan dengan teliti sebelum dia melangkah masuk ke dalam Cafe bagi menjalankan tanggungjawab sebagai seorang pekerja. Tiada majikan untuk sementara waktu, bukan bermakna boleh ponteng kerja sesuka hati. Kerja tetap kerja. Dia mulai menyapa Mariam yang sentiasa menjaga kaunter Cafe itu.

“Kerja tu janganlah serius sangat. Cubalah senyum sikit. Barulah manis...” usik Hanis.

“Baru je tadi aku lepas senyum. Kau aje datang salah timing. Ni, ada orang cari kau sebenarnya. Dia nak jumpa kau kejap, ada hal penting dia nak bagitahu,” kata Mariam. Dahi Hanis sedikit berkerut.

“Jumpa aku? Siapa?” tanya Hanis ingin tahu. Otaknya tidak dapat mentafsir gerangan orang tersebut. Mariam hanya membalas dengan menunjuk ke arah sebuah meja di mana seorang lelaki berbaju kemeja-T berwarna putih sedang duduk berseorangan. Hanis mengangguk lalu mendekati lelaki yang dimaksudkan oleh Mariam tadi.

“Maaf? Encik cari saya ke?” Hanis mula bersuara secara perlahan. Takutnya terkena serangan jantung pula lelaki itu. Senyuman yang dikuntumkan oleh Hanis, luntur secara tiba-tiba saat lelaki itu menoleh ke arahnya. Terasa darah dalam badan tiba-tiba menjadi panas.

“Hanis... sorry kalau ganggu masa kerja kau. Tapi. boleh bagi aku 10 minit? Ada hal aku nak cakap dengan kau sebenarnya,” ujar lelaki bernama Aidil Hakimi itu. Ya, itu bekas suaminya. Entah mimpi apa semalam tiba-tiba muncul di Cafe itu. Hanis sekadar menghela nafas.

“Boleh ke?” tanya Aidil buat kali kedua.

“Neldia tahu tak awak datang sini cari saya? Bukan apa, saya penat kena tuduhan kononnya saya ni nak rampas suami dia,” kata Hanis begitu tegas. Kejadian tempoh hari sangat terkesan di hati. Perbuatan melampau Neldia sukar untuk dimaafkan. Sakit dapat. malu pun dapat. Yelah, ramai yang tengok perdebatan mereka hari itu.

“Y-ya... dia tahu. Duduklah dulu. Aku nak bincang fasal dia la ni. 10 minutes only, tak lebih dari itu...” rayu Aidil sungguh-sungguh.

Hanis menarik kerusi sebelum melabuhkan punggung. “Nak bincang pasal apa? cepat sikit, sebab sekarang masa bekerja...”

“Neldia ada jumpa kau? Dia cakap apa?” tanya Aidil ingin tahu. Dia sangat yakin isterinya itu pasti akan menyerang Hanis secara diam-diam.

“Ada. Dia datang rumah saya, lepas tu mengamuk macam orang gila. Lebih teruk lagi, dia tuduh saya ni perosak rumah tangga dia dengan awak. Bukan tu saja, dia kata saya hasut fikiran awak pasal zuriat. Apa masalah isteri awak tu? Dia mental ke?” tenang saja dia mengeluarkan semua isi hatinya. Jika Neldia berani menuduh, maka dia harus berani menceritakan hal sebenar kepada suami wanita itu.

Aidil terdiam buat seketika. Wajah Hanis dipandang. Dia akui tahap kesabaran wanita itu. Walaupun mereka sudah berlaku jahat kepadany, tetapi sedikit pun wanita itu tidak pernah berdendam. Sifat Hanis yang mulia itu membuat dirinya malu dengan sifat sendiri. Aidil mengeluh.

“Aku minta maaf tentang tu. Sebenarnya kami lepas bertikam lidah. Tak sangka pula dia berjumpa dengan kau,” jelas Aidil.

“Dah tu? Memang semua masalah korang kena libatkan saya ke? Awak sebagai suami, kena pandai ajar isteri. Tengoklah apa dah jadi? Kalau saya ni jahat, dah lama Neldia tu tak ada dekat dunia ni,” tegas dan mendalam makna dari kata-katanya tadi.

“Janganlah macam tu...” cegah Aidil.

“Kan saya cakap, itu 'kalau saya jahat',” ditekan nadanya untuk ayat terakhir.

Aidil sekadar tersenyum. “Ibu ada cerita yang dia jumpa Jason baru-baru ni. Pasal hal ni pun, aku nak minta maaf dengan kau bagi pihak ibu. Tak patut ibu cakap macam tu...” Jelas Aidil lagi.

“Sangat tak patut. Saya tak fahamlah kenapa ibu benci dengan saya. Sikit pun saya tak tahu kesalahan saya ada di mana. Sampai hati ibu...” jelas kedengaran nadanya begitu kecewa.

“Aku betul-betul minta maaf bagi pihak ibu dan juga Neldia. Aku pun nak minta maaf sebab selama ni sudah bersikap kasar dengan kau. Aku janji akan betulkan keadaan ini semula. Aku nak sangat tengok keluarga kita bersatu...”

“Saya perlukan sedikit masa nak memaafkan ibu dan Neldia. Baguslah kalau awak ada niat nak betulkan keadaan ni. Saya penat nak fikir semua masalah ni. Hati saya ni sakit, mental saya pun kacau, tahu tak?” balas Hanis. Sedikit lega sebenarnya mendengar kata-kata Aidil yang ingin membetulkan keadaan itu. Lagipun, sampai bila hendak terus bermusuhan?

“Kalau dah tak ada apa-apa, saya minta diri dulu...” Ujar Hanis sebelum kembali menyambung pekerjaannya di Cafe itu.

Kini, tinggallah Aidil seorang diri di meja tersebut. Keluhan berat dilepaskan. Adakah dia boleh menepati janji yang dia kotakan kepada Hanis sebentar tadi? Bukan mudah baginya untuk memujuk puan Kartini dan Ria Neldia menerima Hanis. Tapi, bila difikirkan balik, apa salah mencuba? Tengoklah macam mana....

****

Happy reading <33

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience