BAB 4

Drama Series 29535

KERIUHAN di dalam rumah banglo itu langsung tidak menggangguku. Entah apalah yang mereka bincangkan sampai aku yang berada di luar ini boleh dengar keriuhannya. Mungkin berbincangkan majlis pernikahan yang akan berlangsung tidak lama lagi. Aku malas ingin mengambil tahu atau menyertai perbincangan itu, sebab aku memang tidak diperlukan pun.

Ikutkan hati nak saja aku duduk terperap di dalam bilik sambil menyiapkan tugasanku ini, tetapi aku kasihankan Mak Ton yang bertungkus-lumus menyediakan dan melayan tetamu yang hadir. Jadi, duduklah aku di meja batu yang berada di belakang dapur rumah ini. Senang sikit mata aku nak memerhatikan Mak Ton dari sini. Manalah tahu Mak Ton memerlukan bantuan, jadi dengan laju aku boleh membantunya nanti.

"Huh… penat…" rungut Mak Ton sambil menghenyakkan punggungnya pada kerusi di depan aku.

Dia mengipas-ngipas wajahnya dengan tuala kecil untuk melepaskan lelah. Aku memberhentikan kerjaku dan memandangnya kasihan.

"Kesian, Mak Ton. Saya nak tolong tapi tu lah…" Aku tidak menghabiskan ayatku. Hanya keluhan saja yang keluar dari mulutku.

Bukan aku tak nak tolong Mak Ton melayan tetamu yang hadir. Tapi, aku tak suka tayangkan wajahku pada tetamu yang hadir di rumah ini. Sudah pasti nanti ramai yang akan bertanyakan siapa diriku dan apa hubungan aku dengan keluarga ini, sebab wajahku memang seiras dengan wajah Tan Sri Zubari. Haih, kenapalah wajahku perlu seiras dia, bukan ibu?

Bukan itu sahaja, kemunculan aku nanti akan menyebabkan Tan Sri Zubari dan Puan Sri Aira panas hati. Mana tidak panas hati, mereka tidak ingin orang luar tahu kewujudan aku dalam rumah ini. Dan lagi, aku akan dipandang jijik kerana bercampur dengan orang-orang kenamaan itu. Yalah, aku mana layak untuk bercampur dengan mereka semua. Ibarat langit dan bumi sahaja.

"Tau lah… Mak Ton faham tu. Kamu dah tolong Mak Ton kat dapur ni pun dah bersyukur," tukas Mak Ton sambil mengelap peluh yang mengalir di pelipisnya.

Aku mengemamkan mulut dan memikirkan apa yang perlu aku buat untuk meringankan beban Mak Ton itu.

"Hah! Nanti kalau tetamu Tan Sri dah balik, Mak Ton baliklah terus. Tak payah kemas. Biar Warda yang kemas. Lagipun Mak Ton mesti penat memasak dan melayan dia orang tu semua."

Mak Ton memicingkan matanya memandang aku. Aku hanya bereaksi selamba sambil mengerlipkan mataku berkali-kali.

"Tak apa. Ni kan kerja Mak Ton. Mak Ton lagi kesian dekat kamu. Balik je tadi, terus tolong Mak Ton. Kamu mesti lagi penatkan. Tak apa… Kita kemas sama-sama nanti.” Mak Ton menolak pelawaanku.

Aku terus mencebikkan bibirku. "Mak Ton tak payah risaukan saya. Baik Mak Ton risaukan diri Mak Ton. Orang tua tak elok bekerja sampai lewat malam. Orang tua kena banyak berehat." Selamba saja aku mengutuknya bersama dengan sengihanku.

Terus dilemparkan tuala kecil yang digenggamnya ke arahku dan aku melekek geli hati.

"Habis tu, kamu muda tak boleh berehatlah. 24 jam kena bekerja je macam tu. Masa muda ni lah kena jaga badan. Tidur kena cukup. Kalau tak, nanti kamu tua, jadi nyanyuk baru padan muka." Mak Ton memulangkan semula perlian kepadaku. Aku hanya menyengih dan menggarukan kepala yang tiba-tiba gatal.

"Tak apalah, Mak Ton. Saya dah biasa dah. Lagipun mengemas ni pun tugas saya juga," desisku, perlahan.

Mak Ton menggelengkan kepala.

"Mak Ton, kesian tengok kamu ni, Warda. Dari kecil lagi kamu dah diuji lagi. Tapi Mak Ton kagum dengan kamu, sebab kamu kuat menghadapi nasib kamu ni," luah Mak Ton dengan hati yang ikhlas.

Aku hanya mengukirkan senyuman hambar. "Nak hidup, Mak Ton. Nak tak nak, saya kena tahan."

Mak Ton mengusap telapak tanganku dengan lembut untuk memberikan semangat kepada diriku. Aku memandang Mak Ton dengan penuh kasih dan mengambil tangan tua itu lalu kugenggamnya dengan erat. Menandakan aku okey.

“Ni kamu buat apa? Busy sangat Mak Ton tengoknya,” soalnya sambil menjengahkan kepala melihat skrin laptop yang aku beli secondhand itu.

“Buat kajian sikit untuk final projek saya nanti,” jawabku dengan mata sudah beralih pada skrin laptop.

Mak Ton memandangku hairan seperti ada soalan yang mengganggunya. Aku melihat dan bertanya, “Kenapa Mak Ton pandang saya macam tu? Ada yang pelik ke?”

“Mak Ton hairan dengan kamu ni. Kenapa kamu tak ikut jejak Tan Sri dengan Zuhaira? Kenapa kamu ambil bidang yang lari jauh dari mereka berdua?”

Aku menjulingkan mataku ke atas dan berfikir sejenak.

“Sebab… Kalau saya dapat kes, saya takkan menang. Saya tak boleh bela orang sebab diri sendiri pun tak terbela. Sebab tu saya tak nak ambil course law."

Terlopong Mak Ton mendengar jawapanku. Mungkin dia tidak menyangka, aku akan memberikan jawapan begitu. Tapi jawapan yang sebenarnya adalah aku tidak mahu langsung mengikuti jejak langkah mereka semua. Aku nak bina langkahku sendiri tanpa mengambil satu pun daripada mereka semua.

“Kamu ni jawab main-main kan. Cuba bagi jawapan yang betul," bentak Mak Ton, tak puas hati dengan jawapan yang aku berikan. Aku hanya menyengih saja, tanpa memberikan jawapan yang tepat. Cukuplah diriku saja yang tahu kenapa aku pilih bidang yang berlainan.

"Tapi, kenapa teater? Ada banyak lagi course yang ada macam… cikgu ke? Sekurang-kurangnya terjamin sikit masa depan kamu tu. Yalah, orang cakap kalau belajar cikgu keluar je terus dapat kerja.” Sambung Mak Ton lagi apabila aku tidak membalas kata-katanya tadi.

Aku menggeleng, tidak setuju dengan kata-kata Mak Ton itu.

“Bukan semua yang belajar pendidikan tu keluar je jadi cikgu. Kalau dulu mungkinlah. Tapi sekarang dah tak. Ada yang menunggu bertahun-tahun baru dapat posting mana-mana. Sekarang ni Mak Ton, tak ada benda yang mudah. Semua graduation keluar je tetap kena cari kerja sendiri.”

Mak Ton terangguk-angguk faham mendengar penjelasanku.

“Tapi, kenapa teater?” soalnya lagi masih tidak berpuas hati tidak dapat jawapan kenapa aku memilih teater.

Aku tersenyum tipis lalu kujawab, “Sebab melalui teater saya boleh luahkan apa yang saya rasa tanpa orang lain sedar. Melalui lakonan yang saya sembahkan tu la, saya curahkan segala apa yang saya pendamkan selama ini.”

Tersentak Mak Ton mendengar jawapan jujurku. Terus dia menepuk-nepuk telapak tanganku memberikan kekuatan. Mak Ton saksi kehidupanku, sudah pasti dia memahami perasaanku ini.

“Mak Ton doakan kamu berjaya, Warda. Apa pun bidang dan pekerjaan yang kamu pilih, Mak Ton akan selalu sokong kamu,” doanya dan itu membuatkan aku terharu.

Mungkin aku sudah tidak mempunyai doa seorang ibu, tapi aku dikurniakan seorang insan yang begitu murni hatinya. Aku selalu mendoakan kesejahteraan dan kesihatan Mak Ton dan juga Pak Samad.

“Bual apa dekat sini? Rancak betul saya dengarnya,” sergah suara garau buatkan aku dan Mak Ton terkejut. Aku kenal suara itu dan aku terus menundukkan kepala, tidak berkutik.

“Kamu, Hamka. Buat Mak Ton terkejut je…” Diurut-urut dada tuanya terkejut dengan sergahan yang tiba-tiba itu.

“Kenapa? Mak Ton, ingatkan hantu ke?” selorohnya bersama dengan kekehannya.

“Hish… Mulut kamu ni kan, tak ada insuran!” sembur Mak Ton, geram dengannya. Makin galak dia ketawa melihat Mak Ton memarahinya.

“Kenapa Warda duduk sini tak join kat dalam? Jomlah, join kami. Boleh kenal-kenal dengan keluarga abang,” ajaknya dengan sisa tawa membuatkan aku tersedak.

Kenapalah dia ni mesra sangat? Buat aku tak selesa. Aku tahu niatnya nak berbaik-baik denganku sebab tidak lama lagi dia akan menjadi abang iparku. Tetapi, aku segan! Aku sendiri tidak tahu kenapa bila aku dengan Athar Hamka pemalu aku muncul berganda-ganda. Haih…

“Hmmm… tak apa. Saya ada kerja sikit nak kena siapkan,” tolakku dengan lembut.

Mahu aku kena jeling nanti dengan Puan Sri Aira kalau aku menyertai mereka semua. Hish, Tak nak aku. Lebih baik aku duduk di sini. Lebih aman dan selamat. Boleh juga aku bantu Mak Ton daripada aku menayangkan wajahku di depan sana.

“Hmmm… Tak bestlah macam ni. Kita semua dekat dalam happy-happy, tapi Warda pula dekat sini sorang-sorang,” ujarnya seraya melabuhkan punggung di kerusi kosong tanpa di suruh.

Aku langsung tidak memandang wajahnya walaupun aku tahu dia sedang merenung diriku. Malu bukan kepalang aku dibuatnya bila Athar Hamka cuba bermesra denganku.

“Warda buat apa ni? Boleh abang tengok?” pintanya sudah menolak sedikit skrin laptop untuk ditatapnya.

Aku ingin menghalangnya, namun tanganku tidak cukup pantas untuk melakukannya. Terus jari-jemari aku saling bertaut dan menekur ke bawah. Terdengar gumamannya dan aku mencuri pandang wajahnya. Terlihat kepalanya terangguk-angguk sambil ibu jari kirinya diusap-usap pada dagunya.

“Warda ambil teater ke?” soalnya.

Aku mengangguk dengan perlahan.

“Wow, tak sangka! So… sekarang dah tahun berapa?” Interviewnya lagi.

“Tahun akhir…” jawabku, perlahan.

“Oooo, really? So, sekarang busy dengan final projek lah?”

Aku mengangguk lagi.

“Kena buat persembahan teater, right? So, dah tau nak buat cerita apa?”

Aku menggeleng pula.

“Kalau Warda tak tahu atau tak ada idea nak buat cerita apa, abang boleh tolong,” tawarnya.

Ah! Sudah! Bukan aku tidak suka, cuma aku tidak selesa. Aku menggigit bibir bawahku. Tidak menjawab tawarannya. Aku terus diam membisu.

Athar Hamka, seorang pengarah yang terkenal dan mempunyai syarikat terbitannya sendiri. Dialah pujaan hati Zuhaira. Bagaimana dia orang berkenalan? Tak pernah aku ambil tahu. Aku memandang Mak Ton yang berada dihadapanku. Aku cuba memberikan isyarat kepada Mak Ton melalui mata dan memek mukaku. Tapi sepertinya Mak Ton tidak dapat menangkap isyaratku itu.

“Ha ah lah! Kamu kan pengarah. Jadi bidang kamu berdua samalah. Bolehlah nanti kamu tolong Warda ni. Warda ni pun tengah mencari tempat pratikal. Bolehlah dia praktikal dekat tempat kamu?” Tanpa disuruh, Mak Ton terus mencadangkan agar aku membuat latihan industri di syarikat Athar Hamka.

Terus terbeliak mataku memandang Mak Ton dan aku menggeleng-gelengkan kepala kepada Mak Ton. Mak Ton pula memberikan jelingan kepadaku bersama bibirnya dicebikkan. Aku terus mengeluh. Bukan aku tak nak tapi… nak bercakap dengan dia sekarang ni pun susah untuk aku. Macam mana nak bekerja dengan dia nanti?!

“Bidang kami berbeza sebenarnya. Tapi hampir sama,” tukasnya sambil mengukirkan senyuman.

“Apa yang tak sama? Kamu pengarah filem, Warda pula teater. Sama-sama kena berlakon. Apa yang tak samanya?” soal Mak Ton dengan keningnya bercantum.

“Filem atau drama dilakonkan di depan kamera, tapi teater perlu disembahkan secara langsung pada penonton. Kalau dari segi lakonan, teater lagi hebat sebab mereka perlu menghafal skrip dan juga bahasa tubuh mereka dari awal hingga akhir. Berbeza pula dengan lakonan di sebalik kamera. Kita tak perlu hafal satu naskhah tu dalam satu masa yang sama. Jika ada kesilapan kita boleh betulkan dan edit, tak macam teater. Kalau ada kesilapan di atas pentas, para pelakon perlu mengcover kesilapan itu pada waktu tu juga. Sebab tu tak semua orang boleh melakonkan teater, dan saya kagum dengan orang yang berada dalam bidang ni sebenarnya,” jelasnya, panjang lebar.

Mak Ton terangguk-angguk faham apa yang dijelaskan oleh Athar Hamka.

“Jadi, tak bolehlah kalau Warda nak pratikal kat tempat kamu?” soal Mak Ton dengan lirih.

Aku berdecit kepada Mak Ton dan menggelengkan sedikit kepalaku. Tapi Mak Ton mengabaikan sahaja amaranku ini.

Athar Hamka tersenyum lalu mengangguk. “Boleh je. Tak ada masalah pun sebab daripada cabang yang sama juga.”

Athar Hamka memandangku dan aku terpempan apabila mata kami bertemu. Dia mengukirkan senyuman kepadaku dan aku pantas melarikan pandanganku.

“Nanti datanglah ofis abang. Kita bincang pasal hal ni.” Sambungnya lagi, lembut.

Aku hanya mampu mengangguk laju dan terus menundukkan kepalaku ke bawah.

“Hamka!” teriak Puan Sri Aira membuatkan diriku tersentak.

Terus berderau darahku mendengar suara itu. Takut aku dimarahinya kerana berbual dengan bakal menantunya ini.

“Kamu kat sini rupanya. Buat apa dekat sini? Jom masuk. Tu dia orang tengah pilih pelamin untuk kamu tu.” Cukup lembut sekali tutur Puan Sri Aira di depan bakal menantunya. Kalau tidak, sudah meneking-neking suaranya.

“Baiklah, aunty. Hamka masuk sekarang,” jawabnya dengan tubuh dipalingkan ke belakangnya, memandang Puan Sri Aira.

Dia terus bangun dari duduknya dan memandang ke arahku semula. “Abang masuk dulu, Warda. Mak Ton, saya masuk dulu,” pamitnya, terus berlalu masuk ke dalam rumah banglo itu.

Sempat aku melirikkan mataku ke arah kelibatnya, tetapi selepas itu, mataku terus terpaku pada wajah menyeringai Puan Sri Aira. Dijegilkan matanya ke arahku memberikan amaran jangan mendekati bakal menantunya itu. Aku hany mampu menelan liur. Masuk sahaja Puan Sri Aira ke dalam aku terus mencebik. Macamlah aku nak pikat bakal anak menantunya itu. Takut sangat aku rampas hak anaknya macam yang ibu pernah buat dulu. Aku tidaklah seteruk itu kalau ingin membalas dendam sekali pun. Tapi, sebab aku bermaruah dan selalu ingat pesan arwah ibu jadi aku abaikan sahaja dendam aku. Tiada guna aku membalas dendam untuk apa yang sudah mereka lakukan. Hanya kepuasan hati sahaja aku dapat. Sangat tak berbaloi bagiku. Biarlah mereka menerima kifarah dengan sendirinya.

AKU melihat kepekatan malam yang sangat mendamaikan. Angin malam ini terasa sangat nyaman dan aku sukakannya. Mungkin sebab semua penghuni rumah banglo ini sudah diulit mimpi menyebabkan aku menyukai suasana ini. Tiada suara pekikan memanggil namaku. Tiada herdikan yang menyakitkan halwa telingaku. Aku sukakannya dan berharap suasana ini akan terus kekal dalam diriku ini. Tetapi aku tahu, semua itu tidak mungkin terjadi. Oleh itu, aku menikmati suasana ini sebaik yang mungkin.

“Warda buat apa tu sorang-sorang dekat luar ni?” sapa Zuhaira yang tiba-tiba muncul.

Terkejut aku dengan kedatangannya pada waktu begini.

“Kak Zu tak tidur lagi ke?” soalku, berbasa-basi.

“Nak tidur dah, tapi tekak ni dahaga pula. Tu yang turun ke dapur nak minum air. Turun je bawah, akak tengok kamu tengah duduk termenung dekat luar ni. Kenapa? Kamu ada masalah ke? Mama pukul kamu lagi ke?” soalnya, dengan penuh prihatin.

Aku menggeleng. “Ambil angin je dekat luar ni. Angin malam ni rasa best sangat. Tu yang duduk-duduk sini.”

“Oooo… kakak ingatkan kamu ada masalah. Kalau kamu ada masalah jangan malu cerita dengan kakak, ya.” Dia mengusap-usap belakang badanku dengan penuh kemesraan. Aku terharu dan memandangnya sayu.

“Kenapa?”

“Kenapa kakak baik dengan saya? Kakak tak macam Tan Sri dan Puan Sri,” soalku. Sudah lama soalan itu berlegar-legar dalam kepalaku, namun baru hari ini aku dapat meluahkannya.

“Hmmm…”

Dia seperti memikirkan sesuatu. Aku dengan sabar menunggu jawapannya.

“Sebab apa yang berlaku bukan salah Warda. Warda adalah mangsa keadaan dan tak patut dihukum sebegitu rupa. Lagi, kakak memang dah lama sangat nak ada adik. Bila Allah perkenankan doa kakak, kakak happy sangat. Terutama, bila kakak dapat adik yang sangat cantik dan berbakat macam Warda.”

Aku tersenyum mendengar jawapannya. Allah! Sungguh murni hatimu, Zuhaira. Sebab itu kau dikurniakan seorang lelaki yang baik dan lembut seperti Athar Hamka. Cemburunya aku rasa!

“Kak Zu pun cantik. Dah cantik, seorang peguam muda yang berbakat pula tu. Sebab tu abang Hamka sayang sangat dekat kakak. Warda doakan kakak dan juga abang Hamka akan berbahagia hingga hujung nyawa,” pujiku bersama titipan doa sekali.

“Amin, dik. Kakak pun doakan yang Warda pun akan berjaya dalam dunia seni dan kebahagian yang selama ni Warda cari,” doanya, membuatkan aku tersenyum lebar.

“Oh, ya! Kakak ada sesuatu untuk kamu. Sekejap, ya. Kamu tunggu sini sekejap,” ujarnya, lalu dia terus berlari anak masuk ke dalam dan menghilangkan diri.

Aku tercengang di situ sekejap. Setelah itu, aku terus membuang pandanganku ke langit malam yang dipenuhi bintang itu. Cantik sekali ciptaan Illahi ini. Aku berharap aku akan jadi seperti bintang, yang selalu mengindahkan langit yang gelap itu.

Aku melihat Zuhaira terkocoh-kocoh ke arahku sambil membawa dua beg kertas. Aku lihat dengan reaksi yang berkerut.

“Nah!” Dihulurkan kedua beg itu kepadaku dengan nafas yang mengah.

“Apa ni, kak?” soalku, termangu.

Dia mencapai tanganku lalu diletakkan beg itu dalam genggamanku dan beg itu bertukar tangan.

“Untuk Warda. Hadiah untuk Warda sempena graduation day Warda,” beritahunya dan mataku terus terbeliak mendengarnya.

Terus aku letakkan beg itu di atas meja batu dan melihat isi di dalamnya. Sepasang baju kurung moden berwarna putih dan juga sepasang kasut bertumit dua inci berwarna nude berada di dalam beg itu. Aku tergamam.

“Kak, mahal ni kak. Warda tak boleh terima ni,” tolakku. Bukan aku tidak sudi terima, tapi Zuhaira terlalu baik dengan diriku.

“Tak apa… Memang niat kakak nak bagi hadiah ni pada kamu. Nanti Warda pakai masa hari graduation, ya,” pintanya, buatku rasa serba salah untuk menerimanya.

“Tapi, kak. Tak macam awal sangat ke kakak bagi saya ni? Saya grad lama lagi.”

“Tak apa. Kakak takut tak sempat je, sebab tu kakak bagi awal-awal. Janji dengan kakak, pakai baju ni masa graduation. Kalau tak kakak merajuk, tak nak kawan dengan Warda,” ugutnya dengan wajahnya dibuat-buat merajuk.

Aku tertawa dengan ugutannya itu dan dia juga turut tertawa. Aku mengangguk dan memberikan senyuman manisku kepadanya. Aku senang hati dikurniakan seorang kakak yang baik hati seperti Zuhaira dan aku harapkan hubungan kami akan berkekalan selamanya.

Saya xberikan jaminan karya ini karya yg terbaik. Tapi sy akan bagi sepenuhnya agar karya ini jadi yg terbaik.

Share this novel

Shade
2024-11-06 08:40:31 

best. tgh gigih kumpul coin.


NovelPlus Premium

The best ads free experience